PUTRAJAYA. Cukai Pintu Premis Kediaman di Putrajaya akan dinaikkan setinggi 70%, bergantung kepada jenis rumah dan lokasi kediaman. Kenaikan cukai tersebut adalah berikutan semakan semula Nilai Tahunan Hartanah Putrajaya berdasarkan nilainya pada tahun 2015 yang telah dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya dan akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2017.
Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya telah diedarkan kepada semua pemilik rumah pada bulan November 2016. Pemilik rumah boleh menyemak kadar cukai yang baharu di Kaunter Khas, Blok D1, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan sekiranya tidak bersetuju, boleh mengemukakan rayuan/bantahan sebelum 17 Disember 2016.
Walaupun pihak Perbadanan Putrajaya memaklumkan bahawa cukai yang perlu dibayar sekarang akan dikekalkan (capping) pada kadar semasa, tetapi ia hanya untuk sementara waktu sahaja. Kadar baharu tetap akan dilaksanakan apabila mendapat arahan daripada YB Menteri pada tarikh yang difikirkan sesuai kelak.
Rata-rata pemilik rumah yang sempat ditemui menyatakan rasa kecewa dengan pengumuman kadar cukai yang baru. “Nilai Tahunan Semakan Semula 2015 yang akan dikuatkuasakan mulai 2017 adalah terlalu tinggi sehingga melebihi 130% daripada nilai tahunan sebelumnya.” Kata Datuk Dr. Muzahet Masruri, Pengerusi Persatuan Penduduk ‘Super Link’ Presint 16.
Menurut beliau lagi, “Perbadanan Putrajaya tidak sepatutnya menaikkan kadar cukai setinggi itu kerana Taksiran 2015 adalah ketika nilai hartanah berada pada paras tertinggi sedangkan nilainya telah menurun bagi tahun-tahun berikutnya. Ini bermakna pemilik-pemilik hartanah, khususnya di perumahan Super Link Presint 16, akan membayar cukai pada nilai tertinggi walaupun nilai sebenar hartanah telah menurun.”
Mengikut sumber-sumber pihak Perbadanan Putrajaya, kenaikan cukai tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan kos pengurusan dan penyelenggraan yang semakin meningkat, seperti penjagaan kebersihan, landskap serta infrastruktur setempat.
Lt. Kol. (Bersara) Dr Mohd Salim Tufail |
Bagaimanapun, terdapat juga antara penduduk yang ditemui melahirkan pandangan yang berbeza. “Sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggung jawab, Perbadanan Putrajaya seharusnya mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan dalam menguruskan sumber kewangannya. Bukan hanya mengambil jalan mudah dengan mengenakan caj tambahan kepada penduduk dalam keadaan ekonomi semasa yang sedang meleset sekarang.” Jelas Leftenan Kolonel (Bersara) Dr. Mohd. Salim Tufail.
Ketika ditanya sama ada pihak Persatuan Penduduk akan mengemukakan bantahan, Datuk Dr. Muzahet menyatakan “Persatuan Penduduk ‘Super Link’ Presint 16 telah mengemukakan bantahan melalui Memorandum dan Lampiran setebal 22 muka surat. Saya jangka persatuan-persatuan penduduk Presint lain di Putrajaya juga telah dan akan mengemukakan bantahan yang sama.” Katanya lagi.
Sejauh manakah rayuan dan bantahan yang dikemukakan oleh penduduk akan diterima dan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa? Itu yang menjadi persoalan dan harapan majoriti penduduk di Putrajaya.
Rata-rata penduduk Putrajaya menanti ketibaan tahun baru 2017 dengan penuh debaran. Apa yang jelas dan nyata adalah mereka akan berhadapan dengan tekanan hidup untuk menyara keluarga dalam keadaan ekonomi negara yang semakin buruk dan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.