January 09, 2021

Episod 6: Melapor Di EPU

 


Episod 6

MELAPOR DI EPU

Zahid pulang ke tanah air setelah berjaya mendapat Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph.D) dalam bidang Ekonomi pada tahun 1996. Dia tidak bertugas semula di SERU kerana pada masa itu SERU telah dibubarkan. Semua Pegawai Penyelidik telah diserapkan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri yang terletak di Kompleks JPM, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

EPU berperanan merangka perancangan pembangunan ekonomi negara bagi tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. EPU juga bertanggung jawab menyediakan peruntukan dan meluluskan program-program serta projek-projek yang dirangka dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia.

Skim Pegawai Penyelidik

Zahid adalah salah seorang daripada 20 orang Pegawai Penyelidik (N20) SERU yang diserapkan ke EPU di bawah skim perkhidmatan tertutup, iaitu mereka hanya boleh bertugas di jabatan ini sahaja dan tidak boleh ditukarkan ke jabatan lain.

Oleh kerana bilangan pegawai penyelidik adalah kecil, peluang untuk kenaikan pangkat adalah sangat terhad. Isu kenaikan pangkat sering menjadi rungutan di kalangan pegawai-pegawai penyelidik.

“Zahid, engkau kerja dah berapa tahun?” tanya Suhaimi, Pegawai Penyelidik yang berasal dari Kelantan. “Dah 15 tahun. Kenapa?” jawab Zahid. “Hai! 15 tahun kerja masih Tingkatan Biasa? Ada PhD pulak tu!” tanya Suhaimi memperli. “Belum ada rezeki!”, jawabnya, perlahan untuk menenangkan perasaan Suhaimi yang keciwa.

Bersama Suhaimi (tengah) dan Alias (kanan) di Pejabat EPU
Kompleks JPM, Jalan Dato’ Onn Kuala Lumpur, 1997

“Aku sebenarnya benganglah!” rungut Suhaimi, sambil menggaru kepala yang tidak gatal di belakang telinga sebelah kanannya. “Bengang pasal apa?” tanya Zahid. “Engkau tahu, pegawai PTD bila jumpa sesama mereka, bersembang. Cerita lain tak ada. Pasal naik pangkat sahaja!” kata Suhaimi, menyungut.

“Ala, biarlah. Itu dah rezeki mereka!” katanya untuk menenangkan Suhaimi. “Yalah aku faham! Tapi, kita ni buat kerja yang sama dengan dia orang. Kerja-kerja yang tak patut kita buat pun kita yang kena buat! Tapi habuk pun tak ada!” kata Suhaimi, melahirkan rasa hampa.

“Suhaimi! Kita ni buat kerja kena ikhlas, bersungguh dan pastikan kerja yang kita hasilkan itu berkualiti. Kita jangan sandarkan pertimbangan kita semata-mata pada pangkat untuk meransang kita melakukan kerja. Itu tak ikhlas namanya!” katanya.

“Kita kena ingat, kita kerja ni nak cari rezeki yang halal untuk bagi makan bini dan anak-anak,” katanya lagi cuba menenangkan perasaan Suhaimi yang semakin keciwa. “Ah! sudahlah kau, nak berfalsafah depan aku pulak!” kata Suhaimi, terus merungut. 

“Hey kawan! Bukan falsafah. Tapi, kita kena suka dengan kerja kita. Minat dengan kerja yang kita buat. Barulah ‘happy’, ada keseronokan bekerja, rasa senang hati nak ke pejabat dan malam sebelum tidur, tertunggu-tunggu waktu pagi untuk pergi pejabat. Tapi, kalau kita tak minat nak buat kerja sebab tak dapat naik pangkat, itu akan merosakkan diri kita sendiri. Kerja malas, prestasi menurun, ponteng, kena ambil tindakan disiplin, kena buang kerja. Ha! Siapa yang susah?” katanya lagi, memerhatikan Suhaimi yang masih tidak berpuas hati.

Suhaimi tersenyum sinis. “Aku puji engkau. Engkau memang Pegawai Penyelidik yang bagus. Engkau sepatutnya layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun ini. Tahniah!” kata Suhaimi, memperli, lalu beredar meninggalkannya.

Ph.D Gred 3

“Alias! Macam mana dengan kawan kita ni? Ada Ph.D, tapi masih Gred 3. Peliklah!” kata Ismail Hasan, menepuk-nepuk bahu Zahid, ketika mereka sedang berjalan untuk makan tengahari di gerai Bank Negara. Alias Abdullah adalah Ketua Penolong Pengarah (KPP) manakala dia hanya Penolong Pengarah (PP). Alias menyinggul Zahid dengan ponggongnya, bergurau. “Habis! Aku boleh buat apa?” jawab Alias. 

“Apa peliknya!” jawab Zahid, sambil menyinggul Alias dengan ponggongnya. “Apa beza aku dengan engkau orang? Engkau kerja di EPU. Aku pun kerja di EPU! Engkau masuk pejabat pakai ‘neck-tie’. Aku pun pakai ‘neck-tie’. Engkau pakai ‘blazer’ bila ‘aircon’ dalam bilik sejuk sangat. Aku pun ada ‘blazer’ nak pakai! Cuma bezanya, engkau duduk sebilik seorang, aku duduk dua orang sebilik dengan Husin. Itu saja!” katanya lagi.

