April 26, 2017

KELEMAHAN RINGGIT PUNCA KOS SARA HIDUP MALAYSIA TERENDAH DI ASEAN


KELEMAHAN RINGGIT PUNCA KOS SARA HIDUP MALAYSIA TERENDAH DI ASEAN 
DR MUZAHET MASRURI


Isu yang banyak diperkatakan di media ketika ini ialah kenyataan YB PM, “kos sara hidup di Malaysia terendah dalam kalangan Negara ASEAN.” Artikel ini cuba menjejaki kenyataan tersebut dan mengenalpasti puncanya.

Kajian EIU mengenai kos sara hidup

The Economist Intelligence Unit (EIU), bahagian penyelidikan The Economists yang berpusat di United Kingdom telah menerbitkan hasil kajian mengenai Indeks Kos Sara Hidup Bandar-bandar Di dunia, 2017. 

Apa maksud Indeks Kos Sara Hidup?

Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) adalah petunjuk yang membandingkan perbezaan kos sara hidup antara sebuah bandar dengan bandar-bandar lain di dunia. 

Bagaimana Indeks ditentukan?

Indeks tersebut ditentukan berdasarkan kos sara hidup bandar New York yang dijadikan sebagai asas perbandingan (base city) dan angkanya ditetapkan 100. Ia bermakna, jika angka IKSH sesebuah bandar lebih tinggi daripada 100 mata maka bandar tersebut dikatakan mempunyai kos sara hidup yang lebih tinggi, dan sebaliknya. Misalnya, jika IKSH Singapura ialah 120, ia bermakna kos sara hidup di Singapura adalah 20% lebih mahal daripada kos sara hidup di New York (lihat Rajah 1).


Apa komponen yang terkandung dalam Indeks?

Kajian EIU menggunakan sample harga bagi 160 jenis barangan dan perkhidmatan di 133 buah bandar di dunia. Barangan dan perkhidmtan tersebut di bahagikan mengikut pecahan komponen tertentu dan setiap komponen diberi wajaran, seperti berikut:


Apa hasil kajian The Economists mengenai kos sara hidup dunia 2017?

EIU, The Economists menyenaraikan kos sara hidup bandar-bandar di dunia mengikut ‘ranking’ termahal. Dalam senarai tersebut, Singapura masih mengekalkan ‘ranking’ No. 1 sebagai bandar termahal di dunia, iaitu 20% lebih mahal daripada kos sara hidup di New York yang dijadikan asas perbandingan (base city). Negara-negara lain yang mempunyai indeks lebih tinggi daripada New York ialah Hong Kong (2), Zurich (3), Tokyo (4), Osaka (5), Seoul (6), dan Geneva serta Paris berkongsi No.7 (Rajah 1).


Bagi kelompok pertengahan, Kuala Lumpur menduduki ‘ranking’ 96, bersama beberapa buah bandar di  ASEAN, iaitu Jakarta (82), dan Manila serta Banda Seri Begawan berkongsi ‘ranking’ 92 (Rajah 2).
.

Antara 10 buah bandar di dunia yang tersenarai dalam ‘ranking’ terbawah ialah Almaty (133), Lagos (132), Bangalore (131), Karachi (130), Mumbai (127) dan New Delhi (124)
.

Benarkah 'ranking' Kuala Lumpur terbawah di ASEAN? 

Berasaskan kajian EIU, jadual berikut menyenaraikan kos sara hidup bandar-bandar di ASEAN. Jadual di bawah menunjukkan Kuala Lumpur dengan ‘ranking’ 96 adalah bandar yang mempunyai kos sara hidup terbawah di ASEAN, kecuali Vientiane (Laos) dan Naypyidaw (Myanmar) yang tidak tersenarai dalam kajian EIU. 


Mengapa ‘ranking’ kos sara hidup Kuala Lumpur terbawah di ASEAN?

The Economists menyebut, faktor kestabilan matawang mempengaruhi ‘ranking’ kos sara hidup bandar-bandar di dunia. Kenyataan tersebut merujuk kepada pemulihan matawang yen telah meningkatlan kos sara hidup dan ‘ranking’ bandar Tokyo (4) dan Osaka (5).

Sebaliknya, penurunan nilai matawang sterling berikutan Brexit referendum telah menurunkan ‘ranking’ kos sara hidup di London (24) dan Manchester (51).

Begitu juga di Malaysia, kelemahan nilai ringgit berbanding dollar Amerika telah menurunkan ranking’ Kuala Lumpur sebagai bandar yang mempunyai kos sara hidup terendah dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Kenyataan The Economists di atas menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kos sara hidup yang rendah di Malaysia dengan inisiatif kawalan harga barangan oleh pihak berkuasa, pembahagian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan usaha memerangi aktivit orang tengah.