December 25, 2016

KEJATUHAN RINGGIT TERBURUK DI ASIA?



KEJATUHAN RINGGIT
TERBURUK DI ASIA?
Dr Muzahet Masruri

Kejatuhan nilai matawang bagi kebanyakan negara di dunia ketika ini adalah disebabkan oleh fenomena global. Di Asia, negara yang mengalami kejatuhan nilai matawang paling buruk ialah Malaysia.


Kejatuhan nilai matawang bermakna nilai ringgit menurun berbanding dengan nilai matawang utama dunia. Selalunya perbandingan dibuat dengan USD kerana matawang ini paling banyak digunakan dalam transaksi perdagangan antarabangsa.


Nilai ringgit jatuh ke paras RM4.44/USD pada 22 November 2016 berbanding RM3.80/USD pada tahun-tahun sebelumnya. Nilainya semakin menurun kepada RM4.47/USD pada 23 Disember 2016 dan dijangka akan terus menurun.

Kejatuhan nilai ringgit ada kebaikannya

Kita selalu mendengar kenyataan di TV, media elektronik dan cetak supaya rakyat tidak perlu bimbang kerana kejatuhan ringgit mempunyai kesan positif kepada ekonomi Malaysia. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Harga barangan eksport yang dikeluarkan di Malaysia akan menjadi murah dan kompetitif. Kesannya, permintaan bagi barangan keluaran negara akan meningkat dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan eksport.

2. Barangan yang diimport dari negara luar akan menjadi lebih mahal dan permintaannya akan berkurangan. Kesannya akan mengurangkan perbelanjaan negara bagi barangan import.

3. Dengan peningkatan pendapatan eksport dan pengurangan perbelanjaan import akan menyebabkan 'imbangan perdagangan’ (terms of trade) akan menjadi positif. Pada masa yang sama ia juga akan mengurangkan ‘defisit akaun semasa’.

4. Kejatuhan nilai ringgit akan menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia kerana kos sara hidup yang murah, seperti kos perjalanan, pengangkutan, hotel, restauran dan perkhidmatan lain yang secara relatifnya murah. Kesannya, ia akan meningkatkan pendapatan negara dalam sektor ini. 

5. Kejatuhan nilai ringgit juga akan mengurangkan ringgit dibelanjakan di luar negara. Ini kerana bilangan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara dan pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara akan berkurangan disebabkan kos yang mahal. Dengan itu, aliran keluar ringgit ke luar negara akan berkurangan dan bekalan ringgit dalam negara akan stabil.

Benarkah kejatuhan ringgit menguntungkan Malaysia?

Daripada mata kasar, kenyataan-kenyataan tersebut ada kebenarannya. Tetapi realitinya ia tidak semudah seperti yang dijangkakan. Antara sebabnya:

1. Barangan eksport Malaysia akan murah dan kompetitif kalau hanya ringgit sahaja yang mengalami kejatuhan nilai matawang. Tetapi kalau kebanyakan negara lain juga mengalami kejatuhan matawang, barangan mereka juga akan menjadi murah dan kompetitif. Dalam hal ini, eksport barangan Malaysia tidak semestinya meningkat.

2. Bayaran kepada import negara tidak semestinya akan menurun. Ini kerana banyak sektor ekonomi dalam negara, seperti industri dan perkilangan di negara ini yang memerlukan barangan modal dan barangan pengantara yang perlu diimport, seperti komponen, alat ganti, aksesori dan lain-lain untuk mengeluarkan ‘final product’ mereka. Cuba bayangkan industri pengeluar seperti Proton dan Perodua, berapa banyak bahagian komponen yang perlu diimport untuk mengeluarkan sebuah kereta?

3. Bayaran kepada import negara juga tidak semestinya menurun kerana rakyat Malaysia bergantung kepada sebahagian besar barang makanan dan minuman yang diimport bagi keperluan isirumah. Cuba lihat di dapur kita, lebih 50% daripada barangan adalah diimport. Tetapi kita tidak akan ‘sacrifice’ untuk tidak makan sambal tumis disebabkan cili kering, bawang besar, bawang kecil, bawang putih dan rempah ratus itu adalah diimport dari India dan harganya telah meningkat.

4. Begitu juga dengan industri pelancongan, kalaupun meningkat mungkin dalam peratusan yang sangat kecil. Pelancong yang berfikir hendak datang ke Malaysia bukan semata-mata disebabkan nilai ringgit turun. Lagipun lebih 50% daripada 26 juta pelancong pada 2014 yang dicatat oleh Kementerian Pelancongan adalah warga Singapura. Ramai mereka datang menginap semalam dua di hartanah yang mereka beli di Malaysia, guna petrol murah, makan-makan, guna tandas awam percuma di lebuhraya, kemudian balik. Selebihnya adalah pelancong Indonesia (10%) dan China (6%). 

Kesimpulan

Nampak pada zahirnya bahawa realitinya, penurunan nilai ringgit lebih meninggalkan kesan negatif daripada positif ke atas ekonomi Malaysia ketika ini. Yang pasti ialah kejatuhan ringgit akan memberi tekanan kepada peningkatan inflasi dan kenaikan harga barang-barang yang sering menjadi rungutan pengguna. Yang lebih ditakuti ialah dalam keadaan ekonomi negara yang lesu dan ketiadaan usaha-usaha drastik bagi memulihkan ekonomi, kejatuhan ringgit akan melunturkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini. Ini kerana kejatuhan nilai matawang yang ketara adalah antara indikator yang menunjukkan keadaan ketakstabilan ekonomi sesebuah negara.

Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom.