October 03, 2017

SELAMAT TINGGAL FORMULA 1 SEPANG


SELAMAT TINGGAL FORMULA 1 SEPANG
DR MUZAHET MASRURI

1 Oktober 2017 menjadi tinta sejarah negara yang menandakan berakhirnya penganjuran perlumbaan Formula 1 Grand Prix Malaysia. Penganjuran F1 Sepang yang pertama kali diadakan sejak tahun 1999 ditamatkan kerana kos penganjuran yang tinggi dan pulangan pelaburan yang tidak seimbang berikutan bilangan penonton yang semakin berkurangan.


Formula One Paddock, Petronas
Dengan tamatnya Formula 1 Grand Prix Malaysia, Litar F1 Sepang tidak akan bergema lagi dengan deruman enjin kereta pelumba-pelumba F1 terkenal di dunia dan sorakan gemuruh peminat-peminat lumba kereta F1 yang datang dari dalam dan luar negara.


Kenangan sempena berakhirnya Formula 1 Grand Prix Malaysia, 2017

Walaupun ditamatkan tetapi penganjuran Formula 1 Grand Prix Malaysia sejak 18 tahun lalu menyimpan misi tersendiri, iaitu kejayaannya dalam memperkenalkan negara Malaysia di persada dunia.

Menanti sebelum perlumban F1 dimulakan
Saya masih ingat pada tahun 1985, ketika menaiki keretapi dalam perjalanan dari Liverpool Street, London bersama isteri dan 2 orang anak kecil ke Norwich untuk menyambung pangajian di University of East Anglia. Ketika sedang sebuk melayan karenah anak-anak kecil, saya ditanya oleh sepasang suami isteri, penduduk tempatan dalam lingkungan umur pertengahan yang sedang memerhati kami dari tempat duduk bersebelahan.

“Hi, how are you?” tanya si-suami dengan senyuman dan diperhati si-isteri juga dengan senyuman. “Where are you from?” tanyanya lagi. “From Malaysia..!” jawab saya. Beliau termenung seketika sambil mengerutkan dahi. “Where is Malaysia located in the globe? I mean, what are the countries nearest to Malaysia?” tanya si-suami.

Saya bingung dan berfikir sejenak. “Do you know Singapore?” saya menjawab. “Oh yeah, Singapore. I know Singapore..!” katanya, tersengih dengan menampakkan gaya muka keyakinan. “Singapore was a part of Malaysia before separated to become an independent state in 1965”, saya menambah. “Oh yeah..?” jawabnya dengan menunjukkan muka tanda tanya.

Hati kecil saya berkata sendirian. “Orang England tidak tahu Malaysia? Tahu Singapura tapi tak tahu di mana Malaysia? Sangkaan aku meleset. Aku fikir Malaysia cukup dikenali dunia luar..!! 
Pegawai Petronas berkumpul di pit stop pelumba kesayangan mereka, Lewis Hamilton
Tetapi berbeza keadaannya selepas tahun 1999. Apabila saya pergi ke luar negara dan menyatakan saya dari Malaysia, ramai mereka yang kata, “Oh..! Malaysia? Malaysia bagus..! Formula 1 Sepang..!” sambil menunjuk jempol, ibu jari.

Begitulah istimewanya Formula 1 Grand Prix Malaysia yang ditonton oleh ratusan juta penduduk dunia melalui siaran langsung televisyen di negara mereka.

Bagi peminat sukan lumba kereta Formula 1, mereka pasti tidak akan lupa nama-nama besar pelumba F1 seperti Alain Prost, Ayrton Senna, Michael Schumacher, Mika Häkkinen, Fernando Alonso, Kimi Räikkönen, Ralf Schumacher, Felipe Massa, Lewis Hamilton, Sebastian Vettel dan banyak lagi. 


Gambar bersama Kimi Räikkönen dan Felipe Massa serta pegawai SHELL, 2006
Bagi pasukan pelumba F1, nama-nama besar yang terlibat adalah seperti Mercedes AMG Petronas, Red Bull Racing, Scuderia Ferrari, McLaren Honda, Williams Martini Racing, Renault, Scuderia Toro Rosso, Haas F1 Team dan Sauber F1 Team.

Mekanik sedang sibuk membuat persiapan terakhir
Pembabitan Petronas dalam perlumbaan Formula 1 bermula sejak tahun 1995 melalui pasukan F1 Sauber-Petronas. Sekarang ini Petronas bersama pasukan Mercedes AMG, sebuah syarikat dari Jerman. Sebagai syarikat minyak yang aktif beroperasi di peringkat global, penglibatan Petronas sangat strategik sebagai platform bagi syarikat minyak terulung di Malaysia untuk mempromosi jenama Petronas dan meluaskan pelaburan di peringkat antarabangsa.

Penarikan diri Malaysia daripada F1 bukan suatu yang luar biasa. Sebelum ini Korea Selatan dan India telah menarik diri. Di benua Asia, hanya tiga buah negara yang masih meneruskan penganjuran F1, iaitu China, Jepun dan Singapura.

Mekanik kembali ke pit stop sebaik perlumbaan F1 dimulakan
Pembabitan Petronas dalam Formula 1 akan diteruskan bersama Mercedes AMG Petronas walaupun syarikat minyak nasional ini sudah tidak mempunyai ‘home-based country’. Keputusan ini dianggap bijak memandangkan faedah yang diperolehi Petronas dalam membina kemahiran saintis-saintis yang terlibat dalam merekacipta formula bagi cecair F1. Kejayaan mereka terbukti apabila Petronas berjaya membangunkan produk seperti Petronas Primax, Petronas Syntium and Petronas Tutela dan mengadaptasi apa yang dipelajari di litar lumba ke jalan raya di Malaysia dan di peringkat global.

Peminat setia F1 di Grand Stand
Kita berharap suatu hari nanti, Petronas akan bersedia membiayai penganjuran Formula 1 dan membawa pulang Formula 1 Grand Prix Malaysia ke litar berprestij di Sepang.
Juara Formula 1 Grand Prix Malaysia. F1 Sepang, 2017
Kita juga berharap ucapan “SELAMAT TINGGAL FORMULA 1 SEPANG” hanya bersifat sementara. Kita menunggu dengan penuh harapan, suatu hari nanti sorakan peminat-peminat Formula 1 akan bergema kembali. Kali ini dengan sorakan “SELAMAT PULANG FORMULA ONE GRAND PRIX MALAYSIA …!!!!