March 22, 2017

2. TAWARAN SEBAGAI PENSYARAH DI PUTRA BUSINESS SCHOOL


TAWARAN SEBAGAI PENSYARAH DI PUTRA BUSINESS SCHOOL
DR MUZAHET MASRURI

Rezekinya murah. Hari ini dia menerima tawaran menjadi pensyarah universiti di Putra Business School (PBS). Dahulunya PBS dikenali sebagai ‘Graduate School of Management’, Fakulti Ekonomi, Universiti Putra Malaysia tetapi sekarang telah diswastakan. PBS menawarkan kursus Ijazah Lanjutan, peringkat Sarjana dan Kedoktoran Falsafah bagi pelajar dalam dan luar negara.


Daripada ‘google’ yang dirujuk, dia mendapat tahu, PBS adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang mendapat akreditasi daripada Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) bagi kurus MBA di peringkat Ijazah Lanjutan. Akreditasi seperti itu jarang diperolehi mana-mana universiti di peringkat antarabangsa.

Dia berfikir sama ada menerima tawaran untuk menjadi pensyarah atau tidak. “Persoalannya, adakah aku mampu menggalas tanggung jawab menjadi seorang pendidik di universiti bagi kursus Ijazah Lanjutan?” Fikirannya mula menilai dirinya. “Aku ada Diploma Pendidikan daripada Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim dan aku ada pengalaman mengajar. Tetapi, aku hanya mengajar di sekolah rendah di Telok Sentang, Pahang, lebih 30 tahun yang lalu!” kata hatinya, untuk mencari justifikasi.  

“Aku juga pernah berpengalaman memberi syarahan kepada pegawai-pegawai kanan di sektor awam dan swasta, malah kepada pensyarah-pensyarah di beberapa buah universiti mengenai kedudukan ekonomi negara, semasa Krisis Kewangan Asia, 1997/98 ketika bertugas di MTEN dahulu,” kata hatinya lagi untuk menambah keyakinan dirinya. “Tetapi, kandungan syarahannya berbeza dengan kandungan kursus yang akan aku kendalikan!” bisik hatinya lagi.

PENSYARAH ‘MANAGERIAL ECONOMICS’

“You ni terlalu merendah diri orangnya! Bukan sedikit tetapi terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang you ada untuk dikongsi dengan Putra Business School!” kata CEO PBS semasa menemuinya di pejabat. “We are looking for people like you! Yang ada kelulusan dan pengalaman bekerja dengan sektor awam dan swasta,” katanya lagi.

Setelah membuat pertimbangan, dia akhirnya menerima tawaran sebagai pensyarah ‘Managerial Economics’ bagi program MBA di PBS. 

‘Managerial Economics’ adalah ‘core subject’ bagi program MBA di PBS. Dia diminta mengajar dua sesi iaitu, sesi di sebelah pagi bagi pelajar sepenuh-masa (3 jam) dan sesi sebelah petang bagi pelajar separuh-masa (3 jam). Dia meminta supaya kuliah-kuliah tersebut diatur pada hari yang sama untuk membolehkan dia mempunyai masa daripada baki hari-hari dalam seminggu bagi membuat rujukan dan tugasan lain.

“Aku yakin dapat memberi syarahan mengenai topik-topik yang ditetapkan dalam kandungan kursus ‘Managerial Economics’ kerana aku mempunyai M.A dan Ph.D dalam bidang berkenaan.” 

“Aku juga mempunyai pengalaman dalam perancangan ekonomi negara, ketika bertugas di EPU. Aku mempunyai pengalaman praktis dalam mengendali krisis ekonomi negara semasa bertugas selama 8 tahun di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Aku berpengalaman melaksana dasar dan perancangan negara di peringkat kementerian dan agensi semasa bertugas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW). Dan aku berpengalaman dalam bidang pengurusan di pertingkat tertinggi di sektor swasta semasa bertugas di Puncak Niaga,” bisik hatinya dengan penuh keyakinan.

“Kelebihan ini akan aku gunakan sepenuhnya dalam mengendali kuliah kepada pelajar MBA di PBS,” dia berbisik dengan yakin.


Bersambung ..