August 03, 2017

BENARKAH MALAYSIA SUDAH KELUAR DARI ‘PERANGKAP EKONOMI BERPENDAPATAN SEDERHANA’ DAN MELANGKAH KE STATUS NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI??


BENARKAH MALAYSIA SUDAH KELUAR DARI ‘PERANGKAP EKONOMI BERPENDAPATAN SEDERHANA’ DAN MELANGKAH KE STATUS NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI??
 DR MUZAHET MASRURI

Baru-baru ini, seorang pakar ekonomi Malaysia dipetik sebagai berkata, “Malaysia tidak lagi berada dalam perangkap pendapatan sederhana dan telah bergerak separuh jalan ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi susulan kejayaannya dalam mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan pelaburan swasta.”

Kenyataan tersebut membolehkan kita sebagai rakyat Malaysia tersenyum lebar atas 2 sebab. Pertama, setelah 27 tahun menunggu sejak Wawasan 2020 diperkenalkan pada tahun 1991, akhirnya kita dikatakan sedang melangkah ke status sebuah negara berpendapatan tinggi.

Kedua, kita tersenyum apabila pakar ekonomi tersebut menyebut, kejayaan tersebut adalah ‘…susulan kejayaannya dalam mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan pelaburan swasta.’ 

Sebagai rakyat biasa, kita rasa terkedu dengan kenyataan ini. Bagaimana seorang yang disebut ‘pakar ekonomi’ boleh membuat kenyataan yang mengelirukan?

Bagaimana pengurangan defisit fiskal tiba-tiba boleh melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi? Sebagai rakyat biasa, kita maklum fiskal defisit adalah langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi maksud perbelanjaan berimbang. Lazimnya, pengurangan perbelanjaan kerajaan akan mengurangkan aktiviti dan pembangunan ekonomi melalui kesan rantaian (chain effect). Maknanya ia akan mengurangkan bukan melonjakkan ke status negara berpendapatan tinggi..!

Pakar tersebut juga mengatakan kejayaan tersebut susulan daripada peningkatan pelaburan swasta. Kita maklum, sumbangan pelaburan swasta (dalam dan luar negara) adalah penting kepada KDNK, iaitu 11.8% bagi tempoh 2001-2011 dan meningkat kepada 15.5% pada tahun 2012. Akan tetapi, pada tahun 2016, pelaburan langsung asing (FDI) telah menurun kepada 3.4% daripada 3.9% pada 2015 (Bank Negara Malaysia) di sebabkan penyusunan semula dan penggabungan operasi syarikat ‘multi-national corporations (MNC) di rantau ini, termasuk di Malaysia. Oleh itu, pelaburan swata yang dikatakan telah menarik keluar Malysia dari perangkap pendapatan sederhana adalah suatu kenyataan yang melencong..

APA MAKSUD NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI?

Negara berpendapatan tinggi (High-Income Economies) ditakrifkan oleh Bank Dunia sebagai negara yang mempunyai pendapatan per kapita USD 12,235 atau lebih mengikut nilai USD semasa. Lihat rajah di bawah.



Sebanyak 78 buah negara diklasifikasikan Bank Dunia sebagai ‘negara berpendapatan tinggi’.  Jadual di bawah adalah ranking 10 buah negara berpendapatan tertinggi di dunia.




BENARKAH MALAYSIA SUDAH JADI SEBUAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI?

Untuk keluar dari perangkap negara berpendapatan sederhana dan menjadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia mensasarkan pendapatan perkapita USD15,000. Sila rujuk Rajah di bawah.



Rajah tersebut menunjukkan pendapatan perkapita Malaysia pada tahun 2009 ialah USD6,700. 

BERAPAKAH PENDAPATAN PER KAPITA MALAYSIA PADA TAHUN 2016?

Rajah di bawah menunjukkan jumlahnya adalah USD 9,502. Jauh daripada sasaran USD 15,000 seperti yang ditetapkan dalam ETP atau USD 12,235 oleh Bank Dunia.

Ukuran apa yang digunakan oleh pakar ekonomi itu yang mengatakan Malaysia sedang melangkah ke status negara berpendapatan tinggi?



Pakar ekonomi tersebut mungkin boleh menghujah, kita masih ada masa 3 tahun lagi untuk mencapai sasaran USD 15,000. Tetapi cuba lihat rekod pencapaian pendapatan perkapita Malaysia bagi tempoh, 2011-2015 dan bandingkan dengan 2016. Bukan sahaja rendah tetapi pencapainnya semakin menurun!


Sesiapa sahaja boleh menghujah, macam pemimpin-pemimpin kita menghujah, kita yakin boleh meningkatkan pendapatan perkapita negara kerana kita mempunyai daya saing yang tinggi dan pertumbuhan produktiviti yang tinggi. Tetapi cuba perhati apa kata Dr. Ulrich Zachau, Country Director Bank Dunia? “Tahap produktiviti Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara serantau.”



Apa lagi yang boleh kita harapkan? Mungkin mengharapkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi berikutan daripada jangkaan pemulihan ekonomi dunia, seperti yang diwar-warkan sekarang. Akan tetapi, cuba perhatikan rekod pertumbuhan ekonomi Malaysia 1980-2016, khususnya bagi tempoh 2010-2016, seperti Jadual di bawah. Bukan sahaja pertumbuhannya rendah tetapi ia menunjukkan potensi pertumbuhan yang semakin menurun.


Fakta-fakta yang ditunjukkan adalah jelas dan dirujuk daripada sumber-sumber institusi bertaraf dunia, seperti Focus Economics, Bank Dunia dan Bloomberg bahawa Malaysia belum keluar dan masih berada dalam perangkap negara berpendapatan sederhana.


PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI (ETP), APA YANG TELAH DITRANSFORM..?

Pakar ekonomi tersebut juga dipetik dalam akhbar The Malay Mail sebagai berkata, “…implementation of the Economic Transformation Programme (ETP) and the National Transformation Programme (NTP) were significant, as it had benefited Malaysia’s economy.”

Program Transformasi Negara (NTP), dahulunya dikenali sebagai ‘Economic Transfromation Programme’ (ETP) yang diperkenalkan pada tahun 2010 adalah usaha kerajaan untuk melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020

Umum megetahui, realitinya ETP gagal. Ketidakupayaan untuk melonjak ke arah status negara maju bagi tempoh masa yang hanya berbaki 3 tahun sahaja lagi membuktikan bahawa ETP gagal mencapai matlamat untuk mentransform ekonomi Malaysia. Buktinya, sila lihat kenyataan YAB PM di bawah.


“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui,” kata YAB PM.


Kesimpulannya

Seseorang yang digelar pakar ekonomi mestilah seorang yang profesional. Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia ‘sudah keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana’ yang kita tunggu-tunggu sejak 27 tahun lalu dan ‘sedang melangkah ke status negara berpendapatan tinggi’. Tetapi buatlah kenyataan seumpama itu bersama rakan-rakan semasa bersembang di kedai kopi, bukan membuat kenyataan dalam media cetak kerana telahan tersebut tidak ada asas.

Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom