March 22, 2017

3. KULIAH: ANTARA TEORI DAN APLIKASI

KULIAH:
ANTARA TEORI DAN APLIKASI
DR MUZAHET MASRURI


Pada hari pertama di dewan kuliah, semasa sesi pengenalan, dia mengenalpasti pelajar-pelajarnya datang daripada pelbagai jurusan dan hampir 30% daripada 39 orang pelajar sepenuh-masa tidak mempunyai latar belakang dalam subjek ekonomi, matematik, statistik, kalkulus dan algebra.


Pelajar MBA, Putra Business School, 2014

Dia mula menarik nafas panjang. “Tugas aku amat berat! Aku bukan sahaja perlu memberi syarahan subjek ekonomi. Tetapi aku perlu mengajar subjek-subjek lain yang menjadi asas dalam panganalisisan Managerial Economics. Semua itu aku perlu lakukan dalam tempoh sesingkat 3 jam bagi setiap topik yang merangkumi skop penganalisisan yang sangat luas,” fikirnya, sambil memberi senyuman kepada pelajar-pelajar baharu yang semua mata memfokus  ke arahnya.

“Tetapi, aku tidak mempunyai pilihan. Tanpa pendekatan ini, mereka tidak akan berupaya mengaplikasi prinsip dan analisis ekonomi dalam penyelesaian isu-isu pengurusan yang akan dibincangkan dalam kuliah,” bisiknya dengan mengerutkan dahi.

Inilah cabaran utama yang dihadapinya untuk membekalkan kemahiran kepada pelajar-pelajar yang akan menjadi ‘pengurus’ apabila keluar daripada universiti nanti dalam membuat keputusan secara efektif di sesebuah organisasi, sama ada dalam bidang perniagaan atau pentadbiran awam.

Antara teori dan aplikasi


Dia pernah mendengar rungutan pelajar-pelajar. “Sesetengah pensyarah hanya menyampaikan kuliah secara umum mengenai konsep, definisi dan teori serta memberi contoh-contoh seperti yang hanya terdapat dalam buku. Kemudian beri senarai rujukan yang banyak untuk dibaca. Sebab mahasiswa katanya tak boleh spoon feed,“ kata seorang pelajar.

“Masalahnya, baca buku pun tak faham!” sampuk pelajar lain, berseloroh. “Lagipun, contoh-contoh yang dirujuk dalam buku itu adalah mengenai negara lain, contoh-contoh yang telah lama dan tak pernah kita dengar! Macam mana nak menghayati dan mengaplikasi?" kata pelajar itu lagi.

“Aku tidak mahu tujuan mereka belajar dan datang ke kuliah hanya semata-mata untuk mendapat Ijazah Sarjana. Yang sama penting, mereka mesti mendapat ilmu dan membawa ilmu itu pulang untuk diaplikasi di tempat mereka bertugas,” kata hati kecilnya.

Dia juga pernah diajukan persoalan mengenai kualiti mahasiswa yang berkelulusan MBA. “Sekarang ini pegawai-pegawai, nama sahaja ada MBA, tetapi apabila disuruh tak tahu buat kerja dan hasil kerjanya tidak sepadan dengan kelulusan,” kata seorang rakan, pegawai pengurusan tinggi, East Coast Economic Region (ECER) ketika bertemu dalam suatu majlis.

Dalam kuliah-kuliah berikutnya, dia menggunakan segala pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang ada untuk meyampaikan syarahan dan penerangan dalam bentuk yang mudah difahami. Dia juga mengambil pendekatan membincangkan tajuk-tajuk syarahannya secara fokus dan memberi contoh-contoh sebenar serta isu-isu semasa mengenai ekonomi dan perniagaan yang berlaku di persekitaran negara dan global.
Bersambung ...