March 19, 2018

HUTANG NEGARA: Rizab Bank Negara Hanya Mampu Bayar 1.1 Kali Ganda Hutang Luar Jangka Pendek

19 Mei 2018


HUTANG NEGARA
Rizab Bank Negara Hanya Mampu Bayar 1.1 Kali Ganda Hutang Luar Jangka Pendek
DR MUZAHET MASRURI

Hutang Kerajaan Persekutuan, sebelum Pilihanraya Ke-14 (PRU14) meningkat dengan pantas. Hutang yang dicatat pada tahun 2008 berjumlah RM306 bilion dan jumlah tersebut telah meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM686 bilion pada tahun 2017 (Sumber: Bank Negara Malaysia). Sila lihat Jadual 1.



Pada tahun 2017, hutang Kerajaan Persekutuan mencecah RM686 bilion atau USD162 bilion  Daripada jumlah tersebut, RM484 bilion (70.5%) adalah hutang dalam negara manakala RM202 bilion (29.5%) hutang luar negara (Bank Negara Malaysia; 15 Mar 2018). Sila lihat Jadual 2.



Apa klasifikasi hutang negara?

Bank Negara mengklasifikasikan hutang Kerajaan Persekutuan mengikut tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka penjang. Hutang jangka pendek bermaksud hutang yang perlu dibayar dalam tempoh setahun. Manakala hutang jangka sederhana dan jangka panjang perlu dijelaskan dalam tempoh lebih setahun.

Berapa jumlah hutang jangka pendek?

Dalam Jadual 2 di atas, hutang jangka pendek pada tahun 2017 berjumlah RM4.5 bilion. Daripada jumlah tersebut RM3,332 juta atau RM3.3 bilion adalah hutang luar negara, manakala RM1,169 juta atau RM1.2 bilion adalah hutang dalam negara.


Dari sumber mana hutang luar negara jangka pendek dibayar?

Hutang luar negara (jangka pendek, sederhana dan panjang) dibayar dengan menggunakan Rizab Bank Negara. Ini kerana hutang luar negara perlu dibayar dalam matawang asing yang disimpan dalam Rizab Bank Negara. 

Apa maksud Rizab Bank Negara?

Rizab Bank Negara atau kadangkala disebut Rizab Antarabangsa adalah rizab matawang asing dan aset-aset lain yang disimpan di Bank Negara. Rizab tersebut disimpan dalam matawang utama dunia, seperti USD, euro, pound sterling, yuan dan yen. Tetapi biasanya 65% daripada jumlah matawang tersebut adalah dalam USD kerana ia merupakan matawang utama yang digunakan dalam urusniaga di peringkat global.

Adakah Rizab Bank Negara digunakan hanya bagi membayar hutang luar negara?

Tidak. Selain hutang luar negara, Rizab Bank Negara juga digunakan bagi pembayaran tanggungan (liabilities) lain yang melibatkan negara dan agensi luar.

Antaranya ialah penyelesaian bagi bayaran barangan import dari luar negara dalam urusniaga perdagangan antarabangsa.

Rizab juga perlu untuk membeli matawang ringgit di pasaran matawang asing antarabangsa (FOREX) untuk menstabilkan nilai pertukaran ringgit (exchange rate) berbanding dengan nilai matawang utama dunia yang lain. Ini dilakukan oleh Bank Negara sekiranya nilai ringgit jatuh dengan ketara berbanding USD dan matawang utama yang lain.

Misalnya, pada 13 Januari 2017 lalu, Bank Negara membuat kenyataan rasmi melaksanakan langkah-langkah bagi menstabilkan nilai RM setelah RM mengalami kejatuhan nilai paling buruk (RM4.47/USD) berbanding dengan matawang negara-negara lain di Asia. Antara langkah-langkah tersebut ialah campur tangan Bank Negara dalam FOREX, iaitu membeli matawang ringgit dengan menggunakan rizab antarabangsa untuk meningkatkan permintaan ke atas RM dan seterusnya menstabilkan nilai RM dalam pasaran matawang (New Straits Times, Friday 13 January 2017, 8.52 pm).


Sekiranya Rizab Bank Negara mampu membayar hutang luar negara jangka pendek 1.1 kali ganda, bolehkan kita katakan kedudukan kewangan negara stabil dan kukuh?

Tidak semesti. Kerana, seperti yang disebut di atas, Rizab Bank Negara bukan hanya diperlukan bagi membayar balik hutang luar negara (jangka pendek dan jangka panjang). Tetapi ia juga perlu bagi penyelesaian bayaran import dan campurtangan dalam FOREX bagi menstabikan nilai ringgit berbanding matawang utama dunia. 

Ada pihak yang mengatakan rizab negara sekarang lebih kukuh dan lebih mampu membayar hutang luar negara jangka pendek berbanding keadaannya semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98 yang lalu. Adakah kenyataan ini benar?

Tidak benar. Walaupun rizab Bank Negara sekarang lebih besar, iaitu US$102 bilion tetapi jumlah tesebut hanya berupaya membayar hutang luar negara jangka pendek sebanyak 1.1 kali ganda.

Sebaliknya, walaupun rizab pada tahun 2000 (semasa Krisis Kewangan Asia) lebih kecil, iaitu US$30 bilion tetapi jumlah tersebut mampu membayar 6.4 kali ganda hutang luar negara jangka pendek (lihat Jadual 3).



Apa yang boleh ditunjukkan daripada perbandingan tersebut?

Ada 2 perkara. Pertama, perbandingan tersebut menunjukkan, hutang luar negara ketika ini adalah berlipat kali ganda lebih besar daripada jumlahnya semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Kedua, seperti yang dinyatakan di atas, rizab Bank Negara tidak hanya diperlukan bagi membayar hutang luar jangka pendek bagi tahun berkenaan. Kalau semua jumlah rizab digunakan bagi membayar hutang luar jangka pendek bagi tahun berkenaan (1.1 kali ganda), Bank Negara tidak mempunyai rizab yang cukup bagi membayar tanggungan (liabilities) yang lain, seperti penyelesaian bayaran import daripada urusniaga perdagangan antarabangsa dan campur tangan dalam FOREX apabila diperlukan.

Sebaliknya, semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98, kalau rizab digunakan bagi membayar 1.1 kali ganda hutang luar jangka pendek bagi tahun berkenaan, Bank Negara masih mempunyai rizab yang mencukupi (5.3 kali ganda) bagi membayar tanggungan (liabilities) yang lain.

Ada pihak yang mengatakan hutang negara kita adalah terkawal dan tidak teruk kalau dibandingkan dengan negara lain, seperti Singapura yang mempunyai tanggungan hutang sebagai peratus kepada KDNK yang lebih tinggi. Adakah kenyataan ini benar?

Memang benar peratus hutang negara kepada KDNK bagi Singapura bagi tempoh 1993-2015 adalah tinggi. Misalnya pada tahun 2015 peratusannya ialah 104.7% sedangkan Malaysia hanya 54.0% (Sumber: Tradingeconomics). 

Tetapi, kita tidak harus melihat hutang negara hanya daripada segi tanggungan (liabilities). Sebaliknya, kita perlu membezakan antara dua buah negara yang mempunyai jumlah hutang yang sama tetapi mempunyai jumlah aset yang berbeza

Dalam kes Singapura, negara tersebut tidak meminjam bagi tujuan perbelanjaan mengurus (operating expenditure), seperti bayaran gaji, elaun, baikpulih, bekalan bahan-bahan, bayaran kadar faedah, subsidi, BRIM, dan pelbagai pemberian secara tunai kepada rakyat. Sebaliknya, pinjaman digunakan untuk pelaburan, iaitu pinjaman adalah disandarkan kepada asset.

Memang benar Singapura mempunyai peratusan hutang yang tinggi daripada KDNK. Tetapi negara tersebut mempunyai ‘balance sheet’ yang stabil di mana nilai aset melebihi jumlah tanggungan (liabilities). Pulangan pelaburan daripada aset adalah lebih daripada mencukupi untuk membayar hutang di negara tersebut.


Tetapi mengapa ada sesetengah pihak yang menghujah keadaan di sebaliknya?

Mungkin hanya bagi tujuan 'penyedap cakap' bagi menunjukkan kestabilan kedudukan kewangan negara tanpa berasaskan kepada fakta dan realiti yang sebenar.

Kesimpulan

Hutang negara semasa adalah tinggi, berjumlah RM686 bilion. Hutang tiada masalah kalau ia adalah bagi tujuan pelaburan dan pelaksanaan program-program pembangunan ekonomi kerana hutang sebegini mempunyai kesan rantaian (chain effect) yang positif. Tetapi kalau hutang itu adalah bagi tujuan yang lain, seperti perbelanjaan mengurus dan membayar hutang, ia boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi masa depan negara.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.