October 02, 2019

Sungai Pulai Kampungku


2 Oktober 2019
SUNGAI PULAI
KAMPUNGKU 
DATUK DR MUZAHET MASRURI


Sungai Pulai adalah sebuah perkampungan kecil di Daerah Muar, Johor. Ia terletak di koordinat garis lintang 2.0359456 dan garis bujur 102.5986597. Kedudukannya adalah antara Bandar Muar sejauh 15 km dan Bandar Batu Pahat sejauh 30 km.

Kawasan petempatan ini dinamakan Sungai Pulai, mengambil sempena nama pokok pulai yang terdapat di tebing anak sungai yang mengalir masuk dari air laut ke kawasan petempatan ini.


Lahir di Sungai Pulai

Penulis dilahirkan di Kampung Sungai Pulai pada tahun 1952 iaitu kira-kira 67 tahun lalu. Walaupun sudah tidak tinggal di sini selepas pemergian kedua-dua ayah dan ibu sejak 10 tahun lalu tetapi penulis sekali-sekala pulang menjengok kampung melihat bekas-bekas tinggalan tempat kelahiran.

Melihat bekas tinggalan tempat kelahiran
Bersambung dengan Tanjung Tohor

Sungai Pulai bersambung dengan Tanjung Tohor melalui sebuah sungai yang menganjur ke laut dan bertemu sebuah tanjung yang dipenuhi tumbuhan pokok bakau. Walaupun membentuk sebuah tanjung tetapi ia tidak berfungsi sebagai sebuah pengkalan atau pelabuhan kecil disebabkan keadaan paras air laut di tanjung ini yang tohor (cetek), berlumpur dan tidak mempunyai pantai berpasir.

Sungai yang menganjur ke laut dan bertemu sebuah tanjung yang tohor
Kedudukan kawasan yang bersambung ini menyebabkan nama kampung ini kadangkala disebut Sungai Pulai Tanjung Tohor.

Sejarah Awal

Mengikut sejarah, kampung ini telah mula didiami sejak tahun 1880-an. Pada tahun 1940-an, hanya lebih kurang 50 keluarga tinggal di kampung ini, terdiri daripada Orang Kuala yang tinggal di kuala sungai, tiga keluarga Cina dan selebihnya keluarga Melayu keturunan Jawa dan Bugis.

Aktiviti ekonomi

Aktiviti ekonomi penduduk di kampung ini ketika itu adalah pertanian berasaskan kelapa yang diusahakan sebagai kelapa kering bagi ‘cash crop’ dan padi huma yang diusahakan secara kecil-kecilan untuk makanan asas keluarga.

Sebahagian besar penduduk tidak memiliki tanah sendiri manakala hampir keseluruhan kebun kelapa dimiliki oleh 4 orang tuan tanah yang tinggal di kampung ini.

Mereka ialah (i) Baba Chok Sai yang memiliki lebih 300 ekar kebun kelapa, (ii) Lim Jin memiliki lebih kurang 200 ekar, (iii) Haji Hasan bin Haji Othman memiliki lebih kurang 100 ekar, dan (iv) Penghulu Haji Sulaiman memiliki lebih kurang 50 ekar.

Pemilikan dan penglibatan tuan-tuan tanah ini menjadi tempat bergantung hidup penduduk kampung melalui peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Antaranya ialah (i) penyabit kelapa (ii) pengopek kelapa (iii) penyalai kelapa dan (iv) pencungkil kelapa, iaitu memisahkan isi kelapa daripada tempurung dengan menggunakan pencungkil besi leper yang membengkok dan mempunyai hulu, yang kebanyakannya dilakukan oleh kaum wanita.

Kemelesetan ekonomi

Era sebelum Kemerdekaan membawa ke dekad tahun 1960-an, kedudukan ekonomi penduduk di Sungai Pulai mulai meleset berikutan daripada dua faktor.

Pertama, pembinaan benteng dan pintu air yang memisahkan kawasan Tanjung Tohor dan Sungai Pulai bagi mengelakkan banjir yang sering berlaku di kawasan ini, telah menghalang air laut daripada mengalir masuk melalui sungai ke kawasan perkampungan.

Benteng yang memisahkan Sungai Pulai dan Tanjung Tohor
Penyekatan masuk air laut telah menyebabkan tanah di kawasan perkampungan ini menjadi masam dan berasid serta merosakan tanaman kelapa. Keadaan ini telah menjejaskan pendapatan pemilik-pemilik kebun kelapa kerana pokok kelapa mulai terencat dan tidak mengeluarkan buah.

Kedua, bermula akhir tahun 1950-an dan berlanjutan hingga ke tahun 1960-an, berlaku penurunan mendadak harga barangan komoditi berikutan daripada kemelesetan ekonomi dunia ketika itu.

Pokok kelapa yang melawas dan penurunan mendadak harga kelapa kering telah memberi tamparan kepada pemilik-pemilik kebun kelapa yang luas di kampung ini. Mereka tidak mempunyai pilihan, kecuali terpaksa menjual kebun-kebun kelapa mereka dengan nilai yang rendah kerana tidak mampu membayar balik pinjaman dan menampung kos sara hidup yang mendesak ketika itu.

Baba Chok Sai menjual hampir keseluruhan kebunnya kerana tanggungan hutang yang banyak berikutan gaya hidup yang mewah dan perlakuan isterinya yang boros. Keluarga ini akhirnya berpindah ke Melaka.

Seorang lagi pemilik kebun yang luas, Lim Jin, meninggalkan kampung ini dan berpindah ke Singapura. 

Haji Hasan terpaksa mengambil tindakan yang sama seperti pemilik-pemilik tanah yang lain. Hampir separuh daripada kebun kelapa miliknya telah dijual manakala baki kebun-kebun tersebut masih mengeluarkan hasil tetapi sangat berkurangan berbanding dengan hasil kelapa sebelumnya. Haji Hasan meninggal dunia di kampung ini pada tahun 1961 ketika umurnya 98 tahun.

Kenalhuruf

Hanya sebilangan kecil sahaja penduduk kampung yang boleh membaca manakala sebahagian besarnya butahuruf, termasuklah orang muda dan kanak-kanak dalam lingkungan umur persekolahan. Bagi kebanyakan mereka pendidikan tidak penting. Apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk menyara hidup dan menggunakan tenaga anak-anak dan isteri untuk membantu menambah pendapatan keluarga.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor

Fenomena masyarakat yang tidak berpendidikan ini berlanjutan, sehinggalah pada tahun 1956, apabila sebuah sekolah rendah dibuka dan dinamakan Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor.

Sketsa Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor, 1959
Sekolah ini dibina di atas sebidang tanah rezab kerajaan yang mempunyai keluasan kira-kira 10 ekar. Ia terletak 3.5 km dari jalanraya. Bahan-bahan binaan seperti kayu, simen dan zink dibiayai melalui peruntukan Kerajaan manakala pembinaan bangunan sekolah dilakukan oleh penduduk kampung secara gotong royong.


Struktur binaan sekolah ini adalah separuh terbuka, iaitu berdinding papan setinggi 6 kaki dari paras lantai simen manakala di bahagian atasnya terbuka tidak berdinding hingga ke bahagian bumbung. Bangunan sekolah ini direkabentuk bagi 6 bilik darjah yang dipisahkan oleh pemidang papan lapis dengan ketinggian 6 kaki.

Pada awal pembukaannya, hanya dua bilik darjah dibuka dengan menempatkan kira-kira 15 orang murid, iaitu Darjah Satu bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 8 tahun dan Darjah Dua bagi yang berumur antara 9 tahun hingga 15 tahun.

Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor Sekarang

PIBG Sekolah Kebangsaan Tanjung Tohor
Kemudahan asas

Kemudahan asas kampung ini kekal mundur selepas Merdeka. 

Pengangkutan utama penduduk adalah perahu jalur bagi membawa keluar hasil-hasil pertanian kampung melalui sungai ke persimpangan jalanraya yang menghubungkan Bandar Muar dan Batu Pahat, untuk dipasarkan.

Sungai ini pernah menjadi laluan pengangkutan utama penduduk membawa keluar hasil kelapa kering untuk dipasarkan
Kolam adalah sumber utama air untuk mandi dan mambasuh pakaian, manakala tempayan adalah sumber utama takungan air bersih daripada tadahan hujan bagi keperluan minuman dan memasak.

Bagi sebilangan kecil keluarga yang berada, mereka menggunakan ‘lampu gas’ di waktu malam di rumah, manakala sebahagian besar penduduk hanya menggunakan pelita minyak tanah dan andang daripada daun kelapa yang dibakar untuk berjalan di waktu malam.

Sehingga era selepas Merdeka, kemudahan fizikal kampung ini masih mundur. Jalan tanah liat yang becak, tiada bekalan air paip dan elektrik.

Sungai Pulai Sekarang

Kampung Sungai Pulai telah banyak mengalami perubahan sekarang. Bukan sahaja daripada segi kemudahan infrastruktur tetapi pembangunan ekonomi seiring dengan pembangunan pesat yang berlaku di Negeri Johor.  

Jalan batu putih merentas Kampung Sungai Pulai sejauh 6.5 km
Anda boleh memandu kenderaan dengan selesa sehingga ke bentang yang memisahkan Sungai Pulai dan Tanjung Tohor
Pengakhir kata

Semoga Sungai Pulai terus membangun seiring dengan pembangunan pesat yang berlaku di kampung-kampung lain di Negeri Johor.