March 14, 2017

Episod 1: Kembali ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri



Episod 1
Kembali ke Unit Perancang Ekonomi (EPU)
Jabatan Perdana Menteri
DR MUZAHET MASRURI

Setahun setelah menjawat jawatan Ketua Setiausaha (KSU) di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Gred Jusa A, berlaku rombakan Kabinet dan penstrukturan semula beberapa buah kementerian dan agensi Kerajaan pada April 2009.

Sebahagian daripada fungsi 2 buah kementerian, iaitu KPKKW dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) telah disatukan menjadi sebuah kementerian yang baharu, dinamakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Penstrukturan tersebut bermakna hanya seorang sahaja daripada dua orang bekas KSU, KPKKW dan KTAK akan menjadi KSU di Kementerian yang baharu.

“Datuk! Saya mangamalkan sikap terbuka. Kalau Datuk berminat untuk bekerja dengan saya sebagai KSU, saya tidak ada masalah!” kata Menteri yang akan menerajui Kementerian baharu ketika memanggilnya ke pejabat. 

Pejabat EPU Blok B6 Kompleks Jabatan Perdana Menteri Putrajaya

Tidak Melobi

Sebagaimana sifatnya, dia tidak ‘melobi’ untuk mengekalkan jawatannya sebagai KSU di Kementerian yang baharu diwujudkan. Berikutnya, berasaskan pengalamannya yang luas dalam bidang ekonomi, dia telah ditukarkan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebagai Timbalan Ketua Pengarah, menyandang Gred yang sama, iaitu JUSA A.

‘Seperti belut pulang ke lumpur'

Kembalinya ke EPU dia disambut baik oleh rakan-rakan dan pegawai yang pernah sama-sama berkhidmat di agensi pusat yang diberi tanggung jawab untuk merancang pembangunan ekonomi negara.

Ramai yang tidak menduga, setelah hampir 5 tahun meninggalkan mereka untuk bertugas di kementerian-kementerian lain, akhirnya dia pulang ke EPU. Bak kata pepatah Melayu, ‘Seperti belut pulang ke lumpur’. 

Di EPU, dia diberi potfolio sebagai Timbalan Ketua Pengarah II, bertanggung jawab bagi 6 Seksyen utama yang terlibat secara langsung dalam perancangan pembangunan ekonomi negara di bawah Bahagian Perancangan Makro. 

Dia tidak menghadapi banyak masalah dalam mengendali seksyen-seksyen di bawah Bahagian ini kerana pengalamnnya lebih 10 tahun di EPU dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini banyak memberi pendedahan dalam penyediaan perancangan pembangunan ekonomi negara.

Tugasnya dipermudahkan kerana dia dibantu oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman dan sebahagian besarnya telah terlibat lebih 10 tahun dalam bidang-bidang kemahiran yang berkaitan.

“I rasa dunia sekarang dah terbalik!”

Hampir sebulan bertugas semula di EPU. Suatu hari, dia dikunjungi sahabat lama, Ismail Hasan yang dikenalinya semasa dia mula melapor diri untuk bertugas di EPU lebih kurang 12 tahun yang lalu. “Hai Mail, apa kabar?” sapanya dari tempat duduk ketika Ismail melangkah masuk ke pejabatnya. Perawakan sahabatnya ini tidak berubah seperti dia mengenalinya dahulu, sentiasa tersenyum, peramah, merendah diri dan baik budi.

“I tak tahu nak panggil you apa ya? Dr ke Datuk? Tapi, I lebih suka panggil you Dr.” kata Ismail, tertawa sambil mengambil tempat duduk di hadapannya. “Mail, kita dah kenal lama. You nak panggil apapun tak apa. Pada I tak ada beza,” jawabnya, memberi senyuman pada Ismail yang tidak merasa kekok berhadapan dengannya.

“Mana boleh macam tu..! Sebab, kawan kita ni sekarang dah jadi boss besar..!” jawab Ismail, terus ketawa. “Ala Mail, besar manusia..! Setakat mana..!” jawabnya.

EPU Blok B6 Kompleks JPM Putrajaya
“I rasa, dunia sekarang dah terbalik!” kata Ismail, meneruskan perbualan. Dia merenung muka rakannya dan menunggu apa yang akan disebutnya selepas itu. “Dulu I pernah jadi boss you. Tapi sekarang you jadi boss I. Boss Besar pulak tu..!” kata Ismail.

Dia tertawa, mengenang kembali kisah lama mereka semasa dia mula bertugas di EPU pada tahun 1996 yang ketika itu beribu pejabat di Jalan Dato’ Onn. “Alias! Macam mana dengan kawan kita ni? Ada Ph. D, kerja dah 15 tahun tapi masih Gred 3. Peliklah!” kata Ismail kepada Alias, seorang pegawai kanan PTD di EPU, ketika mereka berjalan kaki ke kantin Bank Negara untuk makan tengahari.

Simpati dengan kerjaya rakan-rakan di EPU

Pertemuannya dengan Ismail kali ini menimbulkan rasa insaf dan bersyukur atas pencapaiannya sehingga ini. Dalam tempoh yang singkat, dia telah menjawat jawatan tertinggi dalam sebuah kementerian apabila dia dilantik sebagai KSU di KPKKW. Malah perlantikannya sebagai KSU telah mendapat perhatian Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang ketika itu sedang mempengerusikan Mesyuarat Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

“Sekarang ini, bukan hanya pegawai PTD yang boleh cepat naik pangkat. Tapi, ada sesetengah pegawai daripada skim perkhidmatan lain yang naik pangkat lebih cepat daripada PTD!” kata KSN. Semua KSU yang berada dalam bilik mesyuarat berpandangan sesama mereka untuk mengetahui siapa yang dimaksudkan oleh KSN.

“Muzahet..! Muzahet mana?” tanya KSN, sambil memanjangkan leher ke kiri dan ke kanan. “Saya Tan Sri..!” jawabnya, mengangkat tangan. “You masuk PTD tahun bila?” tanya KSN. “Tahun 2001 Tan Sri,” jawabnya. “Tengok..! Tak sampai 7 tahun dah jadi KSU..!” jelas KSN.

Sign Post Kompleks B JPM Putrajaya


15 tahun berkhidmat tapi tidak dinaikkan pangkat walaupun ada Ph.D sebab bukan pegawai PTD

Walaupun bangga dengan pencapaian peribadinya, dia memahami dan bersimpati dengan kerjaya masa depan ramai rakannya di EPU yang sebelum ini menjawat jawatan lebih kanan daripadanya tetapi masih berada di kedudukan yang sama. 

“Aku dapat menyelami perasaan Ismail. Dan aku dapat menyelami perasaan ramai rakan yang lain kerana aku pernah merasai pengalaman seperti mereka, malah lebih buruk daripada itu.

Setelah 15 tahun berkhidmat tetapi aku tidak pernah dinaikkan pangkat, meskipun aku telah mempunyai kelulusan Ph. D..! Semata-mata kerana aku bukan pegawai PTD,” bisik hati kecilnya. 

“Daripada pemerhatianku, aku dapati ramai pegawai EPU yang berkebolehan untuk menggalas tanggung jawab yang lebih besar tetapi peluangnya tidak ada. Mereka tidak berpeluang untuk berpindah ke jabatan lain kerana khidmat dan kemahiran mereka di perlukan di EPU, sedangkan kekosongan jawatan yang lebih kanan sangat terhad,” fikirnya sendirian.

Bersambung ...