December 06, 2016

PUNCAK 5: JADI PENGARAH EKSEKUTIF


Episod 5
JADI PENGARAH EKSEKUTIF
DR MUZAHET MASRURI

Hampir 2 tahun masa berlalu. Hari ini genap 2 bulan tempoh kontrak perkhidmatannya dengan syarikat ini akan tamat. Dia pernah berfikir apa yang akan dilakukannya selepas bersara daripada syarikat ini. “Aku ingin membalas jasa kepada masyarakat dan negara dengan berkongsi sedikit pengalaman dan kemahiran yang aku ada semasa di sektor awam dan swasta,” fikirnya. “Inilah masanya untuk aku beri balik kepada mereka setelah segala nikmat dan faedah yang banyak aku terima selama ini,” katanya lagi.

Dia bersyukur atas pencapaian dan kejayaannya setakat ini. “Kejayaan aku tidaklah seberapa kalau hendak dibandingkan dengan ramai lagi mereka yang lebih berjaya,” katanya. “Tetapi aku bersyukur dengan kemudahan dan peluang-peluang yang diberi melalui dasar-dasar negara yang dilaksanakan, sehingga aku menjadi aku seperti sekarang,” kata hatinya lagi. 

“Kalaulah Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak ada, aku tidak mungkin jadi orang Melayu seperti aku sekarang ini,” bisik hatinya. “Aku akan jadi orang miskin, seperti aku hidup miskin semasa aku kecil dahulu,” kata hatinya lagi, mengimbas kembali kehidupan zaman kecilnya yang terpaksa bertarung tenaga dan berusaha gigih untuk mengubah nasib masa depannya. 

“Tetapi, mujur aku jadi anak miskin semasa kecil! Kalaulah aku jadi anak orang kaya, aku akan lupa daratan, leka, malas berusaha keras dan akhirnya aku jadi orang miskin hari ini!” dia tersenyum sendirian dengan jawapan balas hati kecilnya.


Pengarah Eksekutif SRC & PR
Bagaimanapun, hajatnya untuk berkhidmat dan membalas jasa pada masyarakat dan negara selepas bersara, terpaksa ditangguhkan. Dia membuat keputusan itu, apabila hari ini dia menerima surat daripada pihak pengurusan atasan syarikat yang memaklumkan, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif (ED), berkuatkusa mula 15 Februari 2012 dan kontrak perkhidmatannya di sambung 2 tahun lagi. Dia akan mengetuai Bahagian SRC dan Bahagian Perhubungan Awam.

“Datuk! Tahniah jadi ED sekarang!” dia menerima panggilan telefon daripada Mahfuzah Tarmidi, Head of Human Capital yang banyak membantu dalam urusan perjawatan di SRC. Dia juga mendapat kerjasama yang baik daripada Pengarah Eksekutif Bahagain Pentadbiran yang baharu, Faridatulzakiah Mohd Bakhry.


Faridatulzakiah Mohd Bakhry, Pengarah Eksekutif Pentadbiran (duduk di bahagian tengah)
Dia bersyukur, hanya 2 tahun berkhidmat, dia diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan setinggi itu berbanding dengan Pengarah Eksekutif lain yang telah berkhidmat lebih lama. Hatinya gembira menerima tawaran itu. “Tetapi aku perlu waspada! Bukan semua orang akan gembira dengan kejayaan aku ini,” katanya hatinya. “Yang pasti paling gembira ialah isteri dan anak-anak. Sebahagian orang lain mungkin tumpang gembira manakala sebahagian besar tidak ambil kisah, dan mungkin ada sebilangan kecil yang tidak gembira dengan kejayaan aku,” bisik hati kecilnya lagi.

Datuk tak faham peranan promosi dalam PR

Tambahan tugas di Bahagian Perhubungan Awam (PR) bukanlah suatu perkara yang asing baginya kerana ketika menjadi TKSU di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, TKP di EPU dan KSU di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan & Kesenian dahulu dia berpengalaman mengendalikan acara-acara, bukan hanya di peringkat kementerian bahkan di peringkat nasional, termasuklah urusan mengenai susuncara, jemputan protokol, ‘press conference’, media, promosi dan sebagainya.

Meraikan anak-anak yatim dalam Program Gema-Raya 2013
Dia tidak mempunyai masalah untuk mengendali peranan PR. Tetapi seperti dia maklum, tidak semua orang akan menerima baik kehadirannya sebagai boss yang baharu. Apatah lagi kalau sebelumnya orang itu adalah boss di bahagian berkenaan tetapi sekarang tidak lagi menjadi boss dan terpaksa mengikut arahan orang lain. Dia juga tiada masalah membimbing pegawai-pegawai yang rajin dan proaktif tetapi ada juga pegawai yang malas dan banyak tipu helah.

“Datuk tak pernah jadi pegawai PR sebab itu Datuk tak faham peranan promosi dalam PR!” kata salah seorang pegawainya, bertaraf Pengurus yang marah kerana dia tidak meluluskan cadangan untuk mengadakan permainan ‘Go Kart’ antara beberapa rakan media dengan pegawai-pegawai di PR kerana kos yang tinggi dan impaknya tidak seberapa.

Pengalaman berkaitan PR semasa bertugas di sektor awam
“Memang betul, saya tidak pernah jadi pegawai PR sebab Pengurus PR hanya jawatan rendah di syarikat ini,” katannya, memperli. “Semasa bertugas di sektor awam dahulu, saya bertanggung jawab mengepalai acara-acara besar di peringkat negara – Hari Kemerdekaan Malaysia, Hari Gawai di Sarawak, Hari Keamatan di Sabah, Tahun Baru Cina, Deepavali, pelbagai majlis rasmi dan pelbagai seminar peringkat antarabangsa,” katanya memandang dengan senyuman kepada pegawai tersebut.


Wawancara Astro Awani: Pentingnya menjaga alam sekitar sebagai sumber air bersih
“Tanggung jawab tersebut adalah besar. Bukan hanya setakat tanggung jawab untuk menguruskan permainan ‘Go Kart’ antara beberapa rakan media dengan beberapa orang pegawai di PR yang you cadangkan itu!” katanya. 

Menyuntik semangat staff 

Walaupun ada pegawai yang malas dan banyak tipu helah tetapi ramai yang rajin dan proaktif. Dalam kesibukan kerja harian, dia sering menyuntik semangat pegawai-pegawainya supaya sentiasa meningkatkan kualiti kerja. “Saya berterima kasih kerana you all semua kerja rajin dan bagus. Tetapi kita jangan berpuashati dengan tahap kerja yang kita buat. Kita mesti fikir untuk menambah baik dan meningkatkan mutu kerja kita. Baharulah orang lain akan ‘respect’ kita!” Bagitulah kata-kata peransang yang selalu disebutnya ketika mesyuarat atau ketika memberi tugasan kerja kepada pegawai-pegawainya. 

Dalam memberi penugasan kerja kepada pegawai-pegawai, dia biasanya akan terlebih dahulu memberi senario kerja yang akan dibuat, jangkaan hasil yang akan dicapai, pendekatan, bidang-bidang yang perlu diberi perhatian, fokus, rujukan dan sumber-sumber maklumat. “Daripada apa yang sudah kita bincang, you all sedia draf dan jumpa saya untuk kita teliti dan tambah baik.” Begitulah selalu katanya apabila memberi arahan kerja.

“Datuk! Saya suka cara Datuk beri arahan kerja. Jelas, nampak arah tuju dan saya tahu apa yang sepatutnya saya buat” kata Raja Rozailah, seorang Pengurus Kanan yang sangat rajin, proaktif dan banyak idea.

Norita, Shahrul & Noraishah
“Cara Datuk ni lain dengan boss lain! Ada boss suruh saja buat kerja tapi tak ada panduan,” kata Noraishah, Eksekutif Kanan yang pendiam tetapi rajin dan mempunyai kebolehan analisis yang baik. “Ada boss kata, ‘saya tak mahu tahu macam mana you nak buat kerja yang saya suruh. Apa yang saya mahu, kerja itu mesti siap!’ Kalau macam itu, senanglah! Semua orang boleh jadi boss!” kata Noraishah.

Dia tersenyum memerhatikan mereka, “Itu memang dah jadi ‘style’ saya. Sebab arahan dan panduan adalah penting untuk memudahkan kerja. Barulah orang appreciate’ kita sebagai boss,” jawabnya.

“Tapi you all kena ingat! Saya akan bertanggung jawab atas semua perkara dan semua yang you all buat dan hasilkan,” katanya. “Saya tidak akan ambil sikap ‘lepas tangan’. Sebab itu, you all mesti buat yang terbaik!” katanya lagi.

“Kalaulah berlaku kesalahan di mana-mana peringkat jawatan di SRC dan PR, saya dahulu yang mesti bertanggung jawab menghadapi siasatan (domestic enquiries). Kalau ada tindakan disiplin atau turun pangkat, saya dahulu yang mesti diturunkan pangkat. Kalau kena buang kerja, saya dahulu yang mesti dibuang kerja. Dan tinggallah you all tanpa boss!” katanya, tersenyum kecil dan memandang pegawai-pegawinya.

“Datuk! Please! Kami perlu banyak lagi bimbingan daripada Datuk!” kata Raja Rozailah yang telah serasi dengan cara dia memberi arahan serta panduan, dan bimbang akan kehilangannya.