February 15, 2018

MALAYSIA: PERTUMBUHAN EKONOMI 5.8% DIRAGUI


MALAYSIA: PERTUMBUHAN EKONOMI 5.8% DIRAGUI
DR MUZAHET MASRURI

Baru-baru ini Bank Dunia melaporkan Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 5.8% bagi tahun 2017, suatu catatan pertumbuhan yang tinggi dan hampir menyamai pertumbuhan 6.0% pada tahun 2014. Kadar pertumbuhan ekonomi (KDNK) tersebut juga adalah antara yang tertinggi selepas 10 tahun negara mengalami pertumbuhan yang perlahan berikutan kelembapan ekonomi sejak tahun 2008.

Adakah pertumbuhan 5.8% itu benar?

Perbincangan berikut meneliti fakta-fakta untuk membuktikan sama ada dakwaan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2017 itu benar.

Malaysia adalah salah sebuah negara dalam rumpun negara-negara East Asia and the Pacific. Pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara dalam rumpun ini adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 1.


Daripada jadual di atas, anda mungkin membuat kesimpulan bahawa pada tahun 2017, pertumbuhan ekonomi Malaysia (5.8%) adalah rendah kalau dibandingkan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi di negara-negara lain, seperti China (6.8%), Philippines (6.7%), dan Vietnam (6.7%).

Bagaimanapun, seperti kita maklum, kita tidak boleh membandingkan prestasi pertumbuhan ekonomi antara negara-negara dengan merujuk kepada kadar pertumbuhan yang dicapai oleh negara-negara berkenaan pada tahun yang dinilai (2017). Ini kerana kadar pertumbuhan ekonomi (KDNK) adalah merupakan siri catatan sejarah pertumbuhan ekonomi yang tersendiri bagi sesebuah negara dan tiada kaitan dengan negara-negara lain. (Bagi kaedah perbadingan, sila CLICK)

Bagaimana kaedah kalau kita hendak bandingkan prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan negara-negara lain?

Kaedah yang lazim digunakan bagi membandingkan prestasi pertumbuhan ekonomi antara negara-negara adalah merujuk kepada perbezaan KDNK pada tahun yang dinilai (2017) berbanding dengan KDNK pada tahun sebelumnya (2016).

Prestasi pertumbuhan ekonomi 2017 bagi negara-negara di East Asia and the Pacific adalah seperti ditunjukkan dalam Jadual 2.


Secara keseluruhan, negara-negara East Asia dan Pasifik mencatat prestasi pertumbuhan 0.1%. Semua negara mencatat arah-aliran prestasi yang sama, iaitu antara 0 – 0.5%, kecuali Malaysia.

Malaysia mencatat prestasi pertumbuhan ekonomi yang sangat tinggi (1.6%) pada tahun 2017 berbanding tahun sebelumnya. Catatan tersebut berada di luar lingkungan arah-aliran umum (outlier) prestasi pertumbuhan ekonomi negara-negara di East Asia dan Pasifik.

Kita mungkin tidak perasan bahawa pencapaian Malaysia (1.6%) adalah terlalu tinggi kerana kita nampak angka tersebut macam kecil sahaja. Tetapi cuba anda jadikan peratusan prestasi Malaysia berbanding dengan prestasi East Asia dan Pasifik (1.6/0.1*100), angka yang akan anda diperolehi adalah tidak munasabah.


Mungkinkah Malaysia mencapai prestasi setinggi itu, yang sangat berlainan dengan prestasi yang dicapai oleh negara-negara serumpun dalam East Asia dan Pasifik?

Apakah faktor penyumbang kepada prestasi ekonomi Malaysia yang terlalu tinggi pada 2017?

Laporan Bank Dunia menyebut, “… growth has been fueled by strengthening domestic demand, improved labor market conditions, and wage growth, as well as improved external demand for Malaysia’s manufactured products and commodity exports. Capital expenditure has also increased due to higher private and public investment. (World Bank, PRESS RELEASE, 2017)

Adakah data permintaan dalam negeri menyokong kenyataan Bank Dunia?

Perangkaan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menyokong justifikasi Bank Dunia.

Seperti ditunjukkan dalam Jadual 3 di bawah, permintaan dalam negeri bagi 2016 dan 2017 adalah sama (4.4%). Penggunaan swasta (private consumption) menurun daripada 6.1% (2016) kepada 6.0% (2017). Penggunaan sektor awam (public consumption) menurun daripada 1.0% (2016) kepada -0.2% (2017). Export meningkat kepada 2.2% tetapi import juga meningkat kepada 1.8% pada tahun 2017.


Selain itu, isu-isu ekonomi semasa dan rungutan orang ramai yang dilaporkan dalam media, seperti kuasa beli pengguna yang rendah, penutupan beberapa cawangan hypermarket, seperti Giant, Aeon Big dan Kedai 1 Malaysia, penutupan syarikat-syarikat perniagaan yang menyebabkan pemberhentian pekerja, pengurangan waktu dan hari bekerja, pengangguran, dan pemotongan perbelanjaan mengurus bagi kementerian dan agensi kerajaan yang dijangka membawa kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi, adalah antara isu-isu yang mewarnai ekonomi Malaysia pada tahun 2017. Pertumbuhan ekonomi yang di katakan tinggi tidak dapat menterjemah mengapa isu-isu ini berlaku.

Mengapa Bank Dunia semak semula dan tingkatkan unjuran yang tinggi KDNK Malaysia bagi 2017?


Kita juga tidak jelas mengapa Bank Dunia pada 5 Oktober 2017 tiba-tiba menukar unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia daripada 4.9% (sila lihat Jadual di atas) kepada 5.8%? (sila lihat Jadual 1). Suatu perubahan unjuran yang terlalu tinggi..! Sedangkan pertumbuhan ekonomi negara-negara serumpun yang lain hampir tidak ada beza, walaupun negara-negara tersebut mengalami persekitaran ekonomi global yang sama...! 

Kesimpulan

Sebagai rakyat kita gembira kalau negara kita mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Tetapi urutan fakta-fakta dan bukti dalam negeri tidak menyokong justifikasi kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita keciwa kerana pertumbuhan ekonomi Malaysia 5.8% yang diwar-warkan bagi tahun 2017 adalah dipersoalkan dan diragui kebenarannya.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.