December 06, 2016

Episod 3 DATUK TIDAK TAHU BANYAK BENDA


Episod 3
DATUK TIDAK TAHU BANYAK BENDA
DR MUZAHET MASRURI

Sememangnya menjadi lumrah, kehadiran seseorang pegawai yang baharu di dalam sesebuah organisasi tidak selalunya diterima dengan mudah oleh ahli-ahlinya, apatah lagi kalau jawatan yang disandangnya adalah jawatan peringkat tinggi. Kebiasaannya, mereka akan mengambil pendirian tunggu dan lihat. Ada pula sesetengahnya yang mahu menunjukkan dia lebih mengerti daripada pegawai yang baharu.

“Datuk baharu di sini, sebab itu Datuk tidak tahu banyak benda!” antara kata-kata seorang pegawainya, bertaraf Pengurus yang bertutur Bahasa Melayu loghat Kelantan, ketika menemuinya di pejabat. “Saya sudah 3 tahun di sini dan tahu macam-macam pasal Puncak Niaga,” katanya lagi.

Meja Pengurus Besar Kanan
Dia merenung muka pegawainya yang tidak mengambil tempat duduk tetapi hanya berdiri dan bersandar di pintu masuk pejabatnya. Dia hanya mendiamkan diri untuk memberi ruang kepada pegawainya meluahkan rasa hati, yang sejak awal menampakkan reaksi tidak gembira dengan kedatangan Pengurus Besar Kanan yang baharu diwujudkan di SRC.

“Saya sekarang sedang buat kajian yang diminta oleh seorang Pengarah Eksekutif di syarikat ini,” kata pegawai itu lagi dengan rasa bangga sambil menunjukkan dokumen setebal kira-kira 20-30 muka surat yang dipegang di tangannya. “Kajian ini belum pernah dibuat dan saya gunakan kaedah ‘regression analysis’ yang jarang digunakan dalam kajian seperti ini!” katanya untuk meyakinkan kelebihan kajian yang dilakukan. “Dahulu, masa saya buat Ijazah Sarjana, saya pun guna kaedah ini!” kata pegawai itu lagi, lalu meletakkan dokumen tersebut di atas meja dan menolak ke hadapannya. 

Siri Penerbitan SRC
Dalam keadaan yang masih mendiamkan diri, dia mengambil dokumen tersebut lalu menyelak helaian-helaian muka surat dan membuat catatan di bahagian-bahagian yang diraguinya. “You buat regression apa?” dia bertanya, sambil terus meneliti laporan dalam dokumen tersebut. “Apa maksud you?” jawab pegawai itu. “Maksud saya, you guna simple linear regression atau multiple linear regression?” jawabnya, sambil terus membuat semakan dan catatan di muka-muka surat berkaitan.

Pegawai itu tidak menjawab dan setelah berfikir seketika, dia bersuara. “Saya guna simple linear regression sahaja,” katanya, dengan menunjukkan gaya keyakinan. “Kalau guna simple linear regression, kenapa banyak variables dalam laporan ini? Itu namanya multiple linear regression!” katanya.

Simple & Multiple Linear Regression Models
Pegawai itu terdiam seketika, sambil menyeluk kedua-dua belah tangan ke dalam poket seluarnya. Dia tergamam kerana tidak menduga Pengurus Besar Kanan yang baharu bertugas ini mengetahui mengenai metodologi kajian dan teknik penganalisisan. “Cuba you tengok regression model yang you guna! Model itupun salah! Kenapa you letak ‘kapasiti pengeluaran air’ sebagai ‘dependent variable’? Sedangkan yang you nak ukur ialah ‘peningkatan permintaan ke atas air’ di kawasan kajian yang sepatutnya digunakan sebagai ‘Y variable’ dalam model itu?” katanya, sambil menggaris dan membuat catatan pada model yang diguna dalam laporan.

Mendengar pertanyaan yang dikemukakan, pegawai berkenaan rasa tercabar dan mula berjalan mundar-mandir. Dia tidak menduga, ketuanya mempunyai pengetahuan mengenai kaedah ‘regression analysis’. “Tetapi saya guna perisian SPSS yang dikira tercanggih dalam penganalisisan data sekarang ini! Dan perisian SPSS itu telahpun dibeli oleh syarikat dengan harga yang mahal untuk menghasilkan keputusan analisis yang lebih tepat!” kata pegawai itu dengan mengeluarkan suara yang meninggi untuk meyakinkan kepentingan kajian yang dijalankan.

Menyampaikan 'Taklimat Ekonomi Malaysia' kepada Dewan Perniagaan Melayu Selangor (DPMS), 2012
Dia berhenti meneliti laporan seketika sambil memusing-musingkan pen ditangannya. “Dengan bilangan pemerhatian dan data yang kecil seperti dalam kajian ini, statistical package for the social sciences (SPSS) tidak perlu!” katanya, sambil mendongakkan kepala dan memandang muka pegawai itu. “Kalau kita guna ‘Excel’ yang memang sudah ada dalam komputer peribadi, itupun lebih daripada memadai! Tak payah beli dan tak perlu nak membazir duit syarikat!” katanya, dengan suara yang rendah dan tenang.

Perisian SPSS dan Excel bagi penganalisisan data 
Persoalan-persoalan yang tidak upaya dijawab, walaupun dikemukakan dengan cara yang berhemah oleh ketuanya, benar-benar mencabar kredibiliti pegawai berkenaan. “You tahu tak, keputusan analisis daripada SPSS itu banyak menghasilkan analisa statistik yang boleh digunakan dalam kajian ini!” kata pegawai itu dengan suara yang semakin meninggi.

Dia tenang menghadapi situasi yang semakin tegang. “Saya faham! Tetapi you hanya gunakan R-square untuk membuktikan regression model dalam analisis you!” katanya, sambil menyelak-nyelak semula helaian-helaian dalam laporan. “Mana ANOVA yang lain? P-value, t-statistics, F-test, confidence interval? Kenapa tidak ada dalam laporan, sedangkan ia sangat penting untuk membuktikan model yang digunakan! Bukan hanya setakat R-square sahaja!” jelasnya dengan tenang.

Mempengerusikan Panel Discussion, 'Map Asia 2010 - Connecting Government & Citizen Through Ubiquitous GIS’, 26 July 2010
“Datuk! Saya minta Datuk faham. Laporan kajian ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco minggu hadapan,” kata pegawai itu dengan menarik muka masam. Dia memerhatikan pegawai itu sambil bermain dengan pen di tangannya. “Saya tidak boleh luluskan laporan kajian ini untuk pembentangan. Ia perlu dibaiki dan ditulis semula seperti catatan dan komen yang saya cadangkan," jawabnya.

“Kalau laporan itu perlu ditulis semula, ia akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya. Kalau nak cepat kita kena panggil ‘consultant’!” jawab pegawai tersebut. “Buat apa nak panggil ‘consultant’? Nak bayar puluh ribu! SRC kan boleh buat sendiri! Bukan susah manapun kajian itu!” jawabnya, lalu menutup dokumen tersebut dan menolak ke hadapan mejanya, sambil memerhati pegawai tersebut dengan memberi senyuman kecil.

Hampa dengan ekspektasi yang tidak kesampaian, pegawai tersebut mengambil dokumen dari atas meja dan berjalan keluar dari pejabatnya. Dia mengekori pegawai tersebut dengan ekor matanya, sambil menggeleng kepala. “Selalunya boss yang nak tunjuk pandai. Yang ini pulak, pegawai yang nak tunjuk lebih pandai daripada boss! Kalau betul pandai tak apa! Ini, tak pandai tapi nak berlagak pandai!” bisik hati kecilnya dengan tersenyum sendirian.

“Harap-harap tak ada pegawai lain yang macam dia ni dalam Puncak Niaga..!” katanya perlahan, lalu menyandarkan badan di kerusi.