Episod 5
SERU Dibubar
Setiap tahun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan biasiswa bagi pegawai kerajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran falsafah. “Muzahid, you dah isi borang biasiswa Ph. D?” Tanya Dr. Fadil ketika dia dipanggil ke biliknya. Dia telah membaca surat edaran JPA mengenai tawaran biasiswa tersebut seminggu yang lepas tetapi tawaran tersebut tidak menarik minatnya.
“Saya tidak isi borang Doc., sebab saya tidak bercadang untuk memohon,” jawabnya. “Kenapa?” tanya Dr. Fadil. “Sebab, saya fikir saya belum layak. Lagipun, permohonan tersebut adalah bagi pegawai kanan,” jawabnya. “Siapa kata?” Tanya Dr. Fadil, sambil mencari surat edaran tersebut dalam timbunan surat-surat di hadapannya.
“You baca betul-betul surat ini,” kata Dr. Fadil, meneliti dan membaca surat tersebut. “Syaratnya, pegawai kerajaan yang mempunyai Ijazah Sarjana dan telah berkhidmat lebih 5 tahun. You tak baca ke?” jelas Dr. Fadil. Zahid hanya mendiamkan diri. “Setakat ini dah ada 3 orang pegawai kanan PTD SERU telah mengemukakan permohonan,” kata Dr. Fadil. “I mahu you mohon,” katanya lagi.
Ketika keluar dari pejabat Dr. Fadil, dia terserempak dengan Samsuri Rahmat. “Hai Bro, Dr. Fadil panggil engkau ada apa?” tanya Samsuri. “Dia suruh aku mohon biasiswa Ph.D. Tapi aku tak minat.“ Jawabnya. “Kalau boss dah suruh tu, mohon sajalah. Apa yang jadi masalah! Lagipun mohon tu bukan tentu dapat!” jawab Samsuri. “Sam! Buat Ph.D tu bukan benda mudah! Masalahnya, engkau pun tahu, ramai yang buat Ph.D tapi ada yang balik dengan tangan kosong. Gagal. Dahlah guna duit biasiswa kerajaan punya banyak, lepas tu tak lulus! Tak ke malu tu? Jadi buah mulut orang! Kalau malu setakat sebulan dua tak apa. Tapi kena tanggung malu sampai pencen. Eh, aku tak sanggup!” jelas Zahid.
“Hey Bro! Itu cerita orang. Orang punya hal. Takkan engkau nak samakan engkau dengan orang lain!” kata Samsuri. “Lagipun, kalau engkau tak mohon nanti boss murka, lagi susah! Engkau mohon sajalah! Bagi boss ‘happy’ sikit!” kata Samsuri. Zahid terdiam seketika, memandang muka Samsuri. “Engkau ni Sam, betul-betul kawan yang baik! OK lah! Aku ikut nasihat engkau,” jawab Zahid.
Memandangkan 4 orang pegawai yang memohon, pihak pengurusan SERU membuat keputusan untuk mengadakan temuduga di peringkat dalaman dan mengemukakan seorang calon sahaja untuk menjalani temudga di peringkat JPA. Ahli-ahli Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Ketua-ketua Bahagian dan pegawai kanan di SERU.
“Muzahid, you tahu apa boss kata lepas temuduga?” tanya Dr. Fadil padanya dua hari selepas temuduga. “Dia panggil ketiga-tiga orang pegawai kanan SERU yang datang temuduga. Dia kata ‘You all ni tak malu ke dengan Muzahid? Macam mana seorang pegawai tingkatan biasa lebih baik ‘performance’nya daripada pegawai kanan?’ Lepas tu dia pun, macam biasa, membebel!” kata Dr. Fadil. “Maksud Dr.! saya terpilih!” tanya Zahid. “Ya, you terpilih. Tahniah,” kata Dr. Fadil.
University of East Anglia, England
Dua minggu selepas itu, dia menghadiri temuduga di peringkat JPA. Hasilnya, tidak lama kemudian, dia menerima surat daripada JPA, menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran Falsafah. Pada tahun 1992, dia ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran ke University of East Anglia, England.
Setelah menamatkan pengajian, dia pulang ke tanah air pada tahun 1996. Tetapi dia tidak kembali ke SERU kerana sebelum kepulangannya, SERU telah dibubarkan pada tahun 1994.
| Laman Utama | Episod Seterusnya |