December 06, 2016

Episod 3: Nama hilang dalam Senarai Khidmat Cemerlang


Episod 3
Nama hilang dalam Senarai Khidmat Cemerlang

“Muzahid!” terdengar suara orang memanggil namanya. Dia tercari-cari dari mana datangnya suara itu. Agak sukar baginya untuk mengenalpasti siapa orang yang memanggilnya di tengah-tengah terlalu ramai orang yang sedang berpusu-pusu memasuki Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM), 1988. Dia terus berjalan untuk mencari tempat duduk di barisan belakang, bersama-sama pegawai-pegawai dari Jabatan-jabatan lain.

“Muzahid!” suara itu memanggil namanya lagi dan ketika menoleh ke kanan, dia terpandang Dr. Fadil sedang melambai tangan ke arahnya, yang ketika itu telah mengambil tempat duduk di barisan pegawai-pegawai kanan.  Dr. Fadil Azim Abbas adalah Pengarah, Bahagian Analisis Dasar di SERU dan Zahid bertugas di bawah Bahagian tersebut. “Ya Dr.!” jawabnya ketika menghampiri Dr. Fadil.

Di sebelah tempat duduknya ialah Dr. Nuriyah Moon, Timbalan Pengarah Bahagian yang sama. Kedua-dua mereka kelihatan gelisah sambil memegang Buku Aturcara yang mengandungi senarai nama pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan menerima anugerah pada pagi itu.

Dewam Muktamar Pusat Islam Jalan Duta

Nama tiada dalam senarai penerima

“Kenapa nama you tak ada dalam senarai penerima?” tanya Dr. Fadil yang merasa cemas. “Yalah Zahid! Nama you tak ada dalam Buku Aturcara ini!” kata Dr. Nuriyah yang juga kelihatan kehairanan. “Tak mungkin! Sebab saya pasti nama you memang tersenarai. Saya sendiri yang menyemak surat itu di pejabat SERU sebelum di hantar ke Bahagian Pentadbiran JPM!” kata Dr. Fadil.

“Apa dah jadi ni?” kata Dr. Fadil lagi, menyatakan perasaan kesal kerana dia yang mencadangkan nama Zahid sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang berasaskan khidmat beliau yang baik dan konsisten sepanjang tempoh 7 tahun perkhidmatannya dan dipersetujui dalam Mesyuarat Pengurusan di SERU. “Maaf Dr., saya tak tahu,” jawab Zahid, meminta diri dan beredar berjalan menuju ke tempat duduk di barisan belakang.

Ketika sampai di Dewan Muktamar, Pusat Islam pagi tadi, dia terus pergi ke bahagian Urusetia Majlis untuk mendaftar kehadirannya sebagai penerima khidmat cemerlang. “Nama siapa?” tanya pegawai bertugas. “Muzahid, dari SERU,” jawabnya. Pegawai tersebut menyemak senarai nama dan menyelak muka surat dalam Buku Aturcara beberapa kali. “You dari SERU ya?” tanya pegawai petugas. “Ya,” jawab Zahid. “Tapi nama you tidak ada dalam senarai!” kata pegawai bertugas. “Saya telah semak beberap kali, tapi nama you memang tidak ada,” kata pegawai petugas lagi.

Dia kebingungan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sambil mundar-mandir, dia memerhatikan pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan lain yang mendaftar sebagai penerima. Mereka bersalaman memperlihatkan wajah gembira dan mengucapkan tahniah sesama mereka.

Dia berfikir untuk pulang ke pejabat. Tetapi hatinya tergerak untuk berada di dalam dewan dan menyaksikan majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang yang berprestij dan memang dinanti-nanti oleh pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

Mana hadiahnya?

Ketika pulang dan sampai di pejabat, dia menerima ucapan tahniah daripada pegawai-pegawai dan kakitangan yang tidak menghadiri majlis penganugerahan khidmat cemerlang. “Mana hadiahnya, nak tengok!” tanya Munirah Abd. Manan, seorang Pegawai Penyelidik yang banyak mulut. “Hadiah? Tak ada hadiah,” jawab Zahid. “Engkau ni, main-mainlah. Aku nak tengok pun tak nak bagi!” kata Munirah. “Betul! Tak ada hadiah,” jawabnya. 

Aku tak apa kalau tak dapat. Tapi aku malu

Tidak lama kemudian, rakan-rakan yang menghadiri majlis tersebut pulang dan sampai ke pejabat – Samsuri Rahmat, Isamri Ismail, Ean Phu Chiang, Omar Abdullah dan Shafie. “Aku terkejut, bila tengok nama engkau tak ada dalam senarai!” kata Samsuri kesal dengan insiden yang berlaku kerana mereka berkawan rapat. “Sam! Aku tak apa kalau tak dapat. Tapi aku malu,” katanya. “Sabarlah Zahid,” kata Samsuri,

Sedang mereka berbual, Dr. Fadil bersama Dr. Nuriyah masuk ke pejabat. “Muzahid! Apa yang dah jadi ni?” kata Dr. Fadil dengan meninggikan suaranya. Dia dan rakan-rakan lain hanya mendiamkan diri. “You masuk bilik saya sekarang!” arah Dr. Fadil.  Dia memandang rakan-rakannya. “Excuse! Aku nak pergi bilik Dr. Fadil,” katanya. “Kami pun nak ikut sama,” kata Samsuri sambil memberi isyarat tangan supaya rakan-rakan lain mengikutinya.

“Memalukan! Saya malu dan bertanggung jawab ke atas perkara yang telah berlaku. Kalau boss tanya, apa yang saya nak jawab?” kata Dr. Fadil ketika dia dan pegawai-pegawai lain masuk ke dalam biliknya. “Mungkin surat yang dihantar tak sampai ke Bahagian Pentadbiran JPM!” jawab Samsuri. “Mustahil! Saya sendiri yang telah menyemak surat itu dan nama Muzahid ada dalam senarai bersama-sama nama kakitangan SERU yang lain. Kalau surat itu tidak sampai, kenapa nama kakitangan yang lain ada dalam senarai penerima tetapi nama dia tak ada?” jelas Dr. Fadil. “Saya mahu perkara ini disiasat!” arah Dr. Fadil.

Mereka bersurai dan kembali ke tempat kerja masing-masing. Isamri mengekori Zahid ke tempat kerjanya dan ketika sampai, dia duduk di kerusi menghadapnya. Isamri adalah Pengarah Bahagian Pentadbiran dan Kewangan. “Zahid! aku sebenarnya ada sesuatu yang nak cakap dengan engkau,” kata Isamri memulakan perbualan. “Aku minta maaf dari hujung kaki ke hujung rambut,” katanya lagi. “Dua minggu sebelum tarikh majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, aku menerima arahan supaya nama engkau digugurkan daripada senarai penerima,” kata Isamri.

Bersama Isamri (kanan) dan Kak Wan Afifah (kiri) di Majlis Penyampaina Hadiah Sukan SERU

Zahid terkejut dan berubah muka. Dia hanya mendiamkan diri untuk memberi ruang pada Isamri terus bercakap. “Aku sedar aku telah terperangkap dalam mengambil tindakan, antara ‘kawan dan arahan’. Tetapi aku tidak ada pilihan, kecuali melaksanakan arahan,” kata Isamri, menundukkan kepala, menunjukkan rasa kesal.

“Soalnya, kenapa? Kenapa nama aku digugurkan? Sepanjang yang aku tahu, aku tak pernah menyakiti hati orang dan aku tak pernah melawan boss!” katanya. “Aku tak tahu sebab sebenar. Tapi aku ada terdengar kalau engkau dapat Anugerah Khidmat Cemerlang, engkau akan jadi pesaing kepada pegawai-pegawai lain kalau ada kenaikan pangkat di SERU!” jawab Isamri.

Aku tidak pernah mengharap untuk diberi khidmat cemerlang

“Isamri, aku tidak pernah mengharap untuk diberi khidmat cemerlang. Aku berkerja dengan ikhlas. Aku tidak kira sama ada aku diberi ganjaran, dinaikkan pangkat atau tidak dinaikkan pangkat. Yang penting, aku nak cari rezeki yang halal untuk bagi makan anak-anak aku dan bini aku!” kata Zahid dengan tenang dan merendahkan suaranya.

“Tapi, engkau kena faham, aku hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan,” kata Isamri. “Aku faham! Tetapi, aku kesal tidak diberitahu sebelum aku pergi ke Dewan Muktamar, Pusat Islam dan terpaksa menanggung malu di hadapan ramai orang,” katanya. “Aku diberi arahan supaya tidak memberitahu perkara ini kepada sesiapa,” jawab Isamri. Zahid hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu mengungkit perkara yang telah berlaku. “Biarlah peristiwa ini menjadi kenangan dalam hidupku!” bisik hatinya. 

Kesokan hari, berita mengenai Zahid tidak jadi menerima anugerah perkhidmatan cemerlang menjadi topik hangat di SERU. Cerita hangat ini terus menjadi perbualan sehingga berminggu-minggu lamanya.

Beberapa bulan selepas itu, isu mengenai pemilihan perkhimatan cemerlang telah dibangkitkan dalam mesyuarat di antara staf dan pihak pengurusan. Sebahagian besar staf menyatakan rasa tidak puas hati dengan insiden yang berlaku dalam penganugerahan yang lalu.

“Saya meminta supaya pemilihan calon hendaklah dilakukan dengan lebih telus,” kata Omar Abdullah, seorang Pegawai Penyelidik. “Saya cadangkan supaya ‘proses undi’ dijalankan di kalangan semua pegawai dan kakitangan di SERU bagi memilih calon-calon yang akan menerima khidmat cemerlang pada tahun depan,” Suhaimi mencelah. “Setuju!” jerit suara ramai di dalam bilik mesyuarat. 

Dalam ‘proses undi’ bagi memilih calon khidmat cemerlang tahun berikutnya, Zahid mendapat jumlah undi paling banyak. Dia dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1989.