March 29, 2023

Memoir Anak Kampung Jadi Ketua Setiausaha (KSU)

 



Pagi itu, dia berkira-kira apa yang harus dibuatnya selepas tiga kali bersara. “Datuk! Dah pencen, tak bekerja, jadi macam sayalah, jaga cucu!” kata salah seorang rakannya yang sudah setahun bersara. Dia hanya tersenyum.

“Aku ada sedikit ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja di pejabat kerajaan, swasta dan universiti. Ilmu itu, walaupun secubit tetapi ia mungkin boleh dimanfaatkan kalau ia dikongsi dengan orang lain. Tetapi dengan siapa? Macam mana?” dia bertanya pada dirinya sendiri.

Dia terfikir untuk menulis sebuah buku mengenai kisah hidupya, seperti ramai orang lain tulis dalam bentuk ‘coffee table book’. “Tapi, buku macam itu cuma banyak gambar, tak ada cerita. Kalau buku seperti itu mengenai Perdana Menteri, seperti Dr Mahathir atau orang terkenal tak apalah, orang akan baca. Tapi, kalau buku itu mengenai aku! Dr Muzahet, siapa nak baca?” tanya hatinya. 

“Kalau aku nak tulis dalam bentuk novel, memang bagus! Tapi masalahnya, aku tak pandai menulis novel! Kalau tulis artikel pasal ekonomi bolehlah!” katanya sendirian. 

Memoir Anak Kampung Jadi KSU 

Akhirnya dia bertekad untuk menulis. “Aku akan tulis buku Memoir Anak Kampung Jadi Ketua Setiausaha (KSU)”. Dia mengambil masa 2  tahun untuk menulis buku setebal 368 muka surat dan telah diterbitkan oleh E1 Publication pada tahun 2023. Rujukan ISBN 978-967-2752-14-1 (Perpustakaan Negara Malaysia). 

Sedutan cerita 

Kisah benar pengalaman hidup penulis sejak kecil, membesar dalam keluarga yang susah tetapi gigih dan menyimpan semangat yang tidak pernah luntur untuk memenuhi impian ibunya, “Emak nak tengok engkau jadi orang pandai Nak !…” itulah pesan ibunya. 

Dia mula bersekolah tahun 1959, 2 tahun lepas Malaya Merdeka. Mungkin ada orang bertanya, apa beza persekolahan zaman 60an dan sekolah sekarang? Bezanya umpama langit dan bumi. Masa dulu sekolah papan. Orang kampung yang bina secara gotong royong. Separuh sahaja bangunan sekolah ada dinding papan. Bahagian atas lopong tak ada dinding sampai ke bumbung. 

Sekolah dulu tidak pakai buku. Semua murid Darjah 1 pakai papan batu untuk menulis dan mengira.

Masa mula masuk sekolah Darjah 1, dia jual kuih di sekolah. Nak bantu keluarga. Nak bagi duit kat ibu. Setiap pagi jalan kaki pergi sekolah, tangan kanan jinjing bakul raga bulat, berisi kuih-muih. Bahu sebelah kiri, sandang beg mengkuang berisi papan batu. 

Setelah tamat sekolah rendah Darjah 6, dia pindah sekolah menengah rendah, jauhnya 7 km. Naik basikal togel, tidak ada brek, tiada sayap dan belakang ada carrier besar..!! 

Dia lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) tahun 1967 dan beritahu ibu, “Mak! Saya lulus periksa dan  jadi pelajar terbaik”. Ibu tersentak, dengan tidak semena-mena, ibu menjerit dan terus peluk dia, “Ya Allah..! Ya Allah..! AlhamdulilLah..! AlhamdulilLah! Syukur…!” Syukur Nak..! Engkau anak Emak. Emak sayang engkau Nak..! Mak nak engkau jadi orang pandai Nak..!” kata Ibu menangis gembira. Ibu sangat ‘touching’. Sebab dialah satu-satunya ibu di kampung yang ada kesedaran supaya anak-anaknya maju dalam pelajaran. 

