March 29, 2017

RAMAI ORANG KATA EKONOMI SEKARANG TERUK, TETAPI KENAPA ‘SHOPPING MALL' SENTIASA PENUH SESAK? INI JAWAPANNYA.!!

RAMAI ORANG KATA EKONOMI SEKARANG TERUK, TETAPI KENAPA ‘SHOPPING MALL' SENTIASA PENUH SESAK?
Azzad Muzahet

Saya biasa mendengar banyak pihak yang mengatakan ekonomi kita sekarang ini teruk. Pada masa yang sama, terdapat juga pihak yang mempertikaikan, “kalau ekonomi teruk kenapa ‘Shopping Mall' penuh sesak dikunjungi orang ramai?"

Saya berkesempatan menemubual Datuk Dr. Muzahet Masruri yang pernah bertugas sebagai Pensyarah ‘Managerial Economics’ MBA di Putra Business School mengenai perkara ini. Berikut adalah temubual saya dengan beliau.

Azzad: Dr. ramai orang kata ekonomi sekarang teruk. Tetapi kenapa ‘Shopping Mall' sentiasa penuh sesak, terutama di hujung minggu atau cuti umum?

Dr Muzahet: Kita tak kata ekonomi sekarang teruk. Pertumbuhan ekonomi masih berlaku. Cuma kadar pertumbuhannya menurun berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Misalnya, kadar pertumbuhan keluran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2016 ialah 4.5% tetapi kadarnya pada tahun 2015 ialah 5.0% dan pada tahun 2014 kadarnya ialah 6.0%.


Azzad: Soalnya, kalau pertumbuhan ekonomi menurun, kenapa masih ramai orang mengunjungi ‘Shopping Mall'?

Dr Muzahet: Kita tidak boleh jadikan pengunjung ‘Shopping Mall' (pusat membeli belah) sebagai indikator bagi pertumbuhan ekonomi. Kita tidak boleh kata, kalau ekonomi turun jumlah pengunjung pusat membeli belah pun akan turun. Ini kerana pengguna akan terus pergi ke pusat membeli belah untuk membeli barang-barang keperluan harian seperti makanan, minuman, sabun basuh baju, sabun cuci pinggan, barang penjagaan diri (toiletries), dan macam-macam lagi. Tak kiralah sama ada ekonomi turun atau naik, mereka tetap akan beli sebab itu sudah menjadi keperluan asas mereka.

Azzad: Maknanya pengguna masih ada duit dan mampu membeli barangan keperluan harian di pusat membeli belah walaupun keadaan ekonomi tidak baik!

Dr Muzahet: Betul. Pengguna masih ada duit. Mereka masih menerima gaji bulanan yang sama, sama ada yang bekerja dengan sektor awam atau swasta. Malah bagi mereka yang telah bersara daripada sektor kerajaan pun masih menerima wang pencen yang sama. Maknanya, bagi golongan pekerja pendapatan mereka tidak terjejas.

Yang terjejas sekarang ialah mereka yang terlibat dalam sektor perniagaan dan perusahaan berikutan daripada penutupan syarikat-syarikat perniagaan atau pengecilan saiz aktiviti perusahaan yang berkaitan.

Sebab itu, kita tak pernah dengar golongan pekerja yang marah-marah kerana gaji mereka dipotong. Yang selalu kita dengar ialah ‘gaji tak cukup’.

Azzad: Betul tu Dr. Saya pun termasuk dalam golongan pekerja itu. Tapi kenapa bagi kebanyakan orang, gaji besar tetapi masih rasa tak cukup?

Dr Muzahet: Itu memang sudah menjadi lumrah manusia. Gaji dah besar, nak besar lagi. Duit dah banyak, nak banyak lagi. Kereta dah besar, nak besar lagi. Tak habis-habis! Sebab itu, sesetengah mereka apabila dengar sahaja ada peluang dapat duit, mata dah jadi gelap. Sanggup buat apa sahaja, asalkan dapat duit.

Azzad: Itu kalau kita bercakap ‘gaji tak cukup’ dalam konteks lumrah manusia. Tapi kalau daripada segi ekonomi macam mana?

Dr Muzahet: Daripada segi ekonomi, ‘gaji tak cukup’ itu ada kaitannya dengan ‘pendapatan benar’ pengguna yang menurun. Maksudnya, walaupun pendapatan yang diterima oleh pengguna masih sama tetapi mereka tidak dapat membeli kuantiti barangan yang sama untuk dibawa pulang seperti dahulu.

Dalam erti kata lain, nilai sebenar wang telah menurun. Penurunan ini akan menyebabkan ‘kuasa beli’ pengguna juga akan menurun kerana kita terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang sama tetapi harganya telah meningkat dari semasa ke semasa.

Azzad: Dr, saya nak mencelah sedikit. Kalau ‘pendapatan benar’ menurun dan ‘kuasa beli menurun’, kenapa orang ramai terus mengunjungi ‘shopping mall'?

Dr Muzahet: Seperti yang saya kata tadi, kita tidak boleh jadikan pengunjung ‘pusat membeli belah' sebagai indikator bagi pertumbuhan ekonomi. Kalau pengunjung naik, ekonomi naik. Kalau pengunjung turun, ekonomi turun. Tidak boleh kata macam itu!

Pengunjung memenuhi ‘shopping mall’ untuk ‘window shopping’ atau bersiar-siar merehatkan minda (terapi minda).
Sebab itu kalau kita perhatikan, walaupun 'shopping mall' sentiasa penuh sesak dikunjungi pengguna tetapi ramai antara mereka yang berjalan menolak trolley yang tidak penuh seperti dahulu. Begitu juga, tidak sedikit bilangan mereka yang memenuhi pusat membeli belah hanya untuk ‘window shopping’ atau bersiar-siar merehatkan minda yang sekarang ini semakin popular disebut sebagai ‘terapi minda’.

Azzad: Dr, boleh beri penjelasan sedikit, apa sebab pendapatan benar pengguna menurun?

Dr Muzahet: Ia disebabkan pelbagai faktor. Antaranya ialah kenaikan kos sara hidup yang disebabkan oleh kenaikan inflasi. Inflasi akan mengurangkan nilai sebenar wang atau kuasa beli wang. Seperti yang saya sebut tadi, kita terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan kuantiti barangan dan perkhidmatan yang sama.

Selain itu, pengguna terpaksa membayar kos sara hidup yang lain seperti GST, cukai pendapatan dan pelbagai jenis cukai serta kenaikan harga ‘barang-barang perlu’ yang disebabkan oleh penarikan subsidi.

Kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan tidak diimbangi dengan kenaikan gaji dan pendapatan pengguna menyebabkan pendapatan benar pengguna dan kuasa beli pengguna berkurangan.

Azzad: Di Malaysia, kalau sebut sahaja pasal inflasi, orang ramai secara spontan akan menyungut? Apa sebenarnya yang menyebabkan inflasi?

Dr Muzahet: Dalam konteks Malaysia, kenaikan harga barang-barang umumnya disebabkan oleh ‘inflasi yang diimport’. Kita perlu barang-barang import, sama ada yang berbentuk barangan pengguna (consumer goods) untuk keperluan harian dan barangan modal (capital goods) bagi keperluan industri.

Harga barangan yang kita import semakin mahal kerana nilai matawang ringgit telah menurun berbanding dengan matawang utama dunia yang lain. Harga barangan import yang mahal telah menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, kenaikan harga barangan dan peningkatan inflasi di negara ini.



Azzad: Saya pernah dengar untuk mengurangkan import dan membendung inflasi kita perlu adakan kempen ‘guna barangan Malaysia’ dan ‘Kedai Rakyat 1 Malaysia. Adakah cara itu berkesan?

Dr Muzahet: Cara itupun bagus. Tetapi kita mesti ingat kita hidup dalam zaman globalisasi. Kita tidak boleh terasing dari dunia luar. Malah sebagai sebuah negara yang mengamalkan ‘free market economy’ di mana nilai eksport melebih 140% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kita juga perlu bergantung kepada import dari negara luar. Ini kerana bukan semua barangan keperluan pengguna dan barangan modal ada dikeluarkan di Malaysia. Kalaupun dikeluarkan, kosnya mungkin lebih tinggi daripada diimport.

Azzad: Kalau begitu, maknanya sampai bilapun masalah inflasi tidak dapat diatasi sebab kita bergantung kepada barangan yang diimport?

Dr Muzahet: Wahh, soalan seolah sengaja mahu menguji ni. Kalau macam itu, biar saya uji kamu dahulu. Kalau saya tanya, ‘adakah negara kita perlukan inflasi’? Apa jawapannya?

Azzad: Saya rasa kita perlu inflasi. Kalau tidak, tiada perkembangan. Lagipun agak mustahil untuk harga barang kekal sama sahaja sampai bila-bila. Jikalau tak ada inflasi, macam mana peniaga nak cari untung?

Dr Muzahet: Wah.!! Dah pandai jadi ahli ekonomi.!!

Azzad: Sikit-sikitlah Dr.

Dr Muzahet: Memang betul. Semua negara perlu inflasi kerana inflasi akan menyokong pertumbuhan ekonomi. Tetapi mestilah inflasi yang terkawal. Kalau tidak ada inflasi, iaitu tiada kenaikan harga barang-barang, sebaliknya apa yang berlaku ialah penurunan harga barang-barang dan perkhidmatan ke paras inflasi 0% atau inflasi negatif, ia akan mewujudkan keadaan yang dinamakan deflasi.

Deflasi adalah keadaan yang tidak diingini kerana ia akan membawa kesan penurunan umum ke atas petunjuk-petunjuk ekonomi yang akhirnya akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negatif, seperti yang pernah berlaku di negara Jepun.

Azzad: Tadi Dr ada sebut ‘inflasi terkawal’. Apa maksudnya?

Dr Muzahet: Maksudnya, inflasi yang sederhana. Kadar inflasi yang sederhana dan terkawal adalah menjadi pilihan kebanyakan negara di dunia kerana ia mendorong kepada pencapaian matlamat pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Walaupun tidak ada persetujuan di kalangan ahli-ahli ekonomi mengenai tahap inflasi yang ideal tetapi bagi kebanyakan negara di dunia, Bank Pusat negara-negara berkenaan biasanya mensasarkan kadar inflasi 2%.

Azzad: Bagaimana kalau sesebuah negara itu mempunyai kadar inflasi melebihi 2%, misalnya 4.5% bagi Malaysia yang dicatat bagi bulan Februari 2017?

Dr Muzahet: Kadar inflasi yang tinggi boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi, seperti simpanan yang rendah, pertumbuhan ekonomi yang rendah dan taraf hidup penduduk yang rendah.