March 02, 2021

 


Malaysia tidak akan capai status negara maju jika terus bergantung kepada FDI

DR MUZAHET MASRURI


Mengapa perlu FDI?

Pelaburan langsung asing (FDI) mula bertapak di Malaysia sejak lebih 50 tahun lalu.

Kepentingan FDI dilihat daripada segi sumber pendapatan negara dalam bentuk cukai, peningkatan modal, pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Penglibatan FDI dalam ekonomi di Malaysia meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan. 

Insentif kepada FDI

Berdasarkan kepentingan tersebut, Malaysia menawarkan lebih 100 jenis insentif untuk menarik kemasukan pelaburan asing ke negara ini (Bank Negara Malaysia: Rethinking Investment Incentive, November 2017).

Insentif tersebut terkandung dalam 3 komponen utama seperti berikut:

  1. Status Perintis (pioneer status), iaitu pengecualian cukai pendapatan 70% hingga 100% selama 5 hingga 10 tahun
  2. Elaun Cukai Pelaburan (investment tax allowance), iaitu elaun 60% - 100% bagi perbelanjaan modal yang terlibat (kilang, mesin dan peralatan lain) bagi tempoh 5 hingga 10 tahun, dan
  3. Elaun Pelaburan Semula (reinvestment allowance), itu elaun 60% ke atas perbelanjaan modal bagi pelaburan semula dalam negara. 
Apa faktor pendorong FDI untuk melabur di negara membangun?

Faktornya banyak dan diringkaskan mengikut keutamaan (World Bank Group, Foreign Investor Perspectives & Policy Implications, 2017/18), seperti berikut:

1. Kestabilan politik & keselamatan 
2. Persekitaran undang-undang & peraturan
3. Saiz pasaran domestik 
4. Kestabilan makroekonomi & matawang
5. Kemahiran tenaga kerja
6. Prasarana fizikal yang baik
7. Kadar cukai yang rendah
8. Kos buruh & input yang rendah
9. Akses kepada tanah atau harta tanah
10. Kemudahan pinjaman di pasaran domestik

Setelah diberi banyak insentif kenapa syarikat asing lari dari Malaysia kebelakangan ini?

Seperti dilaporkan dalam Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD), Malaysia mengalami kemerosotan FDI paling buruk pada tahun 2020 berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain (The Straits Times of Singapore on 5 February 2021). Lihat Jadual di bawah.


Anda boleh gunakan asas penilaian Bank Dunia seperti di atas untuk mencari sendiri jawapan kepada persoalan mengapa pelabur asing menutup operasinya di Malaysia sekarang ini dan berpindah ke negara lain, seperti Indonesia yang dilaporkan oleh CEO, European Union-Malaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM), (The New Straits Times, 11 Januari 2021).

Setakat mana FDI menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia?

FDI hanya menyumbang 0.6% kepada KDNK Malaysia pada tahun 2001 dan meningkat kepada 2.2% (2019) berikutan peningkatan kemasukan FDI.

(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, Newsletter – Evolusi FDI di Malaysia, DOSM/BPIP/3.2020/ Siri 64)

Benarkah berlaku pemindahan teknologi tinggi FDI di Malaysia?
 
Tidak benar, walaupun ia selalu disebut begitu.

Setelah lebih setengah abad penglibatan FDI, teknologi perindustrian di Malaysia masih kekal di tahap Industri 2.0, iaitu teknologi rendah berasaskan intensif-buruh.

Malaysia ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau lain, seperti Korea Selatan yang berada di tahap Industri 3.0 teknologi tinggi sekarang, walaupun pada tahun 1970-an Korea Selatan pernah ketinggalan di belakang Malaysia.

Mengapa Malaysia ketinggalan?

Kerana sejak tahun 1960-an, Malaysia memilih pendekatan menggunakan pelabur asing bagi membangunkan industri tempatan. Maka wujudlah industri-industri tempatan yang sebahagian besarnya milik pelabur asing yang mengekalkan teknologi berintensif-buruh di tahap Industri 2.0, dan kekal keadaannya sehinggalah ke hari ini.

Berbeza dengan Korea Selatan, yang ketika itu sama seperti Malaysia, iaitu mengamalkan dasar export-led development, Korea bertekad untuk mewujudkan pengusaha industri tempatan yang berdaya saing di peringkat global. Maka wjudlah industri berteknologi tinggi dengan jenama besar milik Korea seperti HYUNDAI, KIA, DAEWOO, SSANGYONG dan SAMSUNG.

Pernahkah Malaysia mempunyai Industri 3.0?

Pernah. Malaysia pernah mempunyai industri berteknologi tinggi yang bertaraf Industri 3.0 apabila Malaysia berjaya membangunkan jenama industri milik tempatan berteknologi tinggi, Heavy Industries Corporation of Malaysia Berhad (HICOM). Hasilnya, PROTON telah ditubuhkan pada tahun 1983 sebagai sebuah syarikat automotif  nasional dan kereta pertama jenama Malaysia PROTON SAGA mula memasuki pasaran pada tahun 1985.

Model pertama Proton SAGA dilancarkan pada 9 Julai 1985 

Malangnya..!! Setelah 30 tahun berjaya dibangunkan, PROTON, industri berteknologi tinggi milik tempatan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia telah digadaikan kepada sebuah syarikat negara China, Zhejiang Geely pada Julai 2017.

Gara-gara tidak mahu melihat PROTON menjadi industri automotif nasional yang berjaya, maka kembalilah semula Malaysia ke tahap Industri 2.0, teknologi rendah berintensif-buruh dan kekallah keadaannya sehinggalah ke hari ini.

Bolehkah kita gunakan FDI untuk meningkatkan teknologi tinggi di Malaysia?

Kita maklum, pelabur asing dan Multi National Corporations (MNCs) melabur di Malaysia kerana pelbagai kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan (seperti dinyatakan di atas) bagi pengeluaran berskala besar dengan kos yang rendah.

Realitinya, mereka tidak akan membelanjakan modal yang tinggi bagi membangunkan teknologi tinggi Industri 4.0 di negara ini. Sebaliknya, mereka terus menggunakan strategi mengekalkan pengeluaran industri berteknologi rendah berasaskan pemasangan (assembly-based business) yang berorientasikan intensif-buruh dan buruh tidak mahir, seperti yang kekal keadaannya pada hari ini.


Bukankah FDI menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan?

Benar, seperti yang sering disebut oleh pemimpin-pemimpin negara. Tetapi sebahagian besar pekerjaan itu untuk siapa?  

Tahap teknologi dalam industri pembuatan yang telah sekian lama tidak berubah dan kekal berada di tahap Industri 2.0 dan berintensif-buruh adalah antara punca yang menyebabkan Malaysia pada hari ini perlu mengimport berjuta buruh asing.


Pengimportan buruh asing ke negara ini telah jauh menyimpang daripada matlamat asal bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam tiga sektor, iaitu perladangan, pembinaan dan pembantu rumah.

Sebaliknya pada hari ini, pekerja asing dimport bukan untuk bekerja di sektor-sektor yang disebut di atas. Tetapi pekerja-pekerja asing yang diimport dihantar bekerja dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan.

Benarkah pengimportan buruh asing telah mewujudkan ‘crowding out effect'?

Benar. Pengimportan buruh asing ketika ini telah mewujudkan ‘kesan kesesakan’ (crowding out effects), bukan sahaja dalam pasaran tenaga kerja, kawasan perumahan dan petempatan penduduk, bahkan peluang-peluang perniagaan di bandar besar dan bandar-bandar kecil di Malaysia, yang secara logik tidak sepatutnya berlaku.


Wajah-wajah gembira sekumpulan buruh asing sebaik menjejak kaki di KLIA

Benarkah pengimportan buruh asing telah mewujudkan kebocoran dalam ekonomi Malaysia?

Benar. Kebocoran dalam ekonomi negara berlaku dalam bentuk bayaran pindahan (transfer payment) oleh hampir 2 juta buruh asing yang bekerja di negara ini.

Saya pernah menemubual pekerja-pekerja asing yang bekerja di sektor industri pembuatan dan perkhidmatan. Purata pendapatan mereka RM1,100 sebulan. Hampir semua yang ditemubual menghantar wang antara RM500 hingga RM800 sebulan kepada keluarga atau ibu bapa ke negara asal mereka.

Cuba bayangkan, berapa jumlahnya kalau ada 2 juta buruh asing dan setiap mereka menghantar pulang purata RM600 sebulan ke negara asal mereka? 


Duit RM14.4 bilion setahun yang mengalir keluar dari ekonomi Malaysia tersebut terlalu besar jumlahnya yang sepatutnya dibelanjakan dalam negara bagi meningkatkan penggunaan swasta (private consumption) kerana penggunaan swasta menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara (KDNK) Malaysia.

Berapa sumbangan FDI kepada KDNK Malaysia (2019)? 


Cuba bandingkan jumlah sumbangan FDI kepada KDNK (2019) dengan jumlah duit yang dibocorkan oleh buruh asing daripada ekonomi Malaysia.

Hampir separuh daripada sumbangan FDI kepada KDNK telah dibocorkan dan dibawa keluar daripada ekonomi Malaysia oleh buruh asing ke negara asal mereka.

Kebocoran tersebut belum mengambil kira aspek-aspek lain, seperti pelepasan cukai daripada pelbagai insentif yang diberi kepada syarikat asing dan pengelakan cukai oleh FDI melalui kaedah ‘base erosion & profit shifting’. 

Sekiranya faktor-faktor ini diambil kira, faedah bersih (net benefits) sumbangan FDI yang kecil (2.2%) kepada ekonomi Malaysia semakin mengecil.

Kesimpulan

Kita tidak menolak kemasukan pelaburan asing ke negara ini kerana kerajaan sekarang masih menganggap ia penting. Tetapi apa yang kita 'highlight'kan ialah sampai bila Malaysia perlu bergantung kepada FDI?

Walaupun telah bertapak sejak 50 tahun lampau tetapi sumbangan FDI kepada pemindahan teknologi dan pembangunan ekonomi Malaysia sehingga ke hari ini adalah kecil dan semakin tidak signifikan.

Bila pemimpin negara dan perancang pembangunan ekonomi negara mahu buka mata dan buka minda untuk mempromosi pengusaha industri tempatan (local industrial players) yang berdaya saing dan mampu membawa jenama besar Malaysia ke arah status negara maju?

Rakyat memerhati...'Malaysia Boleh..!!'

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, UK