July 22, 2017

EPISOD 8 ANAK ANGKAT DAN IBU YANG AKAN DITINGGALKAN




EPISOD 8
ANAK ANGKAT DAN IBU YANG AKAN DITINGGALKAN
AZZAD MUZAHET

Zaman sekarang bila sebut anak angkat, orang selalu fikir bayi yang diambil ketika baru lahir oleh keluarga yang inginkan anak atau pasangan yang tidak mempunyai anak dari keluarga susah yang tak mampu nak besarkan anak. Ada juga anak yang diambil setelah dewasa oleh keluarga Melayu kerana orang itu nak peluk Agama Islam. Tapi dapatkah kita selami apa perasaan seorang ibu yang kehilangan anak kerana ikut keluarga lain? Ikuti sembang-santai saya dengan seorang yang pernah dilamar jadi anak angkat.

Soalan: Bila Ayah dapat tahu ada 2 orang cikgu nak ambik Ayah jadi anak angkat, apa yang Ayah bayangkan masa tu. 
Jawapan:  Ayah gembira. Ayah tak perlu lagi kayuh basikal jauh-jauh pagi buta. Ayah akan hidup senang dan tak susah lagi. Ayah akan tumpu pada pelajaran. Dan Ayah akan tunaikan janji Ayah pada Ibu, nak jadi orang pandai!

Soalan: Jadi, Ayah setujulah jadi anak angkat Cikgu?
Jawapan:  Ya.

Soalan: Masa bila Ayah bagi tahu Nenek pasal Cikgu nak ambik Ayah jadi anak angkat tu?
Jawapan:  Petang tu, balik sekolah. Ayah sandar basikal togel kat tiang rumah. Macam biasa, bila turun basikal, Ayah buat senaman kecil sebelum dapat jalan dengan betul kerana kedua-dua kaki Ayah rasa kejang sebab lama kayuh basikal bawah matahari yang panas terik masa balik sekolah.

Soalan: Masa tu Nenek ada kat rumah?
Jawapan:  Ada. Petang tu dia tak pergi pungut getah skrap kat kebun. “Nak..! Engkau baru balik Nak!” sapa Ibu, perhati Ayah jalan terencot-encot, letih dan lapar. “Ya Mak!” jawab Ayah. “Pukul berapa ni Mak?” Ayah tanya. “Dah dekat pukul empat Nak!” jawab Ibu

Dari raut mukanya, Ayah dapat baca perasaan Ibu. Dia kasihan tengok Ayah, letih, lapar setiap hari kerana mengharung perjalanan yang jauh, ulang alik sekolah. Ibu mengesat air mata lalu bangun sedia makan tengahari untuk anaknya yang telahpun terlalu lewat.

Soalan: Masa tu Nenek makan sekali dengan Ayah ke?
Jawapan:  Tak. Nenek perhati Ayah makan. “Tadi Mak nampak engkau bawak banyak buku dalam beg. Buku sapa engkau pinjam?” tanya Ibunya. “Buku tu Cikgu Shukor bagi Mak!” Ayah jawab, sambil kunyah nasi sejuk dengan sambal tumis ikan bilis dan ikan kering bulu ayam goreng dengan selera.

Soalan: Oh…! Masa tu la Ayah ada peluang nak cakap pasal anak angkat?
Jawapan:  Aah…! “Mak! Tadi kat sekolah jumpa Cikgu Shukor. Lepas tu jumpa Cikgu Rahman,” Ayah mula cerita. Ayah cerita semua pasal Cikgu Shukor nak ambik Ayah jadi anak angkat. Lepas tu Ayah cerita pulak Cikgu Rahman pun nak ambik Ayah jadi anak angkat. “Tapi rasanya bagus duduk rumah Cikgu Shukor,” Ayah kata.

Ibu diam, termenung memikir. “Tak sangka Mak, ada orang baik dan simpati dengan orang susah macam kita,” kata Ayah lagi. “Nanti kalau duduk rumah Cikgu tu, tak payahlah naik basikal jauh-jauh. Lagipun, boleh guna masa naik basikal tu untuk baca buku dan ulangkaji pelajaran,” kata Ayah pada Ibu yang terus mendiamkan diri.

“Cikgu Shukor kata dia akan datang hujung minggu ni dan bawak barang-barang untuk pindah ke rumahnya,” kata Ayah memecah kesunyian setelah melihat Ibu terus diamkan diri.


Soalan: Nenek setuju ke bila Ayah cakap Cikgu Shukor nak datang ambik Ayah?
Jawapan:  Nenek tak cakap. Dia diam. “Nak..! Engkau nak tinggalkan Mak, Nak!” tiba-tiba Ibu bersuara, memecah kesunyian dengan suara hiba. “Engkau nak tinggalkan Mak dan ikut keluarga orang lain!” kata Ibu lagi. Kedua-dua belah mata Ibu mula digenang air mata dan setitik demi setitik menitis melalui pipinya yang dah mulai kendur.

Ayah diam. Mulut Ayah terkunci bila tengok Ibu mula mengesat air mata dengan lengan baju kurung yang dah lusuh. “Sampai hati engkau nak tinggalkan Emak, Nak..!” rintih Ibu yang semakin kerap mengusap air mata dengan kedua-dua belah tangan dan lengan baju yang telah usang.

Tak tertanggung dengan perasaan yang amat sedih kerana akan kehilangan anak yang disayangi, Ibu merangkul bahu Ayah dan membenamkan muka yang telah dibasahi air mata atas bahu Ayah. “Emak tak sanggup kehilangan engkau Nak. Emak tak sanggup…!” rintih Ibu sambil menggeleng kepala atas bahu Ayah.

“Macam mana Emak tak sedih Nak..!! Emak lahirkan engkau. Emak besarkan engkau. Bila dah besar, orang ambil engkau dan engkau tak balik tengok emak lagi..!!” tangis Ibu semakin kuat. “Walau macam mana, engkau anak Emak. Emak sayang Engkau Nak. Emak tak izinkan engkau pergi..!!” kata Ibu semakin erat memeluk leher Ayah.

Ayah hilang punca, kaku, diamkan diri, tak tahu apa yang Ayah nak buat masa tu. Ayah biarkan Ibu terus menangis sampai Ayah rasa bahu sebelah kanan Ayah dibasahi air mata Ibu

Soalan: Masa Ayah cakap dengan Nenek tu, Atuk tak ada rumah ke?
Jawapan:  Ada. Masa tu Atuk baring atas pangkin. Dia dengar dengan teliti semua apa yang Ayah dan Ibu cakap. Atuk bangun dan sandar kat dinding, perhatikan gelagat dua beranak di depannya. “Ayah engkau, macam mana dengan anak kita? Dia nak tinggalkan kita dan duduk dengan keluarga orang lain..!!” rintih Ibu, terus menangis teresak-esak.


Atuk yang sejak tadi tak bersuara meluruskan kaki sebelah kiri dan meletakkan kedua belah tangannya ke lutut kaki sebelah kanan yang ditarik ke atas. “Abah macam Emak engkau jugak. Abah tak izinkan engkau pergi!” kata Atuk.

Soalan: Fuuh…!!! Bila dengar Drama Nenek, Atuk dan Ayah, hati ini benar-benar ikut rasa tersentuh. Touching!! Tiga-riga pelakon tu memang best la..!!
Jawapan:  Tapi engkau kena faham. Drama ni bukan drama rekaan, drama khayalan macam yang engkau tengok kat TV tu! Ini drama real tau!

Soalan: Faham …!! Faham sangat-sangat. Tapi apa yang semua orang betul-betul nak tahu, apa keputusan akhir Pelakon Utama dalam drama ni..!
Jawapan:  Ayah diamkan diri. Tak mahu bersuara, takut ia akan lebih melukakan hati kedua Ibu dan Bapa yang sedang dukacita. Dengan perlahan dan penuh sopan, Ayah bangun berjalan menuju ke ruang tengah rumah, merebahkan diri, telentang dengan kedua belah tangan mendakap dada dan kedua belah mata tertumpu ke siling rumah.

“Aku sedang menghadapi konflik. Di satu pihak, aku dapat peluang yang terbuka luas untuk berjaya dalam pelajaran. Di satu pihak yang lain, aku tidak mendapat restu kedua Ibu dan Bapa untuk menjadi anak angkat kepada cikgu yang akan menanggung segala perbelanjaan persekolahanku.”

“Antara anak angkat dan kasih Ibu. Yang mana pilihanku. Ayah termenung sekejap dan tak tunggu lama nak cari jalan penyelesaian. “Aku sayang pelajaranku. Aku sayang Ibu dan Bapa ku. Aku tak kan tinggalkan Ibu dan rumah ini.” Itulah sebutan Ayah sebelum Ayah terlena keletihan.

Bersambung ….