December 04, 2020


 CETAK DUIT PISANG

DR MUZAHET MASRURI

Saya teringat semasa kecil dahulu, ayah pernah bercerita pasal ‘duit pisang’ sambil menunjukkan sekeping ‘note’ tertulis ‘THE JAPANESE GOVERNMENT, TEN DOLLARS’ yang ada motif setandan buah pisang.

Wang itu digunakan di Tanah Melayu semasa pemerintahan Jepun 1942-45. Pemerintah tentera Jepun telah mencetak bank notes secara berleluasa menyebabkan susut nilai duit pisang jatuh teruk dan mengakibatkan hiperinflasi iaitu kenaikan harga barangan yang terlalu tinggi. Selepas penyerahan Jepun, duit pisang langsung tidak bernilai sehingga hari ini.

Cetak duit Malaysia

Kebelakangan ini terdapat suara-suara sumbang supaya Bank Negara Malaysia mencetak lebih banyak wang untuk diagihkan bagi meningkatkan pendapatan benar serta kuasa beli orang ramai untuk berbelanja. Tujuannya untuk meransang pertumbuhan ekonomi semasa Covid-19 dan menyelesaikan masalah beban kewangan serta hutang Kerajaan Persekutuan yang semakin meningkat.

Berapa banyak hutang Kerajaan Persekutuan?

Hutang Kerajaan Persekutuan 2020 belum diumumkan secara rasmi.

Pada tahun 2019 hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM799.1 bilion (Sumber: Parlimen Malaysia, Hutang & Liabiliti Kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet 2018-2020). Lihat Rajah 1.


Hutang tersebut telah meningkat daripada RM407 bilion pada tahun 2010, iaitu peningkatan hutang sebanyak 93% berbanding 10 tahun lalu. 

Jumlah tersebut dijangka meningkat tinggi bagi tahun 2020 berikutan pelaksanaan pakej rangsangan Perihatin dan inisiatif Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion.

Dari mana sumber pembiayaan Pakej Ransangan dan Belanjawan Kerajaan Persekutuan?

Sumber pembiayaan Kerajaan Persekutuan adalah daripada hutang.

Adakah Kerajaan mampu bayar hutang?

Jawapan kepada soalan ini berkait dengan pendapatan negara, khususnya kedudukan semasa defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan negara) Kerajaan Persekutuan.

Berapa jumlah defisit fiskal Kerajaan Persekutuan?

Menteri Kewangan melaporkan Pelan Pemulihan Ekonomi akan meningkatkan  defisit fiskal Malaysia kepada 5.8% - 6.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020. (The Star, 12 Jun 2020)

Berapa anggaran nilai defisit fiskal Malaysia pada tahun 2020?

Kalau KDNK Malaysia ialah USD367 bilion (World Bank, National Accounts Data, 1960-2019), maka jumlahnya ialah USD367 bilion @ 6% = USD21.84 bilion = RM93.43 bilion.

Ini bermakna pada tahun 2020 Kerajaan akan berbelanja RM93 bilion melebihi daripada pendapatan negara.

Mengapa kerajaan perlu berhutang sedangkan ia boleh arahkan Bank Negara cetak duit lebih untuk menampung perbelanjaan negara?

Mencetak lebih banyak wang tidak meningkatkan output ekonomi. Ia hanya meningkatkan jumlah wang tunai yang beredar dalam negara. Sekiranya lebih banyak wang dicetak dan beredar dalam ekonomi, permintaan pengguna ke atas barangan dan perkhidmatan akan meningkat. Tetapi kalau jumlah barangan yang dikeluarkan oleh firma tidak meningkat, peningkatan permintaan akan mendorong firma bertindak balas dengan menaikkan harga barangan.

Dalam kontkes yang mudah, mencetak wang hanya akan menyebabkan inflasi.  Jika wang dicetak terlalu banyak ia akan menyebabkan hiperinflasi.

Apa itu hiperinflasi? Mengapa ia tidak diingini?

Hiperinflasi bermaksud kadar inflasi melebihi 50% sebulan. 

Hiperinflasi tidak diingini kerana ia meninggalkan kesan buruk ke atas ekonomi. Ia akan menurunkan nilai matawang dengan teruk dan menjadikan matawang tidak bernilai. Kesan terhadap ekonomi negara sangat besar. Antaranya, ia akan mengurangkan pendapatan cukai, menutup perniagaan, meningkatkan kadar pengangguran dan mendorong peningkatan kos sara hidup yang sangat tinggi .

Hiperinflasi juga akan mengherot keyakinan orang ramai dan pelabur di peringkat global ke atas ekonomi Malaysia yang boleh menyebabkan ketidakstabilan dan kerencatan pertumbuhan ekonomi negara.

Apa contoh hiperinflasi?

Contohnya seperti nilai 'duit pisang' semasa pemerintah Jepun di Tanah Melayu 1940an, seperti yang disebut di atas.

Contoh lain:
  • Akibat mencetak wang terlalu banyak, nilai wang Jerman merosot secara drastik; daripada 1 USD = 160 mata kepada 1 USD = 4,200,000,000,000 mata yang meruntuhkan ekonomi Jerman 1920an.
  • Kadar inflasi 79,600,000,000% telah meruntuhkan ekonomi Zimbabwe, 2008.
  • Kadar inflasi Yugoslavia mencecah 116,545,906,563,330% pada tahun 1994 telah membawa kepada keruntuhan ekonomi negara tersebut.

Kesimpulan

Ketika menonton Berita di kaca TV kita sering disajikan dengan mimpi indah bantuan Prihatin dan Belanjawan 2021 yang jumlahnya bernilai berbilion ringgit untuk meringankan beban yang ditanggung oleh semua rakyat. ‘… sama ada anda seorang nelayan di Kukup, pekebun kecil di Jeli, pengusaha chalet di Cherating, penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang … tiada golongan yang akan tercicir. ’ (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Mac 2020).

Timbul persoalan bagaimana kerajaan akan membiayai perbelanjaan dan hutang yang terlalu tinggi sedangkan pada masa yang sama negara sedang menghadapi defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan negara) yang tinggi.

Sebagai rakyat, kita tidak mahu peristiwa pahit ‘duit pisang’ yang pernah dialami ayah ibu dan datuk nenek kita semasa penjajahan Jepun dahulu menjadi mimpi ngeri kepada generasi akan datang.


Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom

Sila click bagi rujukan mengenai Bagaimana Nilai Matawang Ditentukan