Episod 2
BOSS TUNJUK GARANG
DR MUZAHET MASRURI
DR MUZAHET MASRURI
Dia menerima tawaran sebagai Pengurus Besar Kanan di Puncak Niaga dan mula bertugas 2 Januari 2010, mengetuai Jabatan Pusat Sumber Strategik (SRC), di bawah Bahagian Hal Ehwal Korporat yang diawasi seorang Pengarah Eksekutif.
“Datuk! Selamat Datang ke Puncak Niaga,” kata Dato’ Yunus, Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran, ketika dia melapor diri di pejabatnya. Setelah memperkenalkan diri dan bertanya kabar, Dato’ Yunus menghulurkan dokumen-dokumen yang biasanya perlu ditandatangani oleh pegawai yang baharu melapor diri.
Dato’ Yunos Mohd. Amin (nombor 2 dari kanan) menyampaikan sumbangan Puncak Niga kepada Persatuan Rumah Orang Tua. |
“Datuk, Ok ke dengan surat tawaran daripada Puncak Niaga? Syarat-syarat dan sebagainya?” tanya Dato’ Yunus yang berperawakan lembut dan mesra. “OK!” jawabnya, sambil menurunkan tandatangan dalam dokumen-dokumen berkenaan. “Mengenai gaji yang ditawarkan, OK ke?” tanya Dato’ Yunus lagi. “Rendah sedikit daripada gaji yang saya terima semasa saya bertugas dengan Kerajaan,” jawabnya. “Oh! Ya ke?” kata Dato’ Yunus. “Datuk dulu TKSU bukan?” tanya Datuk Yunus. “Sebelum itu! Tapi selepas itu saya jadi KSU,” jawabnya.
“Jangan bimbang Dato’! Walaupun orang kata, gaji bekerja di syarikat swasta lebih besar daripada kerja Kerajaan, itu bukan ukurannya. Sebab, bagi saya yang lebih penting ialah sumbangan. Adakah kerja yang kita sumbangkan itu sepadan dengan gaji yang kita terima! Tak kiralah, sama ada kita kerja dengan syarikat swasta atau dengan Kerajaan!” jawabnya, mengangkat muka ke arah Dato’ Yunus yang ketika itu terdiam dan memandang ke arahnya.
Di akhir pertemuan, dia dibawa ke SRC untuk diperkenalkan kepada staf yang bertugas. Ada 9 orang semuanya, berbanding dengan lebih kurang 5,000 orang staf di seluruh negara ketika dia menjadi KSU.
Selepas pengenalan ringkas, dia di bawa masuk ke pejabatnya, sebuah bilik kecil berdinding kaca yang memuatkan sebuah meja besar, telefon dan komputer di atasnya serta dua buah kerusi tamu di hadapannya, sebuah meja hias kecil di sebelah kanan, sebuah almari separuh kaca untuk menyimpan dokumen dan sebatang ‘hanger’ kayu untuk menyangkut jaket. “Datuk! OK ke dengan bilik ini?” tanya Datuk Yunus. “OK! Asalkan saya boleh duduk dan buat kerja!” jawabnya. “Saya harap Datuk selesa dengan bilik dan kemudahan yang ada. Kalau ada apa-apa boleh hubungi saya,” kata Dato’ Yunus, meninggalkan dia dan pulang ke pejabatnya.
Sepeninggalan Dato’ Yunus, dia memerhatikan persekitaran pejabat yang akan dihuni selama 2 tahun mengikut kontrak perkhidmatan yang ditandatangani. Selepas mundar-mandir, dia duduk di kerusi menghadap meja dan kerusi tamu di hadapannya. Dia terkenang kemudahan pejabat semasa dia menjadi KSU – sebuah bilik yang luas, di dalamnya terdapat sebuah meja besar tempat dia membuat kerja, ruang tamu yang lengkap dengan ‘sattee’, sebuah meja bujur dilengkapi beberapa buah kerusi bagi perbincangan kumpulan kecil, tandas, bilik mandi dan sebuah bilik rehat yang dilengkapi dengan ‘sattee’ dan TV. “Segalanya berbeza sekarang!” bisiknya hati kecilnya.
Boss tunjuk garang
Bilik
Pengurus Besar Kanan, Pusat Sumber Strategik (SRC)
|
Boss tunjuk garang
Dua minggu setelah bertugas di syarikat ini, ketika duduk di kerusi, sambil memusingkan kerusi ke kiri dan ke kanan, fikirannya mula merayau, mengimbas mengenai syarikat tempat dia bertugas sekarang. Dia teringat semasa bertugas di EPU dahulu, dia pernah menganggotai beberapa jawatankuasa mengenai Dasar Penswastaan apabila dasar tersebut diperkenalkan dengan rasminya pada tahun 1990. Dalam diam dia terfikir, “Walaupun menerima kritikan tetapi Dasar Penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir telah melahirkan beberapa orang usahawan Bumiputera yang berjaya,” kata hati kecilnya sendirian.
Dia juga teringat, kerana minatnya untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai dasar yang baharu dilaksanakan itu, dia memilih tajuk ‘Privatization in Malaysia: Its Impacts on Economic Efficiency, Financial Position and Income Distribution’ sebagai kajian thesis Ph.D ketika dia belajar di luar negara dahulu. Dia juga teringat, kajian thesisnya pernah tersenarai sebagai sumber rujukan di Jabatan Ekonomi, University of East Anglia, UK bagi kajian kes mengenai pengalaman pelaksanaan dasar penswastaan di luar United Kingdom yang sedang dilaksanakan secara agresif oleh Margaret Tatcher, Perdana Menteri England ketika itu.
“Aku bangga dengan pencapaian Puncak Niaga dan anak syarikatnya, SYABAS yang diurus oleh usahawan Melayu,” bisik hatinya lagi. “Ternyata, pengambilalihan pekhidmatan bekalan air daripada Jabatan Bekalan Air Selangor, melalui dasar penswastaan oleh syarikat ini telah meningkatkan kecekapan pengurusan pembekalan air kepada hampir 2 juta penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” bisik hati kecilnya lagi, sambil mendongakkan kepalanya ke atas. “Aku tahu, sumbangan syarikat ini bukan hanya setakat itu, malah ia menyokong kepada pembangunan industri dan perniagaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merupakan pusat pertumbuhan terpenting di Malaysia,” bisik hatinya lagi.
Penumpang sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sedang membaca majalah The European yang menerbitkan edisi khas mengenai YBhg Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga |
Sedang fikirannya masih menganalisis mengenai syarikat ini dan bagaimana dia boleh menyumbang melalui SRC, dia diberitahu boss Bahagiannya sedang membuat lawatan mengejut ke SRC. Dia bangun dan berjalan menuju ke arah bossnya yang datang berseorangan dan menuding-nuding jari ke sana-sini kepada stafnya dengan muka bengis.
“Lain kali, saya mahu you all jaga kebersihan! You tau ka?” kata Boss, mengajukan arahan kepada staff, yang setengahnya berdiri dan setengahnya duduk di tempat kerja masing-masing. “Itu! You apa tengok? You tak ada nampak ka?” katanya lagi sambil menuding jari telunjuk ke arah secebis kertas yang terjatuh dari atas sebuah meja seorang staf.
Dia tersenyum. Hati kecilnya tertawa dengan tindakan dan kata-kata kasar yang didengar dan diajukan kepada staf di hadapannya. Sebagaimana sifatnya, dia tidak mahu bertelagah. Dia ada cara lain untuk membimbing stafnya. Hati kecilnya berkata. “Kamu datang bukan untuk beri nasihat dan panduan kepada staf SRC mengenai arah-tuju syarikat dan bagaimana SRC boleh menyumbang ke arah itu! Tapi, kamu nak tunjuk kuasa kerana secebis kertas!” bisik hatinya yang masih tertawa.
Dia melemparkan pandangan dan memberi senyuman kepada semua stafnya yang sebahagiannya menampakkan riak muka kebimbangan dan tandatanya. Sambil memerhatikan mereka, dia berkata di dalam hati, seolah-olah menjawab tandatanya stafnya. “Kamu semua jangan bimbang! Selagi aku jadi boss kamu, aku akan bertanggung jawab ke atas apa yang berlaku,” bisik hatinya.
“Lain kali, saya mahu tengok ini pejabat bersih!” kata Boss, lalu meninggalkan pejabat SRC yang memang sentiasa bersih dan tersusun.
Insiden yang berlaku sebentar tadi mengingatkannya tentang isu yang pernah dibangkitkan oleh pegawai-pegawai semasa dia bertugas di pejabat Kerajaan dahulu.
“Saya pun hairan, sesetengah boss. Tunjuk garang. Tunjuk bengis. Salah sikit lempar fail… Habis! Nak seronok kerja macam mana?” (Suhaimi, SERU, 1981)
“Rule No.1: Boss is always right. Rule No.2: If the Boss is wrong, refer to Rule No. 1’. Habis! Macam mana tu?” (Suhaimi, SERU, 1981)
“Doktor! Saya memang mulut bising. Tapi saya nak tanya soalan terakhir. Kenapa ada boss yang suka marah dan tunjuk garang?” (Dato’ Juhari, Ketua Pengarah Istana Budaya, 2008)
Dia juga masih ingat jawapan yang diberi kepada pegawai-pegawainya yang mengemukakan pertanyaan tersebut.
“Memang ada sesetengah boss yang tunjuk garang. Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, semua boss mahu supaya dia dihormati, berkuasa, dianggap lebih mengerti dan semua katanya mesti dituruti. Tetapi realitinya, sebagai manusia biasa, kita mempuyai kelebihan dan kekurangan …
“Ada sesetengah boss takut kelemahannya diketahui orang lain dan bimbang akan kehilangan ‘respect’. Jadi, dia cuba tutup kelemahannya dengan bersikap garang supaya orang lain tidak berani melawan dan kelemahannya tidak diketahui orang lain.”
| Laman Utama | Episod Seterusnya |