June 27, 2018

EPISOD 10 ‘RAGGING’ ASRAMA SDAD



EPISOD 10
‘RAGGING’ ASRAMA SDAD
AZZAD MUZAHET


Dalam Episod 9, jaguh Kampung Sungai Pulai ini telah menempa sejarah apabila berjaya menamatkan kayuhan basikal 24,000 km. Dia akan meneruskan pelajaran ke Tingkatan 6 dan tinggal di asrama Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar Diraja (SDAD), sesuatu yang tidak pernah termimpi dalam hidupnya. Episod terakhir ini adalah sembang-santai saya dengan jaguh kampung mengenai kehidupannya di asrama.

Soalan: Bagi budak sekarang, masuk asrama tu macam tak ada apa-apa jer. Sebab tiap tahun, beribu-ribu yang masuk asrama, asrama penuh pulak tu..! Zaman Ayah dulu macam mana?
Jawapan: Zaman dulu, kalau sorang budak tu pas SPM, masuk Tingkatan 6, duduk asrama pulak tu, hai… dah kira macam jaguh la.

Soalan: Ha, ha, ha … macam jaguh kampung..?
Jawapan: Ya, jaguh Kampung Sungai Pulai.

Soalan: Hari pertama duduk asrama, cerita sikit pengalaman Ayah.
Jawapan: Pagi tu, turun dari bas depan asrama, hati punyalah suka disambut dengan kain rentang, ‘Selamat Datang Pelajar Baru SDAD 1970’, yang terpampang di depan bangunan asrama.

Berbekalkan beg pakaian besar yang diikat dengan tali rafia kerana zipnya sudah tidak berfungsi, Ayah terus ke tempat pendaftaran untuk mendaftar menjadi penghuni baharu.

Soalan: Bagaimana layanan yang diberi semasa Ayah mendaftar di asrama?
Jawapan: Oh..! Mestilah, jaguh kampung kan..!!. Ayah dan rakan-rakan lain dilayan dengan mesra oleh pelajar-pelajar yang bertugas di kaunter pendaftaran. Kami diberitahu mengenai peraturan asrama secara ringkas. “Ini nombor katil kamu. Tingkat atas. Tunjuk nombor ini untuk ambil bantal di stor tingkat bawah,” kata pelajar yang banyak jerawat di muka dan bertopi merah.


Soalan: Lepas tu Ayah terus pergi cari katil Ayah?
Jawapan: Ayah capai beg naik tingkat atas. Ketika menaiki tangga, Ayah diperhatikan oleh sekumpulan pelajar yang berlegar-legar di pintu masuk asrama. “Agaknya mereka ditugaskan untuk menyambut kedatangan penghuni baharu. Boleh aku minta tolong tunjukkan di mana katil aku!” bisik Ayah, gembira, sambil termengah-mengah menjinjing beg besar mendaki tangga.

Soalan: Lepas tu, Ayah jumpa dan minta tolong dia orang tunjukkan katil Ayah? 
Jawapan: Tak sempat nak minta tolong, tiba-tiba dia orang jerit. “Apa tengok-tengok…? Kamu jangan kurang ajar….!! Apa…! kamu ingat kamu samseng ke…?” jerit salah seorang daripada mereka dengan suara yang sangat kuat dan lantang.

“Kamu …! campakkan beg kamu ke tepi…! Tanggalkan semua baju dan seluar kamu..!” jerkah salah seorang daripada mereka sambil menuding jari telunjuk kat Ayah. 

Soalan: Eik….? Tiba-tiba suruh tanggal baju dan seluar? Apa hal? Lepas tu Ayah tanggal baju dan seluar la…?
Jawapan: Ayah terkejut beruk dan diamkan diri. Tak dapat nak bayang, apa bala yang ada depan Ayah. “Ohhh...! Keras kepala ya…! “Nak keras kepala…! Aku kata, buka baju kamu … seluar kamu… dan kasut kamu….!” jerkah pemuda yang menuding ke arah Ayah.