“Satu lagi, kalau engkau ajak aku makan, KPP kenalah belanja PP!” katanya berseloroh. “Ala, pasal makan tu benda kecil. Hari-hari aku boleh belanja engkau makan,” jawab Alias, mengeluarkan dompet duit dan memandang Zahid dengan tersengeh.

Panggilan dari Pejabat Ketua Pengarah
 
Lebih kurang 2 bulan selepas itu, dia menerima panggilan telefon. “Dr. Muzahid! Saya buat panggilan dari pejabat Ketua Pengarah! Tan Sri nak jumpa Dr. di pejabatnya sekarang!” kata Setiausaha Peribadi Ketua Pengarah. Dia segera bersiap dan terus berjalan menuju ke bilik Ketua Pengarah. Ketika melangkah masuk dan memberi ucapan selamat pagi, dia melihat Tan Sri Ali Abol Hasan yang sangat sibuk meneliti berbagai dokumen dan surat-surat yang bertimbun di hadapannya.

“Sila duduk!” kata Tan Sri, menunjuk kerusi di hadapan mejanya. “You ditempatkan di Bahagian mana?” tanya Tan Sri yang terus memegang pen dan menurunkan tandatangan di surat-surat di hadapannya. “Seksyen Perkhidmatan Sosial, Tan Sri,” jawabnya. “How do you find it?” tanya Tan Sri, sambil pantas menurunkan tandatangan tanpa melihat ke arahnya. “I find it very interesting. After more than 10 years involved in research, now I am doing planning for the Malaysia development plans,” jawab Zahid.

Tan Sri berhenti sejenak, masih memegang pen dan memandang ke arahnya. “You dah berapa lama berkhidmat dengan Kerajaan?” tanya Tan Sri. “Lebih kurang 15 tahun Tan Sri,” jawabnya. Perbualan mereka terhenti seketika apabila Tan Sri mendapati ada sesuatu yang tidak kena di dalam surat yang dibacanya.

“You have got your Ph.D, in what field?” tanya Tan Sri meneruskan perbualan. “In Economics, Tan Sri,” jawab Zahid. “Great demand! Kalau syarikat swasta tahu, for sure dia akan ambil you bekerja,” kata Tan Sri, sambil menurukan tandatangan di surat terakhir di hadapannya. “But, I want you to stay in EPU,” kata Tan Sri memandang ke arahnya.

“In what Grade are you now?” tanya Tan Sri. “Grade 3, Tan Sri,” jawab Zahid. “What? Say it again!” tanya Tan Sri sambil mengerutkan mukanya. “I am still in Grade 3, Tan Sri,” jawab Zahid. “What? You have been working for 15 years, with Ph.D in Economics and you’re still in Grade 3? I couldn’t believe it!” kata Tan Sri dengan suara yang meninggi dan menggelengkan kepalanya. Dia memegang gagang telefon dan memanggil Setiausaha Peribadinya. “Sam ada? Suruh dia jumpa saya sekarang!” kata Tan Sri.

“I want him to stay in EPU. Do something for him!”

Tidak lama kemudian, muncul seorang yang sederhana tinggi dan berbadan gempal berjalan pantas menuju ke meja Tan Sri. Dia berdiri di sebelah Zahid, merapatkan kedua-dua belah kakinya dan berdiri tegak seperti seorang askar. “Yes Sir!” kata Datuk Samsudin Hitam dengan meluruskan kedua-dua belah tangannya ke bawah dan sedia menerima arahan.

Datuk Samsudin atau nama ringkasnya Datuk Sam, adalah Timbalan Ketua Pengarah EPU. Dia terkenal sebagai seorang yang rajin bekerja dan sangat menghormati pegawai atasannya. Melihat Datuk Sam terus berdiri di sebelahnya, menghadap Tan Sri,  Zahid merasa serba salah. Dia terfikir untuk berdiri bersama Datuk Sam tetapi hatinya berkata supaya dia terus duduk. 

“Sam! Muzahid has been serving the government for more than 15 years. He has got his Ph.D in Economics but I feel sorry to him. He is still in Grade 3,” kata Tan Sri, mendongak memandang muka Datuk Sam yang sedang berdiri tegak. “I want him to stay in EPU. Do something for him!” kata Tan Sri, memberi arahan. “Yes Sir,” jawab Datuk Sam, berdiri lurus lalu beredar meninggalkan Tan Sri.

Ketua Penolong Pengarah (KPP)

Dua bulan selepas itu, Zahid menerima surat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengenai kenaikan pangkat ke Gred 2 (N2) sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP). Dia menarik nafas lega kerana rezeki yang diperolehi ini akan dapat mengurangkan kesempitan hidup yang dialaminya selama ini bagi menyara isteri dan 3 orang anak serta mengirim sedikit wang setiap bulan kepada ayah dan ibunya di kampung.

Hari itu dia dikunjungi ramai kawan di biliknya. “Zahid! Tahniah naik pangkat,” kata Misran, teman lama semasa di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). “Hai Bro, tahniah,” kata Samsuri Rahmat, teman rapat semasa di SERU dan rakan-rakan lain yang semuanya meminta belanja makan. Zahid membalas ucapan mereka dengan senyuman.