January 25, 2017

INFLASI ATAU DEFLASI YANG MANA PILIHAN KITA DI MALAYSIA?


INFLASI ATAU DEFLASI
YANG MANA PILIHAN KITA DI MALAYSIA?
DR MUZAHET MASRURI

DEFINISI 

Inflasi merujuk kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang diukur berasaskan Indeks Harga Pengguna (IHP). Umumnya, inflasi akan mengurangkan nilai sebenar wang atau kuasa beli wang yang kita miliki kerana kita terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang harganya meningkat dari semasa ke semasa.

Deflasi merujuk kepada penurunan harga barangan dan perkhidmatan. Ia berlaku apabila kadar inflasi turun di bawah 0% (kadar inflasi negatif). Umumnya, deflasi akan meningkatkan nilai sebenar wang atau kuasa beli wang kerana kita akan membayar harga barangan dan perkhidmatan yang lebih murah daripada sebelumnya.





Berasaskan kepada definisi tersebut, kalau orang bertanya kepada kita, yang mana menjadi pilihan, sama ada inflasi atau deflasi? Apa jawapan anda?

INFLASI ATAU DEFLASI..?

Di Malaysia, kalau sebut sahaja pasal inflasi, ramai antara kita yang secara spontan akan melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenaikan harga barangan pengguna yang terus meningkat. Apatah lagi, selain kenaikan harga barang, kita juga kena membayar GST/SST bagi setiap pembelian barangan dan perkhidmatan, sama ada secara langsung atau ‘tidak langsung’ yang menyebabkan nilai wang sebenar untuk berbelanja semakin berkurangan.

Berkait dengan inflasi, Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa membuat pemerikasaan di tempat-tempat perniagaan bagi mengawal kenaikan harga barangan dan aktiviti mencatut harga barangan pengguna. Bagi mengekang inflasi, Kerajaan melalui KPDNHEP juga memperkenalkan 12 jenis ‘Barang-barang Kawalan Berjadual’, Barang-barang Kawalan yang Diberi Subsidi dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Perayaan Tadau Keamatan, Krismas dan Perayaan Gawai Dayak.

Berdasarkan kepada respon sebahagian besar rakyat dan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, kita mungkin membuat rumusan bahawa kita tidak menyukai inflasi. Oleh itu, pilihan yang ada pada kita ialah deflasi.

Soalnya, adakah pilihan itu benar? Bagi mencari jawapannya, kita ambil contoh apa yang berlaku di negara Jepun. 

DEFLASI DI JEPUN

Jepun, sebuah ekonomi yang ke-3 terbesar di dunia masih mengalami deflasi hinggalah ke hari ini. Deflasi di negara ini bermula pada awal 1990-an berikutan pertumbuhan ekonomi yang sangat pesat (bubble economy) pada tahun 1980-an yang mendorong kepada aktiviti spekulatif dalam pasaran saham dan sektor hartanah yang melambung tinggi ketika itu. Pada tahun 1987, Bank of Japan telah menurunkan kadar faedah bank kepada 2.5% bagi memperkukuhkan nilai matawang yen. Langkah ini semakin meningkatkan aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah kerana spekulator mengambil kesempatan daripada kadar faedah yang rendah untuk meningkatkan pinjaman dan melabur dalam sektor hartanah dan pasaran saham.



Bagi mengekang aktiviti spekulatif yang berleluasa, pada Disember 1989, Bank of Japan telah meningkatkan kadar faedah pinjaman antara bank kepada 4.25%. Akibatnya ialah keruntuhan sektor hartanah dan pasaran saham yang menjunam ke paras yang sangat rendah. Indeks Nikkei yang berada di paras tertinggi 38,957 mata pada 1990 turun ke paras 22,507 mata pada tahun berikutnya dan terus menurun ke paras 9,972 mata pada tahun 2003 (Sumber: Histrical Data, Nikkei 225). Sementara itu, bank-bank dibebani dengan hutang tidak berbayar dan hampir meruntuhkan sistem perbankan. Kesan berikutnya ialah kelembapan pertumbuhan ekonomi yang berterusan selama tempoh lebih sedekad.

Penurunan harga aset dan hartanah yang bermula pada tahun 1991, diikuti dengan penurunan indeks harga pengguna (IHP) secara berterusan sehinggalah pada tahun 1995 apabila kadar inflasi (yang diukur dengan IHP) mencatat angka negatif -0.10%. Perangkaan ini memberi petunjuk bahawa Jepun secara rasminya mula menghadapi deflasi dan keadaan tersebut berlarutan sehinggalah ke hari ini, kecuali pada tahun 1997 dan 2008 di mana kadar inflasi dicatat melebihi 1%. 


APA KESAN DEFLASI DI JEPUN ?

Perkara asas mengenai deflasi ialah, apabila harga barangan menunjukkan arah aliran menurun, orang ramai akan menangguhkan perbelanjaan kerana mereka menjangka harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih murah pada masa akan datang. Memandangkan penggunaan swasta (private consumption), termasuk perbelanjaan kita, adalah komponen penting bagi pertumbuhan ekonomi maka penangguhan perbelanjaan telah merencatkan pertumbuhan ekonomi Jepun yang diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga ke paras pertumbuhan negatif (lihat Rajah di bawah).



Inilah yang berlaku di Jepun sekarang. Selain dikekang oleh kesan deflasi, faktor-faktor lain, seperti penurunan bilangan gunatenaga (kadar kelahiran di Jepun ialah 1.5 bayi bagi seorang wanita) dan ‘ageing population’ menyebabkan Jepun hampir tidak berupaya untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi ke paras positif.

Kita mungkin masih ingat bahawa Jepun telah kehilangan status kuasa ekonomi ke-2 terbesar dunia pada tahun 2010 apabila tempatnya diambil alih oleh negara China. 

JADI ADAKAH KITA PERLUKAN INFLASI ?

Jawapannya ialah ‘ya’. Tetapi mestilah inflasi yang terkawal

APA MAKSUD INFLASI TERKAWAL?

Tidak ada persetujuan di kalangan ahli-ahli ekonomi mengenai tahap inflasi yang ideal bagi sesebuah ekonomi. Tetapi bagi kebanyakan negara di dunia, Bank Pusat biasanya mensasarkan kadar inflasi 2%.

Kadar inflasi yang tinggi boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi, seperti simpanan yang rendah, pertumbuhan ekonomi yang rendah dan taraf hidup penduduk yang rendah, terutama mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Sebaliknya, deflasi adalah keadaan yang tidak diingini kerana ia akan membawa kepada kegawatan ekonomi dan faktor-faktor lain yang berkaitan seperti penggunaan yang rendah, pengeluaran yang rendah berikutan penurunan harga barangan dan perkhidmatan dan kadar pengangguran yang tinggi.

Oleh itu, kadar inflasi yang sederhana dan terkawal adalah menjadi pilihan dan sasaran bagi kebanyakan negara di dunia kerana ia lebih mendorong kepada pencapaian matlamat pertumbuhan ekonomi yang stabil.

BAGAIMANA KEDUDUKAN INFLASI DI MALAYSIA?

Malaysia mempunyai kedudukan inflasi yang terkawal. Perangkaan rasmi Jabatan Perangkaan Negara Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kadar inflasi yang dicatat  bagi tahun 2016 ialah 1.8%. Angka ini adalah mendekati sasaran 2% yang diingini oleh kebanyakan negara di dunia.

Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom