EKONOMI MALAYSIA 2020 DIRAMAL ANTARA PALING BURUK DI ASEAN
DR MUZAHET MASRURI
Selain sedang bergelut dengan kemelut virus Covid-19, kini satu dunia sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi global.
Bank Dunia meramalkan pada tahun 2020, pertumbuhan ekonomi dunia akan menguncup -5.2% (World Bank: Global Economic Prospects, June 2020)
Negara mana ekonominya diramal menguncup?
Kecuali China (1.9%), sebahagian besar negara-negara di dunia diramal mengalami pertumbuhan negatif, seperti Amerika Syarikat (-4.3%), United Kingdom (-9.8%) dan India (-10.3%) - lihat Rajah 1. (Sumber: IMF, World Economic Outlook (October 2020).
Bagaimana prestasi ekonomi negara-negara ASEAN?
Di kalangan negara-negara ASEAN, beberapa buah negara diramal mengekallkan pertumbuhan positif, iaitu Myanmar (2.0%), Vietnam (1.6%), Laos (0.2%) dan Brunei (0.1%).
Malaysia diramal antara negara paling buruk prestasi ekonomi pada tahun 2020 bersama-sama Filipina, Thailand dan Singapura (lihat Jadual 1).
KDNK Malaysia diramal menguncup -6.0% - penguncupan lebih tinggi daripada -4.1% seperti yang dilaporkan oleh Menteri Kewangan dalam Pembentangan Belanjawan 2021 baharu-baharu ini.
Menteri Kewangan, semasa Pembentangan Belanjawan menyebut ekonomi Malaysia akan berkembang 6.5% - 7.5% pada tahun 2021. Apa jangkaan faktor penyumbang kepada pertumbuhan yang tinggi tersebut?
Menteri Kewangan, menyebut KDNK Malaysia akan berkembang 6.5% - 7.5% pada tahun 2021. Ramalan tersebut terlalu optimistik dan jauh lebih tinggi berbanding dengan pertumbuhan ekonomi negara sebenar bagi tempoh 10 tahun yang lalu, sebelum berlakunya kelembapan ekonomi akibat covid-19 (lihat Rajah 2).
Beliau menyebut antara faktornya ialah langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion.
Adakah pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan Belanjawan 2021 berupaya untuk meningkatkan pertumbuhan KDNK yang tinggi 2021?
Tidak.
Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka. Indeks keterbukaan perdagangan Malaysia melebihi 130% daripada KDNK. (The World Bank in Malaysia: Overview, March 2019). Perdagangan antarabangsa, perindustrian dan pelaburan asing menyumbang bahagian yang penting kepada ekonomi negara.
Sifat keterbukaan ini membawa implikasi bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak boleh disandarkan semata-semata kepada dasar-dasar pembangunan domestik, seperti pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan inisiatif Belanjawan 2021.
Sebaliknya, ia juga bergantung kepada pemulihan ekonomi global.
Mengapa pakej ransangan Prihatin tidak berupaya untuk meningkatkan pertumbuhan tinggi KDNK?
Sebahagian besar Bantuan Prihatin Nasional 2.0 adalah berbentuk subsidi bayaran tunai sekali sahaja (one-off). Tujuannya ialah untuk meningkatkan pendapatan benar, khususnya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah B40.
Pemberian wang tunai tambahan ini akan meningkatkan kuasa beli orang ramai untuk berbelanja ke atas barangan keperluan asas, seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, dan rawatan kesihatan.
Bagaimanapun, corak perbelanjaan seperti ini tidak menimbulkan kesan pengganda ke atas sektor-sektor penting untuk menjana aktiviti ekonomi. Sebaliknya ia akan meningkatkan perbelanjaan negara ke atas import dan sekali gus meningkatkan pengaliran wang ke luar negara.
Ini kerana bahan makanan, seperti daging, ikan, beras, buah-buahan dan sayuran seperti bawang merah, bawang putih, brokoli, cendawan, bendi, kacang, keledek, tomato dan cili adalah diimport dari negara seperti China, India, Thailand dan Australia.
Jumlah import bahan makanan Malaysia pada 2018 bernilai RM54 bilion.
Apa maksud 'kesan pengganda'? Bagaimana ia berfungsi?
Contohnya, apabila kita melaksanakan projek pembinaan rumah kos rendah bagi rakyat berpendapatan rendah, kita sebenarnya mewujudkan permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan di sektor lain - simen, kayu, jubin, keluli, tenaga kerja, pekerja, pelukis pelan, jurutera dan lain-lain.
Begitu juga, apabila rumah siap dibina, kita tidak berpindah rumah kosong. Kita perlukan perkakas baharu – lampu, kipas angin, peti sejuk, permaidani, sofa, katil, tilam dan lain-lain. Dengan cara ini, industri dan perniagaan yang berkaitan akan bertindakbalas dan mewujudkan kesan positif ke atas aktiviti ekonomi domestik.
Begitulah ‘kesan pengganda’ berfungsi.
Apa beza pakej ransangan ekonomi Prihatin dengan pendekatan pakej ransangan yang dilaksanakan sebelum ini?
Bagi pendekatan pakej ransangan semasa krisis 1997/98 misalnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tidak memberi wang tunai kepada orang ramai (lihat Rajah 3).
Sebaliknya, wang itu dibelanjakan dalam bentuk projek atau program yang boleh menjana aktiviti ekonomi dan merangsang sektor yang terjejas melalui 'kesan pengganda' atau 'kesan rantaian', seperti yang dijelaskan di atas.
Kaedah ini terbukti berkesan dalam merangsang ekonomi domestik dan memulihkan sektor-sektor yang terjejas semasa krisis. Pertumbuhan ekonomi negara telah dapat dipulihkan daripada penguncupan -7.4% (1998) kepada 6.1% (1999) dan 8.5% (2000) dalam tempoh hanya setahun.
IMF yang pernah ragu-ragu dengan langkah yang diambil oleh MTEN, yang bertentangan dengan teori ekonomi dan doktrin konvensional, secara terbuka mengakui bahawa, “Malaysia had handled the 1997/98 regional financial crisis the right way…” (The New Straits Times: 4 September 2003)
Dari mana sumber pembiayaan Pakej Ransangan Prihatin dan
Belanjawan Kerajaan Persekutuan?
Sumber
pembiayaan Kerajaan Persekutuan adalah daripada hutang.
Pada
tahun 2019 hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM799.1 bilion (Sumber: Parlimen
Malaysia, Hutang & Liabiliti Kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet
2018-2020), lihat Jadual 2.
Hutang Kerajaan Persekutuan terbahagi kepada 2, iaitu hutang domestik dan luar negeri. Sebahagian besar instrumen hutang dipegang oleh pemastautin (75.4%).
Instrumen hutang pemastautin (domestik) terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB).
Pembeli utama instrumen hutang domestik adalah institusi perbankan (30.9%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (29.5%), syarikat insurans (4.8%) dan Kumpulan Wang Persaraan (3.3%)
Kesimpulan
IMF meramalkan, prestasi ekonomi Malaysia adalah antara yang paling buruk di kalangan negara-negara ASEAN pada tahun 2020. KDNK diramal mengecut -6.0% walaupun kenyataan rasmi Menteri Kewangan menyebut pengecutan hanya setakat -4.1%.
Sebagai sebuah ekonomi terbuka, pemulihan ekonomi tidak cukup semata-mata bergantung kepada dasar-dasar pembangunan domestik, seperti pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan inisiatif Belanjawan 2021. Bahkan pemulihan ekonomi negara juga banyak bergantung kepada pemulihan ekonomi di peringkat global.
Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom