EPISOD 4
BERMULA KAYUHAN 24,000 KM
AZZAD MUZAHET
Dalam Episod 3 yang lalu, budak kampung berhati cekal ini telah cukup bersedia dengan persiapan mental dan bertekad untuk melakar sejarah baharu alam persekolahannya. Dia memulakan kayuhan basikal di awal pagi yang gelap sebelum subuh yang pastinya penuh dengan cabaran.
Soalan: Ketika mulakan kayuhan basikal dalam gelap sebelum subuh, bagaimana keadaan Ayah masa tu?
Jawapan: Sebaik api pelita Ayah hembus dan campak tepi tiang rumah, keadaan keliling serta merta gelap. Pada mulanya Ayah rasa kayuhan basikal berat sangat sebab tekanan kepala dinamo pada tayar. Tapi bila basikal mula bergerak laju, kayuhan semakin ringan dan lampu basikal di depan semakin terang, cukup untuk menyuluh jalan tanah liat yang becak sana-sini dalam kampung terpencil yang gelap sebelum waktu subuh.
Soalan: Ayah kata tadi jalan kampung tanah liat becak sana-sini? Maksud Ayah, jalan kampung masa tu tanah liat? Bukan batu putih?
Jawapan: Ehh..! Engkau jangan la banding kampung sekarang sebab kampung sekarang dah moden. Bukan saja batu putih tapi sepanjang jalan tercacak tiang-tiang lampu terang benderang, sampai hantu pukul 4.00 pagi pun tak berani nak lalu, sebab terang.
Tapi masa Ayah dulu, jalan kampung semua tanah liat. Adalah tompok-tompok tanah merah sana-sini. Jalannya sempit, cuma 3-4 kaki lebar. Kalau tak hujan pun jalan becak dan licin, lagi la kalau hujan, nak kayuh basikal lagi..! Dalam gelap lagi..!
Jalan kampung tanah liat yang becak menyukarkan perjalanan |
Soalan: Maknanya, Ayah kena kayuh basikal hati-hati supaya tak langgar becak?
Jawapan: Memang la..! Sebab kalau langgar becak, tayar akan jadi licin. Bila licin, kepala dinamo tak pusing sebab tak gesel tayar. Bila kepala dinamo tak pusing, lampu tak hidup. Bila lampu tak hidup, alamat kayuh basikal dalam gelap nak keluar 2 km dari kampung ke jalan raya.
Itulah gambaran macam mana susah Ayah hari-hari nak pergi sekolah. Bukan macam engkau, sekolah sekangkang kera pun suruh Mama hantar naik kereta ..!!
Soalan: Sebab Mama ada kereta! Sebab tu yang nak suruh Mama hantar tu ..!!
Jawapan: Haa.. Ya la tu …
Soalan: Gambaran suasana kampung masa itu macam mana Ayah?
Jawapan: Gambarannya gelap dan sunyi. Tak ada sorang manusia pun kat jalan kampung masa tu, sebab semua penghuninya masih lena tidur. Jarak rumah yang jauh antara satu sama lain, diselangi dengan kebun getah, kelapa dan semak-samun, menambah sunyi suasana kampung. Suasana kampung yang gelap dan sunyi masa tu menyebabkan Ayah mula merasa gementar dan fikiran Ayah mula teringat perkara yang bukan-bukan.
Soalan: Perkara bukan-bukan apa yang Ayah teringat masa tu?
Jawapan: Ayah teringat cerita-cerita yang menakutkan kat kampung. Ada orang cerita, masa jalan malam-malam, dia selisih dengan orang yang pakai serba putih. Tapi bila dia nak tegur, tiba-tiba orang yang berpakaian serba putih tu hilang.
Ayah pernah tengok sendiri mayat sorang yang gantung diri, jerut lehernya dengan tali dan ikat di dahan pokok besar dengan lidahnya terjelir keluar kerana cemburu isterinya mempunyai hubungan sulit dengan orang lain.
Ayah jugak pernah dengar orang bunian datang rumah sorang penduduk kampung pada waktu malam dan orang bunian itu melamar supaya orang itu kahwin dengan anak perempuannya.
Banyak lagi cerita yang menyeramkan. “Tapi itu peristiwa dulu-dulu! Sekarang ni, tak ada lagi. Lagipun, hari dah hampir subuh, hantu-hantu semua dah balik!” pujuk hati Ayah supaya tidak takut lalu jalan sorang-sorang dalam gelap.
Soalan: Dipendek cerita, akhirnya Ayah sampai persimpangan jalanraya?
Jawapan: Ya. Setelah kayuh 2 km dari rumah, akhirnya Ayah sampai simpang jalanraya yang hubungkan Muar dan Batu Pahat. Bila sampai kat simpang tu, Ayah bongkok ke depan dan tarik dinamo kat tayar basikal. Sekali gus lampu basikal mati. Barulah Ayah rasa ringan dan teruskan kayuhan makin laju.
Soalan: Lepas Ayah tarik dinamo, Ayah kayuh basikal dalam gelap?
Jawapan: Ya. Walaupun pagi masih gelap tapi pantulan cahaya batu granit jalanraya dapat memandu arah masa kat jalanraya. Sekali-sekala Ayah henti kayuh dan biar basikal meluncur untuk redakan penat yang dah mula Ayah rasa. Kadang-kadang Ayah bongkok, kadang-kadang tegak untuk redakan penat. Kerap juga Ayah senget punggong sekejap kiri, sekejap kanan untuk hilangkan rasa sakit yang mula Ayah rasa kat bahagian kelengkang sebab sentiasa gesel tempat duduk yang keras dan tak bersarung.
Soalan: Tapi kalau Ayah penat, Ayah boleh tukar gear basikal, lepas tu boleh kayuh ringan sikit..!!
Jawapan: Ah....! Engkau jangan nak ‘joke’ nak kata basikal engkau ada gear, 16 speeds lagi. Basikal tu pun bukan engkau yang beli, Ayah yang beli untuk engkau ..!
Basikal togel Ayah dulu tu mana ada gear? Brek pun tak ada. Engkau pun tahu, kalau tak ada gear kayuh basikal rasa berat. Sebab tu Ayah cepat rasa penat, sebab banyak guna tenaga untuk kekalkan momentum kayuhan yang sama sepanjang perjalanan.
Soalan: Sepanjang jalan, tak ada ke Ayah jumpa budak-budak naik basikal?
Jawapan: Tak ada. Cuma bila nak sampai sekolah, ada la sorang dua budak naik basikal. Sebab masa tu awal lagi.
Soalan: Pukul berapa Ayah biasanya sampai sekolah?
Jawapan: Ayah biasanya sampai sekolah pukul 7.00 pagi. Tak kira sama ada panas, sejuk, hujan, ribut, petir Ayah akan pastikan Ayah sampai waktu tu. Perjalanan dari kampung ke sekolah biasanya ambil masa 2½ jam.
Sekolah Menengah Dato' Sri Amar Diraja, Muar |
Soalan: Apa nama sekolah Ayah yang baru tu?
Jawapan: Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar Diraja. Sekolah ini jadi sebutan masa tu sebab satu-satunya sekolah yang ada Tingkatan 6 di Daerah Muar yang juga menempatkan pelajar Tingkatan 6 dari sekolah di Daerah Batu Pahat dan Negeri Melaka awal 1960-an.
Sekolah ni bukan sekolah asrama penuh. Tapi sekolah ada sediakan asrama untuk murid-murid yang perlu tempat tinggal. Tapi kebanyakan murid Tingkatan 6 sebab mereka dapat elaun bantuan sekolah bila berjaya masuk Tingkatan 6.
Soalan: Ayah kata pukul 7.00 pagi dah sampai sekolah? Awal lagi tu? Dah ada ke murid yang sampai sekolah?
Jawapan: Ada tapi belum ramai. Biasanya lepas Ayah sandarkan basikal togel Ayah kat tempat letak basikal sekolah, Ayah guna sikit masa untuk hilangkan letih, keringkan baju yang basah dengan peluh dan basuh muka kat tandas sebelum masuk kelas. Dalam tandas biasanya Ayah terus tadah tangan bawah paip dan hirup air paip sepuas-puasnya untuk hilangkan dahaga. “Di sinilah tempat aku akan minum setiap pagi untuk hilangkan dahaga,” kata hati Ayah, sambil perhati keadaan tandas yang kotor dan bau yang tak menyenangkan. Selepas basuh muka dan cuit-cuit rambut depan cermin, barulah Ayah masuk kelas.
Soalan: Berapa ramai murid Tingkatan 4 yang sama dengan Ayah masa itu?
Jawapan: Tingkatan 4 lebih kurang 400 orang dan dibagi 13 kelas, dari Tingkatan 4A sampai Tingakatan 4M. Sekolah ini ada lebih 1,000 orang murid bagi sesi pagi, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6 Bawah dan Tingkatan 6 Atas. Bagi Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3, sesi sekolah pada sebelah petang dan jumlahnya Ayah tak pasti.
Soalan: Ayah dalam Tingkatan 4 apa?
Jawapan: Tingkatan 4A
Soalan: Wah! Budak pandai ni..! Ayah mesti hepi dapat masuk kelas pandai..!!
Jawapan: Hepi. Tapi Ayah rasa diri Ayah tak layak duduk dalam kelas tu.
Soalan: Kenapa?
Jawapan: Sejak mula sekolah, Ayah rasa diri Ayah terlalu kecik. Ayah malu dengan keadaan diri Ayah. Semua murid dalam kelas itu pakai kemas, kasut bersih, anak orang senang, tinggal kat bandar. Sedangkan Ayah cuma anak orang kampung, miskin, pakai seluar pendek yang dah berubah warna dan kolar baju yang dah koyak.
Soalan: Ayah ni terlalu merendah diri sangat ..!! Ayah terlalu ‘emotional’. Dia orang mungkin tak rasa macam tu. Cuma Ayah sendiri aje yang rasa macam tu ..!!
Jawapan: Mungkin betul macam engkau kata. Tapi kalau engkau, engkau nak ke kawan dengan anak orang miskin macam Ayah masa tu? Engkau rasa malu kan?
Sebab tu, sejak hari pertama dalam kelas tu, jiwa Ayah sangat tertekan. Ayah selalu sebut pada diri Ayah, “Tempat ni sangat asing bagi aku. Aku tak selesa duduk dalam kelas ni. Aku tak mahu duduk dalam kelas ini. Tempat ini bukan layak untuk aku. Tempat ini hanya layak untuk anak orang senang, bukan anak miskin macam aku.”
“Aku akan berambus dan tinggalkan kelas ni,” bisik hati Ayah, keras.
Bersambung …