Tetapi, dia berhadapan  dengan dilema. Sama ada nak sambung sekolah atau berhenti sekolah setakat lulus SRP. Mengapa nak berhenti sekolah? Jadikah dia berhenti sekolah? 

Apa terjadi selepas itu? Anda boleh cari jawapannya dalam Bab 4 buku ini.

 

Kayuh basikal 24,000 km untuk bersekolah 


Satu lagi pengalaman yang dia tidak akan lupa sepanjang hayat ialah kisah kayuh basikal 24,000 km untuk bersekolah. Bagi generasi muda sekarang, kalau dengar cerita pasal budak sekolah dulu terpaksa kayuh basikal jauh sampai beribu km untuk ulang-alik ke sekolah, pasti menganggap kisah itu tidak masuk akal.

Tapi ini cerita benar! Seawal pukul 4.00 pagi setiap hari, dengan keadaan di kampung terpencil yang gelap dan sunyi, bermulalah kayuhan basikal ke sekolah. Itulah rutin setiap hari sekolah. Tidak kira sama ada panas, sejuk, hujan, ribut, petir, dia akan pastikan sampai sekolah sebelum pukul 7.00 pagi. 

Budak punggung tebal 

Dia ingat dulu di sekolah, dia dapat gelaran budak punggung tebal. Semasa dalam kelas Tingkatan 4A, Cikgu bertanya. “Awak tinggal mana?” tanya Cikgu, menghalakan muncung bibir ke arahnya. “Kampung Sungai Pulai, Cikgu” jawabnya. “Berapa jauh dari sekolah?” tanya Cikgu. “25 kilometer,” jawabnya. “25 kilometer? Pergi balik 50 km?” tanya Cikgu. Dia angguk kepala. 

Cikgu terus tanya. “Kalau satu hari naik basikal 50 km, satu minggu berapa km? Kalau sebulan? Kalau setahun? Kalau dua tahun sampai habis Tingkatan 5?” tanya Cikgu berturut-turut. “Wah..! Hebat kamu..! Kayuh basikal 24,000 km..! Boleh pergi – balik London..!” kata Cikgu. 

“Murid-murid, dengar sini!” kata Cikgu. “Kalau seorang itu kayuh basikal sejauh 24,000 km, dapat tak kamu bayangkan apa akan jadi punggung orang itu?” soal Cikgu. “Melecet Cikgu!” jerit seorang murid, diikuti dengan gelak ketawa murid-murid lain. Cikgu tersenyum. “Bukan sahaja melecet…punggung dia jadi tebal,” Cikgu ketawa diikuti dengan riuh rendah murid-murid yang ketawa terbahak-bahak. 

Lepas itu, tiba-tiba bulu roma dia meremang seluruh badan. Dia merasa terhina dan benar-benar naik berang. Terasa nak angkat meja dan lemparkan dalam kelas. Tapi dia mendengar suara hati kecilnya memujuk, “Jangan buat macam tu ..! Tindakan itu tak bijak. Pengalaman ini akan mengajar kamu jadi lebih dewasa. Ingat! Jangan sia-siakan harapan besar ibu kamu untuk jadi ‘orang pandai’.” 

Banyak lagi kisah suka-duka anak kampung ini sewaktu bersekolah. Bacalah buku ini. Pasti, anda kadangkala akan tersenyum, ketawa, dan kalau benar-benar  menghayati, akan merasa sedih, sayu dan menitis air mata. 

Menamatkan kayuhan 24,000 km 

Setelah 2 tahun akhirnya anak kampung ini berjaya menamatkan kayuhan 24,000 km.

Sejak itu dia tidak lagi mengayuh basikal, kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 dan tinggal di asrama penuh Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar Diraja Muar. 

Sementara menunggu keputusan STP, dia berpeluang mengikuti kursus di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1974. Kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (M.A) di University of East Anglia, England, 1985 dan meneruskan pengajian di peringkat Ph.D (Economics), di universiti yang sama pada 1994. 

Sebelum jadi KSU 

Anak kampung ini  berpengalaman dalam banyak bidang yang diceburi. Pernah bertugas sebagai guru di Pahang. Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Editor, Unit Penyelidikan Sosioekonomi di Jabatan Perdana Menteri bagi penyelidikan impak program pembangunan negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU ) bagi perancangan pembangunan ekonomi Malaysia, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN ) membantu memulihkan krisis ekonomi negara mulai 1997/8.

Sekretariat MTEN 2003

Ph.D Gred 3
 

Semasa di EPU, seorang rakan sekerja bertanya, “Engkau kerja dah berapa tahun?”. “Dah 15 tahun. Kenapa?” jawabnya. “Hai! 15 tahun kerja masih Gred 3? Ada Ph.D pulak tu!”. Gred 3 (time scale) adalah tangga gaji pegawai graduan paling rendah – sekarang namanya ditukar kepada Gred 41. Seorang kawan lain menyampuk, “Macam mana dengan kawan kita ni? Ada Ph.D, tapi masih Gred 3. Peliklah!”. “Belum ada rezeki!”, jawabnya. 

Percayakah anda kes seperti ini berlaku dalam perkhidmatan Kerajaan? Mengapa ia berlaku? Cari jawapannya dalam buku ini. 

Dipanggil Ketua Pengarah EPU 

Dua bulan selepas itu, dia dipanggil oleh Ketua Pengarah EPU. “You have got your Ph.D, in what field?” tanya Tan Sri. “In Economics, Tan Sri,” jawabnya. “Great demand! Kalau syarikat swasta tahu, for sure dia akan ambil you bekerja,” kata Tan Sri. “In what Grade are you now?” tanya Tan Sri. “Grade 3, Tan Sri,” dia menjawab. 

“What? Say it again!” tanya Tan Sri sambil mengerutkan mukanya. “I am still in Grade 3, Tan Sri,” jawabnya. “What…? You have been working for 15 years, with Ph.D in Economics and you’re still in Grade 3? I couldn’t believe it!” kata Tan Sri dengan suara yang meninggi dan menggeleng kepala.

Hantar memorandum ke JPA 

Dua minggu selepas memorandum di hantar ke JPA mengenai isu penyerapan skim perkhidmatan pegawai penyelidik ke PTD, dia dipanggil untuk membuat pembentangan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Semasa sesi soal-jawab, dia  menjelaskan, “Kami tidak meletakkan apa-apa syarat. Cuma saya pohon supaya tarikh penyerapan tersebut mengambil kira tarikh pegawai mula berkhidmat,” katanya, diikuti dengan suara gemuruh pegawai-pegawai yang berada dalam bilik mesyuarat.

“Ha! You dengar tu! Apa jawapan pegawai JPA!” kata Tan Sri KPPA.


Kursus Penyesuaian Pegawai Penyelidik & Pegawai Tadbir Am (PTA) ke Skim PTD, Hotel Regency, Port Dickson, 13-24 Mei 2002


Apa yang berlaku selepas peristiwa ini? Adakah dia bertukar bekerja di syarikat swasta? Mengapa? Anda boleh cari jawpannya dalam  Bab 8 buku ini.
 

Dipanggil KSN 

Selepas 3 bulan dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dia menerima panggilan dari pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN). Hatinya berdebar, bimbang dengan isu hangat ketika itu, mengasingkan pegawai kanan berprestasi rendah dan menyumbat ke dalam ‘JPA Pool’ dan mereka tidak diberi ‘portfolio’. 

“Asslamualaikum Tan Sri,” katanya sebaik masuk pejabat. “Waalaikumsalam” jawab Tan Sri, menghulurkan tangan.“Tahniah..!! You sekarang KSU”.

Menerima surat perlantikan daripada Tan Sri Mohd Sidek Hassan (KSN), 2008


Sungguh tidak disangka, baru 3 bulan dinaikkan pangkat, dia dinaikkan pangkat lagi sebagai Ketua Setiausaha, orang nombor 1 di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan (KPKKW), menerajui 11 Agensi di bawahnya.
 

