January 04, 2017

BAGAIMANA NILAI MATAWANG DITENTUKAN?


4 Januari 2017, kemaskini 16 Julai 2018


BAGAIMANA NILAI MATAWANG DITENTUKAN? 
DR MUZAHET MASRURI

Anda mungkin selalu perhati nilai matawang Malaysia (ringgit) sentiasa turun naik berbanding dollar Amerika atau matawang utama dunia yang lain, seperti euro, yuan, yen dan pound sterling. Kalau anda merancang untuk melancong ke luar negara, Seoul Korea misalnya, anda pasti akan menyemak berapa kadar pertukaran ringgit berbanding won di pusat pengurup wang.


Tetapi, tahukah anda bagaimana nilai matawang ditentukan?

Nilai matawang ditentukan dalam pasaran matawang asing (foreign exchange market - FOREX). Ada dua kaedah bagaimana nilai atau kadar pertukaran matawang ditentukan:

(i) sistem apungan (floating system) dan (ii) penetapan kadar tukaran (fixed exchange rate) atau kadangkala disebut ‘tambatan kadar tukaran’ (pegged exchange rate).

Artikel ini membincangkan sistem apungan (floating syatem). Tambatan kadar tukaran (fixed exchange rate) akan dibincangkan dalam siri akan datang.


Bagaimana nilai matawang ditentukan dalam sistem apungan?

Kebanyakan negara di dunia menggunakan sistem apungan (floating system) bagi menentukan nilai matawang mereka. Dalam sistem ini, matawang diapungkan dalam pasaran matawang asing (FOREX) di mana nilainya ditentukan oleh permintaan dan penawaran ke atas suatu mata wang berbanding dengan matawang lain. Sekiranya permintaan ke atas suatu matawang itu meningkat maka nilainya akan meningkat, dan sebaliknya.


Biasanya nilai matawang dibandingkan dengan matawang utama dunia. Matawang tersebut seperti yang diklasifikasi oleh International Monetary Fund (IMF) dalam Currency Basket yang disemak semula mulai 1 Oktober 2016 ialah USD ($), euro (€) , yuan (¥), yen (¥) dan pound sterling (£). Tetapi selalunya perbandingan dibuat dengan dollar Amerika kerana matawang ini paling banyak digunakan dalam urusniaga perdagangan antarabangsa.

Di mana ibu pejabat FOREX?

Tidak seperti pasaran saham yang biasanya mempunyai bangunan sendiri, seperti Bursa Malaysia yang terletak di Exchange Square, Bukit Kewangan Kuala Lumpur, atau New York Stock Exchange (NYSE) yang terletak di Wall Street, FOREX tidak mempunyai ibu pejabat atau bangunan tersendiri. Pasaran kewangan yang terbesar di dunia ini beroperasi secara ‘decentralise’ dan urusniaga dilakukan secara ‘online’ melalui talian elektronik atau telefon.

Apa faktor penyumbang permintaan matawang?

Seperti disebut di atas, nilai suatu matawang ditentukan oleh permintaan dan penawaran dalam pasaran matawang asing (FOREX). Permintaan ke atas matawang itu pula dipengaruhi oleh banyak faktor. Faktor-faktor tersebut adalah diringkaskan seperti berikut:

i. Imbangan perdagangan, iaitu perbezaan antara nilai export dan import. Perbezaan tersebut menunjukkan kedudukan perdagangan luar sesebuah negara sama ada mempunyai lebihan perdagangan (surplus), iaitu nilai eksport melebihi import; atau kurangan perdagangan (defisit), iaitu nilai import melebihi eksport. Defisit perdagangan menunjukkan implikasi (a) pengurangan permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan, (b) pengurangan permintaan ke atas matawang bagi urusniaga perdagangan dan (c) seterusnya penurunan nilai matawang.

ii. Dasar kewangan, iaitu dasar yang ditentukan oleh bank pusat, seperti bekalan matawang dalam pasaran dan kadar faedah bank. Kadar faedah yang tinggi akan meningkatkan permintaan dan nilai matawang kerana ia akan memberi pulangan yang tinggi kepada pemberi pinjaman dan seterusnya meningkatkan pengaliran masuk modal asing. Kadar faedah yang tinggi juga akan meningkatkan permintaan bagi spekulator matawang, dan jika saiznya besar akan mendatangkan kesan yang tidak diingini bagi sesebuah ekonomi.

iii. Dasar ekonomi merujuk kepada pendapatan dan perbelanjaan negara, iaitu (i) bajet berimbang, yang bermaksud pendapatan bersamaan dengan perbelanjaan, (ii) lebihan bajet (surplus budget), iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan, dan (iii) defisit bajet (kadang kala disebut defisit fiskal), iaitu perbelanjaan negara melebihi pendapatan negara. Pasaran matawang bertindakbalas secara negatif ke atas negara yang mempunyai defisit fiskal yang tinggi. Kesannya ditunjukkan oleh kejatuhan nilai matawang.

iv. Inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli, mengurangkan permintaan ke atas matawang dan seterusnya menurunkan nilai matawang negara berkenaan.

v. Kestabilan politik. Kadar tukaran wang sangat sensitif terhadap ketakstabilan politik sebuah negara. Ketakstabilan politik melemahkan keyakinan pelabur dan keyakinan terhadap matawang negara berkenaan. Dalam hal ini, pelabur biasanya akan menukar pelaburan mereka daripada matawang yang lemah kepada matawang yang kukuh, seperti USD dan euro. Misalnya, perkara ini pernah berlaku berikutan keputusan Amerika Syarikat untuk menaikkan kadar faedah pada 2017

vi. Faktor-faktor lain, seperti pertumbuhan dan kedudukan ekonomi, peluang pekerjaan, jualan di sektor peruncitan, dan petunjuk-petunjuk lain juga mempengaruhi permintaan ke atas matawang.

Kombinasi faktor-faktor di atas menyumbang kepada perubahan turun-naik kadar pertukaran matawang bagi negara-negara yang menggunakan sistem apungan dalam penentuan nilai matawang mereka di pasaran matawang asing (FOREX)

Apa sistem yang digunakan Malaysia?

Malaysia menggunakan sistem apungan (floating system) dalam penentuan nilai ringgit. Malaysia pernah menggunakan kaedah tambatan ringgit (pegging system) semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98, di mana ringgit ditetapkan kepada USD=RM3.80 pada 1 September 1998 bertujuan untuk menghapuskan dana ringgit di luar negara bagi aktiviti spekulatif matawang. Pada 21 Julai 2005 kaedah tambatan ringgit telah ditarik balik.



Kenapa nilai ringgit jatuh?

Pada 19 Disember 2016, ringgit diniagakan RM4.49760/USD iaitu paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98. 

Seperti disebut, faktor-faktor yang menentukan turun naik tukaran nilai matawang adalah pelbagai merangkumi dasar ekonomi, kewangan, imbangan perdagangan dan keadaan politik semasa.

Apa kesan penurunan ringgit kepada kita?

Bagi individu, penurunan nilai ringgit bermakna (i) kita terpaksa membayar lebih bagi barangan yang diimport, (ii) kita juga kena bayar lebih bagi perkhidmatan yang kita gunakan semasa berada di luar negara. Misalnya, kalau kita melancong ke London dan menyewa sebuah bilik di hotel yang harganya USD200 semalam, dahulu semasa RM3.80/USD, kita hanya membayar RM760.00 semalam. Tetapi sekarang apabila nilai ringgit turun kepada RM4.49760/USD kita terpaksa bayar RM899.52 semalam bagi sebuah bilik yang sama.

Bagi negara, kesannya boleh positif atau negatif:

(i) penurunan nilai ringgit akan menyebabkan harga barangan keluaran Malaysia menjadi murah (kompetitif) dan ia akan meningkatkan permintaan ke atas barangan Malaysia dan seterusnya meningkatkan pendapatan eksport negara,

 (ii) pada masa yang sama, penurunan nilai ringgit akan menyebabkan harga barangan yang diimport menjadi mahal. Misalnya, pada Disember 2017, Malaysia membayar RM71.85 bilion bagi barangan diimport yang digunakan di negara ini.

(iii) penurunan nilai ringgit juga akan menyebabkan jumlah hutang luar negara akan meningkat. Ini kerana pinjaman luar negara, misalnya dari Bank Dunia atau bank-bank negara lain adalah menggunakan matawang asing, sama ada USD atau matawang negara yang memberi pinjaman. Bayaran balik pinjaman juga menggunakan matawang asing daripada rizab Bank Negara.

Bersambung siri akan datang …

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.