August 28, 2016

BENARKAH EKONOMI MALAYSIA STABIL DAN KUKUH?
Sejauh Mana Kebenarannya?


BENARKAH  EKONOMI MALAYSIA STABIL DAN KUKUH?
Sejauh Mana Kebenarannya
DR MUZAHET MASRURI

Ekonomi negara mencatat pertumbuhan 4% - 6% bagi tempoh 8 tahun yang lalu (2010-2017) yang secara relatifnya rendah. 

Bagaimanapun, apabila kita menonton Berita di kaca TV atau membaca suratkabar, kenyataan rasmi melaporkan bahawa ekonomi negara adalah stabil dan disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh. Kedua-dua kenyataan ini nampak macam tidak tidak selari.


“Ekonomi Malaysia mempunyai asas kukuh walaupun dalam suasana global yang tidak menentu..” kata Datuk Seri Najib Razak, ketika mengadakan pertemuan dengan sekumpulan pengurus dana terkemuka pada sesi lawatan kerja di San Francisco, Amerika Syarikat, 18 Februari 2016 - Foto BERNAMA

Sebagai rakyat biasa, kita mungkin tidak ambil kisah dengan kenyataan-kenyataan tersebut kerana kita anggap perkara itu tidak penting. Atau, bagi kebanyakan orang lain mereka mungkin berdiam diri kerana tidak memahami fakta-fakta sebenar yang terkandung dalam kenyataan tersebut.

Sebelum menilai sejauh mana kebenaran kenyataan-kenyataan di atas, kita perlu merujuk kepada beberapa fakta yang berkait dengan kenyataan berkaitan. Antaranya ialah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pertumbuhan ekonomi dan asas ekonomi.




Apa maksud Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)?

KDNK adalah petunjuk yang digunakan bagi mengukur saiz sesebuah ekonomi (negara). Dalam definisi yang paling mudah, KDNK bermakna ‘nilai pasaran (wang) bagi semua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam sesebuah negara dalam jangka masa tertentu (contohnya, setahun)’.

Dalam konteks sebuah negara, nilai ini termasuk semua wang yang dibelanjakan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang terlibat dalam kegiatan ekonomi. Misalnya, pengguna (termasuk kita) membelanjakan wang bagi membeli keperluan barangan dan perkhidmatan, peniaga membelanjakan wang bagi keperluan perniagaan, dan kerajaan membelanjakan wang bagi melaksankan program-program pembangunan. Kalau kita campurkan semua wang yang dibelanjakan tersebut, ia sebenarnya adalah jumlah nilai yang dimaksudkan dalam KDNK.

Perangkaan-perangkaan tersebut boleh kita perolehi daripada laporan rasmi, seperti Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atau Bank Negara.Malaysia (BNM).




Apa maksud pertumbuhan ekonomi?

Satu lagi fakta yang dirujuk apabila seseorang bercakap tentang prestasi ekonomi negara ialah Kadar Pertumbuhan KDNK (kadang kala disebut pertumbuhan KDNK, KNK atau pertumbuhan ekonomi). Petunjuk ini digunakan bagi menjelaskan prestasi pertumbuhan ekonomi, iaitu perubahan kadar KDNK dari suatu tahun ke tahun berikutnya.

Bagi menunjukkan kestabilan sesebuah ekonomi, kadar perubahan KDNK dilihat mengikut tempoh siri masa tertentu, misalnya 10 tahun atau 5 tahun. Jika arah alirannya sama, tidak menunjukkan peningkatan atau penurunan yang jelas, ia dikatakan pertumbuhan tersebut adalah stabil.

Pertumbuhan yang stabil tidak semestinya merujuk kepada kadar pertumbuhan yang tinggi

Suatu fakta penting yang perlu diambil kira ialah bahawa pertumbuhan yang stabil tidak semestinya merujuk kepada kadar pertumbuhan yang tinggi. Misalnya, kenyataan rasmi merujuk pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah stabil walaupun purata pertumbuhan KDNK sepanjang tempoh 8 tahun yang lalu, adalah rendah.

Pertumbuhan yang rendah bermakna saiz ekonomi secara relatifnya berkembang secara perlahan. Aktiviti-aktiviti ekonomi dalam negeri, seperti perniagaan, perusahaan dan urusniaga masih berjalan tetapi tidak serancak sebagaimana yang diharapkan seperti tahun-tahun sebelumnya. Sebagai rakyat, kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku, apatah lagi kalau arah aliran pertumbuhan ekonomi tidak menunjukkan peningkatan, sebaliknya menunjukkan tanda-tanda penurunan. 



Apa yang dirujuk dalam Asas Ekonomi yang Kukuh?

Kalau kita bangkitkan persoalan mengenai pertumbuhan ekonomi negara yang rendah sekarang kepada penganalisis atau pakar ekonomi, jawapan yang biasa kita dapat ialah bahawa ekonomi Malaysia adalah stabil dan disokong oleh ‘asas-asas ekonomi yang kukuh’..

Perkataan asas-asas ekonomi dirujuk kepada petunjuk-petunjuk, seperti inflasi, kadar pengangguran, pendapatan per kapita, rizab matawang asing (rizab antarabangsa), lebihan dagangan, defisit, indeks komposit KLSE, dan lain-lain (lihat Jadual di bawah).


Kalau kita menonton Berita di kaca TV atau membaca suratkabar, asas-asas ekonomi yang selalu disebut dalam konteks negara ini ialah inflasi, pengangguran dan defisit fiskal. 

Inflasi. Kadar inflasi yang rendah (2.1%) selalu disebut sebagai menunjukkan asas ekonomi negara yang dikatakan kukuh. Tetapi realitinya, orang ramai, terutamanya suri-suri rumah merungut mengenai kenaikan harga barangan yang tinggi..!.. Dan kalau dah naik tak tahu nak turun...

Pengangguran. Begitu juga kadar pengangguran (3.3%) dikatakan antara yang terendah di dunia kerana daripada segi teori ekonomi, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran kurang daripada 5% dianggap telah mencapai tahap gunatega penuh. Tetapi realitinya, dalam kelembapan ekonomi sekarang, ramai siswazah mengeluh sukar mendapat kerja. Sebaliknya pula, banyak syarikat yang tidak bercadang untuk menambah bilangan pekerja, sebaliknya merancang untuk mengurangkan saiz gunatenaga di syarikat masing-masing.

Defisit. Satu lagi petunjuk yang selalu disebut ialah difisit fiskal yang rendah (-3.2%) yang dikatakan bukti kestabilan ekonomi negara.

Dalam definisi yang paling mudah, defisit fiskal ialah perbelanjaan negara melebihi pendapatan. Defisit fiskal yang rendah perlu dikekalkan kalau ia adalah bagi tujuan perbelanjaan mengurus, seperti bayaran gaji, elaun, BRIM, pelbagai bayaran tunai kepada golongan tertentu, dan lain-lain. Ini kerana perbelajaan seperti ini tidak mempunyai pulangan hasil (retuns).

Tetapi, dalam konteks perbelanjaan pembangunan, defisit perlu bagi meransang aktiviti ekonomi (fiscal stimulus) dalam negeri, melalui kesan rantaian (chain effects) atau kesan pengganda (multiplier effects), terutama dalam keadaan ekonomi yang lembab. Dalam situasi ini, kalau fiscal stimulus tidak diperkenalkan, besar kemungkian ekonomi negara akan terus lembab.

Benarkah ekonomi Malaysia stabil dan kukuh?

Kita perlu waspada kalau ada pihak tertentu yang membuat kenyataan ‘ekonomi negara adalah stabil dan mempunyai asas ekonomi yang kukuh’. Ini kerana,
  • Kestabilan ekonomi bukan merujuk kepada kadar pertumbuhan yang tinggi.
  • Kestabilan ekonomi juga tidak memberi jaminan bahawa ekonomi negara akan terus makmur.
  • Kestabilan ekonomi yang disokong oleh ‘asas-asas ekonomi yang kukuh’ tidak selamanya kekal kerana angka-angka yang dirujuk boleh berubah bila-bila masa.
  • Kestabilan ekonomi negara tidak boleh hanya disandarkan berasaskan petunjuk-petunjuk terpencil, seperti pengangguran, inflasi dan defisit fiskal.
  • Pengalaman lepas membuktikan kepada kita bahawa asas-asas ekonomi yang kukuh tidak berupaya melindungi negara daripada ancaman kegawatan dan kelembapan ekonomi.

Penulis: Dr. Muzahet Masruri, Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom