January 15, 2017

KENAPA BANK NEGARA BELI RINGGIT DI PASARAN MATAWANG ASING (FOREX)?



KENAPA BANK NEGARA BELI RINGGIT  DI PASARAN MATAWANG ASING (FOREX)?
DR MUZAHET MASRURI

Pada 13 Januari 2017, Bloomberg melaporkan bahawa Bank Negara telah campur tangan dalam Pasaran Matawang Asing (FOREX) bagi mengekang kejatuhan nilai ringgit secara berterusan.

“Malaysia's central bank is intervening in markets to support the beleaguered ringgit, an official said on Friday, as regional authorities grapple with a surging dollar. Bank Negara Malaysia Assistant Governor Adnan Zaylani replied "Yes" when asked by reporters on Friday whether the central bank was intervening in the foreign-exchange market,” Laporan Berita Bloomberg.


Mengapa langkah tersebut dilaksanakan?

Langkah tersebut dilaksanakan bagi menstabilkan nilai ringgit setelah matawang tersebut mengalami kejatuhan nilai matawang paling buruk di Asia. Gambarajah di bawah menunjukkan prestasi matawang negara-negara di Asia bagi tempoh 12 bulan, 2016.



Mengapa berlaku kejatuhan nilai matawang di Asia?

Kejatuhan nilai matawang adalah fenomena global. Di negara-negara Asia, kejatuhan nilai matawang adalah disebabkan pengukuhan nilai USD, berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.

Pengukuhan USD telah menyebabkan pelabur-pelabur menjual kebayakan aset mereka di Emerging-Market Economies (Asia) dan beralih ke pasaran modal jangka pendek (pelaburan portfolio) dan pasaran hadapan matawang (FOREX) di kalangan spekulator matawang, terutamanya kepada pasaran mata wang USD (Bloomberg, 19 Disember 2016)


Bagaimana prestasi RM sebelum campur tangan BNM dalam FOREX?

Nilai ringgit jatuh ke paras RM4.44/USD pada 22 November 2016 berbanding RM3.80/USD pada tahun-tahun sebelumnya. Nilainya semakin menurun kepada RM4.47/USD pada 23 Disember 2016 dan dijangka terus menurun.


Apa langkah Bank Negara untuk menstabilkan ringgit?

Bank Negara telah melaksanakan langkah-langkah baharu bagi menstabilkan ringgit.


Antara langkah-langkah tersebut ialah:

(i) menetapkan supaya pengeksport menyimpan sehingga 25% daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing dan baki 75% dalam denominasi ringgit. Tujuannya ialah untuk mengukuhkan rizab matawang asing dalam sistem perbankan,

(ii) memperkenalkan peraturan untuk mengawal aktiviti spekulatif matawang ringgit di pasaran luar persisir,

(iii) langkah yang paling mendapat perhatian umum ialah apabila Bank Negara mengesahkan campur tangan dalam pasaran matawang asing (FOREX) bagi menstabilkan nilai ringgit.


Adakah langkah BNM campur tangan dalam FOREX ini sama seperti dilakukan semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98?

Sama. Langkah yang sama pernah dilaksanakan oleh Bank Negara semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98 untuk menstabilkan ringgit apabila nilai matawang ringgit mengalami keadaan turun naik yang tidak menentu, berikutan serangan spekulator matawang ke atas negara-negara Asia, termasuk Malaysia.


Mengapa Bank Negara perlu campur tangan dalam FOREX untuk menstabilkan ringgit?

Seperti kita maklum, Malaysia menggunakan ‘sistem apungan’ (floating system) bagi menentukan kadar tukaran ringgit berbanding dengan nilai matawang utama dunia.

Dalam sistem apungan, mata wang negara-negara di dunia diapungkan dalam pasaran matawang asing (FOREX) dan nilainya ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran ke atas matawang berkenaan di pasaran. Sekiranya permintaan ke atas mata wang berkenaan meningkat maka nilai mata wang itu akan meningkat, dan sebaliknya.


Bagaimana kaedah penentuan nilai mata wang dalam FOREX?

Bagi mendapat gambaran yang jelas bagaimana mekanisme penentuan nilai matawang berlaku di FOREX, kita ambil contoh matawang ringgit, seperti ditunjukkan dalam gambarajah di bawah.


Dalam Gambarajah di atas ada 2 senario:

Senario 1, andaikan pada suatu ketika apabila ringgit diapungkan dalam FOREX, nilainya berada pada kedudukan 1USD = RM4.00; atau kalau kita tukar kepada nilai USD, 1RM = USD 0.2500.

Nilai ini ditentukan oleh keseimbangan antara penawaran (kelok SS) dan permintaan (kelok DD0) bagi matawang ringgit, iaitu pada titik E. Pada titik ini, nilai matawang ringgit berbanding USD adalah bersamaan USD=RM4.00 (atau RM=USD 0.2500) manakala kuantiti ringgit yang dibeli oleh pengguna di pasaran ialah Q0 unit.

Oleh kerana nilai matawang ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran di pasaran, nilainya tidak kekal tetapi sentiasa berubah. 

Senario 2, andaikan matawang ringgit mengalami kejatuhan permintaan (ke kelok DD1). Kesannya ialah titik keseimbangan antara penawaran (kelok SS) dan permintaan (kelok DD1) berubah ke titik E1. 

Pada titik ini, kuantiti ringgit yang dibeli oleh pengguna dalam FOREX jatuh daripada Q0 kepada Q1 manakala nilai ringgit juga jatuh ke paras P1 iaitu bersamaan USD=RM4.4700 (atau RM=USD 0.2237), iaitu nilainya seperti yang terdapat pada masa sekarang.


Mengapa permintaan ringgit jatuh di FOREX?

Pelbagai faktor. Antaranya, seperti yang disebut di atas ialah keputusan pelabur menjual aset mereka di negara-negara Asia dan beralih ke pasaran mata wang USD.

Faktor-faktor lain juga menyumbang. Antaranya, kestabilan ekonomi dan politik sesebuah negara serta aktiviti spekulator matawang untuk mencari keuntungan di FOREX.


Berapa banyak wang yang diperlukan BNM untuk campurtangan dalam FOREX?

Ia bergantung kepada jurang antara penawaran dan permintaan matawang ringgit di FOREX. Ia juga bergantung kepada kadar tukaran matawang ringgit berbanding matawang utama dunia yang kita kehendaki pada satu-satu masa.


Selama mana Bank Negara perlu campur tangan dalam FOREX?

Selagi ada jurang antara penawaran dan permintaan di tahap kadar pertukaran ringgit dengan matawang utama dunia yang dikehendaki.  


Dari mana Bank Negara menggunakan wang untuk membeli ringgit di FOREX yang jumlahnya sangat besar?

Dari rizab matawang asing yang disimpan di Bank Negara.


Bagaimana kalau rizab matawang asing di BNM berkurangan kerana terpaksa terus membeli ringgit di FOREX bagi menstabilkan nilai ringgit?  

Inilah soalan yang perlu mendapat perhatian.


Mengapa?

Kerana rizab matawang asing bukan hanya diperlukan untuk membeli ringgit di FOREX. Tetapi ia juga perlu bagi membayar hutang luar negara. Selain itu, rizab diperlukan bagi penyelesaian transaksi urusan perdagangan luar negara, iaitu import dan eksport.

Kesimpulan

Campur tangan dalam FOREX adalah fenomena biasa bagi 161 buah negara di dunia yang menggunakan ‘sistem apungan’ (floating system) dalam menentukan kadar tukaran nilai matawang mereka.

Malaysia pernah campur tangan dalam FOREX semasa Krisis Kewangan Asia, 1997/98. Tindakan Bank Negara campur tangan dalam FOREX pada tahun 2017 adalah sama seperti yang pernah dilakukan semasa Krisis Kewangan Asia, 1997/98. Tujuannya ialah untuk menstabilkan nilai ringgit apabila ringgit mengalami kejatuhan nilai matawang paling buruk di Asia pada tahun 2016.

Penulis: Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom