September 21, 2017

PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA KE-2 TERTINGGI DI DUNIA. APA ASASNYA?


PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA KE-2 TERTINGGI DI DUNIA. APA ASASNYA?
DR MUZAHET MASRURI

Sebagai rakyat Malaysia, kita bangga dengan pencapaian pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika ini. Daripada ucapan pemimpin-pemimpin negara, kita diberitahu ekonomi kita stabil dan kukuh, malah pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika ini dikatakan berada di tangga kedua tertinggi di dunia selepas negara China.

Kenyataan ini diperkukuhkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, dalam Wawancara Landskap, TV1 pada 20 September 2017 dengan Pengarah Bahagian Komunikasi kementerian berkenaan. Dalam wawancara tersebut, beliau telah menyebut, “…pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah kedua tertinggi di dunia …” Beliau merujuk kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 5.6 peratus pada separuh penggal pertama tahun 2017.

Kalau betullah kenyataan ini, kita amat berterima kasih kepada Kerajaan atas kejayaan memacu ekonomi negara, apatah lagi berada di ranking ke-2 tertinggi dalam kalangan 195 buah negara di dunia ketika ini.

Persoalannya, adakah kenyataan itu benar?

Sebelum membuktikan sama ada kenyataan tersebut benar atau tidak, kita perlu megetahui beberapa perkara asas yang perlu dipatuhi dalam membuat perbandingan mengenai pertumbuhan ekonomi di kalangan negara-negara di dunia.


Apa asas perbandingan pertumbuhan ekonomi antara negara-negara di dunia?

Asas 1: Pengiraan KDNK mestilah dalam matawang yang sama. Ini kerana, KDNK negara-negara di dunia biasanya dikira dengan menggunakan mata wang negara masing-masing. Misalnya, Malaysia (ringgit), Indonesia (rupiah), Amerika Syarikat (USD), negara-negara Eropah (euro), Jepun (yen) dan China (yuan).

Oleh itu, bagi membuat perbandingan, nilai KDNK negara-negara tersebut hendaklah ditukar kepada matawang utama dunia. Sebagaimana yang diklasifikasi oleh International Monetary Fund (IMF), dalam Special Drawing Right (SDR), matawang utama dunia ialah USD, euro, yuan, yen dan pound sterling.



Bagaimanapun, agensi-agensi antarabangsa, seperti Bank Dunia dan IMF biasanya menggunakan USD.

Selain menukar nilai kepada matawang utama dunia, IMF dan Bank Dunia juga menggunakan indeks Purchasing Power Parity (PPP) bagi pengiraaan nilai KDNK.



Kaedah ini membandingkan harga sekumpulan barangan (a bundle of goods) yang sama digunakan di negara-negara lain dan menukar nilainya kepada mata wang utama dunia. Bagaimanapun, keadah ini jarang digunakan kerana pengiraannya adalah komplikated

Asas 2: Pengertian mengenai prestasi pertumbuhan ekonomi bagi setiap negara adalah merujuk kepada perubahan KDNK pada tahun semasa berbanding dengan KDNK pada tahun sebelumnya (lihat Gambarajah di bawah).


Bagi memudahkan pemahaman, kita ambil contoh pertumbuhan KDNK negara-negara seperti di Jadual 1.


Dalam Jadual di atas, negara-negara tersebut dipilih secara rawak berasaskan senarai yang dikeluarkan oleh Bank Dunia mengenai KDNK bagi 195 buah negara di dunia dan unjuran pertumbuhan bagi tahun berikutnya (bertanda f dalam Jadual di atas). Daripada jumlah tersebut, hanya 16 buah negara sahaja dipilih. Semua nilai KDNK negara-negara berkenaan telah ditukar kepada USD

Prestasi pertumbuhan ekonomi bagi setiap negara adalah ditunjukkan di ruang terakhir (berwarna hijau) dalam Jadual.

Secara umumnya, pretasi ekonomi dunia dijangka tumbuh pada kadar 0.2% pada tahun 2017 berbanding dengan kadar pertumbuhan tahun 2016. Prestasi pertumbuhan ekonomi negara China dijangka menurun -0.3% manakala bagi Malaysia meningkat 0.7% (Bank Dunia telah menilai semula unjuran KDNK Malaysia daripada 4.3% kepada 4.9% bagi tahun 2017)

Asas 3: Dalam praktis yang sebenar, kita tidak wajar membandingkan prestasi pertumbuhan ekonomi antara negara-negara dengan merujuk kepada kadar pertumbuhan yang dicapai oleh negara-negara berkenaan pada tahun yang dinilai.

Misalnya, dalam Jadual di atas, kita tidak boleh mengatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia (4.9%) adalah ketiga tertinggi selepas negara Indonesia (5.3%) dan China (6.5%) (abaikan negara Cambodia dan Laos kerana saiz ekonomi negara tersebut adalah kecil).

(Nota: Kaedah perbandingan inilah yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin negara dan Kementerian Kewangan yang membuat kenyataan, "...pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika ini adalah kedua tertinggi di dunia selepas negara China...")

Perbandingan tersebut adalah tidak wajar kerana kadar pertumbuhan ekonomi (KDNK) adalah merupakan catatan sejarah tersendiri bagi sesebuah negara dan tiada kaitan dengan negara-negara lain.

Asas 4: Satu lagi aspek ialah kita tidak wajar membuat generalisasi membandingkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara (misalnya, Malaysia) dengan semua 195 buah negara di dunia. Ini kerana setiap negara di dunia mempunyai tahap kemajuan dan ciri-ciri ekonomi yang berlainan.

Sehubungan ini, Bank Dunia telah mengklasifikasi negara-negara dunia kepada 4 kumpulan pendapatan, mengikut pendapatan per kapita, iaitu ‘Low-income’, ‘Lower-middle income’, ‘Upper-middle income’ dan ‘High-income’ (lihat gambarajah di bawah).


Oleh yang demikian, perbandingan mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia hendaklah dibuat dalam kalangan negara-negara yang berada dalam klasifikasi yang sama, iaitu ‘Upper-middle income’. Bukan membandingkan dengan negara-negara maju dalam klasifikasi 'High-income economies'.

Ulasan:

Analisis di atas menunjukkan kenyataan mengenai perbandingan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan negara-negara lain tidak dilakukan selaras dengan kaedah lazim yang digunakan dalam analisis ekonomi, khususnya Asas, 2, 3 dan 4.

Kesimpulan

Kenyataan oleh pemimpin-pemimpin negara dan Kementerian Kewangan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah kedua tertinggi di dunia selepas China ketika ini adalah tidak benar dan tidak mempunyai asas. Pihak-pihak berkenaan perlu lebih profesional dan bertanggung jawab dalam mengeluarkan kenyataan seperti demikian supaya tidak mengelirukan pemikiran rakyat.

Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom