October 07, 2017

‘OPS SESAK’: Sarang Petempatan Warga Asing Putrajaya Diserbu. Syabas Perbadanan Putrajaya



‘OPS SESAK’:
Sarang Petempatan Warga Asing Putrajaya Diserbu.
Syabas Perbadanan Putrajaya
DR MUZAHET MASRURI

“Syabas Perbadanan Putrajaya..!!”. Begituah luahan rasa penghuni Kawasan Perumahan Presint 16 apabila Perbadanan Putrajaya (PPj) berjaya melancarkan ‘OPS Sesak’, berikutan masalah kesesakan warga asing yang menjadi rungutan penduduk di kawasan ini.

Presiden PPj turun padang

Operasi ‘OPS Sesak’ di Perumahan Town House, Presint 16 pada 6 Oktober 2017 yang bermula jam 12.00 tengah malam hingga 2.30 pagi itu diketuai sendiri oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail turun padang
Bersama-sama dalam OPS tersebut ialah Datuk Azizi Ahmad Termizi, Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj. Ia melibatkan kekuatan anggota seramai 60 orang yang terdiri daripada Bahagian Penguatkuasa, Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Senibina & Inspektorat Bangunan dan Jabatan Undang-undang, PPj.


Datuk Azizi Ahmad Termizi, Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj juga turun padang
Presiden PPj mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Penduduk Super Link Presint 16 (PPSL16) yang telah memberi kerjasama berhubung dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk berikutan pertambahan bilangan warga asing yang ramai di kawasan ini sehingga terbentuknya ‘OPS Tiga Penjuru’ antara PPj, PDRM dan JTK.

‘OPS Tiga Penjuru’

‘OPS Sesak’ yang berlarutan hingga ke awal pagi itu turut disertai oleh sekumpulan pasukan Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang diketuai Dato' Mohd Jeffrey Joakim, Ketua Pengarah JTK Wilayah Persekutuan dan pasukan PDRM Putrajaya.

‘OPS Tiga Penjuru’ terdiri daripada pasukan penguatkuasa PPj, JTK dan PDRM
‘Sarang’ petempatan warga asing

Perumahan Town House, Presint 16 adalah antara ‘sarang’ petempatan warga asing di Putrajaya. Mereka tinggal di rumah-rumah yang dijadikan asrama oleh kontraktor pembekal buruh asing. Bilangan mereka yang terlalu ramai mendiami sesebuah rumah menimbulkan rasa ketidakselesaan di kalangan penduduk setempat yang tinggal berjiran selama ini. 


Pendatang asing diperiksa oleh pasukan penguatkuasa PPj, JTK dan Polis
Seramai 150 orang pekerja asing telah ditahan dan diperiksa apabila kombinasi pasukan penguatkuasa daripada PPj, JTK dan PDRM membuat serbuan secara serentak ke rumah-rumah yang mereka diami. Ketika serbuan dilakukan didapati semua rumah mempunyai penghuni antara 18- 20 orang yang tinggal dalam keadaan rumah yang sempit dan tidak terurus. Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Thailand.

Mengaibkan imej Putrajaya sebagai bandar bestari

Keadaan petempatan yang tidak terurus, kotor, bantal dan tilam yang dicampak merata tempat serta pakaian yang berselerak di luar rumah menimbulkan ketidakselesaan penduduk yang tinggal berjiran serta amat mengaibkan imej Putrajaya sebagai bandar bestari.


Bantal dan tilam dicampak merata tempat
Rumah milik individu dan syarikat

Daripada maklumat yang diperolehi, rumah-rumah yang disewa adalah milik individu dan syarikat yang terbiar serta tidak diselenggara dengan baik. Keadaan persekitaran yang kotor, semak-samun dan takungan air menjadi tempat pembiakan nyamuk.



Operasi masih berjalan
Seramai 17 orang telah ditangkap

Dalam ‘OPS Sesak’ tersebut sejumlah 17 orang telah ditangkap dan di bawa ke Balai Polis Putrajaya kerana tidak mempunyai dukomen yang sah. Semua mereka adalah warga Bangladesh.


Pendatang asing disoalsiasat oleh Pegawai JTK
Pernahkah mereka melakukan perkara yang tidak disenangi?

Pernah. Antaranya perlakuan yang tidak menghormati peraturan dan perbuatan kurang sopan sebahagian besar mereka membawa keluar troli-troli dari Alamanda dan meninggalkannya bersepah di merata tempat yang menjadi kemarahan penduduk di Presint 16. Tetapi masalah tersebut telah dapat dibenteras dengan tindakan pantas Bahagian Penguatkuasa, Perbadanan Putrajaya, sebaik menerima aduan daripada orang ramai.

Pegawai Penguatkuasa meneruskan operasi

Di mana mereka bekerja?

Sebahagian besar mereka bekerja di restauran halal di Pusat Beli Belah Alamanda sebagai pelayan dan tukang masak yang sebahagiannya bukan beragama Islam. Selebihnya, di sub-sektor perkhidmatan lain, seperti, pencucian, pembersihan, sekuriti dan penyelenggaraan.

Warga asing di bawa ke Balai Polis Putrajaya
Adakah sekatan warga asing bekerja di Putrajaya?

Tiada larangan bagi warga asing bekerja di Putrajaya. Tetapi pengambilan mereka sebagai pekerja mestilah mematuhi peraturan-peraturan sedia ada, menghormati budaya dan cara hidup penduduk dan tidak melakukan perkara-perkara yang mengganggu serta tidak disenangi penduduk setempat.


Tindakan susulan

Penduduk Presint 16 Putrajaya berharap ‘OPS Sesak’ tidak berhenti setakat ini. Memandangkan bilangan kemasukan pekerja asing yang terus meningkat bagi merebut peluang-peluang pekerjaan dan tinggal di persekitaran yang selesa dan moden di Putrajaya maka tindakan susulan perlu dilakukan.

Antaranya, pihak PPj, JTK dan PDRM, mengikut bidang kuasa masing-masing, boleh mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang berurusan dengan pekerja asing. Misalnya, pemilik rumah sewa, kontraktor pembekal buruh asing, pihak-pihak yang menggunakan perkhidmatan pekerja asing, seperti restauran, perkhidmatan pencucian, pembersihan, sekuriti dan penyelenggaraan.

Berasaskan ‘OPS Sesak’ tersebut, kita percaya tindakan susulan yang berkaitan memang telah ada dalam perancangan pihak-pihak berkenaan.



Baca Artikel Berkaitan:
Putrajaya Dibanjiri Pekerja Asing
Tindakan Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya Harus Dipuji