March 14, 2017

Episod 2: Polemik Bersara Awal

Episod 2
Polemik Bersara Awal
DR MUZAHET MASRURI

Hampir 6 bulan bertugas semula di Unit Perancang Ekonomi (EPU), dia mula mengira berapa lama dia telah berkhidmat dengan Kerajaan. “Aku mula bertugas pada tahun 1977 dan sekarang tahun 2009. Semuanya berjumlah 33 tahun,” bisik hatinya. “Hampir tidak sedar, rupa-rupanya aku telah berkhidmat selama itu,” kata hatinya, sambil menarik nafas panjang.

“Sepanjang tempoh itu, aku telah cukup merasai pahit-maung, suka-duka, kepayahan, kesusahan, kekeciwaan, kegembiraan dan kejayaan serta menikmati faedah-faedah perkhidmatan seperti yang aku capai ke tahap ini,” kata hatinya lagi.

Apa sumbangan kepada negara setelah kembali semula ke EPU?

Pengalamnnya sebelum ini selama 10 tahun di EPU dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) cukup memberi keyakinan dirinya untuk menggalas tugas yang baharu, sebagai Timbalan Ketua Pengarah EPU.

Tetapi keadaan semasa yang berlaku di EPU menimbulkan persoalan. Mampukah dia memberi sumbangan kepada negara, setaraf dengan jawatan yang disandangnya melalui agensi perancangan ekonomi yang terpenting di negara ini?” pertanyaan itu mula bermain dalam kepalanya.

Dia mula mengira, berapa lama lagi dia akan berkhidmat sebelum bersara wajib pada umur 58 tahun. “Aku hanya ada lebih kurang 1½ tahun sahaja lagi sebelum bersara,” katanya.

"Dalam tempoh 1½ tahun, apa sumbangan besar yang boleh aku beri kepada EPU dan negara?" Berkali-kali persoalan itu bermain di kepalanya.

EPU Blok B5 dan B6 Kompleks JPM Putrajaya
Mengapa tunggu tarikh akhir persaraan..?

“Kalau aku tidak mampu mengubah keadaan kerana kedudukanku dan tidak mampu untuk memberi sumbangan dalam tempoh sesingkat itu, mengapa aku harus menunggu sampai tarikh akhir persaraan?” hati kecilnya bertanya lagi. "Kenapa aku tidak ambil keputusan untuk bersara sekarang?" soalnya lagi.

Mengapa bersara awal, sedangkan orang yang sudah bersara, melobi untuk sambung perkhidmatan?

“Memang ada penjawat awam tertinggi yang menyambung perkhidmatan selepas umur bersara kerana kepakaran dan kemahiran mereka diperlukan.

“Tetapi tidak kurang bilangan mereka yang melobi untuk menyambung perkhidmatan selepas umur bersara wajib kerana mahukan kesenangan, status dan terus menikmati faedah perkhidmatan,” dia terus membuat jusifikasi.

"Tetapi perlukah aku berfikir seperti mereka..?” bisiknya lagi.

EPU Blok B5 Kompleks JPM Putrajaya
Adakah manusia jahil yang sanggup melepaskan jawatan tinggi kerana berkorban untuk orang lain?

Dia membuat pengiraan. “Kalaulah aku kosongkan jawatan yang aku sandang sekarang, berapa orang pegawai EPU agaknya yang akan mendapat pergerakan untuk kenaikan pangkat?” dia bertanya pada dirinya sendiri.

“Daripada gred 41 ke 44, 48, 52, 54, Jusa C, Jusa B dan Jusa A. Wah...! Sekurang-kurangnya 7 orang akan naik pangkat ke jawatan lebih kanan..!” gelak hati kecilnya, sendirian.

“Tetapi, adakah manusia jahil dalam dunia ini yang sanggup melepaskan jawatan tinggi yang di sandang, semata-mata kerana berkorban untuk orang lain?” dia bertanya pada dirinya sendiri.

Polemik yang belum selesai

Polemik dalam pemikirannya masih belum selesai. “Aku sedar, aku perlu membuat keputusan yang sukar. Apatah lagi, ia melibatkan kerjaya aku selepas aku bersara,” bisik hati kecilnya. “Tetapi, aku yakin, rezeki di tangan Tuhan. Bak kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya sendirian.

Dia tidak bercadang untuk berkongsi pandangan dengan orang lain, meskipun isterinya sendiri kerana dia dapat menjangka jawapannya. “Nantilah, aku akan beri jawapannya,” katanya sendirian.

Bersambung ...