November 11, 2018

ALUMNI SEKOLAH DATO’ SRI AMAR DIRAJA MUAR BERSANTAI DI PUTRAJAYA



ALUMNI SEKOLAH DATO’ SRI AMAR DIRAJA MUAR BERSANTAI DI PUTRAJAYA
DR MUZAHET MASRURI

Bertemu setelah berpisah selama lebih 45 tahun adalah suatu detik peristiwa yang amat bermakna dan dinanti. Zaman persekolahan yang ditinggalkan pada tahun 1970 dan kini diketemukan semula pada tahun 2018 pada usia yang telah bergelar warga emas, pastinya mencuit banyak kisah, peristiwa pahit dan manis ketika bersama di alam persekolahan ketika usia remaja.

Yang pasti, ramai mereka yang tidak kenal rakan setingkatan semasa di sekolah dulu. Almaklum, dahulu sering berdandan, lawa dan kacak. Tapi sekarang, raut muka yang dulunya kental dah jadi kendur. Tubuh yang langsing dan sasa dah mengembang hampir macam guni.

Bagi lelaki, dulu tak ada misai, tapi sekarang misai dan janggut telah memutih berselerak di tepi bibir dan dagu. Rambut yang dulunya hitam dan sering dilumur dengan minyak Brylcreem sekarang dah habis bertukar menjadi putih.

Begitulah pengalaman yang dikongsi oleh alumni Tingkatan 6 (1970-71) Sekolah Dato’ Sri Amar Diraja (SDAD) Muar ketika mengadakan ‘reunion’ ala santai di Putrajaya baru-baru ini.

Ramai mereka yang kini bergelar warga emas adalah bekas penjawat jawatan tinggi sektor awam yang pernah menyumbang bakti kepada negara.

Lokasi santai mereka ialah Cruise Tasik dan PICC Putrajaya.

Cruise Tasik Putrajaya, Earlybird Sightseeing Cruise 
Cruise Tasik Putrajaya

Pertama kali bersua muka setelah sekian lama tidak bertemu, ketika di ‘Bilik Menunggu VIP’ Cruise Tasik Putrajaya, ramai yang berpelukan dengan menepuk-nepuk belakang bahu sesama mereka seolah-olah melepaskan rindu yang sudah lama terpendam.


Bilik Menunggu VIP Cruise Tasik Putrajaya
Berpelukan, berjabat tangan, bertanya kabar, bertanya nama dan diikuti dengan suara gelak ketawa besar sesama mereka mengisi ruang bilik menunggu. Masing-masing hampir tidak percaya rupa dan paras wajah yang baru ditemui adalah sahabat semasa bersekolah. Segalanya telah berubah dan sukar dikenali.


   Berpelukan sambil menepuk-nepuk belakang bahu sesama mereka seolah-olah melepaskan rindu yang sudah lama terpendam setelah berpisah 47 tahun lalu
Suasana reunion tambah meriah dengan kehadiran Cikgu Mohd. Idris Yasin, guru yang pernah mengajar mereka ketika Tingkatan 6, di Sekolah Dato' Sri Amar Diraja Muar  pada tahun 1970-71.


Cikgu Mohd Idris Yasin berusia 75 tahun
Gema suara gurauan mulai reda, sebaik mereka melangkah masuk ke dalam cruise berhawa dingin yang dikelilingi kaca lut sinar, menampakkan dengan jelas panorama indah di sekeliling tasik buatan-manusia yang keseluruhannya merangkumi keluasan 650 hektar.


Peserta menaiki Cruise Tasik Putrajaya
Deretan bangunan pejabat kerajaan, premis perniagaan, kemudahan fizikal dan jambatan yang dibina merentasi tasik dengan rekabentuk yang berlainan dan unik, sangat mempersonakan.


Menikmati panorama indah di sekeliling tasik buatan-manusia 
Segala yang dilihat di sebelah kiri dan kanan Cruise diperincikan oleh ‘Tour Guide’ yang bertugas bagi program Earlybird Sightseeing Cruise selama 30 minit semasa perjalanan. 

Dengan harga tiket hanya RM15 (Dewasa) dan RM10 (Kanak-kanak) dan dengan pengalaman yang dirasai, kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan, ternyata menaiki Cruise Tasik Putrajaya adalah berbaloi.

Putrajaya International Convention Centre

Lokasi reunion ala santai berikutnya ialah bangunan paling gah di Putrajaya, Putrajaya International Convention Centre (PICC) yang letaknya di puncak sebuah bukit di Presint 5.

PICC adalah pusat persidangan terbesar di Malaysia, menempatkan pelbagai kemudahan konferens, mesyuarat rasmi sektor awam dan korporat serta majlis formal dan tidak formal.

Di sini peserta makan tengahari secara buffet di restauran Pot & Pan yang terkenal di PICC, menyediakan pelbagai jenis makanan mengikut 'rotation menu’ harian. Dengan hanya bayar RM30, anda boleh duduk dan makan di sini dari pukul 11.30 pagi hingga 3.00 petang sampai kenyang.

Menikmati buffet lunch.di Restauran Pot & Pan yang menyediakan makanan rotation menu
Bagi kebanyakan peserta alumni yang rata-rata datang dari luar Putrajaya, menjamu selera sambil menikmati pemandangan luar dari Restauran Pot & Pan yang unik dan menarik merupakan pengalaman kali pertama yang pasti akan diingati.


Pemandangan luar yang menarik dari Restauran Pot & Pan, PICC
Bicara zaman silam

Program reunion tidak sempurna kalau tidak diselangi dengan acara ‘Bicara Zaman Silam’ untuk mengimbau kembali kenangan dan kisah-kisah lama semasa remaja di sekolah. Beberapa orang peserta tampil ke hadapan dan dengan gaya masing-masing menceritakan kisah-kisah lucu dan jenaka semasa di Tingkatan 6.


Mahbob Ilham bercerita kisah lucu semasa di Tingkatan 6 tahun 1970 di Sekolah Dato' Sri Amar Diraja Muar
Cerita-cerita mereka menggeletek hati dan menimbulkan gelak ketawa peserta-peserta alumni yang hadir. Di celah gelak tawa dan gurauan, kelihatan beberapa orang peserta yang mencuri-curi mengusap mata.

Apa agaknya yang difikiran atau dirasakan? Mungkin terlalu gembira. Mungkin merasa sedih. Atau mungkin menginsafi pada usia warga emas sekarang, dapatkah mereka berpeluang bertemu lagi dalam program-program reunion akan datang?

Hadiah Tekejut

Di akhir pertemuan, peserta-peserta berpeluang bersaing untuk merebut ‘Hadiah Tekejut’ (surprised gifts). Lima kategori hadiah disediakan: (i) Umur Paling Tua (ii) Loving Couple (iii) Datang Paling Jauh (iv) Paling Banyak Cucu, dan (v) Nama Paling Unik & Ikonik.


Abu Talib menerima hadiah 'Peserta Datang Paling Jauh' (Johor Bahru)
Penutup

Ternyata, reunion ala santai di Putrajaya yang menemukan semula sahabat dan rakan yang sekian lama terpisah telah meninggalkan pelbagai rasa syukur dan kenangan manis untuk dibawa pulang. Semoga mereka diberi kesempatan untuk bertemu lagi di reunion akan datang. Sekian.


Ingin tahu kisah ‘ragging’ di SDAD 1970/71? || KILK DI SINI ||
Ingin tahu ada murid SDAD berbasikal 24,000 km untuk bersekolah? || KILK DI SINI ||