Oleh kerana Ayah enggan menurut perintah, dua orang ahli kumpulan samseng itu menerpa dan memegang tangan kanan dan tangan kiri Ayah ke belakang. Seorang lagi datang dan menanggalkan baju dan seluar Ayah. Tinggal cuma seluar dalam.

Soalan: Weh….! Dahsyat ni…! Hari pertama, baru masuk asrama dah kena dera.. Suruh telanjang.. ? Ini kerja gila ni...! Lepas tu apa dia orang buat kat Ayah?
Jawapan: Dia orang heret Ayah kat susunan kira-kira 10 buah katil yang disusun rapat hingga ke bahagian dinding hujung bangunan asrama. “Oh…! tadi kamu sombong ya……!” perli pemuda pendek, berkaca mata hitam dan bengis. “Sekarang, kamu merangkak bawah katil ini sampai ke hujung sana...! Cepaaat ….!!!” jerit pemuda pendek itu lagi, dikerumuni samseng-samseng yang lain.

“Hoi…! Kamu nak melawan ya?” pekik pemuda itu terlalu kuat di telinga Ayah sampai berdenging. “Aku kata cepaaat…! Kalau tidak, nahas engkau aku kerjakan,” kata pemuda itu lagi, menuding jari telunjuk ke hidung Ayah.

Soalan: Kesian Ayah… Ayah tak melawan ke?
Jawapan: Nak mampus..! Ayah sorang, dia orang ramai. 

Soalan: Habis, lepas tu Ayah merangkak bawah katil la ya..?
Jawapan: Tak. Tak boleh merangkak sebab katil-katil tu rendah sangat. Cuma boleh menghesot macam biawak. Dengan keadaan yang letih sangat, akhirnya Ayah sampai ke barisan katil terakhir. Bila bangun dari bawah katil, Ayah nampak poster besar gambar perempuan separuh bogel terpampang di dinding di hadapan mata Ayah. “Peluk dan cium perempuan tu!” jerit pemuda pendek tadi. Ayah malu. “Aku kata, peluk perempuan tu..! Cium! Cium! Tiga kali cium..!” jerit pemuda itu lagi sambil ketawa berdekah-dekah. 

Soalan: Kesian Ayah…! Lepas tu apa lagi samseng tu buat kat Ayah?
Jawapan: “Kamu tahu apa dia ‘ragging’?” tiba-tiba seorang yang berbadan kurus dan berkaca mata hitam menjerit kat Ayah. Ayah geleng kepala. “Oh…! kamu tak tahu apa dia ‘ragging’ ya…!” katanya memperli, sambil berjalan mengangguk-anggukkan kepala.  “Kamu bodoh…! Masuk Tingkatan 6 tapi ‘ragging’ pun tak tahu,” jeritnya lagi. “Oleh kerana kamu bodoh, kamu kena buat ‘Tok Ketampi, 20 kali,” kata pemuda itu dengan muka bengis. 

Soalan: Budak-budak lain yang baru datang macam mana? Tak kena ragging macam Ayah ke?
Jawapan: Apa tak kena?  Di hujung asrama Ayah nampak seorang pelajar baru sedang bertumbuk dengan dua orang pelajar lain. “Kau orang semua memang kurang ajar..! Bapak aku pun tak pernah buat aku macam ini,” jerit pelajar baru tu.

“Aku peduli apa dengan bapak kau! Kalau kau tak suka duduk asrama ini, engkau boleh berambus! Boleh blah!” jerit seorang pelajar ‘senior’ yang terus meluru, menumbuk dan menendang pelajar baru tadi. Sekumpulan lima orang pelajar ‘senior’ berlari ke tempat kejadian dan membantu rakannya yang sedang bergaduh. “Pegang dia dan heret dia ke tandas,” kata salah seorang daripada kumpulan pelajar ‘senior’.

Tak lama lepas itu, salah seorang daripada mereka datang dan bagi tahu rakannya. “Kita orang dah masukkan kepalanya dalam mangkuk tandas dan ‘flush’,” katanya.

Soalan: Ehh...! Biar betul? Kepala orang masuk dalam sinki dan flush dengan air najis....!!! Mendera tu...! Habis...sepanjang hari tu Ayah kena ragging? Dia orang tak bagi Ayah rehat..?
Jawapan: Ada, bagi rehat sebelah petang. Malam lepas makan, semua pelajar baru dikehendaki berkumpul di asrama. Mereka diberi penerangan mengenai peraturan asrama dan ‘Minggu Orientasi’ yang perlu dikuti oleh semua pelajar baru.

“Saya Muhamad bin Jantan, Ketua Asrama,” kata pelajar yang tinggi, kurus dan bermisai, memulakan taklimat. “Kami telah susun program-program yang bagus untuk kamu semua sepanjang minggu orientasi. Dan kami harap kamu semua akan suka dengan program yang telah kami atur,” katanya, menutup ucapan

Soalan: Lepas tu sebelah malam Ayah dan pelajar-pelajar baru dibenarkan tidur?
Jawapan: Ya. Pukul 11.00 malam semua lampu asrama dipadam. Semua penghuni asrama dikehendaki tidur.

Tepat pukul 4.00 pagi lampu asrama dinyalakan semula. Semua pelajar baru dikejut supaya bangun dan berkumpul di tepi kolah tempat mereka selalunya mandi dan membasuh pakaian di tingkat bawah. Semua mereka tertanya-tanya apa yang akan dilakukan oleh ‘abang senior’ ke atas mereka di pagi buta.

“Kamu semua…!! Lucut semua pakaian...! Lucut seluar. Lucut kain. Lucut semua. Semua lucut..!! dan campak semua pakaian kamu tepi bangunan asrama!” jerit ‘abang’ pendek, memecah kesunyian di pagi buta, ditemani ramai ‘abang senior’. “Ha…!!, macam tulah bagus!” kata ‘abang’ pendek setelah semua ‘freshie’ menanggalkan pakaian tanpa seurat benang di tubuh mereka.

“Sekarang, beratur ikut dua barisan. Pegang bahu teman lelaki yang seksi di hadapan kamu,” kata ‘abang’ pendek lagi. Semua ‘freshie’ mengikut arahan dalam keadaan tersipu-sipu.  “Dengar sini semua….! Kamu akan berlari keliling asrama 2 pusingan. Lepas itu, kamu dikehendaki mandi. Jangan pecah barisan. Sekarang, mulaaa …!!!” Abang pendek melepaskan larian diikuti oleh tepukan ‘abang-abang senior’ yang lain. Apablia menamatkan satu pusingan, semua ‘abang senior’ terus memberi tepukan dan galakan tetapi setelah pusingan kedua berakhir, tidak seorang pun daripada mereka yang kelihatan lagi di situ.

Soalan: Wah…!! Dahsyat betul ragging di asrama sekolah Dato’ ni. Nasib baik pagi buta, gelap, orang lalu-lalang tak ada? Kalau tidak ….???
Jawapan: Kalau tidak, ramai orang akan datang untuk menonton. Bukan menonton tarian bogel tapi ‘larian bogel’..

Soalan: Kah, kah, kah… Bukan seksi tapi seksa betul…! Lepas tu dia orang surah buat apa lagi Ayah..?
Jawapan: Pagi itu, lepas sarapan pagi, semua ‘freshie’ dengan pakaian seragam sekolah Tingkatan 6, baju putih, seluar panjang putih dan kasut putih, dikehendaki beratur di hadapan asrama untuk mendaftar hari pertama di sekolah. Mereka diarah membawa beg pakaian besar dan beratur dengan beg besar di sisi masing-masing.
  
“Kamu semua, dengar sini!” ‘Abang pendek’ datang memberi arahan. “Lipat sebelah seluar kamu dan sinsing sampai ke lutut,” katanya lagi. Semua ‘freshie’ tunduk dan melipat seluar panjang masing-masing. Mereka semua mengikut arahan dan tertawa sesama sendiri apabila melihat seluar yang mereka pakai kelihatan pelik.

“Sekarang, lucut kasut dan stokin kamu dan masukkan stokin ke dalam kasut,” arah ‘abang pendek’. “Lepas tu, ikat tali kasut sebelah kiri dengan tali kasut sebelah kanan,” kata ‘abang pendek’ sambil memeriksa barisan. “Lepas tu, gantung kedua-dua kasut itu ke leher kamu,” sambung ‘abang pendek’ sambil tersenyum puas melihat semua ‘freshie’ menurut arahannya. Tidak ada ‘freshie’ yang membantah, semuanya menurut perintah malah mereka merasa seronok dan gelak ketawa apabila semua mereka membuat perkara yang sama walaupun perbuatan itu melucukan.

Soalan: Kah, kah, kah...!! Lucu betul… gantung kasut kat leher. Lepas tu jalan kaki ayam…! Macam cerita Mr Bean dalam TV..
Jawapan: “OK, sekarang! Kamu adalah askar yang akan membuat perarakan perbarisan masuk ke dalam kawasan sekolah,” kata ‘abang pendek’. “Pegang beg pakaian sebelah tangan kanan. Jalan mesti betul-betul macam askar dan kira kiri…, kanan… Sekarang sedia… mulaaa…!” Abang pendek mengeluarkan arahan terakhir. “Kiri, kanan … kiri, kanan … kiri, kanan…” kedengaran suara ‘freshie’ yang semakin lama semakin kuat, berarak melalui jalanraya menuju ke perkarangan sekolah yang jaraknya kira-kira 100 meter dari asrama. 

Perbarisan ‘freshie’ ini menarik perhatian ramai orang yang lalu-lalang di jalanraya dan ramai mereka yang memberhentikan kenderaan untuk menyaksikan perbarisan yang tidak pernah dilihatnya seumur hidup – sekumpulan anak-anak muda, berunifrom sekolah serba putih, membawa beg pakaian besar, menggantung kasut di leher, berkaki ayam, menyinsing sebelah seluar masing-masing hingga sampai ke lutut dan berjalan dengan segak dan berdisiplin di jalanraya.

Apabila perbarisan ‘freshie’ ini memasuki perkarangan sekolah, ratusan murid sekolah SDAD berpusu-pusu untuk menyaksikan perarakan ‘freshie’ yang tidak pernah dilihatnya dan bersorak serta bertepuk tangan.

Soalan: Apa perasaan Ayah masu tu ...?
Jawapan: Ayah dan semua ‘freshie’ tidak malu dengan apa yang kami buat. Malah kami bangga kerana dapat menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami adalah pelajar-pelajar SPM yang telah mendapat keputusan cemerlang dan berjaya terpilih untuk meneruskan pelajaran ke Tingkatan 6.

Perarakan kami berakhir apabila kumpulan ‘freshie’ lelaki ini diketemukan dengan kumpulan ‘freshie’ perempuan yang telah menunggu di Dewan Sri Amar dalam kawasan sekolah.

Soalan: Jadi, kira-kira ragging tu habislah ya, bila freshie lelaki jumpa freshie prempuan?
Jawapan: Eh… taklah…! Ragging tu berterusan sampai seminggu. Setiap hari sepanjang minggu orientasi, asrama SDAD tak pernah aman dengan suara jeritan dan pekikan abang ‘senior’, mempersenda dan memaki hamun pelajar-pelajar baharu. Biasanya, bila habis waktu sekolah dan pelajar balik asrama, keadaan akan menjadi hiruk-pikuk dengan jeritan pelajar-pelajar ‘senior’. Ada sahaja yang tidak kena pada ‘freshie’ yang menjadi bahan jeritan dan maki hamun.

Soalan: Lepas habis minggu orientasi tu, ada ke acara penutup Ayah?
Jawapan: Ada. Penutupnya ialah Majlis Makan Malam di dewan sekolah.

Soalan: Wah…! Mesti best Majlis Makan Malam tu...?
Jawapan: Best jugak la. Acara kemuncak malam tu ialah ‘menari berpasangan’ dengan iringan muzik piring hitam dan lagu-lagu 60-an yang popular ketika itu. Apabila muzik mula dimainkan, masing-masing berpusu-pusu memilih pasangan dan membawa pasangan masing-masing untuk menari di ruang tengah dewan. Apabila muzik berhenti mereka akan menukar pasangan dan menari semula apabila muzik dimainkan

Soalan: Ayah tak join ke dia orang menari ..?
Jawapan: Tak. Ayah cuma duduk di kerusi memerhatikan gelagat dan keseronokan mereka berjoget dan menari. Tapi ada sorang pelajar ‘senior’, Kakak Zainon asyik perhati Ayah yang duduk tak menari. Bila lagu piring hitam dimainkan semula, dia merapati Ayah. “Adik, jom kita menari,” kata Kakak Zainon. Ayah hanya tersengeh dan menggeleng kepala. “Jomlah Adik, jomlah…” pujuk Kakak Zainon. Tapi Ayah terus geleng kepala sebab malu nak joget di khalayak ramai yang tidak pernah Ayah buat dalam sejarah hidup Ayah. 

Soalan: Jadi Ayah duduk sajalah sampai habis jamuan..?
Jawapan: Tak lama lepas tu, sorang lagi pelajar ‘senior’ perempuan merapati dan berdiri depan Ayah. “Adik! Jom menari dengan Kakak!” pelawa Kakak Fatimah. Tapi Ayah terus geleng kepala. Seorang pelajar baru, Ashaari, datang mendekati Ayah. “Hai geng, ‘sporting’ lah sikit. Bangunlah menari,” katanya.

Kakak Fatimah yang menunggu sejak tadi tak sabar-sabar, menarik tangan Ayah dan membawa ke tengah gelanggang untuk menari. “Kenapa Adik tak mahu menari?” tanya Kakak Fatimah. “Malulah Kak. Lagipun tak pandai menari!” jawab Ayah. “OK, pegang tangan Kakak dan ikut Kakak menari. Langkah kaki … kanan, kiri, kanan, kiri, belakang, depan, belakang, depan, kiri, kanan….. Haaa…! Kan pandai tu..!,” kata Kakak Fatimah.

Bila Ayah bersedia nak menari sekali lagi, tiba-tiba muzik diberhentikan dan Pengacara Majlis membuat pengumuman, “Sekianlah berakhirya ‘Majlis Penutup Minggu Orientasi, Sekolah Dato’ Sri Amar Diraja, Tahun 1970 pada malam ini. Bagi pihak penganjur, saya mengucapkan terima kasih dan Selamat Malam.”

Program minggu orientasi diakhiri dengan acara bermaaf-maafan antara pelajar ‘senior’ dan pelajar baru. Mereka berikrar tidak menyimpan dendam sesama mereka, sebaliknya menjalin hubungan yang erat dalam mengharungi kehidupan sebagai pelajar di sekolah ini.

Soalan: Sebagai rumusan, apa Ayah fikir pasal ragging tu? Baik ke tak baik?
Jawapan: Ia lebih banyak tak baik daripada baiknya. Ragging tu perbuatan mendera dan perbuatan itu tidak sesuai dengan budaya kita yang dikatakan lemah lembut, bersopan santun dan berbudi bahasa. Ragging juga cenderung membentuk peribadi seseorang yang lemah, bagi kedua-dua pihak, yang kena ragging dan melakukan ragging.

Bagi yang kena ragging, sudah pasti akan merasa tertekan dan berfikir untuk membalas dendam. Bagi yang melakukan ragging, ia cenderung untuk menyembunyikan kelemahan pelaku kerana marah-marah dan cari salah orang lain adalah strategi supaya orang lain tidak berani melawan dan dengan cara itu kelemahannya dapat disembunyikan.

SEMBANG SANTAI TAMAT

Anak muda yang berjiwa besi ini akhirnya berjaya menunaikan hajat ibunya sejak kecil, “Emak nak tengok engkau jadi orang pandai sebelum Emak tak ada lagi di dunia ni Nak...!” Dia melanjutkan pengajian di Universiti Malaya pada 1974 dan menyambung pengajian ketika dalam perkhidmatan di peringkat M.A (1987) dan Ph. D dalam bidang Ekonomi (1996) kedua-duanya di University of East Anglia, UK.