December 06, 2016

Episod 2: Boss is always Right


Episod 2
Boss is always Right


Isu Skim Perkhidmatan di SERU

Pegawai-pegawai yang bertugas di SERU terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan. Zahid adalah salah seorang daripada 20 orang Pegawai Penyelidik (N20) yang berkhidmat di SERU. Antara yang awal, Leow Shing Onn, Abd. Rahman Mohd, Alias, Zulkifli, Murtadza, Marry George, Siti Radziah, Munirah, Suhaimi, Omar, Mariam, Roziaiti, Asma Aini, Maznon, Shafie …. Eh! Siapa lagi ek?

Pegawai-pegawai lain terdiri daripada Pegawai Tadbir Am (PTA) dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Pegawai PTA, antara yang awal Yen Kong Moi, Mohd Noor Salleh, Halim, Pakarulrazy, Lukeman, Chin Tuck Seng, Ng Soo Tian, Prakash Kaur, Ismail Awang, Salehim, dan ramai lagi yang datang selepas itu.

Pegawai PTD pula, hampir semua adalah pegawai kanan. Antara yang awal, Dr Hasan Ali, Zabri Min, Freddie Choo dan Talaat Hussain, semasa di Jalan Duta. Apabila SERU berpindah ke Wisma Mirama pegawai-pegawai PTD yang lain masuk. Antaranya, Chanderasekaran, Rommel Josef, Gloria Leong, Molly Azad, dan selepas itu Dr Fadil, Awadz, Abd Rahim, Dol Bahar dan lain-lain.

Pejabat SERU ketika di Wisma Mirama, 1983

Apa yang menarik dalam agensi yang mempunyai skim pelbagai perkhidmatan di SERU ialah Pegawai Penyelidik ‘dianggap’ sebagai kategori pegawai terendah dan mereka merasa diri mereka dianaktirikan. Rakan-rakan lain mungkin tidak bersetuju dengan pandangan ini! Skim Pegawai Penyelidik diwujudkan khas di SERU sebagai ‘perkhidmatan tertutup’, iaitu mereka hanya boleh bertugas di jabatan ini sahaja dan tidak boleh ditukarkan ke jabatan-jabatan lain. Justifikasinya ialah untuk mewujudkan golongan pegawai penyelidik yang profesional di SERU.

Oleh kerana bilangan pegawai penyelidik adalah kecil, peluang untuk kenaikan pangkat adalah sangat terhad. Misalnya, bagi mereka yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun, biasanya mereka masih kekal menjawat jawatan di tahap Tingkatan Biasa. Sebaliknya, bagi pegawai PTD peluang kenaikan pangkat adalah mudah. Misalnya, bagi yang telah berkhidmat melebihi 3 tahun, mereka akan dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat daripada Tingkatan Biasa ke Tingkatan Kanan dan mempunyai peluang untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi, iaitu ‘Superscale’ G, F, E, D, C, B dan A.

Isu kenaikan pangkat sering menjadi rungutan di kalangan pegawai-pegawai penyelidik. “Zahid, engkau kerja dah berapa tahun?” tanya Suhaimi, Pegawai Penyelidik yang berasal dari Kelantan. “Dah 8 tahun. Kenapa?” jawab Zahid. “Hai! 8 tahun kerja masih Tingkatan Biasa? Ada Ijazah Sarjana pulak tu!” tanya Suhaimi memperli.

Zahid berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi di University of East Anglia, England dengan biasiswa Kerajaan Persekutuan. Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1987, dia bertugas semula di SERU. “Belum ada rezeki! Mudah-mudahan kalau ada rezeki nanti, mana tahu? Boleh aku belanja engkau!” jawabnya, perlahan untuk menenangkan perasaan Suhaimi yang keciwa.

“Aku sebenarnya benganglah!” rungut Suhaimi, sambil menggaru kepala yang tidak gatal di belakang telinga sebelah kanannya. Gelagatnya diperhatikan dengan senyuman oleh Omar (RO) dan Halim (PTA). “Bengang pasal apa?” tanya Zahid. “Engkau tahu, pegawai PTD bila jumpa sesama mereka, bersembang. Cerita lain tak ada. Pasal naik pangkat sahaja!” kata Suhaimi, menyungut.

Keadaan pejabat di Wisma Mirama yang menggunakan konsep ruang terbuka dan kedudukan meja-meja pegawai yang hanya dipisahkan oleh separuh ‘partition’ daripada ‘softboard’ menyebabkan apa jua perbualan antara mereka akan didengar orang lain. “Ala, biarlah. Itu dah rezeki mereka!” katanya untuk menenangkan Suhaimi. “Yalah aku faham! Tapi, kita ni buat kerja yang sama dengan dia orang. Kerja-kerja yang tak patut kita buat pun kita yang kena buat! Tapi habuk pun tak ada!” kata Suhaimi, melahirkan rasa hampa.

“Suhaimi! Kita ni buat kerja kena ikhlas, bersungguh dan pastikan kerja yang kita hasilkan itu berkualiti. Kita jangan sandarkan pertimbangan kita semata-mata pada pangkat untuk meransang kita melakukan kerja. Itu tak ikhlas namanya!” katanya. “Kita kena ingat, kita kerja ni nak cari rezeki yang halal untuk bagi makan bini dan anak-anak kita,” katanya lagi cuba menenangkan perasaan Suhaimi yang semakin keciwa. “Ah! sudahlah kau, nak berfalsafah depan aku pulak!” kata Suhaimi, terus merungut. 

“Hey kawan! Bukan falsafah. Tapi, kita kena suka dengan kerja kita. Minat dengan kerja yang kita buat. Barulah ‘happy’, ada keseronokan bekerja, rasa senang hati nak ke pejabat. Malam sebelum tidur, tertunggu-tunggu waktu pagi untuk pergi pejabat. Tapi, kalau kita tak minat nak buat kerja sebab tak dapat naik pangkat, itu akan merosakkan diri kita sendiri. Kerja malas, prestasi menurun, ponteng, kena ambil tindakan disiplin, kena buang kerja. Ha! Siapa yang susah?” katanya lagi, memerhatikan Suhaimi yang masih tidak berpuas hati.

‘Boss is always Right’

“Ha! Apa lagi yang engkau tak puas hati tu!” dia bertanya, apabila melihat Suhaimi yang menampakkan gaya hendak memperkatakan sesuatu. “Aku pun hairan, sesetengah boss. Tunjuk garang. Tunjuk bengis. Salah sikit lempar fail. Menjerit, ‘Rule No.1: Boss is always right. Rule No.2: If the Boss is wrong, refer to Rule No. 1’. Habis! Nak seronok kerja macam mana?” tanya Suhaimi.

Zahid tunduk seketika, kemudian mengangkat mukanya semula dan memandang ke arah Suhaimi. “Aku sedar, memang ada boss yang macam itu, tapi tak semua. Pada pengamatan aku, boss yang macam itu mahu supaya dirinya dihormati. Tetapi dia bimbang kalau orang lain tidak hormat padanya kerana dia sedar dia mempunyai kelemahan dan kekurangan untuk dihormati sebagai boss. Jadi, dia cuba menutup kelemahannya dengan bersikap garang supaya orang lain tidak berani melawan dan kelemahannya tidak diketahui orang lain,” katanya. 

Suhaimi mengamati kata-katanya dengan penuh minat. “Kalau ditakdirkan engkau jadi boss, walaupun aku fikir, dengan skim perkhidmatan Pegawai Penyelidik engkau sekarang ini, mustahil engkau boleh jadi boss!” kata Suhaimi, tertawa dengan menunjukkan memek muka memperli. “Apa sifat-sifat untuk melayakkan engkau jadi boss?” tanya Suhaimi.

Dia telah menduga, Suhaimi akan mengajukan soalan itu padanya. “Sifat-sifat seseorang boss itu terlalu banyak! Bergantung boss dalam bidang apa? Tetapi kalau kita fokuskan pemikiran kita di SERU, aku fikir seseorang boss itu mesti berilmu. Bukan sahaja menguasai ilmu dalam bidang penyelidikan, penganalisisan dan penulisan laporan tetapi yang sama penting ialah ilmu yang luas dalam bidang pembangunan dan dasar-dasar negara. Kalaulah seseorang boss itu mempunyai ilmu dalam kedua-dua bidang ini, baharulah dia boleh memberi nasihat dan arah tuju mengenai kajian-kajian yang akan dijalankan supaya ia menjadi relevan dan terarah kepada kehendak penggubal-penggubal dasar negara,” jawabnya. 

“Itu bukan ke kerja Pegawai Penyelidik?” tanya Suhaimi. “Betul! Kerja Pegawai Penyelidik. Tetapi seorang boss itu, perlu mempunyai ilmu, visi, misi dan berupaya menzahirkannya melalui panduan sebelum mengarahkan sesuatu kajian atau kerja itu dibuat. Bukan hanya pandai panggil pegawai dan arah pegawai itu buat kerja dengan beri amaran. ‘Saya tak mahu tahu macam mana kamu nak buat kerja itu! Apa yang saya mahu, kerja itu mesti siap dalam tempoh sekian-sekian!’ Kalau macam itu, senanglah! Semua orang boleh jadi boss!” kata Zahid.

Suhaimi tersenyum lebar. Puas hatinya kerana ada seseorang yang mahu mendengar keluhan dan bersimpati dengan persoalan yang dibangkitkannya. “Aku puji engkau. Engkau memang Pegawai Penyelidik yang bagus. Engkau sepatutnya layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun ini. Tahniah!” kata Suhaimi, tersenyum memperli, berjabat tangan lalu beredar meninggalkannya.