March 08, 2017

UNJURAN PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA DAN GLOBAL TIDAK SEARAH


UNJURAN PERTUMBUHAN EKONOMI
MALAYSIA DAN GLOBAL TIDAK SEARAH
DR MUZAHET MASRURI

Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 4.5% pada tahun 2016. Pencapaian ini menamatkan teka-teki sama ada Malaysia akan berjaya memulihkan ekonomi serta mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi setelah berada dalam kelembapan ekonomi sejak 8 tahun yang lalu. Apa yang pasti ialah pertumbuhan yang dicatat pada tahun 2016 adalah lebih rendah berbanding dengan pencapaian pada tahun-tahun sebelumya, khususnya bagi tempoh 2011-2015.


Bagi tahun 2017 dan tahun-tahun berikutnya, The Focus Economics mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah dalam arah aliran menurun, iaitu daripada 4.5% (2016) kepada 4.3% bagi tahun 2017 dan 2018. 

Di peringkat global, Bank Dunia meramalkan prestasi pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih baik dan mengunjurkan peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 2.3% (2016) kepada 2.7% (2017) dan 2.9% bagi tahun 2018 dan 2019.


Perangkaan di atas menunjukkan bahawa senario unjuran pertumbuhan ekonomi dunia dan Malaysia adalah tidak searah. Sementara Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang meningkat, The Focus Economics mengunjurkan trend pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menurun bagi tahun 2017 dan tahun-tahun berikutnya.

Mengapa unjuran ekonomi Malaysia menurun?

Bank Dunia menyebut, antara risiko yang dihadapi bagi masa depan ekonomi Malaysia ialah penurunan kemasukan modal (capital flows) berikutan daripada perkembangan yang berlaku di Amerika Syarikat, khususnya dasar perlindungan (protectionism) dan dasar kewangan negara tersebut serta kesannya kepada ekonomi global. Ketidakyakinan pelabur terhadap keadaan politik dan ekonomi juga mempengaruhi kemasukan modal asing ke negara ini. Bank Dunia menyarankan penstrukturan semula perancangan dasar kewangan Malaysia bagi meningkatkan keupayaan dan persaingan domestik.

Apa yang dilakukan Malaysia?

Dalam konteks Malaysia, beberapa saranan Bank Dunia telahpun dilaksanakan. Antaranya, sumber pendapatan negara telah ditingkatkan melalui pengenalan GST dan penarikan subsidi. Pakej ransangan juga telah dilaksanakan, antaranya melalui pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik. 

Pemotongan peruntukan  kementerian dan agensi

Bagaimanapun, langkah-langkah yang dilaksanakan belum memadai untuk meransang pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi. Sebaliknya, terdapat beberapa pelaksanaan langkah yang tidak selari dengan matlamat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi domestik. Antaranya ialah pemotongan peruntukan perbelanjaan kementerian dan agensi baru-baru ini yang dijangka akan membawa implikasi ‘pengecutan ekonomi’ melalui proses ‘kesan rantaian’ (chain effects).

Ini kerana pemotongan peruntukan akan menyebabkan projek-projek di bawah kementerian dan agensi dibekukan. Pembekuan projek akan menyebabkan kontraktor dan usahawan, terutamanya 24,000 kontraktor kecil kelas F, akan kehilangan perniagaan dan punca pendapatan.

Kesan rantaian berikutnya ialah pengurangan permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan yang berkait dengan projek-projek yang dibekukan. Akibatnya, syarikat-syarikat pembekal, usahawan dan peniaga yang terlibat akan menghadapi risiko penutupan perniagaan

Kesan rantaian ini bukan hanya menjejaskan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi yang berkaitan bahkan boleh menjejaskan sistem perbankan. Ini kerana pembekuan projek akan mengurangkan permintaan terhadap pinjaman bank. Implikasinya ialah pengurangan sumber dan operasi perbankan tempatan yang akan memaksa sesetengah bank untuk  mengecilkan saiz operasi dan penutupan cawangan bank.

Implikasi ‘kesan rantaian’ daripada pemotongan peruntukan kementerian dan agensi seperti yang disebut di atas adalah antara faktor-faktor yang dijangka membantu kepada pengecutan ekonomi Malaysia dan unjuran kepada arah aliran pertumbuhan yang menurun bagi tahun 2017 dan tahun-tahun berikutnya.

Dr. Muzahet Masruri, Ph.D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.