July 22, 2017

EPISOD 2 BERHENTI ATAU SAMBUNG SEKOLAH?


EPISOD 2
BERHENTI ATAU SAMBUNG SEKOLAH?
AZZAD MUZAHET

Dalam Episod 1 yang lalu, saya ‘highlight’ zaman persekolahan tahun 60-an yang daif kalau dibandingkan dengan sekolah zaman sekarang. Dalam Episod 2 ini, saya bawa isu dilema budak-budak dulu untuk bersekolah dan menyambung prsekolahan.

Zaman sekarang, budak-budak pergi sekolah jalan kaki sebab sekolah dekat. Kalau pun jauh sikit, naik basikal atau naik bas sekolah. Yang ramainya, kalau di bandar emak ayah akan hantar naik kereta sampai depan pintu sekolah. Pendek kata, kalau nak pergi sekolah memang tak ada masalah. Yang jadi masalah ialah budak-budak yang tak nak pergi sekolah.

Tapi lain keadaannya di zaman 60-an. Bukan sahaja faktor miskin tetapi jarak sekolah yang jauh melebihi 20 km dari rumah menjadi dilema budak-budak yang nak sekolah. Ikuti sembang-santai saya dengan seorang budak kampung yang pernah berhadapan dengan masalah itu.
.
Soalan: Ayah lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1967. Bagi budak-budak sekarang, SRP tu biasa jer tak ada apa yang istimewa. Boleh cerita sikit apa yang istimewanya kejayaan Ayah masa tu?
Jawapan: Sebagai anak orang miskin yang serba-serbi kekurangan, kejayaan itu pastinya menggembirakan, istimewanya bagi Ibu Ayah (Nenek engkau).

Ayah masih ingat, masa balik sekolah semak keputusan periksa, Ibu baru balik dari menoreh getah. Ayah jumpa Ibu, cium tangan Ibu dan beritahu, “Mak, saya lulus periksa!” Ibu terus tarik tangan Ayah dan peluk Ayah. “Syukur Nak..! Engkau anak Emak. Emak sayang engkau Nak..! Mak nak engkau jadi orang pandai Nak..!” kata Ibu menangis gembira dan air matanya dapat Ayah rasa membasahi bahu sebelah kiri Ayah.

“Mak! Saya jadi pelajar terbaik periksa SRP kat Sekolah,” kata Ayah lagi. Ibu tersentak dan dengan tidak semena-mena, Ibu menjerit, “Ya Allah..! Ya Allah..! AlhamdulilLah..! AlhamdulilLah! Syukur…!” jerit Ibu, mendongak kepala dan menadah kedua-dua tapak tangan ke atas.

Soalan: Kenapa Nenek ‘touching’ sangat bila Ayah kata lulus periksa dan jadi pelajar terbaik?
Jawapan: Ya, memang ‘touching’. Sebab dialah satu-satunya Ibu kat kampung tu yang ada kesedaran supaya anak-anaknya maju dalam pelajaran.

Satu-satunya Ibu di kampung yang ada kesedaran pentingnya pendidikan bagi anak-anak 
Ayah masih ingat, walaupun Ibu butahuruf, tak pernah sekolah, tak tahu baca, tak tahu tulis, tetapi pada waktu malam lepas solat Maghrib dan mengaji al-Quran bersama bapa Ayah (Atuk engkau), Ibu akan suruh anak-anaknya baca buku sebelum tidur. Ibu sendiri akan cari dan pasang pelita minyak tanah, letak tengah rumah dan panggil anak-anaknya kumpul dan baca buku kat situ. Ibu akan duduk di sisi pelita, perhati anak-anaknya baca buku walaupun dia sendiri tak tahu apa yang anak-anaknya baca. Dia akan tersenyum simpul dan puas hatinya kalau tengok anak-anaknya baca buku. Itulah keistimewaan Ibu yang Ayah tak kan lupa sampai bila-bila.

Ibu pasang pelita tengah rumah dan panggil anak-anak kumpul dan baca di situ
Soalan: Nenek teringin sangat Ayah terus sekolah dan jadi orang pandai!
Jawapan: Betul. Itulah yang jadi dilema Ayah masa tu. Sama ada nak sambung sekolah atau berhenti sekolah setakat lulus SRP.

Soalan: Apa maksud Ayah? 
Jawapan: Ayah tak boleh sambung Sekolah Menengah Seri Menanti, Muar. Sebab sekolah itu hanya untuk Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3. Untuk terus belajar Tingkatan 4 ayah kena pindah sekolah di bandar yang jauhnya 25 km dari kampung.


Pada tahun 1967, sekolah ini hanya menyediakan pendidikan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 sahaja
Soalan: Apa masalahya nak belajar sekolah di bandar tu?
Jawapan: Masalahnya tak mampu. Kehidupan keluarga masa itu sangat susah, umpama ayam, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Pendapatan keluarga dari menoreh getah di kebun seluas 2 ekar, tak cukup untuk makan sekeluarga. Hasil getah setelah dibekukan dan dimesin hanyalah 2 keping sehari, seberat 5 kg. Dengan harga getah RM0.40/kg mereka hanya dapat $2.00 sehari dari toreh getah. Itupun belum tolak hari-hari yang mereka tak dapat toreh kerana hujan.

Soalan: Kalau naik bas sekolah, berapa tambang masa tu?
Jawapan: $10.00 sebulan

Soalan: Maknanya, kalau bayar tambang bas Ayah pergi sekolah, jawabnya 5 hari keluarga Ayah tak makan? Kalau puasa 1 hari pun dah lapar, ni pulak puasa 5 hari tak makan, boleh pengsan!
Jawapan: Ha..!! Tahu pun engkau. Pandai pun buat kira-kira..!! Ibu semakin resah bila penggal sekolah akan bermula. “Macam mana Nak…? Emak tak mampu nak bayar tambang bas engkau pergi sekolah. Duit $10.00 sebulan tambang bas tu banyak. Duit tu boleh beli beras untuk kita makan sekeluarga,” kata Ibu.

“Emak tak nak engkau berhenti sekolah Nak! Emak nak tengok engkau jadi orang pandai sebelum emak tak ada lagi di dunia ini. Tapi macam mana Nak?” kata Ibu lagi, mula menitiskan air mata yang mengalir melalui pipi yang sudah mulai kendur, menampakkan beberapa garis kedutan di bawah matanya.

Soalan: Habis tu..!! Apa jalan penyelesaian Ayah masa tu?
Jawapan: Ayah renung wajah Ibu dan kata dalam hati. “Engkau tidak pernah putus mendoakan kejayaanku. Berkat doamu, aku jadi pelajar terbaik. Aku janji pada diriku, aku takkan sia-siakan doa dan harapanmu. Aku mesti sambung sekolah. Aku sanggup berkorban walau apa sekalipun asalkan aku dapat teruskan pelajaranku.”

Soalan: Ya la..!! Ayah janji pada diri Ayah nak sambung sekolah. Tapi Ayah nak naik apa?
Jawapan: Ayah kata pada Ibu. “Macam ni la Mak. Tak payah naik bas. Saya sanggup naik basikal,” Ayah kata, merenung wajah Ibu yang mengesat kedua belah matanya dengan lengan baju sebelah kiri. “Mak jangan bimbang. Kalau bas boleh sampai sekolah, takkan basikal tak boleh? Lagipun, bas tak boleh masuk dalam kawasan sekolah, tapi basikal boleh? Kalau macam itu, lagi bagus naik basikal dari naik bas!” Ayah kata untuk tenteramkan kesedihan Ibu.

“Tapi, sekolah di bandar Muar tu kan jauh Nak!” kata Ibu yang masih belum yakin. “Ala, jauh manalah Bandar Muar tu Mak! Kalau kita nak cari ilmu, jangan kira jauh atau dekat.

Soalan: Wah..!! Nenek mesti hepi dengan keputusan Ayah!
Jawapan: Memang! Hepi sangat. Dia tak sangka Ayah sanggup berkorban sampai macam tu. Sebab tak ada sorang pun anak orang kampung masa tu yang sanggup kayuh basikal sejauh tu setiap hari untuk berulang-alik ke sekolah. “Nak! Engkau anak Emak. Emak doakan engkau berjaya,” kata Ibu, tersenyum puas, memegang erat tangan Ayah.

Soalan: Jadi, masalah Nenek selesai la..!
Jawapan: Masalah Nenek selesai. Tapi masalah Ayah belum selesai. Basikal mana yang akan Ayah tunggang hari-hari ke sekolah?

Ayah terbayang basikal buruk yang Ayah tunggang ulang alik sekolah sebelum tu. Hampir separuh rangka basikal tu dah karat, tempat duduk yang dah nampak separuh besi, tak ada brek, tak ada sayap, tak ada lampu depan, tayar yang dah nampak dawai dan karier besar di belakang.

Basikal ‘togel’ tu betul-betul kelakar! Kalau Ayah naik basikal tu pegi Bandar Muar, mesti semua orang gelak kat Ayah!

Soalan: Ha ha ha … Memang kelakar basikal ‘togel’ macam tu, ha, ha, ha…! Habis Ayah buat macam mana?
Jawapan: Pagi itu Ayah mula buat operasi baiki basikal togel. Semua bahagian basikal Ayah tanggalkan. Kedua-dua roda depan dan belakang, karier besar dan tempat duduk yang telah nampak besi, semua dah tanggal. Kini basikal tu hanya tinggal rangka. Sehari suntuk Ayah kikis rangka besi basikal yang karat dan gosok dengan kertas pasir.

Sambil gosok dengan kertas pasir, Ayah cakap pada basikal togel tu. “Kalau aku habis kikis besi karat kat badan engko ‘togel’ dan gosok dengan kertas pasir bagi licin, kemudian aku cat hitam. Perghhh…! Nampak macam basikal baru!” Ayah kata pada basikal togel yang bisu dengan penuh semangat.


Soalan: Ha ha ha …Lepas itu Ayah tungganglah basikal togel bisu tu hari-hari pegi sekolah! 25 km pegi dan 25 km balik. Jumlahnya 50 km hari-hari. Wow! Jauh tu dan pasti mencabar..!
Jawapan: Memang. Pastinya mencabar. Kalau sehari dua naik basikal togel tu tak apa..! Ini hari-hari. Selama 2 tahun pulak tu sampai periksa SPM ..!!

Bersambung …