April 04, 2020

PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA 2020 DIRAMAL MENGUNCUP -3.1%


4 April 2020, updated 14 Julai 2020

PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA
2020 DIRAMAL MENGUNCUP -3.1%
DR MUZAHET MASRURI

COVID-19 telah mencetuskan kejutan di China dan kesannya telah merebak serta menimbulkan keresahan di peringkat global. Kini, selain sedang bergelut dengan kemelut virus Covid-19, satu dunia sedang berhadapan dengan prospek krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi global.

Apa kesannya kepada Malaysia?

Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka di mana purata nisbah nilai eksport kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 130% (The World Bank in Malaysia: Overview, March 2019). Perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing memainkan peranan penting kepada ekonomi dan peluang pekerjaan, di mana kira-kira 40% pekerjaan di Malaysia dikaitkan dengan aktiviti perdagangan dan eksport.

Sifat keterbukaan ini membawa implikasi bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak hanya ditentukan oleh dasar-dasar pembangunan dalam negara bahkan ia juga dipengaruhi oleh persekitaran global.

Bagaimana prospek pertumbuhan Malaysia 2020?

Dalam tempoh 2 dekad yang lalu, ekonomi Malaysia terus mengalami trend pertumbuhan yang meningkat dengan purata pertumbuhan 5.4% sejak 2010 (lihat Rajah 1). Bank Dunia meramal Malaysia dijangka mencapai peralihan daripada ekonomi upper-middle income kepada high-income country menjelang 2024.


Bagaimanapun, baru-baru ini Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menurun secara drastik daripada 4.3% (2019) kepada negatif -3.1% pada tahun 2020 berikutan kesan virus Covid-19 yang akan menjejaskan sistem kewangan dan kemelesetan ekonomi dunia (World Bank: Global Economic Prospects, June, 2020).
Bagaimana pengalaman Malaysia mengatasi krisis ekonomi sebelum ini?

Malaysia pernah mengalami beberapa siri krisis ekonomi dalam tempoh 2 dekad yang lalu (lihat Rajah 1 di atas). Antaranya:

Krisis Kewangan Asia 1997/98 berikutan serangan matawang yang dipelopori oleh spekulator matawang, George Soros yang hampir melumpuhkan sistem kewangan negara-negara di Asia, khususnya, Thailand, Filipina, Malaysia, Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.


Seperti ditunjukkan dalam Rajah 1, pertumbuhan ekonomi negara menjunam ke paras negatif -7.4% pada tahun 1998. Dengan tindakan pantas melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sistem kewangan negara dapat diselamatkan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat dipulihkan ke paras positif 6.1% dalam tempoh hanya setahun pada 1999 dan 8.9% pada tahun 2000.

Insiden 11 September 2001 berlaku apabila 2 buah jet penumpang (airlines) yang dirampas oleh pejuang al-Qaeda telah melanggar dan memusnahkan bangunan World Trade Center di Amerika Syarikat. Ekonomi Amerika serta merta lembab dan kesannya menular menjadi krisis kelembapan ekonomi dunia. Malaysia dapat bertahan di paras pertumbuhan positif yang rendah 0.6% (2001) dan meningkat pada tahun berikutnya kepada 5.4% (2002).


Severe acute respiratory syndrome (SARS). Sekali lagi pada tahun 2003, pengaruh persekitaran global menguji kekukuhan ekonomi negara apabila berlaku peperangan di Iraq dan serangan wabak SARS yang menjadi punca kelembapan ekonomi global pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertahankan di paras positif 5.8%, sehinggalah Tun Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Kelembapan ekonomi global 2008 berpunca daripada 'subprime mortgage crisis' di Amerika Syarikat yang telah menjejaskan sistem perbankan di negara berkenaan. Oleh kerana Amerika Syarikat adalah kuasa ekonomi terbesar di dunia dan menyumbang 24.7% kepada ekonomi dunia, krisis kewangan dan ekonomi negara tersebut telah menular dan menjadi isu global.

Ekonomi Malaysia terjejas teruk menjunam ke paras negatif -2.5% (2009) tetapi dapat dilpulihkan kepada pertumbuhan positif 6.9% pada tahun 2010. Pertumbuhan yang tinggi ini adalah disebabkan pengiraan angka ‘base year’ yang rendah (negatif) pada tahun 2009, di mana sedikit sahaja pertambahan akan menjadikan peratusnnya meningkat tinggi.


Bolehkah kaedah Malaysia menangani krisis yang lalu digunakan bagi mengatasi Krisis Ekonomi Covid-19 2020?

Penyebab bagi setiap krisis adalah berbeza dan kaedah mengatasinya juga berbeza. Seperti juga seorang doktor, beliau tidak akan memberi ubat yang sama kepada pesakit diabetes dan pesakit kanser dan menjangkakan pesakit-pesakit tersebut akan sembuh dalam tempoh yang singkat.

Misalnya, Krisis 1997/98 adalah bersifat ‘regional’ (bukan global) yang berpunca daripada aktiviti spekulator mata wang yang telah menjejaskan sistem perbankan dan akhirnya merebak ke sektor-sektor lain dalam ekonomi negara-negara tertentu sahaja.

Manakala, Krisis Ekonomi Covid-19 pula adalah bersifat global dan berpunca daripada sekatan kemasukkan pelancong asing yang menjejaskan sektor berkaitan pelancongan, kawalan pergerakkan penduduk yang mengurangkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, dan pengurangan rantaian bekalan global yang menjejaskan sektor-sektor lain dalam ekonomi.

Kerajaan telah mengumumukan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Apa bezaanya dengan Pakej Rangsangan Ekonomi 1997/98?

Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion, rakyat yang terjejas akan menerima pelbagai bantuan, elaun serta inisiatif yang digariskan. Ia bertujuan untuk melindungi kebajikan rakyat, menyokong perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan memperkukuh ekonomi negara.


Berbeza dengan Pakej Ransangan 1997/98, MTEN tidak membelanjakan wang dengan memberikan wang tunai kepada rakyat. Sebaliknya, wang itu dibelanjakan dalam bentuk projek atau program yang boleh mewujudkan aktiviti ekonomi dan merangsang sektor yang terjejas melalui 'kesan rantaian'. Sila rujuk: 
The Neglected ‘Think-tank’ (Part 2) - Response to the current slow economic growth


Perlukah Pakej Rangsangan PRIHATIN diteruskan?

Dalam keadaan negara-negara di dunia sedang berhadapan dengan prospek kemelesetan ekonomi global, kita tidak boleh semata-mata bergantung kepada pasaran global untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan. Pada masa yang sama, kita perlu mengambil tindakan untuk merangsang ekonomi domestik dengan meningkatkan penggunaan dan pelaburan, terutamanya sektor swasta.

Kerajaan perlu meneruskan pendekatan pakej ransangan PERIHATIN. Pengalaman lepas menunjukkan pakej rangsangan sangat berkesan dalam menguruskan ekonomi semasa krisis kerana ia mewujudkan 'kesan rantaian' atau 'kesan pengganda' untuk meransang aktiviti dan memulihkan ekonomi dalam sektor-sektor lain yang terjejas.

PRIHATIN vs Defisit Fiskal

Walau bagaimanapun, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara, khususnya kedudukan semasa defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan negara).



Menteri Kewangan meramalkan Pelan Pemulihan Ekonomi akan meningkatkan  defisit fiskal Malaysia kepada 5.8% - 6.0% daripada KDNK pada tahun 2020 (gambar di atas).


Berapa anggaran nilai defisit fiskal Malaysia pada tahun 2020?

Kalau KDNK Malaysia ialah USD367 bilion (World Bank, National Accounts Data, 1960-2019), maka jumlahnya ialah USD367 bilion @ 6% = USD21.84 bilion = RM93.43 bilion.

Ini bermakna pada tahun 2020 Kerajaan akan berbelanja RM93 bilion lebih tinggi daripada pendapatan negara.

Kesimpulan

Negara-negara di dunia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi di peringkat global berikutan penularan wabak COVID-19. Anggaran awal Bank Dunia menunjukkan kebanyakan negara di dunia akan mengalami penurunan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020. Malaysia tidak terkecuali.

Malaysia sedang melaksanakan langkah-langkah agresif melalui ransangan ekonomi di peringkat domestik bagi memulihkan ekonomi dan mengembalikan momentum pertumbuhan ekonomi kepada landasan yang asal.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka di mana perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing memainkan peranan penting, pemulihan ekonomi juga akan dipengaruhi oleh pemulihan di peringkat global.



Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.