April 30, 2019

MAJLIS TINDAKAN EKONOMI PERLU PERUBAHAN STRUKTUR


MAJLIS TINDAKAN EKONOMI PERLU PERUBAHAN STRUKTUR
DATUK DR MUZAHET MASRURI

Langkah Kerajaan baharu untuk memulihkan ekonomi negara bermula dengan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) pada 12 Mei 2018. Majlis ini dianggotai 5 orang tokoh besar negara, iaitu Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof. Dr Jomo Kwame Sundaram. MPK berfungsi sebagai penasihat kepada Kerajaan bagi memulihan kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

Sembilan bulan selepas itu, pada 11 Februari 2019 Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) ditubuhkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. MTE mempunyai 16 orang ahli terdiri daripada beberapa orang Menteri Kabinet, tokokh-tokoh korporat dan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan. Sekretariat MTE adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (Sumber: Kenyataan Media, Pejabat Perdana Menteri, 11 Februari 2019).

Penubuhan MPK dan MTE mendapat reaksi pelbagai pihak. Umumnya, persoalan berkisar kepada ketidakupayaan kedua-dua Majlis ini dalam merealisasikan pencapaian matlamat seperti yang dinyatakan.

Soalan: Mengapa setelah hampir setahun, kedua-dua Majlis ini belum berupaya memulihkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat?

Jawapan: Ekonomi negara mengambil masa untuk dipulihkan. Sebagai sebuah ekonomi pasaran terbuka (free market economy), pertumbuhan dan pemulihan ekonomi bukan sahaja dipengaruhi oleh faktor dalaman (domestik) tetapi juga oleh persekitaran global yang mempengaruhi, bukan sahaja ekonomi Malaysia bahkan negara-negara lain di dunia.

Soalan: Adakah MTE yang baharu ditubuhkan akan dapat melaksankan fungsi dengan lebih berkesan daripada Majlis sebelumnya?

Jawapan: Mekanisme MTE tidak ada beza dengan praktis yang lazimnya digunakan dalam institusi dan agensi kerajaan. Ia tidak mempunyai struktur operasi dalaman untuk membolehkan entiti ini bergerak berasaskan ‘action oriented’ secara berkesan.

Sebagaimana amalan biasa dalam institusi/agensi kerajaan, semua ahli Majlis dilonggokkan dalam suatu mesyuarat untuk membincangkan dan mencadangkan isu-isu besar pembangunan negara. Mesyuarat biasanya berakhir dalam tempoh 2 - 3 jam. Perbincangan dan cadangan akan dicatat oleh Sekretariat dalam bentuk minit mesyuarat yang biasanya terlalu umum untuk diterjemahkan dan dilaksanakan oleh pelbagai agensi/kementerian yang terlibat.

Prosedur seperti ini dijangka akan menjadi kekangan bagi MTE untuk melaksanakan fungsi seperti yang diharapkan.




Soalan: Apa yang perlu dilakukan bagi membolehkan MTE melaksanakan peranan dengan berkesan?

Jawapan: MTE perlu dibentuk di luar peraturan birokrasi yang biasa. Ia perlu mempunyai hieraki dengan peranan dan fungsi yang jelas bagi setiap peringkat. Misalnya, hieraki tersebut boleh berbentuk seperti Rajah 1 di bawah.:

Jawatankuasa Eksekutif (EXCO). Ia adalah hierarki tertinggi dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Bilangan keanggotaannya kecil, hanya melibatkan mereka yang mempunyai kuasa untuk meluluskan dasar, program dan projek. Peranan EXCO ialah menerima kertas-kertas dasar (policy papers) yang disediakan untuk pertimbangan dan kelulusan segera.



Kumpulan Kerja (Working Group) terdiri daripada individu dan ahli profesional dalam bidang-bidang berkaitan. Peranan Jawatankuasa ini ialah mengenalpasti isu, masalah dan cadangan untuk membantu sektor-sektor berkaitan. Maklumat boleh diperolehi melalui perbincangan secara berasingan dengan ketua-ketua industri (captains of industry) bagi sektor-sektor yang dikenalpasti.

Sekretariat.  Kumpulan ini terdiri daripada golongan profesional dan ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang utama yang diberi tumpuan dalam MTE, iaitu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Tugas ahli-ahli dalam Sekretariat ialah menyediakan kertas-kertas dasar (policy papers) berasaskan isu, masalah dan cadangan yang dikenalpasti dalam Kumpulan Kerja. Kertas-kertas yang disediakan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) untuk pertimbangan/kelulusan dan pelaksanaan.

Pasukan Komunikasi (Communication Team) berfungsi menyampaikan maklumat, penerangan dan taklimat kepada orang ramai serta pihak tertentu mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan. Pasukan ini juga berperanan mendapatkan maklumbalas daripada pelbagai pihak bagi penambahbaikan dan cadangan-cadangan baharu.


Soalan: Bolehkan kita yakin struktur operasi dalaman seperti ini berkesan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, sebagaimana matlamat MTE?

Jawapan: Tidak. MTE juga perlu mendapat sokongan dan komitmen daripada agensi-agensi pelaksana di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ini penting bagi membolehkan langkah-langkah yang diputuskan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan. Ia juga penting bagi tujuan penyelarasan pelaksanaan di pelbagai peringkat dan negeri.

Bagi tujuan ini, Majlis perlu dibentuk dan dianggotai oleh agensi utama di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Menteri Besar/Ketua Menteri di peringkat Kerajaan Negeri. Majlis ini hanya perlu bermesyuarat secara berkala.


KESIMPULAN

Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) perlu keluar daripada amalan dan peraturan birokrasi yang lazimnya digunakan dalam institusi dan agensi sektor awam. 

Bagi membolehkan MTE memainkan peranan dengan berkesan, ia perlu mempunyai struktur operasi berasaskan hieraki dengan menggariskan fungsi dan peranan yang jelas bagi setiap peringkat dan masing-masing ahli yang menganggotai Majlis ini.

MTE juga perlu sokongan dan komitmen daripada agensi pelaksana di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi tujuan penyelarasan pelaksanaan di pelbagai peringkat dan negeri di Malaysia.


Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.