December 20, 2016

Jawatankuasa Khas Ekonomi Gagal dan Perlu Dibubarkan


JAWATANKUASA KHAS EKONOMI GAGAL
DAN PERLU DIBUBARKAN
Dr Muzahet Masruri

Sudah 8 tahun Majlis Ekonomi ditubuhkan pada 30 Julai 2008 tetapi tidak ada langkah-langkah konstruktif yang diambil oleh Majlis ini bagi mengatasi kelembapan ekonomi yang telah berlarutan sekian lama. Berikutnya, pada 20 Ogos 2015 sebuah Jawatankuasa Khas Ekonomi pula ditubuhkan yang memainkan peranan dan fungsi yang sama. Tetapi hasilnya juga sama.

Ternyata kedua-dua badan ini tidak berupaya untuk memulihkan ekonomi negara yang telah semakin lesu. Benarlah kata Tun Daim, “Kita boleh lihat tahap kebolehan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu. Mereka gagal sama sekali. Kumpulan ini mesti dibubarkan.”

Kita bukan tidak pernah berpengalaman dalam mengendali ekonomi semasa krisis, malah lebih serius, apabila ekonomi negara dilanda Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997/8. Tetapi Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang ditubuhkan pada 7 Januari 1998 ketika itu sangat efektif dan telah berjaya memulihkan ekonomi negara, daripada pertumbuhan negatif KDNK -7.4% (1998) kepada positif 6.1% (1999) dan 8.3% (2000).

Terbukti, MTEN telah berjaya memulihkan ekonomi yang dilanda krisis dalam tempoh hanya setahun! Bukan itu sahaja, malah badan antarabangsa, seperti IMF telah mengiktiraf secara terbuka, “Malaysia had handled the 1997/98 regional financial crisis the right way.” (IMF, Sept 4, 2003).

Apa resipi kejayaan MTEN?

MTEN bukan ditubuhkan sebagai sebuah 'Jawatankuasa'. Tetapi ia adalah sebuah entiti yang di dalamnya mengandungi ‘think tank’ serta mekanisme pelaksanaan berbagai peringkat yang diwakili oleh pemimpin dan agensi di seluruh negara (sila lihat Struktur dan Fungsi MTEN). 



Integriti MTEN diyakini serta mendapat sokongan rakyat pelbagai peringkat, termasuk sektor swasta. Kelemahan-kelemahan ekonomi tidak disembunyikan di bawah karpet. Sebaliknya, ia dikumpul melalui ‘feedbacks’ daripada orang ramai dan dibincang semula di dalam MTEN bagi penambahbaikan.

Soalnya, kenapa kita malu untuk menggunakan pengalaman yang kita ada dan telah terbukti kejayaannya, semata-mata kerana tidak mahu dilihat sebagai meniru orang lain? Sedangkan pengalaman tersebut telah menjadi bukti yang tercatat dalam sejarah Malaysia sebagai keadah pengendalian ekonomi yang berjaya semasa krisis?

Kalaulah malu hendak menggunakan nama MTEN, gunalah nama lain. Asalkan mekanismenya berupaya dan berkesan. Berhentilah bermesyuarat dalam 'jawatankuasa' dan selepas mesyuarat ambil tindakan secara alah kadar sahaja. Bak kata orang 'asal ada'.

Faktor global di luar kawalan kita

Kita sering diberitahu bahawa kelembapan ekonomi sekarang adalah berpunca daripada faktor global yang di luar kawalan kita. Benar! Situasi yang sama juga dihadapi oleh MTEN di mana serangan ke atas ekonomi Asia 1997/98 adalah di luar kawalan kita.

Tetapi, wajarkah dengan sebab faktor itu, kita hanya berpeluk tubuh dan mengipas-ngipas menyalahkan pihak lain yang menyebabkan ekonomi kita bermasalah? Pada masa yang sama kita mewar-warkan kononnya ekonomi kita stabil dan asas-asas ekonomi kita adalah kukuh!

Kalaupun faktor luaran (global) tidak boleh kita kawal tetapi kita ada faktor dalaman (domestik) yang boleh diubahsuai, sebagaimana yang pernah kita lakukan dan terbukti kejayaannya. 

Saya teringat ulasan Tun Daim ketika menyarakan supaya sebuah pasukan pengurusan ekonomi yang baru ditubuhkan dan diberi mandat untuk memperbetulkan ekonomi yang sudah lesu.

“… ahli-ahli pasukan ini mestilah terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kepakaran teknikal yang tinggi, cekap, berintegriti dan berani untuk berkata benar. Mereka yang tidak kompeten dan kurang pandai tidak boleh diberikan tugas ini walau setinggi mana pun kesetiaan mereka kepada ketua.”

Kita bukan petualang yang menentang kerajaan. Tetapi kita mahukan kerajaan yang cekap dan berintigriti yang boleh memakmurkan negara dan rakyat. Janganlah kita bakar kelambu kerana marah pada nyamuk. Kerana yang rugi bukannya nyamuk tetapi rakyat yang sentiasa mengharapkan kesejahteraan hidup dalam negara yang kita cintai.