July 22, 2017

EPISOD 3 PUKUL 4.00 PAGI BERSIAP KE SEKOLAH

 

EPISOD 3
PUKUL 4.00 PAGI BERSIAP KE SEKOLAH
AZZAD MUZAHET

Dalam episod lalu, basikal ‘togel’ yang berkarat telah dilicinkan dengan kertas pasir, dicat hitam dan sedia untuk ditunggang hari-hari ke sekolah. Sembang-santai saya di bawah ini, menyelak apa persediaan mental dan persiapan yang menjadi routin budak kampung ini setiap pagi sebelum memulakan kayuhan basikal ke sekolah.

Soalan: Ayah akan mula melakar sejarah berulang-alik ke sekolah kayuh basikal sejauh 50 km tiap-tiap hari mulai pagi tu. Apa persediaan mental Ayah pada hari pertama persekolahan?
Jawapan: Malam itu Ayah tidur awal. Sebelum tidur, Ayah membulat tekad untuk mengharung apa juga cabaran dan rintangan, meredah gelap, hujan, panas, ribut, petir, penat, lapar dan dahaga untuk memastikan Ayah berada di sekolah setiap hari pukul 7.00 pagi untuk memulakaan sesi persekolahan.

Soalan: Boleh ke Ayah tidur malam tu dengan kepala macam-macam nak fikir?
Jawapan: Ayah paksa diri supaya tidur dengan hanya beralaskan bantal dan tikar mengkuang. Lepas tu Ayah hembus pelita minyak tanah dan letakkan di sisi supaya mudah dicapai untuk pasang semula pelita itu dengan mancis kayu bila sedar dari tidur pagi esok.

Hembus pelita, keadaan rumah gelap
Hembusan pelita tu sekali gus keadaan dalam rumah jadi gelap. Ayah merengkok seluruh badan dalam kain pelikat untuk berlindung dari kedinginan malam dan mengelak dari digigit nyamuk yang sering mengganggu tidur. Tak lama lepas itu, Ayah terlena dibuai mimpi.

Soalan: Pukul berapa Ayah bangun tidur untuk bersiap ke sekolah?
Jawapan: Pukul 4.00 pagi. Ayah dikejutkan oleh kesejukan malam di kampung terpencil yang terlalu menusuk tubuh yang terdedah tidak berbaju dan tidak berselimut masa tidur.

Soalan: Pukul 4.00 pagi? Awal gila, lepas bangun ayah buat apa dulu.?
Jawapan: Ayah perlu sedia sarapan sendiri. Sambil ikat kain pelikat, ayah bawa pelita jalan ke dapur, buat unggun api dari ranting kayu getah atas tungku untuk jerang air panas, guna cerek tembaga yang hitam-legam diliputi arang tebal yang telah lama tak dikikis.

Soalan: Ayah buat sarapan sendiri pagi buta sebelum sekolah? Nenek tak masak untuk Ayah ke?
Jawapan: Biasanya Ibu yang sedia sarapan. Tapi pagi tu dia masih lena dan Ayah tak nak ganggu dia. Tapi lepas tu Ibu terjaga. “Nak! Engkau buat apa Nak!” tanya Ibu. “Masak air Mak. Mak tidurlah, esok kan Mak kena bangun awal pagi, pergi menoreh?” kata Ayah

Soalan: Lepas tu Nenek bangun ke terus sambung tidur?
Jawapan: Ibu tak sampai hati melihat Ayah keseorangan di pagi buta untuk memasak air dan menyediakan sarapan pagi. Ibu bangun dan keluar dari kelambu dan merapati Ayah yang ketika itu sedang tercari-cari lebihan makanan dalam periuk yang boleh dijadikan alas perut supaya lebih bertenaga untuk menongkah basikal ke sekolah yang jauh dan memerlukan tenaga yang banyak.

Tapi periuk-periuk yang berada di atas tungku semuanya tidak berisi. “Engkau pergilah mandi dulu, nanti Mak rebuskan ubi kayu,” kata Ibu.

Soalan: Ayah mandi dalam kolam pagi-pagi buta?
Jawapan: Ya. Ayah capai pelita minyak tanah dan jalan keluar rumah ke kolam untuk mandi.

Keadaan luar rumah amat gelap, sejuk dan sepi. Hanya suara cengkerik yang bersahut-sahutan tak henti, ‘kik, kik, kik… kik, kik, kik’, diselangi suara katak memanggil hujan, ‘krrok … krrok … krrok’, dan suara burung tukang, ‘kang .. kang .. kang .., kang, kang, kang ’, seperti suara ketukan tukul besi tukang buat rumah, yang bunyi mulanya lambat, lepas tu laju. Bagi Ayah yang telah serasi dengan kehidupan kampung, suasana begini tidak menakutkan malah jiwa dan perasaan Ayah merasa amat tenteram.

Keadaan luar rumah gelap, sejuk dan sepi
Soalan: Ayah tak takut ke hantu dalam gelap luar rumah sorang-sorang? Kan orang kata, hantu banyak kat kampung, sebab hantu suka duduk dalam gelap?
Jawapan: Tak pulak rasa takut. Sebab dalam gelap Ayah tak nampak hantu. Kalau nampak, Ayah ajak la dia mandi sekali!

Soalan: Mandi dalam kolam tu tak ada ikan ke?
Jawapan: Ada! Ada banyak ikan haruan, keli dan puyu dalam kolam tu. Tapi sebelum rendam badan dalam kolam Ayah cakap, “Hai ikan! Engkau jangan gigit aku masa aku mandi.” Lepas tu ikan tak ada kacau Ayah mandi.

Soalan: Ayah tak gosok gigi ke sebelum mandi rendam badan dalam kolam?
Jawapan: Gosok..!! Ayah gosok gigi dengan jari telunjuk. Lepas tu sembur air dari mulut ke dalam kolam.

Soalan: Haa..?? Ayah gosok gigi pakai jari telunjuk? Kenapa tak pakai berus gigi?
Jawapan: Mana ada berus gigi. Lagi la pulak ubat gigi, lagi tak ada..!! Lepas tu jawabnya, jari telunjuk la jadi berus gigi.

Soalan: Hahahaha!! Lepas tu Ayah masuk rumah, pakai baju siap nak pergi sekolah?
Jawapan: Ya, banyak betul soalan kau.

Soalan: Hehe.. Lepas tu.? Ayah sarapan sebelum pergi sekolah?
Jawapan: Ya! Tapi hanya segelas air teh O. Masa tu dah pukul 4.30 pagi. “Alamak, dah lambat ni!” bisik Ayah dan terus ke dapur untuk sarapan. “Nak, minum dulu Nak,” sapa Ibu sambil menuangkan air teh daripada teko yang tidak bertutup ke dalam gelas. “Sekejap lagi ubi rebus tu masaklah, boleh engkau makan bagi alas perut,” kata Ibu lagi.

Ayah fikir kalau nak tunggu ubi rebus yang baru diletak atas tungku sampai masak, pasti akan lambat sampai sekolah. “Tak apalah Mak, dah lambat ni! Saya pergi dulu,” jawab Ayah lalu mencapai pelita minyak tanah dan beredar untuk memulakan perjalanan ke sekolah.

Soalan: Habis! Nenek tak menyesal ke?
Jawapan: Dari raut mukanya, Ayah dapat baca perasaan Ibu yang sangat kesal kerana dia bangun lewat sehingga anaknya tidak sempat bersarapan pagi. Dia lebih kesal bila memikirkan anaknya pasti lapar dan keletihan untuk kayuh basikal sejauh itu ke bandar tanpa sarapan pagi dan akan pulang lewat petang.

Soalan: Lepas tu Ayah kayuh basikal dengan perut kosong tu.?
Jawapan: Ya. Masa tu keadaan luar rumah masih gelap. Percikan cahaya bintang-bintang di langit tak cukup untuk memandu Ayah cari basikal dalam gelap awal pagi. Dengan bantuan cahaya pelita, Ayah tarik basikal yang tersandar di tiang rumah dan menyuluh dinamo untuk pastikan kepala dinamo tertekan di sebelah tepi tayar supaya ia bepusing untuk menghasilkan tenaga cahaya di mentol lampu bahagian hadapan apabila roda basikal digerakkan.


Campak pelita dan mula kayuh basikal

Sebelum mulakan perjalanan Ayah lihat ke kiri, ke kanan dan memandang jauh ke hadapan yang gelap untuk memastikan jalan dan arah sebenar yang akan dilalui. Setelah pasti, Ayah hembus api pelita dan campakkan pelita ke tepi tiang rumah lalu menadah kedua belah tangan,

“Ya Allah! Selamatkan perjalananku dan Engkau permudahkanlah urusanku. Amin!”.

Maka bermulalah kayuhan basikal yang akan melakar sejarah baharu dalam alam persekolahan Ayah yang pastinya penuh dengan cabaran!

Bersambung …