4 Januari 2017, kemaskini 16 Julai 2018, 1 Jun 2023.
KENAPA NILAI RINGGIT JATUH?
DR MUZAHET MASRURI
DR MUZAHET MASRURI
Anda mungkin selalu perhati nilai matawang Malaysia (ringgit) sentiasa turun naik berbanding dollar Amerika atau matawang utama dunia yang lain, seperti euro, yuan, yen dan pound sterling.
Pada 31 Mei 2023, Malaysia dikejutkan lagi apabila nilai ringgit menjunam ke paras RM4.6155/USD, iaitu paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98.
Tahukah anda bagaimana nilai matawang ditentukan?
(i) sistem apungan (floating system) dan (ii) penetapan kadar tukaran (fixed exchange rate) atau kadangkala disebut ‘tambatan kadar tukaran’ (pegged exchange rate).
Artikel ini membincangkan sistem apungan (floating syatem). Tambatan kadar tukaran (fixed exchange rate) akan dibincangkan dalam siri akan datang.
Bagaimana nilai matawang ditentukan dalam sistem apungan?
Kebanyakan negara di dunia menggunakan sistem apungan (floating system) bagi menentukan nilai matawang mereka. Dalam sistem ini, matawang diapungkan dalam pasaran matawang asing (FOREX) di mana nilainya ditentukan oleh permintaan dan penawaran ke atas suatu mata wang berbanding dengan matawang lain. Sekiranya permintaan ke atas suatu matawang itu meningkat maka nilainya akan meningkat, dan sebaliknya.
Biasanya nilai matawang dibandingkan dengan matawang utama dunia. Matawang tersebut seperti yang diklasifikasi oleh International Monetary Fund (IMF) dalam Currency Basket yang disemak semula mulai 1 Oktober 2016 ialah USD ($), euro (€) , yuan (¥), yen (¥) dan pound sterling (£). Tetapi selalunya perbandingan dibuat dengan dollar Amerika kerana matawang ini paling banyak digunakan dalam urusniaga perdagangan antarabangsa.
Di mana ibu pejabat FOREX?
Tidak seperti pasaran saham yang biasanya
mempunyai bangunan sendiri, seperti Bursa Malaysia yang terletak di Exchange
Square, Bukit Kewangan Kuala Lumpur, atau New York Stock Exchange (NYSE) yang
terletak di Wall Street, FOREX tidak mempunyai ibu pejabat atau bangunan
tersendiri. Pasaran kewangan yang terbesar di dunia ini beroperasi secara
‘decentralise’ dan urusniaga dilakukan secara ‘online’ melalui talian
elektronik atau telefon.
Apa faktor penyumbang permintaan matawang?
Seperti disebut di atas, nilai suatu
matawang ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran matawang asing
(FOREX). Permintaan ke atas matawang itu pula dipengaruhi oleh banyak faktor.
Faktor-faktor tersebut adalah diringkaskan seperti berikut:
i. Imbangan perdagangan, iaitu
perbezaan antara nilai export dan import. Perbezaan tersebut menunjukkan
kedudukan perdagangan luar sesebuah negara sama ada mempunyai lebihan
perdagangan (surplus), iaitu nilai eksport melebihi import; atau kurangan
perdagangan (defisit), iaitu nilai import melebihi eksport. Defisit perdagangan
menunjukkan implikasi:
(a) pengurangan permintaan ke atas barangan dan
perkhidmatan,
(b) pengurangan permintaan ke atas matawang bagi urusniaga
perdagangan, dan
(c) seterusnya penurunan nilai matawang.
ii. Dasar kewangan, iaitu dasar
yang ditentukan oleh bank pusat, seperti bekalan matawang dalam pasaran dan
kadar faedah bank.
Kadar faedah yang tinggi akan meningkatkan permintaan dan
nilai matawang kerana ia akan memberi pulangan yang tinggi kepada pemberi pinjaman
dan seterusnya meningkatkan pengaliran masuk modal asing.
Kadar faedah yang
tinggi juga akan meningkatkan permintaan bagi spekulator matawang, dan jika
saiznya besar akan mendatangkan kesan yang tidak diingini bagi sesebuah
ekonomi.
iii. Dasar ekonomi merujuk
kepada pendapatan dan perbelanjaan negara, iaitu (i) bajet berimbang, yang
bermaksud pendapatan bersamaan dengan perbelanjaan, (ii) lebihan bajet (surplus
budget), iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan, dan (iii) defisit bajet
(kadang kala disebut defisit fiskal), iaitu perbelanjaan negara melebihi
pendapatan negara.
Pasaran matawang bertindakbalas secara negatif ke atas
negara yang mempunyai defisit fiskal yang tinggi. Kesannya ditunjukkan oleh
kejatuhan nilai matawang.
iv. Inflasi yang tinggi akan
mengurangkan kuasa beli, mengurangkan permintaan ke atas matawang dan
seterusnya menurunkan nilai matawang negara berkenaan.
v. Kestabilan politik. Kadar
tukaran wang sangat sensitif terhadap ketakstabilan politik sebuah negara.
Ketakstabilan politik melemahkan keyakinan pelabur dan keyakinan terhadap
matawang negara berkenaan. Dalam hal ini, pelabur biasanya akan menukar pelaburan
mereka daripada matawang yang lemah kepada matawang yang kukuh, seperti USD dan
euro.
vi. Faktor-faktor lain, seperti
pertumbuhan dan kedudukan ekonomi, peluang pekerjaan, jualan di sektor
peruncitan, dan petunjuk-petunjuk lain juga mempengaruhi permintaan ke atas
matawang.
Kombinasi faktor-faktor di atas menyumbang
kepada perubahan turun-naik kadar pertukaran matawang bagi negara-negara yang
menggunakan sistem apungan dalam penentuan nilai matawang mereka di pasaran
matawang asing (FOREX)
Apa sistem yang digunakan Malaysia?
Malaysia menggunakan sistem
apungan (floating system) dalam penentuan nilai ringgit. Malaysia pernah menggunakan
kaedah tambatan ringgit (pegging system) semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98, di
mana ringgit ditetapkan kepada USD=RM3.80 pada 1 September 1998 bertujuan
untuk menghapuskan dana ringgit di luar negara bagi aktiviti spekulatif
matawang. Pada 21 Julai 2005 kaedah tambatan ringgit telah ditarik balik.
Pada 31 Mei 2023, ringgit diniagakan RM4.6155/USD iaitu paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98.
Seperti disebut, faktor-faktor yang
menentukan turun naik tukaran nilai matawang adalah pelbagai merangkumi dasar
ekonomi, kewangan, imbangan perdagangan dan keadaan politik semasa.
Apa kesan penurunan ringgit kepada kita?
Bagi individu, penurunan nilai ringgit bermakna:
(i) kita
terpaksa membayar lebih bagi barangan yang diimport,
(ii) kita juga kena bayar
lebih bagi perkhidmatan yang kita gunakan semasa berada di luar negara.
Misalnya, kalau kita melancong ke London dan menyewa sebuah bilik di hotel yang
harganya USD200 semalam, dahulu semasa RM3.80/USD, kita hanya membayar RM760.00
semalam. Tetapi sekarang apabila nilai ringgit turun kepada RM4.6155/USD kita
terpaksa bayar RM923.10 semalam bagi sebuah bilik yang sama.
Bagi negara, kesannya boleh positif atau negatif:
(i) penurunan nilai ringgit akan menyebabkan harga barangan keluaran Malaysia menjadi murah (kompetitif) dan ia akan meningkatkan permintaan ke atas barangan Malaysia dan seterusnya meningkatkan pendapatan eksport negara,
(ii) pada masa yang sama, penurunan nilai ringgit akan menyebabkan harga barangan yang diimport menjadi mahal. Misalnya, pada 2022, Malaysia membayar RM75.54 bilion bagi barangan makanan diimport yang digunakan di negara ini, berbanding RM63.59 bilion pada 2021.
(iii) penurunan nilai ringgit juga akan
menyebabkan jumlah hutang dan bayaran balik hutang luar negara akan meningkat. Ini kerana pinjaman luar
negara, misalnya dari Bank Dunia atau bank-bank negara lain adalah menggunakan
matawang asing, sama ada USD atau matawang negara yang memberi pinjaman.
Bayaran balik pinjaman juga menggunakan matawang asing daripada rizab Bank
Negara.
Bersambung siri akan datang …
Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.