December 18, 2016

Episod 2: Industri Petroleum


Episod 2
Industri Petroluem

Stesen Minyak 

Pembangunan ekonomi telah meningkatkan permintaan ke atas bahan api seperti petrol, gas dan diesel. Implikasinya ialah peningkatan permohonan bagi pembukaan stesen-stesen minyak yang baharu oleh syarikat-syarikat minyak 

Kepentingan stesen minyak bukan sahaja kerana ia melibatkan kepentingan pengguna-pengguna kenderaan dan pengangkutan di jalanraya bahkan ia menyokong pembangunan sektor perindustrian, perkilangan dan perniagaan. Selain itu, ia juga menyokong pembangunan sektor pertanian dan nelayan di luar bandar melalui pemberian subsidi diesel kepada mereka yang terlibat dalam sektor ini.


“Dr, ini borang permohonan syarikat-syarikat minyak untuk membuka stesen-stesen minyak yang baharu untuk kelulusan Dr,” kata Fariszan, seorang pegawai yang rajin, teliti dan bededikasi, meletakkan timbunan fail-fail di atas meja. “Banyak permohonan tu!” katanya “Memang banyak Dr dan permohonan yang belum saya proses pun banyak lagi,” kata Fariszan.

“Saya tidak ada halangan untuk meluluskan permohonan tersebut kerana daripada penelitian Pasukan Petugas yang kita wujudkan dan lawatan ke cadangan tapak memang ada justifikasi untuk menyokong permohonan tersebut. Lagipun, pembukaan stesen baru akan mewujudkan persaingan dan itu baik untuk pengguna,” katanya.

“Tetapi, kita perlu berhati-hati, sebab saya telah ditegur oleh Menteri kerana meluluskan banyak permohonan. ‘Jangan sampai nanti, bila saya lalu di jalan raya penuh dengan stesen minyak!’ kata Menteri memberi peringatan kepada saya,” katanya.

“Pengusaha yang sedia ada mungkin tidak suka. You ingat tak, banyak kali ahli-ahli persatuan pengusaha stesen minyak datang jumpa kita? Buat memorandum dan mendesak supaya komisyen julan minyak bagi setiap liter dinaikkan! Alasan mereka kerana pendapatan mereka telah berkurangan akibat persaingan daripada pembukaan banyak stesen minyak yang baharu?” katanya.

“Saya ingat tu! Tapi Dr. tak luluskan permohonan mereka!” kata Fariszan. “Ya, betul. Saya tak luluskan sebab ia akan melibatkan peningkatan perbelanjaan Kerajaan untuk membayar kepada mereka tambahan bagi setiap liter minyak yang dijual!” katanya.

Pebincangan mereka terhenti sebentar apabila Russ, PA, masuk ke pejabatnya. “Dr. Pejabat Menteri telefon. Menteri nak jumpa Dr. sekarang,” kata Russ. 

Main golf dengan syarikat minyak

Ketika melangkah masuk ke dalam pejabat Menteri, dia melihat ramai ahli persatuan pengusaha stesen minyak berada di situ. Setelah mengambil tempat duduk, Menteri menegurnya. “Doc, saya dengar hari itu you main golf!” kata Menteri. “Ya betul YB! Saya pun dengar berita itu daripada salinan ‘surat layang’ yang saya terima yang dialamatkan kepada YB,” jawabnya. 

“Sejak bila you pandai main golf?” tanya Menteri lagi di hadapan ramai pengusaha stesen minyak yang hanya mendiamkan diri. “Selepas saya terima ‘surat layang’, YB. Sebelum itu, saya tidak pandai main golf. Golf set pun saya tidak ada!” jawabnya.

“Sekarang sudah ada golf set?” tanya Menteri. “Belum beli lagi YB. Nanti kalau ada orang mahu ‘sponsor’ baharulah saya beli!” jawabnya, memberi sindiran dan memperli ahli-ahli persatuan pengusaha stesen minyak yang berada di hadapannya. “Habis! Tidak ada golf set, macam mana mahu main golf?” tanya Menteri, berseloroh.



Sebelum dia masuk ke pejabat Menteri, pengusaha-pengusaha stesen minyak rancak bercakap. Maklumlah, hendak berjumpa dengan Menteri bukannya mudah. Kadangkala berminggu-minggu buat temujanji, baharu boleh mengadap. Apabila dapat peluang mengadap maka itulah ketikanya mereka mengemukakan bermacam-macam permintaan, permohonan, rayuan, memorandum, surat dan pelbagai persoalan.

Tetapi, sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik Menteri, mereka mula mendiamkan diri. Ketika Menteri bercakap mengenai ‘main golf’, mereka semakin mendiamkan diri, berpandangan antara satu sama lain dan mula merasa gelisah, terutamanya dengan kehadirannya di situ.

“Cerita main golf ini puncanya dari mana, Doc?” tanya Menteri, memberi senyuman dan memandang ke arahnya. Dia faham isyarat yang diberi oleh Menteri. “Ceritanya daripada memorandum pengusaha stesen minyak. Mereka menuntut supaya komisyen jualan minyak setiap liter dinaikkan. Setelah dibincang dalam Jawatankuasa Rayuan, tuntutan tersebut tidak dapat dipertimbangkan,” jelasnya, diikuti dengan suara bising beberapa orang yang cuba membantah keputusan tersebut. “Nanti. Nanti! Beri peluang Dr Pengarah Kanan PDN bercakap dulu!” kata Menteri, mententeramkan keadaan.

“YB Menteri! Setiap kali perjumpaan dengan mereka, saya sering mengingatkan bahawa niat saya adalah ikhlas untuk membantu mereka dan pihak-pihak yang terlibat. Saya juga mengingatkan supaya segala permohonan dan tuntutan hendaklah dibuat mengikut peraturan dan prosedur yang betul. Sekiranya semuanya berjalan baik, InsyaAllah kita akan pertimbangkan,” katanya. “Tapi YB Datuk Menteri, kami telah buat permohonan mengikut prosedur yang betul, tapi tidak dipertimbangkan!” tempelak salah seorang ahli persatuan.

“Datuk Menteri! Di kementerian ini, kita ada banyak pihak yang perlu kita beri pertimbangan, termasuklah pengusaha stesen minyak, syarikat-syarikat minyak, pengguna dan rakyat yang terpaksa membayar harga minyak yang lebih tinggi dengan tuntutan ini, beban dan implikasi kewangan kerajaan yang terpaksa membayar subsidi minyak dan diesel serta tambahan bayaran tuntutan kepada pengusaha stesen minyak di seluruh negara, sekiranya diluluskan, kesan kenaikan harga minyak daripada tuntutan ini kepada kos pengeluaran industri, perkilangan dan pertumbuhan ekonomi negara, dan banyak lagi!’ jelasnya.

“Ha! You all dengar apa penjelasan Pengarah Kanan PDN. Janganlah fikir, asal hantar sahaja memorandum dapat naik komisyen jual minyak. You all kena faham, banyak perkara yang kena timbang sebelum buat keputusan!” kata Menteri.

“YB! Saya fikir dia orang semua tahu tetapi sengaja buat tidak tahu!  Lebih fikir pasal keuntungan peribadi daripada kepentingan rakyat dan negara. Sebab itulah mereka sanggup tulis ‘surat layang’ mengenai saya kepada YB Menteri. Macam-macam mereka kata. Saya anti-Melayu, saya tidak bantu peniaga Melayu, saya tidak layak jadi Pengarah Kanan PDN, saya main golf dengan syarikat minyak, dan macam-macam lagi!” kata Zahid.

“Itulah! Saya pun terkejut bila terima surat itu. Saya tahu pegawai saya, Dr Muzahid. Dia tidak pandai main golf. Dia cuma pandai bekerja sahaja!” kata Menteri, tersenyum dan menoleh ke arahnya.

“YB, saya tahu siapa yang menulis ‘surat layang’ itu. Orang itu ada di dalam pejabat ini,” katanya. Semua pengusaha stesen minyak yang berada di dalam pejabat Menteri gelisah dan berpandangan antara satu sama lain. “Kalau YB mahu, saya boleh sebut nama orang itu!” katanya lagi. Perkataan Zahid itu menjadikan suasana di dalam pejabat Menteri semakin senyap dan semua mereka menundukkan muka dan tidak berani bertentang mata dengan Menteri dan dengannya.

“Itulah you all semua. Tidak mahu buat baik dengan Dr. Muzahid! Saya tahu dia seorang yang baik, bertimbang rasa tetapi tegas. Tapi, jangan sebab dia baik, you all nak tekan dia macam-macam. Sebab dia perlu buat banyak pertimbangan dan rujuk banyak pihak, sebelum buat keputusan,” kata Menteri.

Kata-kata Menteri itu telah meredakan keadaan dalam pejabat yang sebelum itu agak tegang. Zahid memberi senyuman kepada semua mereka. Kemudian dia bangun dan minta diri untuk meninggalkan pejabat Menteri.