December 30, 2019

Wawasan 2020 Bagaimana Pencapaiannya?




Wawasan 2020
Bagaimana Pencapaiannya?
DR MUZAHET MASRURI


Hampir, kalaupun tidak semua rakyat Malaysia masih ingat Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991 oleh Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.

Wawasan 2020 adalah dasar pembanguan negara jangka panjang 30 tahun yang mensasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020.

Sebelum menilai sama ada Malaysia mampu atau tidak mencapai matlamat Wawasan 2020 yang disasarkan menjelang tahun 2020, kita lihat dahulu sejarah dan pelaksanaannya.

Pelaksanaan Wawasan 2020

Wawasan 2020 mula diperkenalkan semasa Rancangan Malaysia Ke-6 (1991-1995) dan tempoh pelaksanaannya selama 30 tahun tamat di akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 – 2020). 

Wawasan 2020 dilaksanakan berasaskan kesinambungan yang merangkumi 3 Dasar utama, seperti Rajah di bawah, iaitu:

     1. Dasar Pembangunan Negara (DPN), terkandung dalam Rangka Rancangan
         Jangka Panjang Ke-2 (RRJP2) bagi tempoh 1991 - 2000

   2. Dasar Wawasan Negara (DWN), terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka
       Panjang Ke-3 (RRJP3) bagi tempoh 2001 – 2010, dan

   3. Model Baru Ekonomi (MBE), terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang
       Ke-4 (RRJP4) bagi tempoh 2011 – 2020.

Dasar dan Rancangan Pembangunan Malaysia tersebut dirangka melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebagai agensi pusat yang bertanggung jawab dalam perancangan pembangunan ekonomi negara.




Apa takrif negara berpendapatan tinggi?


Seperti disebut, matlamat Wawasan 2020 ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Bank Dunia mengklasifikasikan negara-negara di dunia mengikut 4 kategori berasaskan pendapatan per kapita negara-negara berkenaan. Klasifikasi tersebut adalah seperti di Jadual 1.



Bagaimana pencapaian Wawasan 2020?


Bank Dunia ada menerbitkan data rasmi pendapata per kapita bagi Malaysia mengikut siri masa (lihat Jadual 2). Bagaimanapun, perangkaan rasmi tersebut hanya dikeluarkan setakat tahun 2018 sahaja.


Angka bagi tahun 2019 belum dikeluarkan dan hanya akan diumumkan mengikut tarikh tahun kewangan Bank Dunia pada 1 Julai 2020, manakala angka bagi tahun 2020 akan hanya diumumkan pada 1 Julai 2021.

Oleh itu, menjelang tahun baharu 2020, kita belum dapat membuat kepastian sama ada matlamat wawasan ini tercapai atau tidak.

Bagaimanapun, kita boleh membuat unjuran (projection) pendapatan per kapita Malaysia bagi tahun 2019 dan 2020 berdasarkan angka rasmi sebelumnya yang dikeluarkan oleh Bank Dunia. 

Kaedah yang boleh digunakan ialah mengira purata kadar pertumbuhan tahunan pendapatan per kapita KDNK Malaysia (3%) bagi temph 10 tahun sebelumnya dan membuat unjuran kepada angka terakhir yang dikeluarkan oleh Bank Dunia dalam Jadual di atas, seperti berikut:

           2019 = (USD 12,120 @ 3%) + USD 12,120 = USD 12,483
           2020 = (USD 12,483 @ 3%) + USD 12,483 = USD 12,857

Hasil pengiraan ini ditunjukkan di ruang berwarna merah dalam Jadual 3 di atas.

Jadual tersebut menunjukkan pada akhir tahun 2019 dan menjelang tahun 2020 pendapatan per kapita Malaysia diunjurkan USD 12,483. Angka ini adalah lebih tinggi daripada USD 12,375 yang diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Oleh yang demikian, Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian matlamat Wawasan 2020 sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun baharu 2020.

Kejayaan ini adalah sangat manis bagi Malaysia setelah 30 tahun mengharungi liku-liku pertumbuhan ekonomi yang turun-naik berikutan daripada kesan kelembapan ekonomi global yang tidak menentu sepanjang tempoh tersebut.

Syabas rakyat Malaysia..!!

Adakah negara maju berstatus pendapatan tinggi

Jawapan: Tidak semestinya

China adalah sebuah negara maju dan merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (Lihat Jadual 3). Bagaimanapun, pendapatan per kapita negara China ialah USD 9,770 pada tahun 2018, jauh lebih rendah daripada Malaysia sebanyak USD 12,120 bagi tahun yang sama


Adakah status negara berpendapatan tinggi menjamin kesejahteraan hidup rakyat jelata?

Soalan ini sering dikemukakan.

Jawapannya, tidak.

Pendapatan per kapita digunakan sebagai pertunjuk sama ada rakyat di negara berkenaan mempunyai purata pendapatan yang dikategorikan oleh Bank Dunia sebagai negara (i) high-income (ii) upper-middle income (iii) lower-middle income dan (iv) low-income.

Ia tidak menjelaskan kualiti hidup dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada faktor-faktor lain.

Apa contohnya?

Antara petunjuk kesejahteraan rakyat ialah ‘agihan pendapatan’. Idealnya kekayaan negara hendaklah diagihkan sama rata di kalangan semua penduduk. Tetapi, realitinya keadaan ini tidak pernah belaku dalam sejarah mana-mana negara di dunia.

Contohnya di Malaysia (seperti juga di negara-negara lain) tidak semua rakyat mempunyai pendapatan per kapita yang sama USD 12,483/tahun pada tahun 2020.

Ada yang mempunyai pendapatan berkali ganda lebih tinggi dan ada yang mempunyai pendapatan jauh lebih rendah. Keadaan ini dirujuk sebagai ‘jurang pendapatan’ antara yang kaya dan miskin yang berlaku di Malaysia (dan negara-negara lain).

Contoh jurang pendapatan tersebut adalah dijelaskan dalam Jadual 4 di bawah.


Perangkaan dalam jadual di atas menunjukkan, 20% (T20) rakyat Malaysia memiliki 46.6% kekayaan negara manakala 40% (B40) rakyat berkongsi hanya 16.5% kekayaan negara ini.

Kesimpulan

Wawasan 2020 telah mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 berdasarkan unjuran purata kadar pertumbuhan tahunan pendapatan per kapita KDNK Malaysia (3%) bagi tempoh 10 tahun sebelumnya.

Namun, status negara berpendapatan tinggi tidak menjamin kesejahteraan hidup bagi semua rakyat. Ini kerana dalam mana-mana negara di dunia wujud ketakseimbangan kekayaan di kalangan berbagai lapisan masyarakat yang perlu ditangani seiring dengan usaha-usaha pembangunan ekonomi negara.

Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.