December 06, 2016

Episod 1: Mahu jadi Penyelidik Profesional?


Episod 1
Mahu jadi Penyelidik Profesional?

SERU adalah singkatan daripada ‘Socio-Economic Research Unit’ atau terjemahannya, Unit Penyelidikan Sosioekonomi. Unit yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri ini adalah satu-satunya agensi kerajaan yang berperanan menjalankan kajian bagi menilai impak dan keberkesanan projek-projek pembangunan sektor awam, khususnya seperti yang terkandung dalam Rancangan Pembangunan Lima-Tahun Malaysia. Penemuan-penemuan kajian akan digunakan sebagai input kepada pembentukan dasar bagi Rancangan-Rancangan Pembangunan Lima-Tahun berikutnya.

Zahid melapor diri sebagai Pegawai Penyelidik di SERU pada 1 Jun 1981. Untuk melayakkan diri sebagai pegawai penyelidik di SERU, dia memerlukan kemahiran dalam metodologi penyelidikan, termasuklah pelbagai jenis siasatan (survey), teknik persampelan, soalselidik, pemungutan data, penganalisisan data, dan penulisan laporan. Seseorang penyelidik juga perlu mempunyai pengetahuan yang luas di peringkat makro mengenai bidang yang dikaji dan kaitannya dengan dasar-dasar awam sedia ada. Ini penting supaya hasil kajian yang dijalankan adalah relevan dan menepati kehendak perancang-perancang pembangunan negara.

Perarakan Maulidul Rasul ke Stadium Merdeka, 1982

Sebagai seorang pegawai yang baharu, dia banyak mempelajari selok-belok menjalankan penyelidikan daripada pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman dan telah lama berkhidmat di SERU. Antaranya, Dr. Hasan Mohd. Ali, Zabri Min dan Talaat Hussain. Bagaimanapun, peluangnya untuk mendapat tunjuk ajar daripada pegawai-pegawai kanan tersebut tidak kekal lama kerana mereka sering bertukar ke jabatan-jabatan kerajaan lain, biasanya kerana dinaikkan pangkat.

Dalam meneruskan kerjayanya di SERU, dia tekun mempelajari aspek-aspek teknikal dalam penyelidikan daripada rakan-rakan di pejabat, seperti aplikasi statistik dan pelbagai teknik persampelan. “Dalam kajian ini, kalau pemilihan responden tu aku guna ‘random sampling’ boleh ke tidak?” dia bertanya Aziz Mohamed, Pegawai Kanan Perangkawan. “Boleh! Tapi ‘random’ yang macam mana engkau nak guna?” tanya Aziz. “Maksudnya, aku pilih sahaja sesiapa secara random untuk jadi responden, asalkan jumlah sampel cukup 1,000 orang!” katanya. “Mana boleh macam tu! Itu tak saintifik namanya. Dan penemuan kajian itu nanti tak boleh guna sebab tak ‘representative’,” jawab Aziz.

Dia terdiam. Teringat beberapa laporan kajian oleh pakarunding dan pensyarah universiti yang pernah dibacanya. Lalu dia menimbulkan persoalan, “Adakah penemuan dan perakuan daripada kajian-kajian tersebut ‘representative’ dan boleh digunapakai, seperti dipersoalkan oleh Aziz?” Dia bertanya kepada diri sendiri.

“Engkau boleh guna ‘stratified random sampling’ atau ‘cluster sampling’ di mana sampel itu disusun mengikut strata. Tapi sebelum itu, engkau kena ada ‘sampling frame’,” jelas Aziz. “Di mana aku nak dapat ‘sampling frame’ tu?” dia bertanya. “Cuma Jabatan Statistik yang ada. Sebab dia orang buat Banci Penduduk setiap 10 tahun sekali,” kata Aziz. Sekali lagi, dia menimbulkan persoalan mengenai ‘validity’ peakuan-perakuan kajian yang pernah dibacanya.

Penganalisisan data dan penulisan laporan adalah tahap yang paling kritikal dalam sesuatu kajian. Dalam hal ini, dia banyak mempelajari teknik penganalisisan data dengan menggunkan perisian komputer, seperti SAS dan SPSS daripada pegawai-pegawai yang rajin membantu, seperti Ahmad Muda Osman, Rusli Idris dan Abu Bakar Mohd. Abu.

“Data dalam ‘computer print-out’ itu nanti engkau nak yang macam mana? ‘Fraquency tabulation’ ke? Atau ‘cross-tabulation’?” tanya Ahmad Muda padanya. “Kalau ‘frequency tabulation’ macam mana?” dia bertanya. “Kalau yang itu, dia cuma ‘reproduce’ data sahaja. Tak ada analisis. Cuma melaporkan data,” jawab Ahmad Muda.

Sekali lagi, dia terdiam seketika. Dia teringat laporan daripada kajian-kajian yang pernah dibacanya, sama seperti yang disebut oleh Ahmad Muda. Hanya melaporkan data dan tidak ada analisis. Dia pernah menyoal dirinya sendiri ketika membaca laporan-laporan tersebut. “Kalau aku jadi perancang dan aku dapat laporan seperti ini, macam mana aku nak gunakan dalam perancangan aku?” katanya sendirian.

“Kalau macam tu, aku hendak data itu dikeluarkan dalam bentuk ‘cross-tabulation’. Sebab aku nak buat analisis, nak hubungkaitkan antara pembolehubah dengan pembolehubah yang lain. Aku nak tengok, sama ada fakta-fakta itu signifikan dan releven atau tidak bagi maksud perancangan,” katanya pada Ahmad Muda.

Ketika berbincang, Rusli dan Abu sedang sebuk mengeluarkan berkotak-kotak ‘computer print-out’ yang dibawanya dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jalan Dato Onn. Pada masa dulu, maklumat responden yang dikumpul melalui soalselidik kajian SERU diproses dengan menggunakan SAS mainframe kerana saiz datanya sangat besar. Kemudahan sistem ini hanya terdapat di Pusat Komputer di ICU. Tetapi kerja-kerja penganalisisan data boleh dilakukan di SERU melalui monitor khas yang dihubungkan melalui talian ke Pusat Komputer. ‘Computer print-out’ juga hanya boleh dicetak di ICU. Oleh itu, adalah menjadi salah satu tugas harian Rusli dan Abu untuk mengambilnya dari ICU dan mengagihkan kepada pegawai-pegawai SERU yang membuat ‘request’ penganalisisan data dan ‘hard copy’.

Rusli yang sedang sibuk menyusun ‘computer print-out’, menoleh ke arahnya. “Wah! Macam inilah pegawai SERU yang kita nak!” jerit Rusli, sambil mengebil-ngebilkan mata dan mengorek telinga dengan jari telunjuknya. ”Wah! Canggihlah kau Zahid. Macam inilah pegawai SERU!” kata Abu, sambil menunjukkan ibu jari ke arahnya.

Zahid tersengih. Tetapi dalam fikirannya dia menginsafi, betapa seseorang penyelidik itu perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai bidang yang dikaji serta kemahiran yang tinggi dalam pelbagai aspek metodologi penyelidikan untuk menjadikan seseorang itu sebagai penyelidik profesional.