August 22, 2017

SEJAUH MANA STATUS NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT?


SEJAUH MANA STATUS NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT?
DR MUZAHET MASRURI

Sebagai rakyat jelata, kita mengharapkan supaya negara Malaysia terus maju dan mencapai objektif menjadi ‘negara berpendapatan tinggi’ pada suatu hari nanti. Kita juga berharap agar kemajuan dan status pendapatan tinggi yang dicapai nanti akan meningkatkan lagi kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat jelata pada masa akan datang.

Apa maksud negara berpendapatan tinggi?

Pada tahun 2017, Bank Dunia telah mengklasifikasikan 78 buah negara di dunia sebagai ‘negara berpendapatan tinggi’. Pengkelasan status negara-negara tersebut adalah berasaskan takrifan negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita USD 12,235 atau lebih (lihat Jadual 1).




Negara manakah yang tersenarai sebagai negara berpendapatan tinggi?

Berdasarkan takrifan tersebut, 10 buah negara tersenarai sebagai negara berpendapatan paling tinggi di dunia pada tahun 2016. Daripada 10 buah negara yang tersenarai, 9 adalah negara kecil, iaitu Luxembourg, Switzerland, Norway, Ireland, Iceland, Qatar, Denmark, Singapura dan Sweden. Hanya sebuah ekonomi besar dunia yang tersenarai, iaitu Amerika Syarikat yang menduduki tangga ke-7 dengan pendapatan per kapita USD 57,467 (lihat Jadual 2).



Negara manakah yang menjadi kuasa ekonomi terbesar di dunia?

Bagi kuasa ekonomi negara-negara di dunia, Bank Dunia telah menyenaraikan ranking  saiz ekonomi negara-negara dunia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut nilai semasa (nominal value) dan bahagian sumbangannya kepada ekonomi dunia (lihat Jadual 3).


Dalam Jadual 3 di atas ditunjukkan senarai 10 buah negara mengikut saiz ekonomi terbesar di dunia pada tahun 2016. Amerika Syarikat menduduki ranking Nombor 1 dan merupakan kuasa ekonomi terbesar di dunia dengan nilai KDNK lebih USD 18 trilion dan menyumbang 24.6% kepada ekonomi dunia. 


China megambil alih Jepun sebagai kuasa ekonomi Nombor 2 terbesar dunia mulai tahun 2011 setelah negara tersebut menyertai WTO pada tahun 2001. Jumlah KDNK negara China bernilai lebih USD 11 trilion dan menyumbang 14.8% kepada ekonomi dunia.

Jepun yang masih berusaha keras untuk keluar daripada belengu deflasi, menduduki ranking ke-3 dengan KDNK bernilai USD 4.9 trilion dan menyumbang 6.5% kepada ekononomi dunia.

Negara-negara lain yang berada di ranking 10 teratas ialah Jerman, United Kingdom, Peranchis, India, Italy, Brazil dan Kanada.

Mengapa kuasa besar ekonomi dunia tidak tersenarai dalam kategori negara berpendapatan tertinggi?

Sebabnya ialah negara-negara berkenaan mempunyai saiz penduduk yang besar. Sebagaimana yang dijelaskan di atas, pengklasan negara berpendapatan tinggi adalah berasaskan kepada petunjuk pendapatan per kapita, iaitu jumlah KDNK dibahagi dengan jumlah penduduk negara berkenaan. Contoh pengiraan pendapatan per kapita adalah seperti Jadual 4:



Kaedah pengiraan tersebut menyebabkan negara-negara yang jumlah penduduknya ramai, bertendensi mempunyai pendapatan per kapita yang rendah.

Contohnya ialah negara China. Walaupun China menduduki ranking ke-2 kuasa ekonomi terbesar dunia dengan nilai KDNK USD 11 trilion tetapi jumlah penduduk di negara tersebut adalah 1.3 bilion, menjadikan pendapatan per kapita China USD 8,123, iaitu lebih rendah daripada Malaysia (USD 9,503).

Adakah status negara berpendapatan tinggi menjamin kesejahteraan hidup rakyat jelata ?

Tidak. Kenyataan ini disebut oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pendapatan per kapita digunakan sebagai pertunjuk sama ada rakyat di negara berkenaan mempunyai purata pendapatan lebih tinggi atau rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ia tidak menjelaskan kualiti hidup dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada faktor-faktor lain.

Apa contohnya?

Antara petunjuk kesejahteraan rakyat adalah ‘agihan pendapatan’. Idealnya kekayaan negara hendaklah diagihkan sama rata di kalangan penduduk dalam negara berkenaan. Tetapi, realitinya keadaan ini tidak pernah belaku dalam sejarah mana-mana negara di dunia.

Contohnya agihan pendapatan di Malaysia (seperti juga di negara-negara lain). Tidak semua rakyat Malaysia mempunyai pendapatan per kapita yang sama USD 9,503 (setahun). Ada yang mempunyai pendapatan berkali ganda lebih tinggi dan ada yang mempunyai pendapatan jauh lebih rendah. Keadaan ini dirujuk sebagai ‘jurang pendapatan’ antara yang kaya dan miskin yang berlaku di Malaysia (dan negara-negara lain).

Contoh jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin di Malaysia adalah dijelaskan dalam Jadual 5.

Jadual di atas adalah agihan pendapatan isirumah di Malaysia mengikut kumpulan pendapatan 20% Tertinggi, 40% Pertengahan dan 40% Terendah.

Perangkaan dalam jadual tersebut menunjukkan, sebahagian kecil (20%) rakyat di negara ini memiliki bahagian yang besar (46.6%) kekayaan negara manakala sebahagian besar (40%) rakyat bependapatan rendah berkongsi hanya bahagian yang kecil (16.5%) kekayaan negara Malaysia

Kesimpulan

Negara berpendapatan tertinggi di dunia kebanykannya adalah negara kecil dan mempunyai saiz penduduk yang kecil. Pendapatan per kapita yang digunakan bagi mengklasifikasi status negara berpendapatan tinggi tidak menjamin kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat jelata dalam negara berkenaan. Antaranya ialah ‘jurang pendapatan’ yang melebar antara yang kaya dan miskin yang lumrahnya berlaku di mana-mana negara di dunia.


Penulis: Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom