June 12, 2017

PROGRAM TRANSFORMASI NEGARA (NTP) Apa yang Telah Ditransform?

PROGRAM TRANSFORMASI NEGARA (NTP)
Apa yang telah Ditransform?
DR MUZAHET MASRURI

Program Transformasi Negara (NTP) yang dahulunya dikenali sebagai Program Transformasi Ekonomi (PTE) atau ‘Economic Transfromation Programme’ (ETP) adalah usaha kerajaan untuk melonjakkan Malaysia ke arah status negara maju sejajar dengan matlamat Wawasan 2020. NTP (ETP) yang diperkenalkan pada 26 Oktober 2010 adalah program yang dirangka untuk membantu memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mapan.

World Bank, Malaysia on Track for Its ETP Plan
Sebagai rakyat Malaysia, kita berminat dan telah sama-sama menyaksikan siaran secara langsung melalui kaca TV pada 23 Mei 2017 yang lalu, perasmian YAB Perdana Menteri mengenai pembentangan Laporan Tahunan NTP 2016 di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kita maklum pencapaian dan perangkaan yang disebut dalam laporan berkenaan. Tetapi sebagai rakyat biasa yang telah sekian lama menunggu dan ingin melihat kemajuan transformasi ekonomi negara Malaysia merasa kecewa dengan pencapaian kita selama ini.

Sasaran pendapatan per kapita USD15,000, 2020

NTP (ETP) mensasarkan 60 peluang perniagaan, 131 ‘Entry Point projects’, 3.3 juta pekerjaan baru, meningkatkan pendapatan per kapita kepada US$15,000 dan peluang pelaburan sektor swasta sebanyak 92% menjelang 2020

Pada tahun 1980an Malaysia diramal muncul sebagai “the next Asian Tiger” bersama Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan berasaskan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat dengan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 7% bagi tempoh 25 tahun selepas Perang Dunia Kedua. Tetapi, sedang negara-negara lain terus berkembang maju dan mencapai status negara berpendapatan tinggi, Malaysia ketinggalan jauh di belakang.



Perhatikan perangkaan dalam jadual di atas. Pada tahun 1960 pendapatan per kapita Malaysia adalah lebih tinggi (USD234.80) berbanding Korea Selatan (USD155.60). Tetapi cuba lihat apa yang telah berlaku pada tahun 2015? Tiga kali ganda Malaysia ditinggalkan Korea Selatan. Itu kita tidak banding pendapatan per kapita dengan negara-negara lain. Anda bandingkanlah sendiri.

Apa yang Telah Ditransform?

NTP (ETP) memberi fokus kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau National Key Economic Areas (NKEAs) mengikut sektor, bagi melonjakkan ekonomi Malaysia ke tahap status negara maju. Antara bidang-bidang tersebut ialah pertanian, perkhidmatan perniagaan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, kesihatan, Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang, minyak dan gas, infrastruktur, pelancongan dan perniagaan borong dan runcit.


12 National Key Economic Areas (NKEAs)
Dalam taklimat NTP 2016 di UiTM Shah Alam, sektor-sektor berkaitan disebut telah mengalami perubahan dan peningkatan. Misalnya pertambahan bilangan infrastruktur jalanraya dan lebuhraya, bilangan klinik dan hospital, bilangan sekolah, kolej dan universiti, pertambahan bilangan pelancong, peniaga borong dan runcit, peningkatan sumbangan sektor pertanian, industri, minyak dan gas kepada ekonomi negara. Dan banyak lagi perangkaan yang disebut untuk menunjukkan peningkatan dan perubahan.

Sebagai rakyat biasa, kita maklum bahawa penambahan bilangan atau perangkaan yang disebut bukanlah merupakan transformasi. Tetapi ia hanya merupakan perubahan biasa yang berlaku secara semula jadi bagi mana-mana sektor dalam ekonomi.

Realitinya NTP (ETP) gagal.

Ketidakupayaan untuk melonjak ke arah status negara maju bagi tempoh masa yang hanya berbaki 2⅟2 tahun sahaja lagi membuktikan bahawa Program Transformasi Negara (NTP/ETP) tidak berupaya dan hampir gagal mencapai matlamat untuk mentransform ekonomi Malaysia.

Mengapa Malaysia tidak mampu berganjak?

Malaysia tidak mampu berganjak daripada status ‘Negara Berpendapatan Sederhana’ (middle-income country) kepada sebuah ‘Negara Maju’ (advanced economy) yang mempunyai industri berteknologi tinggi untuk menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi (high skilled jobs) kepada rakyat. Mengapa?

Pada tahun 1960an dasar pembangunan Malaysia dan Korea Selatan adalah sama, iaitu bergantung kepada export-led development. Tetapi Korea bertekad untuk mewujudkan pengusaha-pengusaha industri tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Bukan setakat itu, bahkan Korea mahu mengeluarkan produk sendiri di bawah jenama sendiri. Usaha mereka mendapat sokongan daripada kerajaan negara tersebut. Maka wjudlah jenama besar seperti HYUNDAI, KIA, DAEWOO, SSANGYONG dan SAMSUNG.


Sebaliknya, Malaysia memilih pendekatan menggunakan pelabur asing bagi membangunkan industri tempatan. MITI menyediakan berbagai insentif yang menarik kepada pelabur asing supaya mereka datang dan melabur di negara ini. MITI akan sangat sensitif kalau ada pihak tertentu yang mengkritik pelaburan asing di negara ini. Sebab itu, MITI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak pernah sehaluan daripada segi keutamaan pelabur asing dan pelabur tempatan.

Rasionalnya, pelabur asing akan membawa masuk modal, menyediakan peluang pekerjaan, pakar-pakar dan teknologi ke negara ini. Itulah yang selalu disebut dan sering kita dengar dalam mana-mana taklimat, sidang akhbar, konferens dan seminar.

Akan tetapi, sebagai rakyat marhaen, kita maklum bahawa syarikat-syarikat asing dan Multi National Corporations (MNCs) masuk ke Malaysia kerana pelbagai kemudahan dan insentif serta kos buruh yang murah. Realitinya, mereka tidak akan membangunkan produk Malaysia, sebaliknya mengekalkan strategi dalam industri berteknologi rendah berasaskan pemasangan (assembly-based business) yang berorientasikan intensif-buruh dan buruh tidak mahir, seperti keadaannya pada hari ini.

Sebab itulah Malaysia sekarang sangat memerlukan buruh asing. Malaysia perlu membawa masuk berjuta-juta buruh asing yang gembira bekerja dalam industri pengeluaran (manufacturing industries) di negara ini.



Malaysia pernah berjaya membangunkan jenama industri berteknologi tinggi seperti PROTON apabila kereta PROTON SAGA mula memasuki pasaran pada tahun 1985. Tetapi kini PROTON sudah bukan milik penuh kita lagi. Pada May 2017, 49.9% ekuiti telah dijual kepada Syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group.

Ekonomi Malaysia stabil, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh

Kita masih boleh menarik nafas lega apabila selalu dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri-menteri bahawa ekonomi Malaysia adalah stabil dan disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh. Misalnya, KDNK bagi separuh penggal pertama 2017 meningkat kepada 5.1% daripada purata pertumbuhan 4.5% pada tahun 2016.

Tetapi kita harus waspada kerana angka-angka tersebut tidak bersifat kekal tetapi sentiasa berubah yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya persekitaran global yang tidak menentu. Pengalaman lepas membuktikan kepada kita bahawa asas-asas ekonomi yang kukuh tidak berupaya melindungi negara daripada ancaman kegawatan ekonomi.

Transformasi Nasional 2050 (TN50)

Ketika tempoh Program Transformasi Negara (NTP) masih belum tamat, kerajaan tiba-tiba mengumumkan dasar baharu pembangunan, iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam pembentangan Bajet 2017 yang lalu. 



“TN50 akan mula digerakkan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana-wacana nasional seperti diputuskan oleh kabinet, akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan,” kata YAB PM. 

“TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui,” tambah YAB PM.

Selepas ini kita tidak pasti sama ada agensi-agensi utama perancangan ekonomi negara sedia ada, seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan kekal atau dibubarkan apabila Kementerian Belia dan Sukan akan mula menggalas peranan untuk mentransformasi ekonomi Malaysia sehingga tahun 2050.

Sebahagian daripada kita mungkin tidak sempat untuk menyaksikan rupa bentuk transformasi ekonomi Malaysia ketika itu. Kita berharap TN50 tidak jadi macam NTP (ETP) yang tidak mentranformasi apa-apa dan gagal mentranformasi ekonomi Malaysia.

Kita faham proses transformasi tidak berlaku sehari dua tetapi puluhan tahun. Sebagai rakyat marhaen apa yang dapat kita sumbang hanyalah mendoakan yang baik.

Dr. Muzahet Masruri, Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom