EPISOD 1
SEKOLAH ZAMAN 60-AN
AZZAD MUZAHET
Mungkin ramai di kalangan anda masih ingat pengalaman bersekolah pada zaman 60-an. Tapi bagi generasi muda seperti saya, pengalaman sedemikian tidak pernah tergambar dalam fikiran, pastinya kerana perjalanan hidup yang berbeza dalam era yang berlainan. Saya berkesempatan bersembang-santai dengan seorang yang pernah merasai sendiri pengalaman bersekolah pada zaman itu.
Soalan: Ayah, dulu Ayah mula sekolah tahun berapa ehh?? Zaman pra-merdeka ke??
Jawapan: Ayah lahir sebelum merdeka. Mula sekolah tahun 1959, dua tahun lepas Malaya Merdeka.
Soalan: Owh, lepas merdeka rupanya. Banyak ke beza zaman persekolahan dulu dan sekolah sekarang?
Jawapan: Bezanya umpama langit dan bumi..!! Sekolah sekarang kerajaan yang bina kosnya ratus ribu, ada yang berjuta ringgit. Bangunan simen, cantik-cantik, kukuh dan bertingkat-tingkat. Kemudahan bagus, peralatan sekolah semua cukup. Murid ramai, guru pun ramai, kelulusan tinggi pulak tu!
Tapi dulu masa Ayah sekolah, keadaan sekolah sangat daif.
Tapi dulu masa Ayah sekolah, keadaan sekolah sangat daif.
Sekolah kebangsaan Tanjung Tohor di bina oleh kerajaan |
Jawapan: Memanglah. Orang ada daif, sekolah pun ada yang daif. Kenapa Ayah kata sekolah dulu daif? Sebab sekolah Ayah masa dulu sekolah papan. Orang kampung yang bina sekolah tu secara gotong royong. Separuh je bangunan sekolah ada dinding papan. Bahagian atas lopong tak ada dinding sampai ke bumbung. Lantai simen dah pecah-pecah. Bumbung pulak zink dah karat, bocor sana-sini. Kalau hujan tu menitik-nitik air kat kepala. Kalau tengahari panas gila.
Soalan: Owh…!! Daif betul sekolah Ayah masa dulu. Kesian
Jawapan: Memang daif. Tapi walaupun daif, sekolah tu sangat penting untuk murid-murid sekolah kebangsaan sebelah pagi dan sekolah agama sebelah petang.
Lakaran Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor, 1959. Sekolah ini dibina oleh penduduk kampung secara gotong royong |
Soalan: Apa nama sekolah Ayah masa tu ya?
Jawapan: Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor, Muar
Soalan: Habis kalau bangunan sekolah tu daif, ada ke bilik darjah?
Jawapan: Ada. Ada 6 bilik darjah. Bilik-bilik darjah tu pulak bersambung dan cuma disekat dengan skrin ‘softboard’ yang dah uzur, lubang sana lubang sini. Kerusi dan meja pulak bukan macam sekarang, satu murid satu kerusi satu meja. Tapi dulu meja dan kerusinya panjang. Ada yang dikongsi dua orang dan tiga orang.
Soalan: Dalam bilik darjah tu ada berapa orang murid?
Jawapan: Sekolah tu ada 35 orang murid. Darjah 1 ada 10 orang, Darjah 2 ada 8 orang, Darjah 3 ada 8 orang dan Darjah 4 ada 9 orang , bercampur umur antara 10 sampai 14 tahun.
Soalan: Aikk.!! Darjah 4 pun ada budak umur 14 tahun? Biar betul..!!
Jawapan: Memang betul. Sebab dulu budak kampung yang nak sekolah tak ramai. Kalau nak bukak kelas Darjah 5 dan Darjah 6, muridnya tak cukup. Nanti satu kelas tu ada 2 orang murid. Macam mana?
Soalan: Cikgu pulak ada berapa orang?
Jawapan: Cikgu ada 3 orang. Cikgu Suhaimi (Guru Besar) ajar Darjah 2. Cikgu Mahfoz ajar Darjah 1 dan Darjah 3 dan Cikgu Zainal ajar Darjah 4. Semua cikgu kena ajar semua mata pelajaran bagi darjahnya.
Soalan: Ayah kata ada sorang Cikgu tu ajar 2 kelas! Macam mana tu? Ajar 2 kelas dalam satu masa? Tak ke hura-hara?
Jawapan: Memang huru-hara. Bila Cikgu Mahfoz pegi ajar Darjah 3, budak-budak Darjah 1 mula riuh-rendah. Ada yang berlari, ada yang diri, ada yang cuit sana, cuit sini, ada yang gurau dengan murid Darjah 2 kat sebelah, julur jari, julur tangan lalu lubang skrin. Cikgu pulak masa mengajar cakap kuat-kuat. Suara Cikgu mengajar Darjah 4 boleh di dengar budak-budak Darjah 1. Haa..!! Cuba kau bayangkan, tak ke riuh-rendah dan huru-hara sekolah masa tu.
Soalan: Perghhh.!! Mau pening kepala kalau sekolah kat sekolah Ayah dulu!
Jawapan: Ha..!! Tahu pun engkau! Tanya apa beza sekolah dulu dan sekolah sekarang! Tuh la bezanya.
Soalan: Masa dulu Ayah sekolah pakai buku apa?
Jawapan: Tak ada pakai buku. Buku tulis pun tak ada. Semua murid Darjah 1 pakai papan batu untuk tulis dan kira. Masuk Darjah 3 baru ada buku tulis.
Papan batu untuk menulis dan mengira |
Soalan: Tulis pakai papan batu? Apa rupa papan batu tulis tu?
Jawapan: Papan batu tu dibuat dari simen tipis. Saiznya lebih kurang saiz A4. Pemukaannya halus, dengan bingkai kayu disekelilingnya. Permukaan bahagian depan ada tiga garisan halus. Garisan pertama dan kedua rapat sikit manakala garisan ketiga jarang sikit dari garisan kedua. Tujuannya supaya murid-murid tulis rumi dan jawi dengan lurus ikut garisan. Di permukaan bahagian belakang cuma ada garisan-garisan lebar untuk murid-murid tulis angka dan buat kira-kira.
Soalan: Kalau nak tulis atas papan batu tu nak kena pakai apa? Boleh pakai pensil biasa?
Jawapan: Pakai pensil biasa? Mana boleh. Pensil biasa tu hitam, papan batu hitam, nak nampak apa?
Soalan: Habis..!! Nak tulis kena pakai apa?
Jawapan: Kena guna pensil batu. Pensil tu dibuat dari simen, bentuknya bulat macam saiz pensil biasa dan panjangnya 5 inci.
Soalan: Oh..!! Macam tu. Habis, cikgu mengajar pun pakai papan batu?
Jawapan: Eh, mana pulak! Cikgu mengajar pakai papan hitam yang besar tergantung depan bilik darjah. Cikgu tulis kat papan hitam pakai kapur tulis. Warnaya macam-macam, putih, biru, kuning, hijau, oren.
Soalan: Tadi Ayah kata kalau tengahari dalam sekolah rasa panas gila. Sekolah Ayah dulu tu tak ada kipas angin ke?
Jawapan: Engkau ni biar betul! Kipas angin mana ada masa tu! Yang ada angin ‘original’ yang tak payah pakai letrik, yang bertiup dari luar sekolah. Dulu zaman Ayah, mana ada letrik! Air paip pun tak ada. Zaman Ayah dulu, lepas Maghrib jer semua kampung gelap gelita. Dalam rumah, orang kampung pakai pelita minyak tanah. Nak mandi, dekat kolam. Nak minum, nak masak, guna air hujan yang ditadah dalam tempayan besar.
Tempayan |
Soalan: Tadi Ayah kata sekolah Ayah tak ada air paip? Biar betul Ayah ni? Habis! Kalau nak buang air dalam tandas kat sekolah macam mana?
Jawapan: Kena bawak baldi, tadah air kat kolah.
Soalan: Tadah kat kolah ke, kat kolam?
Jawapan: Apa pulak! Kolah lain. Kolam lain! Kolah tu binaan dari simen yang besarnya 6 kaki panjang, 6 kaki lebar dan 6 kaki tinggi. Bahagian atas kolah tu ditutup dengan zink dan disambung dari salur ke bumbung sekolah untuk salur air hujan. Air kolah tu diguna untuk mencuci dan untuk minum bagi murid-murid yang tak bawa bekal air minum dari rumah.
Kolah untuk manadah air hujan |
Soalan: Ayah kata, budak-budak sekolah dulu minum air kolah? Tak ada yang kena demam denggi ke? Sebab dalam kolah tu mesti banyak nyamuk aedes!
Jawapan: Nyamuk aedes tak ada masa tu. Yang ada nyamuk tiruk bawak penyakit malaria (ceret birit)
Soalan: Berapa jauh rumah Ayah dari sekolah?
Jawapan: Dekat 2 km
Soalan: Ayah pegi sekolah naik apa? Naik basikal ke?
Jawapan: Mana ada basikal? Mana ada budak-budak naik basikal pegi sekolah masa tu! Semua budak jalan kaki pegi sekolah. Ayah pun jalan kaki dengan ‘kaki ayam’.
Soalan: Haa…!! Kaki ayam! Maksud Ayah, Ayah pegi sekolah tak pakai kasut?
Jawapan: Ya, kaki ayam, tak pakai kasut.
Soalan: Laaa ...! Kelakar betul la Ayah ni. Jalan kaki 2 km pegi sekolah hari-hari tak pakai kasut? Ke Ayah melawak ni?
Jawapan: Itulah... Engkau hidup zaman sekarang, mewah, senang! Celik aje mata, nak apa semua ada, semua boleh dapat. Sebab tu bila Ayah cakap pasal budak dulu pegi sekolah kaki ayam engkau tak boleh nak percaya, tak boleh nak bayangkan.
Tapi Ayah dulu anak orang miskin. Mak ayah tak mampu nak beli kasut pegi sekolah. Jangan nak beli kasut sekolah, nak makan keluarga pun tak cukup.
Macam sekarang. Hari-hari engkau makan nasi. Buka aje mulut, kata nak makan nasi apa, semua boleh dapat - nak nasi baryani, nasi lemak, nasi ayam, nasi Arab! Tapi Ayah masa kecik dulu pun makan nasi jugak, tapi nasi campur dengan ubi kayu.
Soalan: Haaa...! Nasi campur dengan ubi kayu. Abis lauknya apa?
Jawapan: Tak pakai lauk. Gaul dengan kelapa parut campur garam. Telan.
Soalan: Aduhai...! Kesiannya Ayah masa kecik dulu.
Jawapan: Tu la Ayah kata tadi, dulu Ayah anak orang miskin..!! Sebab tu masa Ayah mula-mula masuk sekolah Darjah 1 Ayah dah jual kuih kat sekolah. Nak bantu keluarga. Nak bagi duit kat Ibu!
Soalan: Biar betul..! Budak sekolah Darjah 1, kecik-kecik, jual kuih, nak cari duit, nak bagi kat ibu? Mana ada budak Darjah 1 buat macam tu?
Jawapan: Tu la engko orang, budak-budak sekarang. Bukan fikir nak bagi duit mak bapak..! Nak bagi habis duit mak bapak lagi ada..! Nak belajar mintak duit belanja lebih, nak motosikal, setengah tu nak kereta, minyak kereta pun semua mak bapak tangggung. Belajar pandainya belum tau lagi. Tahunya nak menunjuk nak melaram.
Ayah dulu jual kuih dan nasi lemak kat sekolah. Hari-hari jalan kaki pegi sekolah, tangan kanan Ayah jinjing bakul raga bulat, berisi kuih-muih. Bahu sebelah kiri, Ayah sandang beg mengkuang berisi papan batu.
Bila sampai kat sekolah, ramai murid datang nak beli. Ayah akan kata “Itu kuih, harganya 5 sen. Ini nasi lemak sambal ikan bilis harganya 15 sen.” Selalunya jualan tak habis waktu pagi dan Ayah akan sambung jual pada waktu rehat.
Ayah dulu jual kuih dan nasi lemak kat sekolah. Hari-hari jalan kaki pegi sekolah, tangan kanan Ayah jinjing bakul raga bulat, berisi kuih-muih. Bahu sebelah kiri, Ayah sandang beg mengkuang berisi papan batu.
Bila sampai kat sekolah, ramai murid datang nak beli. Ayah akan kata “Itu kuih, harganya 5 sen. Ini nasi lemak sambal ikan bilis harganya 15 sen.” Selalunya jualan tak habis waktu pagi dan Ayah akan sambung jual pada waktu rehat.
Soalan: Masa mula masuk Darjah Satu, Ayah belum belajar matematik kan? Kalau ada budak-budak beli, Ayah pandai ke nak pulang duit baki?
Jawapan: Kalau setakat 10 sen 20 sen Ayah tahu. Kalau budak beli kuih bagi duit 10, Ayah pulanglah 5 sen. Kalau beli nasi lemak, dia bagi 20 sen Ayah pulanglah 5 sen.
Tapi ada sekali tu Ayah kantoi. Cikgu Mahfoz datang, “Ini apa?” katanya. “Nasi lemak Cikgu” jawab Ayah. “Berapa harganya?” tanya Cikgu Mahfoz lagi. “15 sen Cikgu,” jawab Ayah. Cikgu Mahfoz ambil sebungkus nasi lemak. Kemudian dia seluk saku seluar dan beri wang kertas $1.00 kat Ayah.
Ayah tenung muka Cikgu Mahfoz. Punyalah suka masa tu. Sebab, itulah kali pertama dalam hidup Ayah dapat duit kertas. Lepas tu Ayah masukkan duit kertas itu dalam saku seluar. Cikgu Mahfoz perhati aje gelagat Ayah. “Tadi kamu kata harga nasi lemak ni 15 sen. Saya beri duit $1.00. Kamu kena pulang bakinya pada saya,” kata Cikgu Mahfoz.
Wang kertas satu ringgit dahulu. Cuba banding dengan wang kertas satu ringgit sekarang. Apa bezanya? |
Ayah tergamam. Ayah tak tahu berapa nak bayar balik duit pada Cikgu Mahfoz sebab cikgu belum ajar Ilmu Hisab (Matematik). Tapi Ayah tak mahu Cikgu Mahfoz tahu yang Ayah tak pandai kira. Lalu, Ayah seluk saku seluar, genggam semua duit syiling dan buka genggaman depan Cikgu Mahfoz. Cikgu ambil beberapa keping duit syiling 20 sen, 10 sen dan 5 sen dari tapak tangan Ayah. “Cukup Cikgu?” tanya Ayah. Cikgu Mahfoz mengangguk dan beredar balik ke bilik darjah.
Soalan: Wah! Ayah, kecik-kecik dah pandai tipu Cikgu rupanya!
Jawapan: Bukan tipu..!! Cuma nak bayar duit baki kat Cikgu. Salah ke buat macam tu?
Soalan: Tapi memang ‘appreciate’ lah. Budak Darjah 1 dah jual kuih nak bantu keluarga. Kalau budak sekarang, Darjah 1 masih nangis nak pergi sekolah. Itupun mak ayah hantar pergi sekolah, naik kereta pulak tu! Orang kampung dulu tak ada ke yang puji Ayah bantu keluarga masa itu?
Jawapan: Masa itu orang kampung semuanya susah. Mereka tak kisah. Masing-masing dengan cara masing-masing untuk sara keluarga. Cuma ada sorang Cina kat kampung tu puji Ayah.
Soalan: Aa..!! Orang Melayu tak ada puji, orang Cina pulak yang puji? Macam mana tu?
Jawapan: Masa tu balik sekolah, lalu depan rumah Cina, kena kejar angsa. Ayah jerit, “Tolong… tolong… tolong…!”. Tapi tak ada orang kat jalan masa tu. Lepas tu, Nyonya rumah tu keluar dan halau angsa-angsa tu dan gamit Ayah. “Mali sini,” jerit Nyonya tu.
Balik sekolah dikejar angsa |
Ayah belari kat Nyonya tu. “Lu apa bawa lalam bakut?” tanya Nyonya. “Saya tolong emak, jual kuih itu sekolah,” jawab Ayah. “Wa.. kicik-kicik sulah panlai tolong emak juat kuih! Apa itu kuih juat?” tanya Nyonya. “Kuih mayang pinang!” jawab Ayah. “Oh! Kuih ma…yang.. pi…nang!” kata Nyonya, tergelak sebab dia susah nak sebut nama kuih tu.
Lepas tu Nyonya tu pegang bahu Ayah. “Lu anak sangat baik, tolong emak juat kuih,” kata Nyonya. “Terima kasih Nyonya,” kata Ayah, berlari pantas melepasi angsa-angsa yang menjulurkan lehernya.
Bersambung …