Hujan soalan 

Semasa pertama kali mengadakan Mesyuarat Pengurusan, dia dihujani pelbagai soalan oleh Ketua-ketua Agensi di bawahnya yang sangat berpengalaman dalam bidang masing-masing: 

“Jadi boss kena garang supaya orang takut dan hormat.  Apa komen Datuk?”, “Boss mesti lebih pandai daripada pegawai. Kalau tidak, macam mana pegawai nak ‘respect’ dan ikut arahan boss? Apa komen Datuk?”, “Kenapa ada boss yang suka marah dan tunjuk garang?”, “Datuk, ada boss yang kata, ‘Rule No.1: Boss is always right. Rule No.2: If the Boss is wrong, refer to Rule No. 1’. Habis! Macam mana tu?”, “Datuk, saya nak tanya bila you sebut ‘micromanage’ tadi. Apa maksud Datuk?”, “Selama ini kami merasa tertekan. Sentiasa takut buat salah dan takut kena marah. Tapi, apabila saya dengar dan amati kata-kata Datuk, hati saya rasa tenang dan fikir nak buat kerja lagi baik!”, “Ada setengah boss bimbang pegawai bawahan lebih menyerlah. Apa komen Datuk?”, “Saya suka cara Datuk kendalikan mesyuarat. Ringkas, padat, fokus dan jelas! Saya juga suka cara Datuk beri arahan dan panduan yang sangat berguna bagi kami!”. 

Banyak lagi soalan yang sudah lama terpendam, diajukan kepada Bos yang baharu. Apa reaksi Bos? Apa jawapan Bos? Bagaimana Boss mengendali persoalan-persoalan yang sangat penting dan kritikal mengenai kepimpinan di kalangan ketua-ketua penjawat awam? 

Jawapannya ada dalam buku ini. Bacalah.. 

Rezeki murah 

Rezeki anak kampung ini murah. Sebaik bersara daripada KSU, dia mendapat tawaran bekerja di syarikat swasta, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, sebagai Pengarah Eksekutif. Selepas itu, dia bertugas sebagai Pensyarah Ekonomi Program MBA di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), dan akhirnya, dia mengambil keputusan untuk bersara kali ke-3. Pertama, sektor awam, ke-2 sektor swasta dan ke-3 universiti.



Apa kelebihan/kekurangan berkhidmat di sektor awam, swasta & universiti? 

Soalan ini sangat menarik. Jawapannya juga menarik. Anda boleh cari jawapannya dalam buku ni..

Selepas 3 kali bersara beliau menyumbang secara sambilan,  secebis pengetahuan dan pengalaman yang ada sebagai ‘Mentor Coach’ bagi Leadership Programme yang dianjurkan oleh Razak School of Government (RSOG).


Banyak lagi cerita menarik yang tidak termuat dalam artikel ini sepanjang pengalaman selama 40 tahun bekerja?
 

Bacalah buku ini..!! 

Apa yang boleh dipelajari daripada buku ini? 

Kandungannya menonjolkan nilai-nilai positif yang sesuai dijadikan suri teladan (role model) bagi:

    (i)  golongan remaja di peringkat persekolahan dan institusi pengajian, supaya mereka lebih berusaha dan berjaya, dan

   (ii)  ketua penjawat awam dan swasta mengenai kepimpinan dan ciri pemimpin yang disukai dan tidak disukai oleh pegawai bawahan. 

Koleksi Perpustakaan 

Buku ini sesuai dijadikan koleksi perpustakaan di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Ia juga sesuai bagi koleksi perpustakaan di institusi pengajian dan sekolah.

Bagaimana mendapatkan buku ini? 

Buku ini tidak dijual di kedai buku. Ia boleh diperolehi daripada penerbit atau terus daripada penulis.


Apa perlu anda buat?

  i. Buat pembayaran melalui on-line banking dengan harga potongan RM130/naskhah, seperti maklumat di atas.

 ii. WhatsApp butiran nama, alamat & nombor telefon bagi urusan penghantaran buku melalui Poslaju.

iii. Lampirkan resit bayaran sebagai bukti.

Penghantaran

Pesanan buku akan dihantar melalui Pos Laju.