July 22, 2017

EPISOD 5 BUDAK PUNGGUNG TEBAL




EPISOD 5
BUDAK PUNGGUNG TEBAL
AZZAD MUZAHET

Dalam Episod 4 yang lalu, budak kampung ini terpilih masuk Tingkatan 4A daripada sejumlah 13 Tingkatan 4 di sekolah ketika itu. Tetapi dia tidak selesa duduk dalam Tingkatan 4A. Dia mengalami ‘inferiority complex’ dalam dirinya, sebagaimana yang disebutnya, “Tempat ni sangat asing bagi aku. Aku tak selesa duduk dalam kelas ni. Aku tak mahu duduk dalam kelas ini. Tempat ini bukan layak untuk aku. Tempat ini hanya layak untuk anak orang senang, bukan anak miskin macam aku.”

Di para akhir Episod 3, dia menyebut, “Aku akan berambus dan tinggalkan kelas ni.”

Soalan: Apa jadi lepas Ayah buat keputusan cabut lari dari Kelas 4A?
Jawapan: Masa tengah kayuh basikal balik kampung, di pertengahan jalan, Ayah terserempak dengan Ibu dan Ayah keluar dari kebun getah, masing-masing menjinjing sebuah baldi berisi susu getah. “Nak! Kenapa engkau balik? Engkau tak jadi sekolah ke?” jerit Ibu dari jauh.

Ayah tersentak, “AstaghfirulLah! Aku ngelamun rupanya.” Bila tersedar dari ngelamun dalam kelas, Ayah tengok cikgu sedang perhati Ayah.

Soalan: Maksud Ayah, Ayah tak jadi cabut lari dari Kelas 4A?
Jawapan: Belum jadi. Sebab Ayah teringat janji diri Ayah pada Ibu dulu, “Engkau tidak pernah putus mendoakan kejayaanku. Berkat doamu, aku jadi pelajar terbaik. Aku berjanji pada diriku, aku takkan sia-siakan doa dan harapanmu. Aku mesti sambung sekolah. Aku sanggup berkorban walau apa sekalipun asalkan aku dapat meneruskan pelajaranku.”

Tapi walaupun belum jadi lagi, Ayah memang dah buat keputusan nak cabut lari sebab tak tahan dengan tekanan demi tekanan yang Ayah hadapi masa di Tingkatan 4A. 

Soalan: Tekanan yang macam mana tu?
Jawapan: Banyak tekanan. Masa minggu pertama masuk sekolah, cikgu edar kertas dan dia kata, “Kertas yang saya edar tu adalah senarai buku teks dan peralatan yang kamu perlu ada. Buku-buku itu kamu boleh beli di kedai koperasi sekolah atau kamu boleh beli di kedai luar. Toko Manaf Book Store di Bandar Muar ada jual semua buku tu,” katanya.

Ayah menggeletar dan mata Ayah terkebil-kebil bila tengok kandungan dalam kertas tu. Di bawah senarai buku tercatat, Jumlah Keseluruhan = RM120.75.
Masa tu Ayah rasa langit runtuh timpa kepala Ayah. Ayah bayangkan harapan dan cita-cita untuk terus sekolah musnah. Mana nak cari duit sebanyak tu? Kalau Ibu dan Ayah nak kumpul, setahun pun tak dapat kumpul sebanyak tu!

Soalan: Tapi Ayah tak perlu beli semua buku!
Jawapan: Memang betul tak perlu beli semua. Tapi nak beli sebuah buku pun Ayah tak mampu! Macam mana nak belajar kalau tak ada buku?

Soalan: Apa lagi tekanan yang Ayah rasa?
Jawapan: Dua minggu lepas tu. Cikgu yang mengajar matapelajaran Kesusasteraan Melayu masuk kelas. “Keluarkan buku novel Patah Sayap Terbang Jua, karya A. Samad Ismail. Saya bagi masa 10 minit untuk kamu semua baca Bab 1. Baca dengan pantas! Lepas itu saya akan soal kamu,” kata Cikgu.

Sementara menunggu murid-murid habis membaca, Cikgu mundar-mandir dalam kelas. Matanya selalu perhatikan Ayah yang sedang pegang buku latihan. Lepas tu dia jalan perlahan ke meja Ayah. Ayah pucat lesi. “Mana buku awak?” Cikgu tanya. “Tak ada Cikgu,” jawab Ayah. “Kenapa tak ada?” tanya Cikgu lagi. “Belum beli Cikgu!” jawab Ayah.


Kena hukum berdiri atas meja

“Diri atas meja..!” kata Cikgu, sambil memandang serius muka Ayah. Dengan lemah longlai, Ayah bangun dan diri atas meja. Semua murid perhati Ayah. Ayah ingat Cikgu akan suruh duduk lepas beberapa minit. Tapi Ayah kena diri atas mejai sampai habis kelas.

Cuba bayangkan, apa perasaan engkau kalau engkau jadi Ayah masa tu?

Soalan: Apa perasaan Ayah?
Jawapan: Segala macam perasaan ada dalam kepala dan hati Ayah masa tu. Rasa malu, sedih, keciwa, geram, marah, tercabar, terhina, teraniaya, menyesal, segala-galanya ada! Sampai kalau orang tanya, Ayah tak tahu nak pilih yang mana satu perasaan Ayah masa tu.

Soalan: Ayah tak boleh ke pinjam buku budak-budak yang pernah belajar Tingkatan 4 sekolah tu dulu?
Jawapan: Ada. Ayah ada pinjam buku sepupu Ayah yang pernah belajar di sekolah tu 3 tahun lepas. Tapi semua buku telah bertukar. Cuma buku Ilmu Hisab saja yang sama.

Soalan: Habis! Apa usaha Ayah untuk beli buku?
Jawapan: Ayah pernah usaha cari duit sendiri untuk beli buku. Masa tu petang balik sekolah. Ayah panjat pokok ciku tinggalan arwah Noyang yang kebetulan musim tu buahnya lebat. Ayah petik 200 biji buah ciku, basuh dan peram dengan karbait. Setelah buah ciku masak serentak, ayah hantar ke kedai runcit di kampung untuk dijual oleh pengusaha kedai.

3 hari lepas tu Ayah pergi ke kedai runcit untuk kira hasil jualan. “Buah yang saiz besar harganya 2 sen sebiji. Yang kecil 5 sen untuk 3 biji. Jumlah semua, dah tolak ciku yang tak elok ialah $3.00,” kata pengusaha kedai runcit. Ayah terdiam sebab buku yang hendak dibeli harganya $3.50 dan duit tu tak cukup untuk beli buku yang sangat Ayah perlukan.

Soalan: Tapi Ayah boleh jer pegi Koop Sekolah. Cakap jer Ayah cuma ada $3.00 sekarang dan bakinya bayar kendian ..!!! ?
Jawapan: Mungkin boleh. Tapi buku tu kat Koop dah habis. Ayah perlu pesan buku itu dari penerbitnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ayah tulis surat, sebut tajuk buku, Patah Sayap Terbang Jua dan masukkan dalam sampul surat 3 helai duit kertas $1.00 dan setem yang belum diguna yang Ayah kumpul bernilai 50 sen. Lepas itu, Ayah masukkan surat dalam tong pos.


Buku yang dipesan dari Dewan Bahasa & Pustaka dengan memasukkan wang kertas 1$ 3 keping dan setem bernila 50 sen ke dalam sampul surat dan diposkan dalam tong pos.

Sejak itu, tiap-tiap hari Ayah tunggu jawapan dari DBP dengan penuh harapan.

Soalan: Lepas tu Ayah terima buku yang Ayah pesan dari DBP?
Jawapan: Tidak. Lepas 4 minggu, Ayah terima surat. “Pihak DBP tidak menerima bayaran dalam bentuk tunai dan setem seperti yang disertakan.”

Harapan Ayah hancur. “Habislah! Minggu dulu aku telah diberi amaran kali kedua. Esok ada matapelajaran Kesusasteraan Melayu dan aku tak ada buku lagi! Apalah hukuman yang aku akan dapat lepas ni!” kata hati Ayah, menyerah diri.

Soalan: Maknanya, tekanan Ayah masa tu cuma pasal buku lah ya?
Jawapan: Bukan. Macam-macam lagi. Ayah pernah dapat ejekan ‘budak punggung tebal’ dalam Kelas 4A.

Soalan: Ha ha ha… Punggung tebal ...!! Punggung tebal apa pulak tu?
Jawapan: Pagi tu Cikgu matapelajaran Bahasa Malaysia masuk kelas. Cikgu tu gemuk,  bulat, tinggi dan tak garang. Suaranya kuat dan lantang, mirip suara penyanyi Ahmad Jais yang sangat popular masa tu. “Kalau cikgu ini nyanyi lagu ‘Azizah’ yang selalu Ahmad Jais nyanyi. Wah! Mesti ‘best’,” bisik hati Ayah, sambil senyum sendirian.

Soalan: Ayah mula mengelamun lagi lah ya?
Jawapan: Tidak. Ayah cuma bayangkan. Lepas tu Cikgu kata, “Hari ini kamu akan buat ringkasan karangan. Buka muka surat 22. Dalam tu ada satu karangan panjangnya 500 perkataan. Kamu dikehendaki meringkaskan karangan itu dengan menggunakan tidak lebih 150 perkataan. Baca potongan karangan tu, lepas tu saya akan tunjukkan cara macam mana hendak meringkaskan karangan tu.” 

Soalan: Ayah baca potongan karangan tu?
Jawapan: Tidak. Ayah tak ada buku. Tapi Cikgu ni baik. Dia tak marah.

Sementara menunggu murid-murid membaca, Cikgu tiba-tiba bersuara. “Siapa pergi sekolah naik bas?” Beberapa orang murid angkat tangan. “Siapa yang pergi sekolah naik basikal?” Ramai murid angkat tangan. “Awak naik basikal berapa jauh?” dia tanya budak perempuan berkulit cerah, sentiasa berpakaian kemas dan cantik. “Kira-kira 1.5 km,” jawab budak perempuan. “Awak tinggal mana?” tanya Cikgu. “Jalan Khalidi,” jawab budak perempuan.

“Awak tinggal mana?” tanya Cikgu, menghalakan muncung bibirnya pada Ayah. “Kampung Sungai Pulai,” jawab Ayah. “Berapa jauh dari sekolah?” tanya Cikgu. “25 kilometer,” jawab Ayah. “25 kilometer? Pergi balik 50 km?” tanya Cikgu. Ayah angguk kepala. “Awak keluar rumah pukul berapa?” tanya Cikgu. “Pukul 4.30 pagi,” jawab Ayah.

Cikgu terus tanya. “Kalau satu hari naik basikal 50 km, satu minggu berapa km?” tanya Cikgu. “Kalau sekolah 5 hari seminggu, ada 250 km,” jawab Ayah. “Kalau sebulan?” tanya Cikgu lagi. “1,000 km,” jawab Ayah. “Kalau setahun?” tanya Cikgu, sambil mengira di atas tapak tangannya. “12,000 km,” jawab Ayah. “Kalau dua tahun sampai habis Tingkatan 5?” tanya Cikgu bertutut-turut. “24,000 km,” jawab Ayah.

Pengiraan jarak kayuhan basikal semasa dalam Kelas 4A

“Wah..! Hebat kamu..! Kayuh basikal 24,000 km..! Boleh pegi London..!” kata Cikgu. Ayah senyum tersipu-sipu. Dalam hati, Ayah menyimpan rasa bangga, besar hati dan nak tunjuk murid-murid dalam kelas bahawa walaupun miskin tetapi dia adalah jaguh kampung yang gigih, cekal, tabah dan menyimpan semangat yang tinggi dan sanggup mengayuh basikal beribu km untuk pergi ke sekolah.


“Wah..! Hebat kamu..! Kayuh basikal 24,000 km..! Boleh pegi London..!” kata Cikgu

“Murid-murid, dengar sini!” kata Cikgu. “Kalau seorang itu kayuh basikal sejauh 24,000 km, dapat tak kamu bayangkan apa akan jadi punggung orang itu?” soal Cikgu. “Melecet cikgu!” jerit seorang murid, diikuti dengan gelak ketawa murid-murid lain.

Cikgu tersenyum. “Bukan sahaja melecet, punggung dia jadi tebal,” Cikgu ketawa diikuti dengan riuh rendah murid-murid yang ketawa terbahak-bahak. “Kalau punggung dia tebal, nanti dia jadi tonggek Cikgu!” jerit salah seorang murid di barisan belakang. Kata-kata murid tadi menjadikan keadaan kelas Tingkatan 4A ketika itu riuh rendah dengan ketawa dan jeritan murid-murid.

Soalan: Kesian Ayah!
Jawapan: Ayah diamkan diri, tunduk dan terpaku. Ayah sangka bila Cikgu tanya kayuh basikal, Ayah akan dapat simpati rakan-rakan dan Cikgu sendiri. Tapi jangkaan Ayah meleset. Sebaliknya, usaha gigih dan penat jerih kayuh basikal jauh dari kampung terpencil ke sekolah di bandar selama ini rupa-rupanya menjadi ejekan dan bahan ketawa. Ayah rasa amat terhina dengan kata-kata Cikgu dan murid-murid. Tidak dapat nak gambarkan betapa keciwa, sedih dan marah Ayah masa tu. 

Soalan: Lepas tu Ayah buat apa?
Jawapan: Lepas tu, tiba-tiba bulu roma Ayah meremang seluruh badan. Ayah benar-benar naik berang. Terasa nak angkat meja dan lemparkan dalam kelas. Tapi Ayah dengar suara hati kecil Ayah memujuk, “Jangan buat macam tu ..! Tindakan itu tak bijak. Pengalaman ini akan mengajar kamu jadi lebih dewasa. Ingat! Jangan sia-siakan harapan besar ibu kamu untuk jadi ‘orang pandai’,” suara itu bak bayu dingin yang menyejukkan hati dan menjadikan emosi Ayah kembali normal.

Lepas tu, Ayah bangun dari kerusi, berdiri dan beri senyuman pada murid-murid dalam kelas. “Aku terima ejekan kamu semua. Aku berjanji, akan berusaha lebih gigih. Ingat! Suatu hari nanti, aku akan buktikan bahawa aku lebih berjaya daripada kamu semua!” Kata Ayah dalam hati, lalu duduk semula.

Lepas hari tu Ayah dapat gelaran ‘Budak Punggung Tebal’.

Bersambung…