July 26, 2017

MENGAPA PILIH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA?


MENGAPA PILIH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA?
DR MUZAHET MASRURI


Saya tergerak untuk menulis pengalaman singkat semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pengalamannya tidaklah banyak mana, maklum hanya 4 tahun saya bertugas di situ. Walaupun singkat tetapi pengalaman itu sangat bermakna kerana di situlah tempat saya mula bertugas selepas menamatkan pengajian di univesiti.

Nama DBP lekat di hati

Saya masih ingat, di zaman persekolahan menengah tahun 60-an dahulu, nama DBP sangat lekat di hati kerana boleh dikatakan hampir semua buku teks sekolah menggunakan buku terbitan DBP. Di institusi inilah juga lahirnya ramai karyawan negara yang karya-karya mereka disematkan dalam penerbitan DBP yang menjadi rujukan pelajar-pelajar ketika itu.

Mengapa pilih Dewan Bahasa?

Bagi mahasiswa yang menamatkan pengajian universiti pada tahun 1970-an, soal mencari kerja dan mendapat kerja tidak menjadi masalah. Bak kata pepatah, masa itu ‘Kerja cari orang. Bukan orang cari kerja’. Di pasaran tenaga kerja, agensi-agensi awam dan swasta, bank, syarikat-syarikat perniagaan dan perkilangan bersaing untuk mendapatkan tenaga pekerja berkelulusan universiti yang mempunyai kelayakan dan bidang pengajian yang diperlukan. Iklan kerja kosong bagi lulusan universiti sentiasa ada dalam akhbar-akhbar tempatan.

Beberapa minggu selepas keputusan peperiksaan akhir universiti diumumkan, saya mendapat tawaran bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan separa-kerajaan. Antaranya, Pegawai Tadbir Am (PTA), pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka, FELDA, dan Kastam DiRaja Malaysia. 

Perkiraannya, tawaran mana yang jadi pilihan? Sebagai anak kampung yang tidak banyak mempunyai pendedahan tentang kerjaya masa depan, apa yang terfikir masa itu ialah gaji. Dengan tidak berfikir panjang, saya pilih jawatan Pegawai Penyelidik (N20) di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana agensi ini menawarkan gaji lebih tinggi, iaitu RM925 sebulan berbanding dengan agensi-agensi lain yang menawarkan gaji antara RM700 hingga RM800 sebulan bagi lulusan universiti.

Editor, Bahagian Buku Teks DBP, 1977
Melapor diri di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Saya melapor diri di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1 Julai 1977 sebagai Editor dan ditempatkan di Bahagian Buku Teks, Unit Pengajian Tinggi. Antara pegawai-pegawai baharu yang sama-sama melapor diri di DBP ketika itu ialah Johan Jaafar, Sarah Sadon, Abd. Rahman Rukaini, Tomadan Johari dan Rogayah Hamid. 

Di institusi inilah saya berpeluang mengenali dengan lebih dekat nama-nama sasterawan, pengkritis dan penyajak tersohor yang bertugas di DBP ketika itu, antaranya Baha Zain, Usman Awang, Mohd. Noor Azam dan Sutung Umar RS.

Berkunjung ke kedai buku DBP

Keinginan pertama ketika mula bertugas di DBP ialah berkunjung ke kedai buku DBP. Mungkin pelik bunyinya bagi orang lain. Tetapi bagi saya ia adalah satu nostalgia. Saya teringat 9 tahun lalu, semasa di Tingkatan 4, saya pernah mengirim wang kertas RM3.00 dan setem yang belum diguna bernilai 50 sen melalui pos untuk memesan sebuah buku teks terbitan DBP berjudul Patah Sayap Terbang Jua. Buku itu amat saya perlukan kerana tidak tahan dengan tekanan sering dimarahi guru kerana tidak mempunyai buku tersebut bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.

Tetapi amat mengeciwakan apabila menerima surat balasan yang tertulis, ‘Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menerima bayaran pembelian melalui pos dalam bentuk tunai dan setem seperti yang disertakan.’ Akibatnya, saya terus dimarahi oleh guru yang mengajar mata pelajaran tersebut.

Sambi memerhati juruwang yang melayani pelanggan-pelanggan di kaunter bayaran, saya tersenyum dan berbisik sendirian. “Jahil juga aku semasa sekolah dulu. Mana ada orang beli buku, bayar dengan guna setem? Patutlah pesanan aku tidak dilayan.”

Tugas Editor di Bahagian Buku Teks

Antara tugas editor di Bahagian Buku Teks ialah mencari penulis yang ingin menerbitkan buku-buku karya asal sebagai sumber rujukan di peringkat kolej dan universiti. Antaranya, Dr. Jomo Kwame Sundaram, seorang pensyarah ekonomi di salah sebuah universiti yang sangat aktif dalam bidang penulisan.

“Ini manuskrip yang telah selesai saya tulis. Saya harap pihak DBP akan menerbitkan buku ini atas kadar segera kerana kita kekurangan buku-buku rujukan ekonomi dalam Bahasa Malaysia di universiti ketika ini,” kata Dr. Jomo, yang tinggi lampai melebihi ketinggian biasa seorang Inggeris, hidung mancung dan raut muka seperti orang kacukan. “Terima kasih Dr. Saya akan teliti manuskrip ini dan akan buat laporan untuk kemukakan kepada Jawatankuasa Penerbitan DBP.”

Pegawai Bahagian Buku Teks. Dari kiri: Nazir, Sufian, Muzahet, Roslan, Shaari Abdullah & Ariffin Siri
Antara penulis lain ialah Dr. Ting Chew Peh, seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan. “Skrip ‘Komuniti Nelayan Di Pulau Pangkor ini saya tulis berasaskan kajian kes yang saya jalankan di pulau tersebut,” kata Dr. Ting yang fasih berbahasa Malaysia, ketika berkunjung ke pejabat. “Saya harap DBP dapat terbitkan buku ini sebagai rujukan bagi pelajar-pelajar di pengajian tinggi,” katanya lagi, sambil menyerahkan manuskrip yang ditulisnya.

Kesukaran mendapat penulisan karya asal

Kesukaran mendapatkan penulisan karya asal dalam bidang akademik amat dirasai. Antaranya, disebabkan oleh pasaran buku-buku pengajian tinggi yang sangat terhad dan tidak memberi pulangan yang setimpal dengan tenaga, rujukan dan pemikiran yang dicurahkan dalam menghasilkan karya yang bermutu.

Buku terjemahan sebagai alternatif

Pada masa yang sama, keperluan bahan rujukan di peringkat pengajian tinggi dalam Bahasa Malaysia semakin mendesak dengan penubuhan beberapa buah universiti baharu dan pengambilan pelajar-pelajar yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sepenuhnya berikutan pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan ketika itu. Bagi mengisi kekosongan ini, pihak DBP telah mengambil langkah untuk menterjemahkan buku-buku rujukan dalam bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia bagi berbagai bidang kursus pengajian di universiti.

Rakan-rakan di Bahagian Buku Teks. Berdiri dari kiri: Nordin, Razali Saad, Muzahet, Roslan, Shaari.
Penterjemahan buku kurang menyumbang

Bagaimanapun, langkah ini kurang menyumbang kerana penerbitan buku-buku terjemahan mengambil masa yang lama, daripada peringkat peterjemahan dan pengeditan, sehinggalah ke peringkat pembacaan pruf sebelum sesebuah manuskrip itu layak untuk diterbitkan.

Lebih-lebih lagi, semua manuskrip perlu ditaip secara manual dengan menggunakan mesin taip. Dengan itu, sedikit sahaja kesilapan yang berlaku, sama ada di peringkat menaip, pembacaan pruf, perterjemahan dan pengeditan akan menyebabkan sebahagian besar manuskrip tersebut terpaksa ditaip semula secara manual dengan mesin taip dan proses penyemakan yang sama akan berulang.

Mesin percetakan menggunakan blok

Manuskrip terakhir yang dihantar ke Bahagian Percetakan tidak mempunyai jaminan ia akan terus dicetak. Ini kerana mesin percetakan akan menggunakan blok daripada bahan timah. Huruf-huruf berbagai saiz yang diperbuat daripada timah akan disusun di atas blok mengikut ejaan dan ayat sama seperti yang terdapat di dalam manuskrip. Sekali lagi, kitaran proses penyemakan semula akan berulang, daripada pengeditan, pembacaan pruf dan penyusunan semula huruf-huruf di atas blok timah. Setelah melepasi semua proses tersebut, baharulah manuskrip tersebut dicetak, dipotong mengikut saiz dan dijilid untuk menjadi sebuah buku.


Pasukan Bola Sepak, Bahagian Buku Teks, DBP, 1980
Proses penerbitan sebuah buku mengambil masa setahun

Ternyata, penerbitan sesebuah buku terpaksa melalui proses yang panjang. Ia menjawab persoalan, mengapa sesebuah buku itu lambat diterbitkan. Pengalaman semasa bertugas di DBP mendapati sesebuah buku, sama ada karya asal atau terjemahan akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk diterbitkan.

Fakta ini tidak mengambil kira konsentrasi yang diperlu diberikan oleh seseorang editor yang terlibat untuk meneliti pelbagai aspek dalam penulisan manuskrip, daripada segi kandungan, fakta, konsep, peristilahan, perbincangan, nahu, frasa, perkataan sehingga kepada ejaan untuk memastikan tidak ada kesalahan langsung dalam manuskrip tersebut.

DBP patut ada elaun cermin mata

Pendek kata, tugas editor setiap hari perlu duduk dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 4.15 petang, mencengkang mata untuk membaca dan mengedit manuskrip. Cara bekerja seperti ini sering menjadi bahan gurauan di kalangan mereka yang bertugas di Bahagian Buku Teks.

“DBP ni patut ada elaun cermin mata!” kata Encik Malik, berseloroh loghat bahasa Kedah dengan suara yang kuat sambil memegang cermin matanya yang tebal dan mengesat kedua-dua belah matanya dengan sapu tangan. Encik Malik yang hampir akan bersara, menghabiskan masa lebih 30 tahun sebagai Editor di DBP

“La ni, sapa tak pakai cermin mata? Semua dok pakai,” katanya lagi, di hadapan editor dan pembantu editor Cawangan Kemanusiaan yang sedang tekun meneliti manuskrip - Roslan Yusof, Abd. Rahman Rukaini, Atiah Salleh, Kamaruzamann, Faridah, Alias Yusoff, Rahimah, Kamsiah Mohamad, Razali, Wan Aziz, Mohd. Nor, Karim, Saodah, Puteri, Ramlah dan Kak Salmah.


Editor Bahagian Buku Teks. Duduk tangga atas: Muzahet, Shaari, Faridah, Aziz, Zuraidah, Zaleha, Kak Salmah & Ramlah
“Betul tu Encik Malik. Saya setuju..! Dulu mula-mula masuk DBP saya tak pakai cermin mata. La ni, 4 tahun dah 3 kali tukar cermin mata!” kata saya.

“Hang tukak cermin mata putih buat apa! Tukak la cermin mata hitam!” sampuk Roslan Yusuff, berseloroh mengajuk loghat bahasa Kedah. “Kalu pakai cermin mata hitam, bole tidok!” jerit Razali Saad, diikuti dengan gelak ketawa rakan-rakan lain.





Kerja editor sesuai untuk orang perempuan

Duduk bekerja dalam pejabat membaca manuskrip setiap hari dari pagi hingga petang menimbulkan rasa bosan. “Aku rasa kerja jadi editor ni sesuai untuk orang perempuan, bukan orang lelaki,” kata saya memulakan perbualan dengan Roslan Yusuff, Pembantu Editor Kanan yang telah lebih 20 tahun bekerja di DBP.

“Habis, engkau nak cabut dari Dewan?” jawab Roslan. “Aku cadang macam tulah,” jawab saya. “Engkau dah dapat kerja lain ke belum?” tanya Roslan. “Aku dapat tawaran kerja di Unit Penyelidikan Sosioekonomi,” jawab saya. “Kerja sebagai apa? Gaji macam mana? Naik ke turun?” tanya Roslan, berseloroh.

“Gaji turun,” jawab saya. “Hai..! Orang tukar kerja gaji naik. Ini gaji turun..! Apa hal..?” kata Roslan yang tersenyum memperli. “Aku pasal gaji turun tu tak kisah sangat. Asalkan kerja tu aku minat dan ada potensi masa depan,” jawab saya.

Keputusan yang sukar

Berita saya akan meletakkan jawatan cepat sampai ke pengetahuan Encik Shaari Abdullah, Ketua Bahagian Buku Teks. “Zahid, I harap you tidak meletak jawatan. You ada potensi di Dewan. Saya tak mahu janji. Tapi, tunggu 6 bulan. I’ll do something for you,” kata Encik Shaari ketika memanggil ke bilik.

Ketika keluar dari bilik Encik Shaari, Roslan melambai tangan dari biliknya yang di kelilingi cermin. “Macam mana? Apa kata boss?” tanya Roslan yang tidak sabar hendak mengetahui keputusannya. “Boss tak bagi aku letak jawatan. Dia suruh tunggu 6 bulan,” jawab saya.

“Aku dah kata. Boss tu sayang kat engkau,” kata Roslan bersungguh-sungguh. “Sayang..! Sebab apa sayang?” tanya saya. “Sebab dia pernah kata, engkau bagus, kerja tersusun dan rajin kerja,” jawab Roslan. “Cuba engkau fikir, baharu 4 tahun bekerja, engkau dah banyak menyunting dan menerbitkan buku-buku pengajian tinggi..!” kata Roslan memujuknya supaya menukar keputusan.

Saya mendiamkan diri tetapi perlu membuat keputusan atas berbagai pertimbangan – kekal jadi editor, tunggu 6 bulan untuk naik pangkat, boss sayang, letak jawatan, pilih jawatan baru dan gaji turun.

Saya sedar, saya perlu membuat keputusan yang sukar. “Zahid, tak payahlah pegi…!! Gaji turun nak buat apa? Pandai sangat…!! Mana ada orang buat macam tu..!!” kata Rashidah Abdullah, atau panggilannya Shid, Editor di Cawangan Sains.


Drama Pentas 'Ulit Mayang' 1980 di DBP. Menari di tengah: Rashidah (Shid) Pelakon Utama 
“Yalah Zahid, betul tu..! Nak kata engko ni hemsem tu tak lah sangat. Tapi, ramai orang suka engko, peramah, cepat mesra, bertimbang rasa, mudah faham. Nanti kalau engko tak ada dia orang akan rasa kehilangan,” sampuk Karim dengan tergagap-gagap. “Sudahlah Karim. Nak bodek pun tak dapat apa..!” jawab saya berseloroh.

Hari terakhir di DBP

Hari ini adalah hari terakhir bertugas di DBP.  Suatu majlis perpisahan telah diatur yang dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Bahagian Buku Teks dan Bahagian Rekabentuk yang menghuni tingkat yang sama. 


Episod yang mencemaskan dalam drama  'Ulit Mayang'. Pelakon lelaki dari kiri, Wan Aziz, Muzahet & Mohd Nor (terbaring tidak sedarkan diri)
“Engko ni degil la..! Aku dah kata jangan letak jawatan. Tapi engko memang degil,” kata Shid yang datang dan duduk di sebelahnya. “Hey..! Boleh tak aku mintak engko tarik balik keputusan engko?” kata Shid, marah.

Saya tidak ambil kisah apabila Shid marah dan bercakap kasar kerana tahu benar perangai Shid yang suka berterus terang. “Shid, engko ni siuman ke tak siuman..! Engko suruh aku tarik balik dalam majlis ni?” kata saya. “Aku tak kira. Aku nak engko tarik balik keputusan engko..!” jawab Shid, menarik muka masam. 

“Ala, sudahlah Kak Shid..! Dia dah tak suka kat kita..!” kata Kamsiah, atau nama timangannya, Kid yang berperawakan lembut dan menjadi sahabat karib Shid.

“Bukan macam tu Kid..! I suka semua orang di Bahagian Buku Teks ni. Tapi masalahnya, I tak mahu terus jadi Editor. I nak cari kerja lain..!” jelas saya. “OK la, I faham la tu..!” kata Kid, yang sering mengalah. “Tapi..! Aku tak faham..!” sampuk Shid.

“You all berdua..! Sudahlah..!. You nampak tak Encik Shaari dah bangun nak bagi ucapan di depan tu!” kata Kid, cuba meleraikan kami berdua.

“Hari ini kita kehilangan seorang editor yang rajin dan berdedikasi. Saya telah minta supaya beliau terus bersama kita di Dewan. Tetapi, kita harus menghormati keputusan beliau. Kita doakan agar beliau terus maju dalam kerjaya masa depannya,” kata Encik Shaari dalam ucapannya.

Ketika memberi ucapan balas, saya menyatakan, “Saya sedar, saya perlu membuat keputusan yang sangat sukar. Tetapi, itulah keputusan saya. Terima kasih atas sokongan dan budi baik rakan-rakan selama 4 tahun saya bertugas di sini,” kata saya menamatkan ucapan dan terus dikerumuni rakan-rakan yang telah merasai kehilangan seorang editor di Dewan Bahasa.


Selamat Tinggal DBP...