March 14, 2017

Episod 3: Melepaskan Jawatan

Episod 3
Melepaskan Jawatan
DR MUZAHET MASRURI

Dua minggu selepas itu, dia menghantar e-mail kepada pegawai dan kakitangan EPU,

Saya ingin memaklumkan bahawa saya akan bersara awal mulai 31 Disember 2009. Sempena persaraan tersebut, saya akan bercuti mulai 9 November hingga 31 Disember 2009. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pegawai dan kakitangan EPU yang telah memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya berkhidmat semula di EPU. Jasa baik anda semua akan saya kenang sampai bila-bila. Sekian. Muzahet Masruri, 6 November 2009.

Pejabatnya diserbu

Tidak sampai setengah jam selepas menghantar e-mail, pejabatnya diserbu oleh pegawai-pegawai dan kakitangan yang terkejut dengan berita mengenai persaraan awalnya. Ruang pejabatnya penuh sesak, sehingga A’azian, Setiausaha Sulit Kanannya terpaksa meminta supaya sebahagian mereka menunggu di luar dahulu sementara menanti pegawai dan kakitangan yang lain keluar dari pejabat TKP. 

Landskap sekitar Blok B Kompleks JPM Putrajaya
 Kabar Mengejutkan

Di dalam pejabat TKP, keadaan hampir tidak dapat dikawal kerana masing-masing menyerbu ke arahnya, bertanya pelbagai soalan dan mendesak supaya dia menarik balik keputusannya daripada bersara.

“Datuk! Kenapa Datuk?”, “Datuk! Apa yang dah berlaku Datuk?”, “Datuk! Please Datuk jangan bersara Datuk!”, “Datuk! Please consider untuk tarik balik keputusan Datuk!”, “Datuk! We still need you!”, “Please Datuk, please! Don’t leave us! “Khabar ini sungguh mengejutkan kami Datuk!”

Dadanya sebak melihat puluhan mata kemerahan dan sebahagiannya menitiskan air mata

Bagitulah rintihan pelbagai suara yang didengarnya ketika itu sehingga dia tidak dapat mengenalpasti siapa pegawai dan kakitangan yang menyebutnya. Dia tergamam kerana tidak menyangka keputusanya menimbulkan reaksi yang sedemikian rupa di kalangan pegawai dan kakitangan.

Dadanya mula merasa sebak dan sedih, sesedih hati pegawai-pegawai dan kakitangan di hadapannya dengan puluhan mata yang kemerahan dan sebahagiannya mula menitiskan air mata.  

“Hello! Abang! Apa dah jadi di pejabat Abang ni? Telefon rumah tak henti berbunyi daripada pegawai EPU..!

Belumpun sempat dia mengucapkan sesuatu, telefon di atas mejanya berdering. Dia membiarkan telefon itu berbunyi seketika tetapi bimbang kalau-kalau ia penggilan penting daripada pihak atasan yang disambungkan oleh Setiausaha Peribadinya.

“Hello!” jawabnya memegang gagang telefon. “Abang! Apa dah jadi di pejabat Abang ni?” Telefon di rumah tak henti-henti berbunyi daripada pegawai Abang yang kata Abang bersara dan minta pujuk Abang supaya tarik balik keputusan Abang!” kata isterinya. “OK, OK, nanti balik kita bincang,” jawabnya ringkas dan meletakkan gagang telefon. 

“Tapi Datuk, kami harap Datuk tarik balik keputusan Datuk! Kami masih memerlukan khidmat Datuk!"

“Rakan-rakan, pegawai dan staf semua! Saya minta maaf kerana menyampaikan berita yang mengejutkan. Tetapi, saya telah lama memikirkan perkara ini dan membuat pertimbangan daripada pelbagai segi. Hasilnya, itulah keputusan saya!” katanya, dengan jelas, tenang dan memberi senyuman, walaupun hatinya hampir tidak tertanggung menahan perasaan sebak.

“Tapi Datuk, kami terkejut dan sangat sedih dengan keputusan Datuk! Kami masih berharap supaya Datuk buat pertimbangan semula dan menarik balik keputusan Datuk!” kata salah seorang pegawai. “Ya Datuk! Kami masih memerlukan khidmat Datuk! Please Datuk, please! Saya mohon Datuk tarik balik keputusan Datuk!” kata seorang pegawai lain.

“Saya faham. Dan saya sedar, saya perlu membuat keputusan yang sangat sukar. Tetapi, itulah keputusan saya. Terima kasih atas sokongan dan budi baik rakan-rakan selama 6 bulan saya bertugas semula di sini,” katanya, mengangkat muka dan memandang wajah-wajah yang akan diingatinya selepas bersara.

“Hai A’azian dah senja tak balik lagi?”

Petang itu dia tidak putus-putus didatangi rakan-rakan karibnya di pejabat. Mereka berbual panjang seolah-olah tidak mahu melepaskannya pergi. Hampir 7.00 malam baharulah mereka bersurai.

 
A'azian kini telah bersara
“Hai A’azian dah senja tak balik lagi?” sapanya pada Setiausaha Sulit Kanannya, sebaik melangkah keluar dari pejabat. “Belum Datuk! Tunggu Datuk balik dulu!” jawab A’azian yang tinggal keseorangan di ruang pejabatnya.

“Datuk! Saya minta maaf kalau ada salah silap dan kekurangan selama saya berkhidmat dengan Datuk!” kata A’azian. Dia merenung seketika wajah Setiausaha Sulit Kanannya yang berperibadi sentiasa tenang, sopan, bijak berurusan dan memahami kehendak ketuanya.

“Saya juga minta maaf dan ucap terima kasih atas khidmat yang baik selama saya bertugas semula di EPU. Salam saya pada suami dan anak-anak!” katanya. “Salam saya pada Datin,” jawab A’azian.

 
Arshad juga kini telah bersara
“Datuk! Saya terkejut dan sedih dengar Datuk bersara”

Ketika melangkah ke luar bangunan, dia melihat Arshad bersedia membuka pintu kereta. Dia terkenang wajah pemandunya yang sangat rajin, hormat, ringan tangan dan sering datang awal pagi untuk mencuci kereta-kereta yang ada di rumahnya. “Sudahlah tu Arshad! Tak payah cuci. Nanti pandailah saya cuci sendiri!” kata isterinya. “Tak apa Datin! Saya memang suka buat kerja-kerja ni,” itulah yang sering diucapkan Arshad.

Gerbang Keluar Blok B Kompleks JPM Putrajaya

“Datuk! Saya terkejut dan sedih dengar Datuk bersara,” kata Arshad ketika sedang memandu, melintasi gerbang keluar Kompleks JPM. Di gerbang tersebut tertera, “Terima Kasih & Selamat Jalan”.
“Tak apa Arshad! Saya doakan nanti you dapat boss yang lebih baik daripada saya!” jawabnya. “Tak mungkin Datuk..! Saya dah ambil keputusan tidak akan bawa boss lain selepas ini..!” jawab Arshad dengan suara yang tersekat-sekat. “Datuk! Kalau ada apa-apa yang saya boleh bantu, Datuk hubungilah saya!” kata Arshad.

“InsyaAllah. Saya doakan you selamat dan murah rezeki..!” katanya ketika membuka pintu kereta apabila sampai di rumah di Presint 16, Putrajaya.

“Datuk! Kirim salam saya pada Datin,” kata Arshad.

Bersambung ...